Kehamilan

Ibu Hamil Sakit & Alahan Jangan Paksa Diri Berpuasa. Ada Kelonggaran Untuk Berbuka

Share

Ibu hamil yang bakal menempuhi bulan Ramadan perlu tahu mereka tidak perlu memaksa diri untuk meneruskan puasa. Ada kelonggaran untuk berbuka dalam Islam.

Beberapa hari lagi umat Islam akan mengerjakan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Mungkin bagi ibu hamil ada yang terfikir ini adalah peluang untuk berpuasa sebulan penuh memandangkan tiada haid.

Namun sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan dan kemudaratan untuk meneruskan berpuasa, ada kelonggarannya. Pa&Ma mendapatkan informasi daripada Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin mengenai topik ini.

Wanita hamil mempunyai kelonggaran dalam ibadah puasa

Para ahli fiqih (pakar hukum) sepakat bahawa menjadi hak wanita yang hamil untuk berbuka. Dalilnya cukup jelas. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mencabut puasa dan separuh solat daripada musafir, dan mencabut puasa daripada perempuan hamil dan menyusui.” (HR Nasa’i dan Ibnu Majah).

Mengapa wanita hamil diberikan kelonggaran dalam ibadah puasa?

Menurut ahli tafsir, wanita yang hamil termasuk dalam kategori “orang yang berat menjalankannya (puasa),” sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah: ayat 184.

Islam memahami beban kehidupan yang memberat di bahu wanita hamil. Wanita hamil biasanya muntah-muntah, loya, pening dan kembung perut. Wanita hamil juga biasanya mengalami kekejangan apabila kurang kalsium, pedih ulu hati dan sebagainya.

Islam mengiktiraf dan menghargai pengorbanan ini dengan merakam kesusahan wanita hamil di dalam al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT, “Ibunya mengandungnya dengan susah-payah, dan melahirkannya dengan susah-payah (pula).” (Al-Ahqaf: 15).

Islam sangat berperi kemanusiaan terhadap kesusahan umatnya. Ia termasuklah kepada wanita hamil bahkan kepada musafir meskipun dia bermusafir dengan kenderaan moden, dan kepada ramai lagi golongan lain. Oleh sebab itulah ada konsep ‘rukhsah’ (kelonggaran/keringanan) dalam Islam.

Keadaan yang membolehkan wanita hamil berbuka puasa

Ada pelbagai keadaan wanita hamil. Wanita hamil kadang kala risaukan keadaan dirinya disebabkan payahnya berpuasa. Wanita hamil juga kadang kala risaukan bayi dalam kandungannya. Bayi itu dikesani oleh sumber makanan ibunya. Lebih kerap, wanita hamil risaukan kedua-duanya secara bersama, dirinya dan bayinya.

Dalil hadis di atas yang memberi kelonggaran kepada wanita hamil untuk berbuka, merujuk kepada keadaan wanita itu yang ‘hamil’ secara umum. Ia tidak merujuk kepada keadaan-keadaan khusus bagi wanita hamil itu.

Maka, apabila hamil sahaja seorang wanita, dan dia berasa berat untuk berpuasa, maka boleh baginya mengambil ‘rukhsah’ (kelonggaran) untuk berbuka puasa pada bulan Ramadhan. Jika dia berasakan tidak berat baginya untuk berpuasa, maka dia boleh meneruskan puasa.

Apakah hukumnya jika wanita hamil itu sihat dan tidak mengalami komplikasi tetapi tetap tidak berpuasa?

‘Harus’ baginya berbuka. Hukum ‘harus’ (mubah) bukan bererti ‘mesti’ berbuka. Hukum ‘harus’ bererti ‘boleh’. Mahu meneruskan puasa, boleh. Mahu berbuka pun, boleh. Dia lebih arif tentang kemampuannya saat itu.

Sesihat manapun wanita hamil, keadaan hamilnya itu menggolongkan dirinya berada dalam keadaan yang lemah. Firman Allah SWT, “Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah.” (Luqman: 14).

Orang yang lemah kadang kala berat untuk mengerjakan puasa. Allah memberikannya kelonggaran.

Firman Allah SWT, “Dan bagi orang yang berat menjalankannya (orang sakit berat, orang yang sangat tua, wanita hamil, wanita menyusui), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi sesiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (memberi makan kepada lebih seorang miskin dalam satu hari), maka itu lebih baik baginya. Dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184).

Fidyah adalah sebanyak secupak beras (anggaran 600 gram) untuk setiap satu hari yang ditinggalkannya, diberikan kepada fakir dan miskin. Fidyah wajib dibayar sebelum datangnya Ramadahan seterusnya. Menurut mazhab Syafie, fidyah bertambah, dengan bertambahnya tahun.

Kaedah untuk menggantikan puasa yang telah ditinggalkan

Masalah wanita hamil ‘unik’ berbanding masalah lain. Setelah 9 bulan 10 hari hamil, dia perlu menyusui pula selama 2 tahun. Disebabkan keadaan ‘susah’ yang panjang ini, maka kaedah ‘menggantikan puasa’ yang telah ditinggalkan bagi wanita hamil mempunyai banyak pandangan ulama.

Antara perbahasan mereka ialah:
Adakah wanita hamil diperlakukan seperti orang sakit biasa yang dimestikan mengganti sebanyak puasa yang ditinggalkan?
Atau mereka diperlakukan seperti orang tua renta, baik lelaki mahupun perempuan?
Atau seperti orang sakit yang tiada harapan sembuh?
Adakah mereka harus membayar fidyah setiap hari atau dibebaskan daripada fidyah?

Bukan itu sahaja, para ulama juga membahaskan:
Adakah berbeza hukumnya, antara orang hamil dengan orang menyusui?
Adakah berbeza orang yang khuatir terhadap dirinya, dengan orang yang khuatir terhadap bayinya?

Dengan membahaskan semua kemungkinan ini, maka keluarlah konklusi yang pelbagai di kalangan para ulama berkaitan kaedah menggantikan puasa yang ditinggalkan. Semuanya merujuk al-Quran dan as-Sunnah yang sama, namun cara tafsir dan sudut pandang mereka berbeza. Inilah antara faktor, isu fiqah mempunyai banyak pendapat.



Pendapat Majoriti

Majoriti ahli fiqih memperlakukan wanita hamil dan wanita menyusui seperti orang sakit. Mereka berkata, “Keduanya berbuka dan mengganti.”

Mazhab Syafie yang biasa diamalkan di Malaysia memperincikan:
1. Ibu yang bimbangkan dirinya, tidak mampu dan tidak berdaya, maka dia boleh berbuka. Kemudian mengganti pada hari lain.
2. Ibu yang bimbangkan dirinya dan anaknya, maka dia boleh berbuka. Kemudian, mengganti dan membayar fidyah pada hari lain.

Masa yang diwajibkan adalah 11 bulan mulai Syawal hingga Syaaban. Jika seseorang telah meninggalkan puasa, kemudian tidak menggantinya dalam tempoh itu dengan sengaja, maka dia berdosa, wajib ganti dan bayar fidyah.

Pendapat Kuat dan Praktikal

Ibnu Umar dan Ibnu Abbas (dari kalangan sahabat), juga Ibnu Sirin (dari kalangan Tabiin), berpendapat, “Mereka hanya perlu membayar fidyah (memberi makan orang miskin) dan tidak perlu mengganti.” Ibnu Abbas menyamakan wanita hamil seperti orang tua renta dalam isu ini.

Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqih Puasa membuat kesimpulan:

1. Yang paling kuat ialah pendapat Ibnu Umar dan Ibnu Abbas. Wanita hamil dan menyusui hanya perlu membayar fidyah dan tidak perlu mengganti. Itu yang banyak diamalkan oleh kaum wanita pada masa lalu. Ia suatu rahmat apabila mereka tidak perlu mengganti, cukup dengan membayar fidyah.

2. Ada wanita yang tempoh kehamilannya berjauhan dan anaknya tidak ramai. Dia kurang berasa susahnya kehamilan dan menyusui, kecuali dua atau tiga kali sahaja, maka yang paling tepat baginya ialah mengganti, sebagaimana pendapat jumhur.

Kesimpulan ini dibuat kerana hukum dibangun atas prinsip ‘keringanan’ dan ‘menghilangkan kesulitan yang berlebihan’. Apabila kesulitan tidak ada, maka hukumpun tiada. Apabila kesulitan ada, maka hukumpun ada. Kaedah menyebut, “Hukum bergerak bersama alasannya, ada atau tiada.”

Bila seelok-eloknya proses penggantian puasa ini dijalankan sedangkan selepas hamil sudah tentu si ibu tersebut akan menyusukan anak pula?

Sesiapa yang memiliki hutang puasa Ramadhan, tidak kira kerana uzur seperti sakit, musafir, haid, nifas, atau yang merasakan sangat berat mengerjakannya, juga wanita hamil dan menyusui, bagi mazhab yang mengharuskannya qadha’ (ganti), maka hendaklah dia bersegera sebaik sahaja uzurnya hilang. Bersegera untuk mengganti hari-hari yang dia berbuka, dalam rangka melepaskan diri daripada hutangnya dan bersegera untuk menunaikan kewajipan

Tidaklah berdosa orang yang mengakhirkan pelaksanaan ganti puasa sepanjang pada hatinya tetap berniat untuk mengganti, kerana kewajipan ganti bersifat ‘luas’ masanya.



Adakah penggantian puasa boleh dilewatkan atas sebab menyusukan anak? Misalnya selepas anak berusia dua tahun.

Soalan ini timbul bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.

Bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil hanya perlu membayar fidyah, maka soalan ini tidak timbul. Lainlah, jika dia memang berasakan menggantikan puasa tidak berat dalam situasi hidupnya. Islam meraikan kondisi individu yang berbeza-beza.

Huraian seterusnya ini bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.

Barangsiapa kedatangan Ramadhan yang baru, sedangkan hutang Ramadhan sebelumnya belum dibayar, jika hal itu terjadi kerana uzur (menyusukan anak) maka ianya tidaklah mengapa. Itu pendapat ijma’.

Dia wajib menggantinya selepas dia mampu berpuasa semula.

Puasa sunat 6 hari bulan Syawal & puasa ganti, mana perlu didahulukan?

Keutamaan puasa 6 hari di bulan Syawal bersandar kepada hadis yang kuat.
“Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian dia iringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.” (HR Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah).

Realitinya, cuti Hari Raya membuka peluang besar untuk kita beramah mesra dan menjamu selera dengan sanak saudara. Tidak seperti hari-hari lain. Maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunah pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Menjaga hubungan silaturrahim amat penting. Ini selaras dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:

“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu.” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).

Kita dalam dilema;
1. Jika mendahulukan yang wajib, bimbang tidak berkesempatan berpuasa enam.
2. Jika mendahulukan yang wajib kemudian terus berpuasa enam, bimbang tidak sempat meraikan majlis menjamu selera bersama sanak-saudara.
3. Jika mendahulukan yang sunah, bimbang puasa wajib terus terhutang dan tidak sempat dilakukan pada masa-masa depan.

Pandangan yang sahih berkenaan isu ini, menurut Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, boleh saja melaksanakan puasa sunah sebelum mengganti. Buat puasa sunah enam hari dahulu pada bulan Syawal. Kemudian, melakukan puasa ganti pada hari-hari lain sebelum masuk Ramadhan berikutnya.

Kesimpulan ini diambil daripada ucapan Aisyah r.ha., “Ketika itu saya memiliki hutang puasa Ramadhan. Saya tidak mampu menggantinya kecuali di bulan Sya’ban.” (Muttafaq a’laih).

Tidak boleh disekalikan niat antara yang wajib dan sunat bagi mereka yang mahu menyelesaikan gantian Ramadhan dahulu. Tapi mereka boleh berdoa kepada Allah mudah-mudahan sempat mendapat kelebihan puasa enam.

Sumber: Majalah Pa&Ma Julai 2013

Artikel berkaitan:| Ibu Ini Kongsi Rahsianya Sewaktu Hamil Puasa Penuh, Amalkan Nabeez Kurma Dan Overnight Oat|

|Ibu Menyusu & Hamil Tengok Diri Sendiri Dulu Mampu Atau Tak Untuk Puasa,Tip Doktor Ini Kongsi Mungkin Membantu|


Published by
Azma ML