Ibu Hamil Tak Digalakkan Bersalin Secara Caesarean Lebih Empat Kali. Doktor Ini Terangkan Risikonya

Share

Masa kini, banyak kelahiran dilalui secara pembedahan caesarean disebabkan komplikasi-komplikasi tertentu. Walau apa pun cara kelahiran bayi, semuanya ada risiko tersendiri. Samalah halnya dengan kelahiran caesarean.

Jika terlalu kerap melahirkan anak secara caesarean, maka makin tinggi risikonya. Disebabkan itulah sering kedengaran orang berkata had untuk kelahiran caesarean cuma empat sahaja. Persoalan tentang berapa kali ibu hamil boleh melahirkan anak secara pembedahan tiada jawapan yang jelas.

Menurut kenyataan Dr. Marra Francis, satu atau dua kali kelahiran caesarean tidak mempunyai sebarang risiko nyata kepada ibu atau bayi. Namun, apabila ia melibatkan kelahiran caesarean untuk kali ketiga dan berikutnya, akan ada risiko komplikasi yang nyata.”

Mari kita fahami risiko-risiko yang mungkin boleh timbul daripada kelahiran secara pembedahan caesarean yang kerap.

  1. Parut di tisu organ dan rahim

Setiap kali melahirkan anak secara pembedahan caesarean yang mana ia melibatkan bahagian perut, maka anda akan mendapat parut di bahagian berkenaan. Apabila kerap bersalin secara caesarean, maka makin banyak parut di bahagian itu yang akhirnya akan menyebabkan pembedahan caesarean di masa akan datang menjadi lebih payah dikendalikan.

  1. Masalah berkaitan uri

Kekerapan pembedahan caesarean boleh mengakibatkan gangguan kepada uri. Oleh sebab itulah, doktor sering risau tentang masalah uri seperti uri melekat dan uri lekang.

  1. Kecederaan pundi kencing atau usus

Komplikasi sebegini jarang kedengaran, namun risikonya tetap ada kepada mana-mana ibu hamil yang kerap melahirkan anak secara caesarean.

  1. Pendarahan banyak

Pendarahan yang banyak boleh berlaku apabila anda menjalani pembedahan caesarean, sama seperti risiko-risiko lain dan akan meningkat bila semakin kerap anda bersalin secara pembedahan. Kekerapan bersalin secara pembedahan menyebabkan anda berisiko mengalami pendarahan banyak dan meningkatkan risiko histerektomi (satu prosedur pembedahan untuk membuang rahim sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya).

Apa-apa pun, sebagai manusia anda tidak dapat menjangka proses kelahiran bayi. Mungkin anda seboleh mungkin mahu melahirkan bayi secara normal, namun jika keadaan memaksa, anda perlu reda. Apa yang penting, anda tahu dah fahami risiko-risiko yang bakal berlaku.

Sehubungan itu, anda perlu mematuhi nasihat doktor untuk menjarakkan kehamilan seterusnya. Dibimbangi jika anda terpaksa melahirkan anak berikutnya melalui pembedahan caesarean juga. Di sinilah akan berlaku konflik kerana ada peningkatan risiko kepada anda dan bayi di dalam kandungan.

Published by
Intan Jastina