Kelahiran secara indius adalah salah satu jalan yang boleh diambil bagi mengatasi komplikasi yang berlaku. Ia selalunya digeruni para ibu.
Menurut Dr Siti Esah Bahari, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan KPJ Selangor Specialist Hospital, indius ialah proses memulakan proses bersalin dengan menggunakan ubat-ubatan atau cara mekanikal.
Doktor anda akan menyarankan induksi jika didapati risiko menunggu proses kelahiran secara semulajadi melebihi risiko prosedur indius itu sendiri.
SEBAB PERLU INDIUS
Antara keadaan yang memerlukan indius ialah:
#1 Overdue
Ia melibatkan kehamilan melebihi tarikh jangkaan bersalin iaitu melebihi 41 minggu. Ia dilakukan untuk mengelakkan bayi lemas. Overdue boleh menyebabkan uri menjadi kurang berkesan atau kurang efektif dalam menyampaikan nutrisi kepada bayi dan dengan itu menambahkan risiko kepada bayi termasuk lemas dan kematian .
#2 Pecah air ketuban
Jika air ketuban anda pecah dan proses bersalin tidak bermula dengan sendiri anda mungkin perlu diinduis.
Indius akan dimulakan sebagai langkah untuk mempercepatkan kelahiran dalam masa 24 jam. Hal ini sangat mustahak untuk mengelakkan berlakunya jangkitan kepada bayi dan ibu. Walaubagaimanapun jika usia kehamilan kurang daripada 34 minggu, indius mungkin tidak akan dilakukan kecuali ada masaalah obstetrik lain ( misalnya infeksi atau masaalah bayi atau masaalah ibu). Dalam keadaan ini ibu akan diberikan ubat-ubatan untuk meneruskan kehamilan dan steroid untuk mematangkan paru-paru bayi.
#3 Ibu berpenyakit
Preeklampsia adalah keadaan serius yang boleh membahayakan ibu dan bayi. Ia memerlukan pesakit diindius awal bergantung pada tahap keseriusan. Selain praeklampsia, penyakit kronik misalnya darah tinggi ,diabetes dan penyakit buah pinggang juga adalah antara penyakit yang memerlukan kelahiran secara indius.
#4 Masalah bayi
Bayi dalam kandungan yang mengalami pertumbuhan terencat, kurang pergerakan atau air ketuban yang semakin kurang memerlukan indius.Walaubagaimanapun jika keadaan bayi terlalu terencat dan berkemungkinan lemas indius tidak disarankan. Sebaliknya pembedahan caesarean adalah cara paling selamat untuk bayi.
#5 Pendarahan
Ibu mengalami pendarahan atau antepartum haemorrhage yang serius atau teruk.
#6 Logistik
Indius kelahiran tidak sepatutnya digalakkan atas permintaan sosial. Walaubagaimanapun dalam keadaan tertentu misalnya permintaan daripada pasangan disebabkan pasangan akan keluar negara, mahu bayi lahir pada tarikh tertentu dan sebagainya induis mungkin boleh dipertimbangkan dengan syarat pasangan memahami risiko induis.
PROSES KELAHIRAN INDIUS
Anda perlu tahu kelahiran secara indius lebih menyakitkan daripada kelahiran yang tercetus secara spontan. Ia akan berlaku secara cepat dan tidak berperingkat. Kekerapan, ketegangan dan ritma kontraksi meningkat dengan pantas.
Ia berbeza dengan kelahiran semula jadi. Dengan ini, proses kelahiran akan lebih pendek. Anda perlu tahu dan menjangkakan keadaan ini serta bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk menghadapinya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI