Bayi baru lahir dengan kekurangan vitamin D mempunyai risiko menghidap skizofrenia yang lebih tinggi di kemudian hari, pasukan penyelidik Australia dan Denmark melaporkan.
Penemuan ini boleh membantu mencegah beberapa kes penyakit dengan merawat kekurangan vitamin D semasa peringkat awal kehidupan.
Kajian yang diketuai oleh Profesor John McGrath dari University of Queensland (UQ) di Australia dan Aarhus University di Denmark, mendapati bayi baru lahir dengan kekurangan vitamin D mempunyai 44 peratus peningkatan risiko didiagnosis dengan skizofrenia sewaktu dewasa berbanding mereka yang mempunyai tahap vitamin yang normal.
Apa itu Skizofrenia?
Skizofrenia ialah penyakit mental kronik yang dikategorikan di bawah jenis gangguan psikotik. Ia mengganggu pemikiran, perasaan dan tingkah laku dengan simptom seperti halusinasi, khayalan dan gangguan kognitif. Penghidap keadaan mental ini seolah-olah telah terpisah daripada dunia realiti.
Ads
Beberapa faktor risiko dikaitkan dengan skizofrenia termasuklah sejarah keluarga, usia bapa yang tua, penyakit autoimun dan jangkitan virus, keracunan, dan pemakanan tidak seimbang semasa dalam kandungan, terutamanya dalam 6 bulan pertama. Penggunaan ubat perangsang atau perencat saraf juga didapati boleh meningkatkan risiko skizofrenia.
Kepentingan vitamin D
Vitamin D memainkan peranan penting dalam homeostasis dan kesihatan tulang. Terhasil daripada kulit yang didedahkan dengan UVB daripada sinaran matahari, vitamin ini juga dianggap sebagai hormon neurosteroid yang penting. Ini bermakna ia memainkan peranan penting dalam perkembangan dan fungsi otak.
Kekurangan vitamin ini dikaitkan dengan obesiti, rintangan insulin, diabetes, hiperlipidaemia dan penyakit jantung, yang turut biasa ditemui dalam pesakit skizofrenia.
Ads
Kaitan kekurangan vitamin D dan Skizofrenia
Disebabkan janin yang sedang berkembang bergantung sepenuhnya kepada simpanan vitamin D ibu mengandung, penemuan tersebut menunjukkan bahawa memastikan wanita mengandung mempunyai tahap vitamin penting ini dengan mencukupi dapat mencegah beberapa kes skizofrenia, sepertimana suplemen folat memainkan peranan dalam pencegahan spina bifida.
Profesor McGrath, dari Institut Brain Queensland UQ, berkata kajian yang berdasarkan 2602 individu itu mengesahkan kajian terdahulu yang turut diketuai beliau yang mendapati kaitan antara kekurangan vitamin D neonatal dan peningkatan risiko skizofrenia.
Pasukan tersebut membuat penemuan ini dengan menganalisis tahap vitamin D dalam sampel darah yang diambil dari bayi baru lahir di Denmark antara 1981 dan 2000 yang kemudiannya menghidap skizofrenia sewaktu dewasa.
Ads
Para penyelidik membandingkan sampel mereka dengan individu dengan jantina dan tarikh kelahiran sama tetapi tidak mengalami skizofrenia.
Profesor McGrath juga mengetuai kajian Belanda 2016 yang mendapati hubungan antara kekurangan vitamin D prenatal dan peningkatan risiko autisme zaman kanak-kanak.
Oleh itu, pencegahan boleh dilakukan para ibu dengan pendedahan kepada cahaya matahari yang mencukupi dan pengambilan dalam diet seperti salmon, udang, kuning telur dan minyak ikan kod.
Pelakon dan pengacara, Dynas Mokhtar yang bakal melahirkan anak keempat pada penghujung Mei depan berkongsi tidak mahu tahu jantina bayinya kerana ingin melakukan kejutan.
Dynas atau nama sebenarnya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 39, berkata, dia dan suami sudah memiliki dua anak lelaki dan satu anak perempuan.
“Kami belum buat pemeriksaan mengesan jantina bayi kerana mahukan kejutan. Namun, kami juga tidak kisah soal jantina anak keempat ini lelaki atau perempuan kerana yang penting anak yang dilahirkan nanti sihat dan cukup sifatnya,” katanya.
Berbeza mengandung di usia 40-an, alahan teruk
Ditanya hamil pada usia menjelang 40-an, Dynas mengakui berbeza berbanding ketika mengandung pada usia 20 dan 30-an.
“Saya juga berasa penat dan mengalami alahan yang teruk pada kehamilan anak keempat ini berbanding kandungan sebelum ini. Alahan yang teruk hanya pada tempoh tiga bulan pertama kehamilan.
“Alhamdulillah, keadaan saya sudah okay dan usia kandungan pun sudah mencecah usia lima bulan ketika ini,” katanya.
Sementara itu, kali terakhir dia terbabit dengan penggambaran ketika usia kandungannya baru mencecah dua bulan.
“Ketika itu, saya tidak tahu sudah mengandung anak keempat. Bila sudah tahu, saya terus berehat dari aktiviti seni kerana mahu memberi fokus pada kehamilan,” katanya.
Dynas berkahwin dengan ahli perniagaan, Mohamad Shazrik Che Mohd Din, 40, pada April 2018 dan dikurniakan anak lelaki Edriel Obil, 3.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Dynas dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Khyra Khalyssa, 12, dan Mohamed Haqaish, 9.
Surah ini boleh dijadikan sebagai doa untuk ibu mengandung dibacakan kepada anak yang dikandung. Semoga ayat-ayat daripada surah ini menjadi penyejuk hati dan juga permintaan yang dimakbulkan, insya-Allah.
Surah Al-Fatihah
Surah ini boleh dijadikan sebagai doa penerang hati kepada ibu yang mengandung. Juga boleh menjadi penyejuk hati anak yang sedang dikandung
Surah Maryam
Latar belakang surah ini adalah tentang Maryam yang hamil sehingga melahirkan anaknya, Nabi Isa AS. Insya-Allah surah ini boleh dijadikan ikhtiar kepada ibu yang ingin bersalin untuk dimudahkan urusan.
Surah Al-Kahfi
Surah ini sememangnya sunat untuk dibaca pada setiap hari Jumaat. Jika sudah biasa dilazimi sejak ibu mengandung, boleh disambung sunnah ini apabila anak itu telah dilahirkan kelak. Semoga surah ini akan melindungi ibu dan anak yang dikandung dari fitnah dajjal.
Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas
Surah-surah ini boleh dibacakan kepada ibu atau ibu itu sendiri boleh membacanya sebagai perlindungan ketika tidur. Insya-Allah malam dan mimpi akan dilindungi daripada gangguan syaitan.
Ayatul Kursi
Fadhilat ayat ini dibaca setelah selesai solat fardhu sangat besar. Ayatul kursi ini adalah ayat yang sangat berkuasa dan boleh melindungi diri dari kejahatan dan syaitan, insya-Allah.
Doa Dimudahkan Untuk Bersalin
Selain daripada surah-surah yang dinyatakan sebagai doa untuk membantu sepanjang perjalanan kehamilan, para ibu atau sesiapa sahaja boleh membacakan doa dalam bahasa yang mereka selesa sebagai permintaan kepada Allah untuk kesejahteraan ibu dan bayi. Doa untuk ibu mengandung tidak terhad kepada doa yang di dalam surah sahaja.
Doa yang dibacakan sendiri seperti, “Ya Allah, permudahkanlah kelahiran anakku ini, sihatkanlah kami berdua” juga memadai.
Semoga Allah memudahkan ibu untuk bersalin secara normal atau c-sec tanpa kesakitan yang melampau dan diberikan kemudahan sepanjang proses itu.
Para ibu juga boleh mendoakan dengan potongan ayat daripada surah Ibrahim, ayat 40;
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Ingatlah Allah tidak akan menolak doa hambanya kerana Dia memahami kemahuan dan apa yang baik untuk hambanya. Berdoalah seperti anda tahu doa akan dimakbulkan.
Riwayat oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Berdoalah kamu semua kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ia akan dimustajabkan. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak akan memustajabkan doa dari jiwa yang lalai lagi alpa.
Riwayat al-Tirmizi (3479)
Doa Untuk Anak Dalam Kandungan Dan Yang Dilahirkan
Imam al-Nawawi dalam al-Adzkar (hlm. 289) ada menyebut pada bahagian Bab Sunatnya Mengucapkan Tahniah dan Menjawabnya:
“Disunatkan untuk mengucapkan tahniah kepada orang yang menerima kelahiran. Berkata para Ashab kami (Syafieyyah): Disunatkan bagi seseorang untuk mengucapkan tahniah, berdasarkan riwayat yang datang daripada al-Husain RA (sebahagian ulama mengatakan al-Hassan bin Ali manakala sebahagian lain mengatakan dia al-Hassan al-Basri – Wallahua`lam – Pent.) bahawa beliau mengajar seseorang untuk mengucapkan tahniah dengan katanya: “Ucapkanlah!:
Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu dengan anugerah yang dikurniakan kepadamu, agar engkau mensyukuri Sang Maha Pemberi, semoga anak ini membesar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya, dan agar engkau direzekikan dengan anak itu berbuat baik kepada ibu bapanya.”
Jika bayi itu perempuan ucapkanlah:
وبَلَغَ أَشُدَّهَا، وَرُزِقْتَ بِرَّهَا
Kemudian, disunatkan orang yang diucapkan tahniah itu untuk membalas ucapan itu dengan:
بَارَكَ الله لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَزَاكَ الله خَيْرًا، وَرَزَقَكَ اللهُ مِثْلَهُ، أَوْ أَجْزَلَ اللهُ ثَوَابَك
Maksudnya: “Semoga Allah memberkati keluargamu, memberkatimu kerana menjaga mereka, membalasmu dengan ganjaran kebaikan, dan memberikanmu rezeki seumpamanya.”
Jika orang yang diucapkan tahniah itu perempuan ucapkanlah:
Maksudnya: “Sesungguhnya moyang kalian (yakni Nabi Ibrahim) pernah memohon perlindungan untuk (anaknya) Ismail dan Ishak (alaihimussalam): “Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah dari segala Syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat.”
Riwayat al-Bukhari (no.3371); dan Ibn Hibban (no.1012) dalam Sahih-nya
Maksudnya: “Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah dari segala Syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat.”
Doa-doa dan surah-surah ini adalah antara yang disarankan untuk dibaca sebagai doa untuk ibu mengandung. Ada juga yang sememangnya sunnah untuk dijadikan amalan seperti surah al-Kahfi dan juga Ayatul Kursi. Jika dalam kehidupan seharian disarankan untuk dibaca, apatah lagi ketika mendapat berita begini.
Selain itu ayat-ayat ini juga adalah sebagai penyejuk hati dan penyedap hati gelisah ibu yang mengandung. Jika dia tidak mampu untuk membacanya, sesiapa sahaja boleh membacakan bagi pihaknya. Semoga dengan bacaan kerap, urusan ibu hamil dimudahkan.
Baru sahaja melahirkan anak, tidak lama selepas itu ke klinik atau hospital semula untuk buat pemeriksaan. Pemeriksaan kehamilan pula tu! Ada beberapa sebab mengapa pakar perubatan kesihatan wanita menyarankan agar ibu yang baharu melahirkan anak untuk tidak mengandung dalam masa terdekat. Ia melibatkan kesihatan si ibu dan juga bayi dalam kandungan. Pun begitu, masih ada pasangan yang tetap juga hamil walaupun baharu sahaja bersalin.
Di dalam penulisannya di laman Facebook, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan, ada berkongsi beberapa kaedah merancang keluarga yang lebih berkesan berbanding ‘pancut luar’. Ikuti penjelasan Dr Izzat berkaitan hal ini:
“Eh rasanya macam familiar ler puan ini. Kat mana saya jumpa puan ye?”
“Hehe, 6 bulan lepas, tuan doktor la yang sambut kelahiran anak saya yang ke lima tu.”
Gulp…
“6 bulan lepas? Anak ke 5? MasyaAllah puan, nape lah tak merancang dulu?
“Memang saya merancang doktor, tapi kalau suami dah ter ‘tembak’ dalam ape saya boleh buat”
(mukanya merah, tersipu-sipu malu)
“Saya rasa puan dah kurang faham konsep merancang keluarga ni, banyak lagi kaedah merancang keluarga lain yang lebih efektif dan terbukti keberkesannya.”
Perancangan keluarga perlu bagi setiap pasangan supaya setiap kehamilan itu dihargai. Perancangan keluarga perlu untuk menjarakkan anak, supaya ibu dapat pulih sepenuhnya. Sekiranya ada luka jahit sewaktu bersalin, luka dapat pulih dengan sempurna. Ia juga dapat menggalakkan penyusuan susu ibu yang lebih lama dan menguatkan ikatan kasih sayang antara ibu dan anak. Pastikan anda betul-betul bersedia untuk hamil lagi, bukannya hamil secara ‘tidak sengaja’
Kebanyakan wanita keliru dengan kaedah untuk merancang keluarga. Sekiranya ujian air kencing menunjukkan positif hamil, sudah terlambat untuk melakukan kaedah perancangan keluarga. Setiap keluarga berhak mempunyai bilangan anak yang mereka idamkan, tetapi jarak diantara satu anak dengan anak yang lain boleh dirancang dengan menggunakan kaedah-kaedah perancang keluarga
Berikut, merupakan antara kaedah yang boleh digunakan. Sila pastikan anda memahami setiap kaedah dan risikonya sebelum membuat keputusan.
Anda boleh gunakan kaedah-kaedah pencegah kehamilan berikut ketika anda masih menyusukan bayi:
✔kondom untuk lelaki atau wanita; ✔pil mini; ✔suntikan; ✔implan; ✔alat intrauterine (IUD)
Kondom
Kondom adalah kaedah yang paling mudah digunakan, samada anda masih menyusu badan ataupun tidak. Kondom untuk wanita diletakkan di dalam faraj sebelum melakukan hubungan kelamin. Kondom untuk wanita mungkin tidak begitu selesa berbanding kondom untuk lelaki. Jika digunakan dengan betul, kondom untuk lelaki adalah 98 peratus berkesan dan kondom untuk wanita 95 peratus berkesan.
Anda mungkin dapati faraj anda sedikit kering selepas bersalin. Jika anda mahu bersama suami tetapi rasa kurang selesa kerana kekeringan, cuba gunakan jel pelincir. Jeli ini haruslah larut air ( water-based ) supaya ia tidak membocorkan kondom.
Pil mini
Anda boleh guna pil mini jika anda masih menyusukan bayi kerana ia tidak mengganggu bekalan susu anda. Anda boleh mula mengambilnya 21 hari selepas bersalin.
Pil mini juga dikenali sebagai pil progestin (progestogen-only pill – POP). Ia mengandungi hormon progesterone sintetik . Pil mini adalah lebih daripada 99 peratus berkesan. Namun untuk ia memberi kesan seperti ini, anda perlu mengambilnya pada waktu yang sama setiap hari. Ini boleh jadi sukar jika anda sibuk menjaga bayi yang baru lahir. Mungkin tidak sesuai untuk wanita yang pelupa dan seumpama denganya.
Suntikan
Suntikan berkesan selama beberapa minggu. Terdapat dua jenis suntikan: ↪Depo-Provera, yang berkesan selama 12 minggu ↪Norethisterone – yang berkesan selama 8 minggu
Jika anda aktif menyusu badan, sebahagian kecil progestogen akan dirembeskan ke dalam susu ibu. Walaubagaimanapun kuantiti yang sedikit ini tidak akan membahayakan bayi anda.
Adalah lebih baik untuk menunggu sehingga 6 minggu selepas bersalin sebelum mula mengambil suntikan. Ini bagi mengurangkan kemungkinan haid anda jadi tidak menentu dan darah keluar dengan banyak. Masalah pendarahan adalah salah satu keburukan kaedah ini.
Kaedah suntikan semakin popular kebelakangan ini kerana keberkesanannya yang tinggi (lebih daripada 99 peratus) dan mudah untuk didapati. Tetapi jika anda mahu hamil lagi dengan segera selepas berhenti menggunakan pencegah kehamilan, kaedah ini mungkin tidak sesuai untuk anda. Hal yang demikian kerana kesuburan anda akan mengambil masa beberapa bulan untuk kembali sediakala.
Implan
Kaedah implan kekal selama tiga tahun, jadi anda perlu fikir masak-masak samada ini adalah kaedah yang sesuai untuk anda. Dalam kaedah implan, Nexplanon yang berupa tiub plastik fleksibel yang kecil dan nipis bersaiz kira-kira 4 cm panjang dan berdiameter 2mm akan dimasukkan ke bawah lengan. Tiub ini mengandungi hormone progestogen. Anda boleh mengambil implan 21 hari selepas bersalin. Anda masih boleh menyusu badan kerana hanya sedikit sahaja progestogen yang masuk ke dalam susu anda, dan selamat untuk bayi.
Doktor akan memasukkan implan ini ke bawah lengan anda. Ia boleh dikeluarkan apabila anda mengambil keputusan untuk menukar kaedah mencegah kehamilan atau apabila anda mahu cuba untuk hamil lagi. Kaedah implan berkesan lebih daripada 99 peratus.
Alat Dalam Rahim (IUD)
Alat dalam Rahim (intrauterine device) atau IUD boleh digunakan selama 3 hingga 5 tahun bergantung kepada jenis yang digunakan.
Anda boleh mula menggunakan IUD pada bila-bila masa daripada empat minggu selepas bersalin. Doktor atau jururawat akan memasukkannya untuk anda. Anda boleh menggunakan IUD samada anda bersalin secara normal atau caesarean. Keberkesanan IUD adalah lebih daripada 99%.
*Jangan Terlalu AWAL* *Jangan Terlalu LEWAT* *Jangan Terlalu RAPAT*