Kehamilan adalah salah satu pengalaman hidup yang cukup bermakna. Namun yang demikian, kehamilan tidak datang tanpa risiko dan komplikasinya. Selain hipertensi ketika hamil, salah satu penyakit yang kerap berlaku dalam kalangan ibu yang berbadan dua adalah kencing manis (diabetes gestasi).
Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang bacaan normal kencing manis semasa mengandung dan juga aspek-aspek diabetes gestasi penting yang lain.
Bagaimana diabetes gestasi boleh terjadi?
Di luar konteks kehamilan, masyarakat mungkin selalu mendengar bahawa terdapat dua jenis diabetes iaitu diabetes jenis satu dan diabetes jenis dua. Diabetes jenis satu disebut sebagai diabetes yang bergantung kepada insulin kerana patofisiologinya membabitkan ketidakupayaan organ pankreas untuk menghasilkan hormon insulin. Gangguan ini dipengaruhi oleh keadaan autoimun yang menyerang organ pankreas. Pesakit diabetes jenis satu selalunya adalah golongan kanak-kanak. Diabetes jenis dua pula adalah disebabkan oleh kerintangan insulin dan juga kekurangan relatif dalam penghasilan hormon insulin.
Kebanyakan diabetes adalah daripada jenis ini. Keterjadian penyakit ini disebabkan oleh faktor gaya hidup dan juga kecenderungan genetik. Lazimnya, penghidap diabetes jenis dua adalah golongan dewasa.
Dalam konteks kehamilan, wujud pula satu bentuk diabetes yang lain iaitu diabetes gestasi. Ketika mengandung, tindakan insulin akan sedikit terganggu akibat beberapa hormon (estrogen, kortisol dan human placental lactogen) yang dirembeskan oleh uri. Apabila memasuki trimester kedua dan ketiga, uri akan membesar dan matang sepenuhnya. Ini akan menyebabkan rembesan hormon-hormon penggugat insulin berada pada tahap yang tinggi. Tindak balas pankreas terhadap rintangan ini adalah dengan menghasilkan lebih banyak insulin demi mengawal paras gula dalam darah. Selepas minggu ke-24, seandainya paras gula terus-menerus gagal dikawal, seseorang itu akan didiagnosis dengan diabetes gestasi.
Penyakit diabetes gestasi bukanlah satu penyakit yang boleh dipandang ringan atau diambil mudah. Ini kerana kesannya melibatkan kedua-dua ibu dan juga bayi yang dikandung. Berita baiknya adalah majoriti penghidap diabetes gestasi akan pulih dengan sendirinya selepas melahirkan bayi mereka. Namun yang demikian, terdapat segolongan kecil penghidap yang kurang bernasib baik akan terus-menerus menghidap kencing manis walaupun telah selamat bersalin.
Ads
Risiko setiap wanita adalah berbeza
Menurut Laporan Obstetrik Kebangsaan, semenjak tahun 2011 sehinggalah tahun 2015, insiden diabetes gestasi adalah semakin menurun. Pada tahun 2015, buat pertama kalinya, insiden diabetes gestasi mencatatkan nilai bawah 8% iaitu 7.42%. Penting untuk diingati bahawa bukan semua orang mempunyai risiko yang sama untuk menghidapinya. Terdapat sesetengah kumpulan wanita hamil yang lebih cenderung untuk didiagnosis dengan diabetes gestasi berbanding kumpulan wanita hamil yang lain. Antara faktor risiko untuk penyakit ini adalah:
-Wanita yang mempunyai Indeks Jisim Badan melebihi 27 kg/m2
-Pernah didiagnosis dengan diabetes gestasi untuk kehamilan sebelum ini-
-Mempunyai ahli keluarga terdekat (first-degree) yang menghidap diabetes mellitus
-Pernah melahirkan bayi makrosmik (berat melebihi 4kg)
-Sejarah obstetrik lampau yang teruk (i.e., kematian dalam rahim, kecacatan kongenital, bahu bayi tersekat ketika bersalin)
-Paras gula dalam air kencing ≥2+ dalam dua bacaan yang berbeza
-Sedag menghidap masalah obstetrik lain (hipertensi primer, hipertensi ketika mengandung dan polihydramnios)
Selain perkara-perkara di atas, peningkatan usia juga dikaitkan dengan risiko menghidap diabetes gestasi yang lebih tinggi. Oleh yang demikian, wanita mengandung yang berusia 25 tahun dan ke atas, walaupun tanpa faktor risiko yang lain, akan disaring sekitar minggu ke-24 hingga minggu ke-28.
Komplikasi akibat diabetes gestasi
Ads
Seperti yang disebut dalam bab sebelum ini, penyakit diabetes gestasi membawa risiko untuk beberapa komplikasi obstetrik yang tidak diingini.
Secara asasnya, apabila bacaan normal kencing manis semasa mengandung tidak berjaya dicapai, ia akan berpindah ke bayi menerusi uri. Ini akan menyebabkan darah bayi juga akan mempunyai kandungan gula yang tinggi. Untuk mengatasi masalah ini, pankreas bayi akan bertindak menghasilkan insulin tambahan. Bayi akan mendapat tenaga (dalam bentuk glukosa) yang berlebihan dari yang diperlukannya, dan tenaga lebihan ini akan tersimpan sebagai lemak badan yang akan menyebabkan makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih).
Bayi makrosomia akan meningkatkan risiko komplikasi ketika bersalin dan/ atau kemungkinan untuk bersalin melalui pembedahan Caesarean section. Komplikasi ketika bersalin yang boleh berlaku termasuklah:
-Tempoh bersalin menjadi lama
-Bahu bayi tersekat
-Kekoyakan perineum darjah tinggi
-Tumpah darah (pendarahan pasca-bersalin)
-Kecederaan barchial plexus
-Asfiksia perinatal
-Hipoglisemia neonatal
-Tersedut mekonium
Selain daripada komplikasi di atas, terdapat juga risiko jangka masa panjang untuk bayi tersebut. Kajian mendapati bayi makrosomia terdedah kepada risiko yang lebih tinggi untuk menghidap obesiti dan diabetes ketika membesar. Oleh itu, mengawal paras gula untuk mendapatkan bacaan normal kencing manis semasa mengandung adalah sangat penting.
Ads
Mendapatkan bacaan normal kencing manis semasa mengandung
Dalam merawat diabetes gestasi, pemantauan bacaan paras gula dalam darah adalah penting. Ini kerana, ia dapat membolehkan pesakit dan juga doktor mengenal pasti sama ada paras gula adalah terkawal dan bacaan normal kencing manis semasa mengandung berjaya dicapai.
Kaedah pemantauan utama adalah melalui pemantauan kendiri (SMBG). Kaedah ini digunakan untuk kedua-dua pesakit yang menghidap kencing manis sedia ada dan juga mereka yang menghidap diabetes gestasi. Berdasarkan bacaan yang diperolehi ini, doktor dapat melaraskan kandungan dan jenis ubat yang perlu digunakan untuk memastikan paras gula terus berada dalam tahap yang terkawal.
Sasaran bacaan normal kencing manis semasa mengandung adalah seperti berikut:
Sebelum makan/ ketika puasa semalaman: ≤5.3 mmol/L
1 jam selepas makan: ≤7.8 mmol/L
2 jam selepas makan: ≤6.7 mmol/L
Kawalan paras gula ini dicapai melalui penggunaan ubat antidiabetik. Kadangkala, insulin juga akan digunakan untuk melengkapi kesan ubat antidiabetik. Selain penggunaan ubat, modifikasi diet juga akan dilakukan demi meningkatkan keberkesanan rawatan yang diberikan. Walau bagaimanapun, mendapatkan bacaan normal kencing manis semasa mengandung bukanlah satu-satunya matlamat rawatan. Disebabkan wanita hamil yang mengalami diabetes gestasi terdedah kepada risiko yang tinggi (5 kali ganda) untuk menghidap pre-eklampsia, ubat pencegahan pre-eklampasia (aspirin dos rendah bermula minggu ke-12) turut diberikan.
Tuntasnya, kehamilan adalah salah satu pengalaman hidup yang cukup bermakna. Menyedari hakikat bahawa anda akan melahirkan ‘ahli baru’ kepada keluarga anda pasti membawa kegembiraan yang tidak terkata. Untuk itu, persediaan rapi perlu dibuat agar anda tidak terkejut dengan realiti kehamilan.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kencing manis, jika dahulu merupakan satu penyakit yang hanya akan dihidapi oleh individu dewasa lebih berusia, namun, kini penyakit kencing manis boleh dialami oleh mana-mana individu tanpa mengira faktor usia, sama ada dewasa, kanak-kanak malahan ibu mengandung juga turut boleh mendapat kencing manis. Adakah terdapat petua hilangkan kencing manis ketika mengandung? Ikuti artikel ini untuk mendapatkan lebih info.
Apa itu Kencing Manis?
Kencing manis atau turut dikenali sebagai Diabetes Mellitus (DM) secara ringkasnya merupakan satu masalah kesihatan yang berkaitan dengan kadar gula dalam darah yang tinggi. Ia adalah satu keadaan yang mengganggu dan merosakkan keupayaan badan untuk memproses glukosa darah atau dikenali sebagai gula dalam darah.
Di Malaysia juga, kencing manis adalah penyakit yang sangat popular di negara ini. Jika ia dibiarkan secara berterusan, tanpa sebarang kawalan dan penjagaan yang lebih baik, kencing manis berisiko untuk menyebabkan pembentukan gula dalam darah, yang cenderung untuk meningkatkan risiko komplikasi penyakit kronik dan berbahaya seperti strok (angin ahmar) dan penyakit jantung.
Secara umumnya, seperti apa yang sering menjadi kepercayaan umum, penyakit kencing manis sering dianggap sebagai penyakit yang akan menyerang individu dewasa yang lebih berusia. Tapi hakikatnya, penyakit kencing manis ini juga boleh berlaku dan bermula dari zaman kanak-kanak.
Penyakit berkaitan gula dalam darah ini boleh dibahagikan kepada dua subkategori utama; Diabetes Jenis 1 dan Diabetes Jenis 2.
#Diabetes Jenis 1
Biasanya didiagnosis dalam zaman kanak-kanak
Tidak semestinya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
Biasanya dikaitkan dengan kadar keton yang tinggi
Dirawat dengan suntikan atau pam insulin
Tidak dapat dikawal tanpa pengambilan insulin
Diabetes jenis 1 merupakan suatu penyakit autoimun, yang mana sistem imun merosakkan sel-sel yang sihat dalam badan. Dalam kes ini, sistem imun merosakkan sel beta dalam pankreas sehingga pankreas tidak dapat menghasilkan insulin sendiri.
Walau bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang menjelaskan kenyataan tersebut. Diabetes jenis 1 memerlukan suntikan insulin secara kerap untuk mengimbangi kematian sel beta, jadi semua pesakit diabetes jenis 1 adalah bergantung pada insulin.
#Diabetes Jenis 2
Biasanya didiagnosis pada umur 30 tahun ke atas
Biasanya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
Biasanya dikaitkan dengan tekanan darah dan/ atau tahap kolesterol yang tinggi
Rawatan awal adalah tanpa perubatan atau pil sebagai ubat kencing manis
Berkemungkinan dirawat tanpa perubatan diabetes
Dalam kes diabetes jenis 2, sistem imun tidak merosakkan sel beta. Sebaliknya, diabetes jenis 2 dikategorikan sebagai ketidakupayaan badan untuk bertindak kepada insulin, yang juga dikenali kerintangan insulin dan insulin malsecretion.
Berbeza dengan diabetes jenis 1, diabetes kategori ini berlaku disebabkan oleh kerintangan insulin dan boleh juga ada kekurangan penghasilan insulin. Kerintangan insulin ini menyebabkan penghasilan glukosa daripada hati meningkat, pengurangan penggunaan glukosa oleh pelbagai organ-organ penting, peningkatan penyerapan semula glukosa oleh buah pinggang dan juga pengurangan penghasilan hormon incretin.
Namun, apakah pula kategori bagi kencing manis yang dihidapi oleh individu wanita mengandung? Ikuti penjelasan selanjutnya.
Diabetes Gestasi
Sebelum mengetahui tentang petua hilangkan kencing manis ketika mengandung, mari kita kenali terlebih dahulu mengenai apa sebenarnya diabetes ketika mengandung.
Melalui panduan terkini Persatuan Diabetes Amerika tahun 2019, mendefinisikan diabetes gestasi ini sebagai “penyakit kencing manis yang didiagnosis pada trimester kehamilan kedua atau ketiga.
Diabetis gestasi atau gestational diabetes mellitus (GDM) adalah merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh individu wanita hamil. Ia adalah salah satu komplikasi perubatan kerap dihadapi semasa kehamilan. Tidak seperti bentuk diabetes yang lain, diabetes gestasi akan hilang sejurus selepas kelahiran, tetapi terdapat juga yang kekal melebihi 6 bulan dan menjadi masalah diabetes mellitus. Penyakit kencing manis ini mempunyai implikasi kesihatan yang penting untuk ibu dan anak dalam kandungan sekiranya tidak dikawal dengan baik. Sekiranya anda menghidap penyakit diabetes, anda perlu mengendalikan gula darah dan memastikannya sentiasa dalam paras normal untuk melindungi kesihatan anda dan bayi anda.
Diabetes boleh menjejaskan kesihatan ibu dan janin jika tidak dikesan dan dikawal. Wanita hamil mempunyai lebih banyak risiko preeklampsia, jangkitan, pendarahan selepas bersalin, dan keguguran. Merawat diabetes gestasi sangat diperlukan untuk memastikan janin sihat dan mengelakkan komplikasi semasa kelahiran.
Punca Kencing Manis ketika Mengandung
Kenapa GDM ini berlaku secara spesifik pada tempoh kehamilan, di mana ibu hamil berisiko mendapat masalah paras gula yang tidak terkawal? Dan kenapa ia tidak boleh dirawat seperti diabetes jenis 1 atau jenis 2? Ia adalah disebabkan patofisiologi GDM.
1. Patofisiologi.
Kehamilan diiringi oleh ketahanan insulin, diselia terutamanya oleh rembesan plasenta hormon diabetogenik termasuk hormon pertumbuhan, hormon pelepasan kortikotropin, laktogen plasenta (somatomammotropin chorionic), prolaktin, dan progesteron. Perubahan-perubahan metabolik ini dan lain-lain memastikan bahawa janin mempunyai bekalan nutrien yang mencukupi.
Gestational diabetes mellitus berkembang semasa kehamilan pada wanita yang fungsi pankreas tidak mencukupi untuk mengatasi rintangan insulin yang berkaitan dengan keadaan hamil.
2. Rintangan Insulin.
Kesan insulin terganggu disebabkan oleh pelbagai hormon (seperti estrogen, kortisol dan human placental lactogen) dihasilkan oleh uri atau plasenta. Semakin plasenta membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi.
3. Kandungan glukosa yang berlebihan dalam darah.
Proses pencernaan glukosa di dalam aliran darah dikawal atur oleh insulin. Kekurangan insulin menyebabkan glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan diabetes mellitus.
Faktor-faktor Risiko
Setiap individu wanita yang sedang hamil, mempunyai risiko untuk mendapat diabetes gestasi ini. Tetapi terdapat beberapa faktor yang menjadikan sesetengah individu wanita berdepan risiko yang lebih tinggi. Antara faktor-faktornya adalah seperti:
Individu yang berusia lebih daripada 25 tahun
Mempunyai sejarah keluarga atau peribadi. Risiko untuk anda menghadapi GDM akan meningkat jika anda mempunyai prediabetes, iaitu keadaan di mana kandungan gula dalam darah yang sedikit tinggi dan menjadi penanda kepada diabetes jenis 2. Sekiranya pada kehamilan sebelum ini anda mendapat GDM, maka risiko untuk mendapat kembali masalah ini adalah tinggi.
Berat badan yang berlebihan. Masalah obesiti adalah sangat berkaitan dengan diabetes. Jadi kecenderungan untuk mendapat GDM adalah tinggi jika BMI anda 30 atau lebih daripada itu.
Etnik. Ia adalah satu faktor yang sukar untuk diperjelaskan. Tetapi sekiranya anda adalah wanita berkulit hitam, Hispanik, Indian Amerika atau Asia, risiko untuk mendapat GDM adalah tinggi.
Bahaya Kencing Manis ketika Mengandung
Seperti yang dimaklumkan di atas, masalah kesihatan ini bukanlah satu masalah yang boleh dipandang ringan dan dibiarkan tanpa sebarang rawatan. Ini kerana terdapat beberapa risiko pada kesihatan yang mungkin boleh berlaku kepada ibu hamil. Antaranya seperti pendarahan, pitam, risiko melahirkan anda bersaiz besar. Antara risiko lain yang mungkin terjadi adalah seperti:
1.Makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih). Bayi berkemungkinan akan menghadapi kecederaan di bahu semasa kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean.
2.Bayi anda mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia).
3.Bayi juga mudah terdedah kepada jaundis atau demam kuning yang berpanjangan.
4.Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.
5.Ibu berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, diabetik ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit.
6.Mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.
7.Ibu berisiko tinggi mendapat preeklampsia (darah tinggi) dan tumpah darah.
Petua Hilangkan Kencing Manis ketika Mengandung
Setiap penyakit atau masalah kesihatan pasti akan ada cara untuk mengatasinya atau paling tidak kaedah yang boleh diikuti untuk mengawal sesuatu permasalahan penyakit. Berikut adalah antara beberapa petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh anda cuba dan ikuti.
1. Ubah diet pengambilan makanan seharian
Petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang paling utama adalah dengan melakukan perubahan dalam pemakanan yang anda makan. Diet yang penuh nutrisi adalah salah satu cara terbaik untuk mengawal gula darah. Wanita hamil perlu mengehadkan makanan yang mempunyai kadar gula dan karbohidrat yang tinggi.
Sebaliknya, ibu perlu makan pelbagai jenis makanan seperti kanji, zat besi, vitamin, dan makanan rendah lemak. Makan tiga hidangan kecil dan satu hingga tiga makanan ringan setiap hari. Wanita yang mengandung juga harus makan banyak makanan kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, beras bijirin penuh, roti. Ibu hamil obes yang didiagnosis dengan diabetes gestasi harus bermula dengan diet 30 kcal/kg hari.
Doktor mungkin mencadangkan anda bertemu pakar diet berdaftar untuk membantu anda membuat pelan diet yang boleh anda ikut. Ia perlu bagi menangani kencing manis ketika mengandung, tetapi masih membekalkan kalori dan nutrien yang cukup untuk bayi anda.
Di bawah adalah beberapa tip memilih makanan baik yang boleh anda ikuti:
Makanan bijirin penuh seperti roti gandum penuh
Pilih makanan rendah GI, Indeks Glisemik- adalah bagaimana mengukur makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan glukosa darah, seperti pasta yang diperbuat daripada tepung gandum, epal, oren, kekacang, jagung manis dan bubur.
Henti minum minuman manis
Pilih makanan yang dipanggang, bukannya digoreng
Amalkan makanan berserat seperti perbanyakan pengambilan sayuran berdaun hijau dan buah-buahan
2. Makan secara tetap
Apabila sudah mengetahui pelan pemakanan yang baik untuk anda ikuti ketika sedang hamil, anda juga perlu memastikan anda mempunyai jadual pemakanan secara tetap dan elakkan daripada melangkau sebarang waktu hidangan makanan walau sesibuk mana anda dalam melaksanakan pekerjaan harian anda.
Maka petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang harus diamalkan adalah untuk makan 3 kali hidangan makanan yang bersaiz kecil atau sederhana. Jangan mengambil sesuatu hidangan makanan dalam kuantiti yang besar dan banyak. Jika perlu, anda juga boleh untuk menambah waktu pengambilan snek dalam pemakanan harian anda.
Berikut adalah panduan waktu pemakanan yang dicadangkan untuk diikuti:
Disarankan makan pada 3 waktu makan utama iaitu :
Sarapan pagi antara jam 6.30 pagi hingga 8.00 pagi
Makan tengah hari antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 petang
Makan malam antara jam 6.30 petang hingga 7.00 malam
Waktu untuk mengambil makanan snek, ambilnya di antara waktu makan utama:
Minum pagi antara jam 10.30 pagi hingga 11.00 pagi
Minum petang antara jam 4.00 petang hingga 4.30 petang
Minum malam antara jam 10.00 malam hingga 10.30 malam
Cuba makan pada masa yang sama setiap hari dan pada jumlah yang sama setiap kali. Ini dapat membantu tahap gula dalam darah anda kekal stabil. Cara ini boleh dianggap sebagai petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh diamalkan.
Berikut adalah beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan, seperti semua jenis gula, minuman berkarbonat, kordial, sirap, jem, kaya,kuih manis, aiskrim, susu pekat manis, yogurt manis, buah dalam tin, jeli dan lain-lain.
Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh diambil tetapi perlu dikawal kuantiti pengambilannya seperti bijirin, nasi, roti, biskut, kuih yang tidak manis, semua jenis pasta dan mi, capati, roti canai, tosai, semua jenis ubi, kekacang, susu dan buah-buahan.
3. Aktiviti fizikal
Siapa kata wanita mengandung tidak perlu melakukan sebarang aktiviti fizikal atau bersenam? Risau senaman akan mendatangkan mudarat kepada kandungan? Itu pastinya mitos yang terlalu karut untuk dipercayai. Ini kerana individu wanita yang hamil juga perlu untuk melakukan aktiviti fizikal untuk mengekalkan tahap kesihatan pada paras yang terbaik. Doktor mungkin mengggalakkan supaya anda menambah senaman kepada rutin mingguan anda, kerana ia adalah baik untuk anda dan bayi.
Senaman pastinya merupakan satu aktiviti fizikal yang dapat membantu menurunkan tahap gula dalam darah dengan berfungsi mengangkut gula ke sel untuk digunakan sebagai sumber tenaga. Mengamalkan senaman juga dapat meningkatkan kepekaan terhadap insulin, yang bermakna badan tidak memerlukan insulin untuk membantu membawa gula ke sel-sel badan.
Senaman juga pastinya dapat membantu mengurangkan rasa ketidakselesaan semasa kehamilan seperti sakit belakang, kekejangan dan lain-lain. Bersenam semasa hamil adalah tidak salah, tetapi apa yang perlu diutamakan adalah ibu yang mengandung perlu memilih senaman yang bersesuaian dengan keadaan fizikal semasa. Senaman ringan dan mudah seperti berjalan kaki, aerobik, berbasikal dan berenang adalah antara aktiviti fizikal yang digalakkan untuk dicuba. Lakukan aktiviti fizikal ini secara tetap dan teratur selama 15 sehingga 30 minit setiap hari. Ini bukan sahaja petua hilangkan kencing manis ketika mengandung, sebaliknya ia juga dalam masa yang sama membantu menjaga tahap kesihatan anda.
Ini akan membantu badan anda menggunakan insulin dengan lebih baik, dan membantu mengawal paras gula darah. Anda juga boleh bertanya kepada doktor anda mengenai senaman yang bersesuaian untuk dicuba serta dan kekerapan senaman yang boleh dilakukan oleh wanita hamil.
4. Pantau tahap gula dalam darah
Selain petua hilangkan kencing manis ketika mengandung dengan mengubah diet pengambilan makanan seharian, antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang perlu untuk dilakukan setiap hari adalah untuk memeriksa dan memantau paras gula dalam darah sentiasa dalam keadaan terkawal. Anda perlu menguji tahap gula dalam darah anda secara teratur, sebelum makan dan antara 1 atau 2 jam selepas pengambilan sebarang hidangan makanan utama.
Anda boleh melakukan pemeriksaan tahap gula dalam darah di rumah dengan mendapatkan alat pengukur meter glukosa darah yang boleh digunakan di rumah dan pastinya ia akan membantu anda untuk memudahkan kerja pemantauan paras gula dalam darah anda. Namun, sekiranya anda tidak mempunyai alat pengukur meter glukosa darah, doktor mungkin akan mencadangkan anda untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik.
Terdapat juga sesetengah individu wanita hamil memerlukan rawatan insulin. Kira-kira 15% wanita mengandung yang menghidap kencing manis memerlukan insulin untuk mencapai tahap glukosa darah secara berterusan. Insulin adalah hormon yang digunakan untuk merawat diabetes dengan mengawal gula dalam darah. Jika diet dan senaman tidak cukup untuk mengimbangi gula dalam darah, wanita hamil akan disuntik dengan insulin supaya jumlah glukosa dalam darah kembali ke tahap yang selamat. Bagi sesetengah wanita, jenis ubat-ubatan seperti glyburide juga merupakan pilihan.
5. Pengambilan vitamin C dan D
Antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung adalah dengan memperbanyakkan pengambilan vitamin C dan D. Kekurangan vitamin c dikatakan mempunyai hubungan kait secara langsung dengan masalah kesihatan kencing manis semasa hamil. Terdapat kajian yang dilakukan kepada wanita yang hamil, menunjukkan bahawa individu wanita yang menghidap penyakit kencing manis semasa tempoh kehamilan dan memperbanyakkan pengambilan vitamin C secara tetap akan kurang untuk berdepan risiko mengalami diabetes jenis 2.
Vitamin D pula merupakan nutrien penting yang diperlukan dalam beberapa proses dan fungsi dalam badan kita. Penyerapan vitamin dan nutrien yang penting seperti kalsium, besi, magnesium, dan fosfat dapat dilakukan dengan memaksimumkan penyerapan nutrien makanan yang kaya dengan vitamin D.
Penjagaan Kesihatan
Hamil bermakna bahawa ia bukan mengenai anda sahaja lagi. Mulai sekarang, keselamatan bayi dalam kandungan anda harus diberi keutamaan dari apa jua keputusan yang anda buat. Oleh itu, ikuti gaya hidup yang sihat, lakukan senaman dan pantau paras glukosa darah anda adalah apa yang harus anda tumpukan semasa anda mengandung.
Mengalami GDM ketika hamil membuatkan anda cenderung untuk mengembangkan diabetes jenis 2, tetapi ia tidak semestinya akan berlaku. Apa yang penting anda perlu menjaga tahap kesihatan anda dengan lebih baik sekiranya anda dikesan mengalami masalah kencing manis ketika sedang hamil. Jangan lupa untuk mengamalkan dan mengikuti petua hilangkan kencing manis ketika mengandung!
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru-baru ini selepas Tomok berkongsi berita gembira yang dia dan isteri, Ayu Abas bakal menimang seorang lagi cahaya mata ketiga tahun 2020 ramai peminatnya yang teruja dan gembira.
Akhirnya penantian yang ditunggu oleh mereka sekeluarga dimakbulkan Allah. Memandangkan Tomok dah mempunya dua anak lelaki, kali ini ramai yang mengharapkan bayi perempuan sebagai teman untuk Ayu Abas.
Bagaimanapun Tomok memberitahu bahawa dia tidak kisah akan status jantina anak ketiganya yang bakal lahir kelak pada tahun depan.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail, 35, itu berkata, jika diberikan keizinan-Nya, sudah pasti kedatangan bayi perempuan lebih menyerikan kehidupan mereka sekeluarga.
“Kalau ikutkan isteri memang dia teringin nak anak perempuan. Kalau tanya saya, saya tak kisah pun lelaki atau perempuan. Cumanya, kalau dapat anak perempuan, orang kata bertambahlah penyeri.
“Kami pun masih tak tahu lagi status jantina bayi. Insya-Allah hujung bulan akan lakukan pemeriksaan bersama doktor,” katanya kepada Gempak.
Menurut Tomok lagi, dia dan isteri belum lagi membuat sebarang persiapan bagi menyambut kelahiran bayi.
“Kami belum buat persiapan untuk beli barang bayi lagi. Masih awal.
“Cuma, memang teruja nak ada bayi lagi. Maklumlah jarak dengan anak kedua empat tahun. Lama dah tak ada bayi,” katanya.
Tomok mendirikan rumah tangga bersama Rahayu Abbas pada tahun 2011 dan dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki, Arrianshah Akid, 7 dan Andrashah Iman, 4.
Bukan mudah untuk menjaga dan mendidik anak yang ramai. Ilmu keibubapaan haruslah kuat. Malah kesabaran harus juga tinggi bagi membolehkan anak-anak terjaga dengan baik malah diberikan perhatian sama adil.
Pengacara Tanya Doktor, Dr Say Shazril berdepan kebimbangan apabila bakal menyambut anak keduanya tidak lama lagi. Berkongsi kisahnya yang pancit ketika bermain bersama anak sulungnya, Ace membuatkan kebimbangannya semakin ketara untuk memperuntukkan waktu bersama kedua-dua anaknya kelak.
Kata Dr Say, pengalaman yang dilaluinya membuatkan dia begitu mengagumi ibu bapa yang mempunyai anak ramai.
“Respect to parents beranak ramai. Semalam saya pi mall, pastu saya nampak ada family anaknya 4, ada tu anaknya 6. Terus dalam kepala saya fikir “macam mana diorang manage anak ramai macam ni doe?”.
“Pastu saya balik rumah, saya disambut Ace yang terus tarik tangan saya sambil dia cakap “outshide, outshide” yakni ajak main kat luar.
“Main 30 minit, saya pancit dah. Sekejap Ace mintak dukung, sekejap Ace berlari kencang, sekejap Ace buat aksi-aksi bahaya. Baru anak sorang saya dah ketibas, pecekang (peluh celah kangkang) inikan kalau anak lebih dari sorang,” kongsinya.
Malah kata Dr Say lagi, dia begitu mengagumi kaum ibu termasuk isterinya yang selama ini memperuntukkan sebahagian waktu bersama anak kecil.
“Bini habis kerja saya bagitau bini, “pancit gila hun jaga Ace arini”. Dia tanya “berapa lama u main ngan Ace?”. Saya cerita “30 minit, tapi rasa macam 3 jam!”.
“Berdekah-dekah bini gelak, sambungnya “tu baru main dengan dia ubby, i bagi dia makan, i tidurkan dia, i main dengan dia, at the same time i mengandung anak kedua ni dah rasa macam mana?”. Terduduk saya dibuat dekahan & sindiran bini, tapi ada betulnya sebab terus terang saya cerita boleh kira berapa suap je saya pernah bagi Ace makan dalam hidupnya. Tidurkan Ace ada la dalam sekali.
“Bukan saya takmau tolong bini bagi anak makan, bagi anak tidur, tapi taktau kenapa saya restless sikit jaga anak lama-lama ni. Kalau hantar sekolah, amik sekolah, bawak jalan-jalan dalam kereta tu saya no hal tapi tang berkejar-kejar untuk bagi dia makan, tang layan dia golek sana golek sini tunggu dia tidur tu saya berat sikit ahaha,” kata Dr Say berkongsi kisahnya.
Disamping itu, doktor yang ramah tamah ini juga turut meminta pengikutnya di Instagram berkongsi pengalaman mereka dan tip mendidik anak ramai.
“Adakah ini normal nature seorang lelaki atau saya ja yang manja? Second child coming soon. Bini dah dok “tak sabar nak tunggu kehadiran anak kedua” saya dalam hati “chill dulu, daku belum bersedia”.
“Share sikit tips wahai parents out there. Adakah saya akan bersedia bila tiba masanya atau ade “crash course on parenting for more than one child” atau ada buku “Parenting For More Than One Child For Dummies” ke?” kongsinya.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semakin ramai pasangan berkahwin kini cenderung memilih gaya hidup 'childfree', iaitu tidak mahu mempunyai anak. Trend ini dilihat membimbangkan.Walaupun keputusan ini dilihat sebagai hak...