Membuat persediaan menyambut lebaran pastinya menjadi lebih bermakna bagi ibu hamil disebabkan keterujaan menanti kehadiran orang baru. Terutama mereka yang tinggal berjauhan dengan keluarga pastinya perasaan tidak sabar untuk pulang berhari raya di kampung semakin terasa.
Namun begitu, kaum ibu perlu beringat yang mereka sedang mengandung dan tidak boleh berjalan jauh terutama wanita yang sedang menunggu hari atau sudah melepasi usia kandungan 36 minggu.
Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Wan Norizah Wan Musa secara umumnya ibu hamil yang tidak mempunyai sebarang komplikasi serius boleh memulakan perjalanan jauh sama ada darat atau udara ketika trimester kedua iaitu pada usia kandungan 13 hingga 28 minggu.
“Namun jika kandungan sudah memasuki 36 minggu atau lebih, mereka tidak digalakkan pulang ke kampung kerana dalam tempoh ini mereka sudah boleh melahirkan bayi pada bila-bila masa sahaja. Ini kerana menurut kajian sebanyak 70 hingga 80 peratus wanita melahirkan bayi pada usia kandungan 36 minggu,” katanya.
Selain berada pada trimester ketiga, terdapat juga golongan yang tidak digalakkan menempuh perjalanan yang panjang terutama jika melebihi lima hingga enam jam ke atas antaranya:
1. Ibu yang mempunyai darah tinggi yang tidak terkawal.
2. Mempunyai masalah jantung. Kesesakan jalan raya akan menyebabkan aliran darah menjadi tidak stabil dan jantung mengepam lebih cepat.
3. Masalah plasenta previa atau uri di bawah menyebabkan pendarahan berlaku pada bila-bila masa.
4. Sejarah kelahiran pramatang. Mereka yang mempunyai sejarah kelahiran pramatang dan kelahiran kembar turut berdepan komplikasi kelahiran yang tidak dijangka. Jadi golongan ini tidak digalakkan pulang ke kampung.
5. Ibu hamil yang mempunyai masalah praeklampsia (tekanan darah tinggi ketika hamil) atau hampir sawan.
6. Ibu hamil yang pecah air ketuban awal boleh menyebabkan kelahiran pramatang.
Dr Norizah turut menjelaskan, bonggol dan jalan raya yang tidak rata atau bengkang-bengkok tidak menyebabkan kelahiran menjadi lebih cepat. Ini kerana bayi berada selamat di dalam rahim ibu kerana dilindungi air ketuban.
“Ada sesetengah ibu berpendapat bonggol atau jalan yang tidak rata menyebabkan kelahiran menjadi lebih cepat. Sebenarnya ia langsung tiada kaitan. Proses kelahiran sebenarnya disebabkan oleh faktor badan ibu itu sendiri,” katanya.
AWASI SEBARANG TANDA KELAHIRAN
Ketika dalam perjalanan, ibu hamil harus peka terhadap sebarang tanda kelahiran dan membawa isteri segera ke klinik kesihatan atau hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut sekiranya keluar tanda seperti:
1. Pendarahan dari vagina. Sama ada sedikit atau banyak.
2. Kontraksi atau sakit perut yang berlarutan atau kerap.
3. Pecah air ketuban.
4. Tanda-tanda praeklampsia seperti sakit kepala berterusan, kabur penglihatan secara tiba-tiba, sesak nafas, bengkak kaki dan tangan.
5. Muntah-muntah dan cirit-birit yang teruk.
6. Sakit atau lenguh pada kaki terutama di kawasan betis, bengkak dan panas serta kemerahan kerana ia adalah anda-tanda pembekuan darah pada salur darah.
7. Pergerakan janin yang tidak aktif.
Untuk itu, perkara paling utama bagi yang ingin memulakan perjalanan jauh adalah berbincang dengan doktor terlebih dulu dan menjalani pemeriksaan kandungan bagi memastikan ibu dan bayi dalam keadaan sihat.
Pastikan juga ibu membawa buku rawatan kehamilan sama ada dari klinik kesihatan atau swasta ke mana sahaja dia berada terutama bagi yang sudah hampir tarikh bersalin. Sediakan juga ubat-ubatan, vitamin dan kit kecemasan di dalam beg sebagai persiapan sepanjang tempoh perjalanan.
“Paling penting adalah menyediakan kelengkapan ibu dan anak ketika bersalin dan proses berpantang. Ini bagi memastikan ibu bersedia sekiranya risiko kelahiran awal berlaku,” katanya.
Di pihak suami pula, mereka boleh mengenal pasti lokasi klinik kesihatan dan hospital terdekat di sepanjang perjalanan agar memudahkan urusan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Pastikan juga laluan sama ada ingin menempuh lebuh raya atau jalan biasa. Kira juga sekiranya berlaku kesesakan jalan raya yang teruk berapa lama anda perlu berada di dalam kereta.
“Bagi saya perjalanan paling selamat wajar diutamakan. Sebagai contoh menggunakan lebuh raya adalah lebih baik berbanding jalan biasa walaupun ia lebih jauh sedikit. Begitu juga menaiki kenderaan sendiri adalah lebih baik berbanding kenderaan awam.
Ini kerana anda tidak berupaya bergerak bebas kerana tempat duduk yang disediakan agak sempit. Keadaan ini tentunya kurang selesa, apatah lagi kebanyakan bas berhenti sekali sahaja sepanjang perjalanan bagi membolehkan penumpang berehat,” jelasnya.
Pakai tali pinggang keledar dengan betul iaitu dengan meletakkan tali pinggang di bawah perut. Ini bagi mengelak memberikan tekanan terhadap kandungan anda akibat tali yang ketat.
Bagi wanita yang sudah memasuki trimester ketiga, menaiki pesawat dianggap tidak selamat disebabkan faktor logistik. Apatah lagi, kebanyakan pesawat tidak dilengkapi peralatan khusus untuk menyambut kelahiran bayi. Keadaan akan bertambah buruk seandainya berlaku komplikasi atau kecemasan ketika di udara.
“Bagi yang masih berkeinginan menaiki kapal terbang, anda perlu mendapatkan surat rujukan doktor yang menyatakan kandungan anda sihat dan sesuai untuk melalui perjalanan itu. Bagi memudahkan pergerakan, anda dinasihatkan memohon tempat duduk berdekatan laluan dan bukannya di tepi tingkap,” katanya.
KETIKA DALAM PERJALANAN
1. Sekiranya anda tidak berpuasa, pastikan minum air mencukupi. Ini kerana perjalanan jauh amat memenatkan jadi pengambilan air yang banyak boleh mengelak dehidrasi.
2. Sentiasa melakukan regangan kaki dan tangan ketika di dalam kenderaan bagi membantu pengaliran darah lebih lancar.
3. Berehat setiap dua jam selepas menempuh perjalanan jauh. Guna masa rehat ini untuk bangun dari kereta, berjalan dan meregangkan badan supaya aliran darah terutama pada kaki berjalan lancar.
4. Pakai pakaian longgar dan selesa ketika dalam kenderaan. Begitu juga dengan kasut bagi mengelak kaki bengkak.
Persediaan beraya ibu hamil
5. Elakkan menempuh perjalanan ketika kesesakan jalan raya. Pilih waktu sesuai bertolak. Biar lambat asal selamat.
6. Minum banyak air dan makan makanan berkhasiat sekiranya anda tidak berpuasa untuk mendapatkan tenaga.
Saksikan rancangan TV Pa&Ma Episod 13 dengan topik Ibu Hamil Beraya, Selasa ini jam 12 tengah hari dan ulanganya 9 malam di Astro Prima & Prima HD.
Kandungan gugur tapi ujian air kencing tetap positif & ujian darah menunjukkan hormon beta hCG terus meningkat. Rupa-rupanya masih ada satu janin di tiub fallopian!
Perkongsian Puan Waheeda dalam rancangan TV Pa&Ma episod 5 yang bertajuk ‘Komplikasi Awal Kehamilan’ ini ajaib dan jarang berlaku. Dia yang telah mengalami 2 kali keguguran sebelum ini tidak menyangka selepas keluarnya kantung dan dua janin, masih ada janin di tiub fallopian kirinya.
SPOTTING KEKUNINGAN BEBERAPA TITIK
Ujian air kencing yang dilakukan sendiri di rumah menunjukkan keputusan positif walau pun tarikh kedatangan haid seterusnya lagi enam hari. Namun selepas beberapa hari selepas tarikh sepatutnya haid, dia mendapati ada beberapa tompok spotting kekuningan sebanyak beberapa titik. Ketika pemeriksaan doktor, kantung bayi masih belum dapat dikesan.
“Tompok spotting terhenti selama kira-kira 5 hari dan kembali. Kali ini tompokannya kuning bercampur coklat pula dan tompoknya semakin membesar sebesar syiling 50sen. Berdasarkan pengalaman saya sebelum, ini tanda-tanda awal keguguran. Saya mendapatkan rawatan dan doktor berikan ubat Duphaston untuk menguatkan rahim. Tapi yang pelik selepas ambil Duphaston, spotting makin banyak,” kata Waheeda.
TOMPOK KUNING BERTUKAR COKLAT KEHITAMAN
Wanita ini mula risaukan kandungannya apabila tompokan kuning coklat kini bertukar coklat kehitaman bertekstur kental seakan-akan jeli. Doktor yang merawat memberitahu ini adalah tanda-tanda keguguran. Doktor juga bertindak memeriksa pintu rahim dan mendapati ia tertutup menunjukkan ia bukan tanda keguguran.
Ads
RAHIM KOSONG TAPI UPT POSITIF
“Ujian imbasan pada kandungan 5 minggu menunjukkan rahim kosong. Saya tetap memantau dengan membuat ujian air kencing (Urine Pregnancy Test-UPT) untuk memeriksa kandungan. Tetapi apa yang dimusykilkan walau pun kantung tidak nampak, ujian air kencing semakin terang dua garisannya. Tetapi keesokannya semakin pudar. Ini menyebabkan saya dan suami jumpa doktor lain sebagai second opinion,” kata Waheeda.
Wanita yang sudah melalui 3 kali rawatan kesuburan Intra Uterine Insemination (IUI) akhirnya diminta membuat ujian darah untuk memantau hormon beta hCG dengan lebih tepat. Keputusannya ialah 168 iaitu sangat rendah bagi kandungan berusia 6 minggu. Doktor ini juga mengatakan ia adalah tanda-tanda keguguran.
DOKTOR TERANGKAN 3 KEMUNGKINAN
Ini menyebabkan Waheeda ke Early Pregnancy Assessment Unit (EPAU) hospital. Kali ini doktor melakukan ujian dan imbasan dan imbasan transvaginal, kedua-duanya tidak menampakkan janin. “Ketika itu saya tidak rasa sakit. Pendarahan pula masih spotting dan saya diminta datang keesokannya. Sebelum pulang, doktor beritahu ada 3 kemungkinan sama ada ini adalah tanda awal keguguran, kehamilan luar rahim (ektopik) dan tanda awal kehamilan. Doktor juga turut memberitahu kebahayaan kehamilan luar rahim yang boleh membahayakan nyawa. Tiub Fallopian boleh pecah dan menyebabkan pendarahan. Kalau perlu pembedahan perlu dilakukan,” kata wanita berusia 36 tahun ini.
Ads
SATU KANTUNG DUA JANIN KELUAR
Namun 2 pagi keesokannya perut Waheeda memulas, dia alami kesakitan yang teramat sangat pada abdomen menyebabkan tidak boleh berdiri dengan baik. Dirasakan ada ‘ketulan’ keluar, apabila diperiksa ialah satu kantung dan dua ketulan daging kecil seperti janin.
PARAS HORMON BETA HCG TERUS MENINGKAT
Tanpa berlengah, Waheeda dan suami ke hospital. “Ketika di hospital, doktor membuat imbasan dan mendapati rahim saya kosong. Namun ketika itu paras beta hCG meningkat daripada 148 ke 276. Saya risau adakah saya masih hamil dan paling membimbangkan saya telah bertungku dan sebagainya. Jadi doktor kata nak pantau. Tak sangka dalam masa 72 jam ia meningkat ke 449.7. Ini menimbulkan tanda tanya dab ia terus meningkat ke 741 ke 963.
Ads
LAPOROSKOPI UNTUK MENENTUKAN KEDUDUKAN JANIN
“Pada ketika ini, keluar setompok cecair coklat kehitaman. Bagi mengesahkan doktor melakukan laporoskopi untuk mengenalpasti kedudukan kandungan. Dan ternyata ia berada di tiub fallopian kanan. Saya serta merta diarahkan berpuasa untuk prosedur pembedahan.
SAKIT BILA MEMGIRING KE KANAN
“Sedang saya berpuasa, saya rasa sakit apabila mengiring ke kanan. Saya ingatkan ia adalah rasa lapar sebab berpuasa tapi ia datang bersama pendarahan. Terus saya ditolak ke bilik pembedahan. Rupanya-rupanya tiub Fallopian sebelah kanan lebam & pecah dan sebanyak 50cc darah sudah mengalir ke bahagian usus.
BAYI TIDAK AKTIF TAPI KANTUNG MAKIN MEMBESAR
Menurut doktor, bayi tidak aktif tetapi kantung makin membesar. Mungkin ketika saya sakit itu tiub Fallopian pecah. Tapi doktor kata tiub sebelah kiri masih elok, jadi saya berpeluang untuk hamil lagi. Sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut dan mengikuti kisah ibu-ibu lain yang mengalami komplikasi ketika awal kehamilan, ikuti siaran ulangan Pa&Ma 9 malam ini di Astro Prima & Astro Prima HD.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sejak kecil lagi malah sejak berada di dalam kandungan lagi, anak sudah boleh dirangsang untuk menjadi lebih baik. Nak tahu apa tipnya?
Tip yang dikongsikan oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad wajib ibu ayah praktikkan sejak di dalam kandungan lagi. Cuba amalkan ni!
TIP UNTUK ANAK SIHAT DAN BIJAK SEJAK DALAM RAHIM
Pendidikan anak-anak seharusnya bermula ketika mereka masih di dalam rahim. Oleh itu jika kita inginkan anak yang bijak seharusnya dimulai pendidikan seawal seorang ibu disahkan hamil.
Pendidikan di awal kehamilan bukan saja membentuk kerangka fizikal otak mereka tetapi membentuk jiwa dan spiritual mereka yang mantap.
Dalam satu artikel yang bertajuk “Proses Kejadian Janin dan Peniupan Roh” oleh Ustaz Abu Anas Madani menyatakan bahawa “Yang sahihnya roh akan ditiupkan selepas 40 hari pertama dari umur janin bukan sebelumnya dengan yakin.”
Ini bersesuaian dengan mana-mana kajian saintifik bahawa pergerakan jantung (tanda bayi bernyawa) bermula seawal enam minggu selepas disenyawakan.
Jadi pendidikan juga harus berumur sebaik saja bayi ditiupkan roh (mula bernyawa).
Apakah pendidikan yang harus diberikan pada tahap ini? Ibu dan ayah harus banyak berkomunikasi secara baik sesama sendiri dan bersama ‘anak dalam rahim’.
Pertama, ia harus dimulakan dengan pemberian nama yang baik untuk anak. Pemberian nama yang baik ibarat doa dari ibubapa. Nama yang baik (setelah mendapat nasihat dari ibubapa dan agamawan), harus difikirkan sebaik si ibu hamil. Pertimbangkan beberapa nama. Pilihlah yang sesuai.
Kedua, sering berkomunikasi dengan anak dengan bercakap-cakap sambil mengusap perut. Kata-kata yang baik, nada yang lembut disertai dengan perbuatan berkasih sayang, seperti gerakan mengusap akan memberikan isyarat bahawa ibubapa sangat menyayangi anak dalam rahim.
Gunakan bahasa yang indah, nada yang lembut dan usapan kasih sayang. Biar anak dalam rahim tahu ibubapa mereka menyayanginya.
Ketiga, bagi si ayah yang mungkin sibuk bekerja atau tidak berada di sisi ibu yang hamil, boleh cuba bercakap dengan anak dalam rahim juga.
Cuba bercakap melalui telefon dan si ibu merapatkan telefon tersebut dekat dengan abdomen. Biarkan seolah-olah si ayah berada di sisi dan bercakap dengan anaknya. Getaran suara si ayah akan sampai kepada anak dalam rahim.
Keempat, banyakkan mendengar bacaan Al-Quran. Sama ada dengan membaca sendiri atau mendengarnya dari siaran yang dirakam di komputer, radio atau di kereta. Ini akan memberikan ketenangan pada anak dan si ibu.
Si ayah juga boleh membacakan ayat-ayat Al-Quran ketika solat berjemaah dengan si ibu. Atau membaca bersama-sama dengan si ibu pada bila-bila masa.
Kelima, wujudkan suasana harmoni dalam keluarga. Jauhi pertengkaran. Kawal emosi ketika marah. Jangan naikkan nada suara jika keadaan tidak perlu.
Keenam, makan makanan yang bernutrisi. Makanan yang bernutrisi adalah makanan yang memenuhi keperluan ibu dan anak. Ini akan membina kerangka otak yang sihat di samping mampu memahami pendidikan yang diberikan dengan lebih baik.
Jaga pemakanan waktu hamil Jadi dalam tempoh kehamilan, harus meningkatkan pengambilan makanan yang sihat dan seimbang.
Pastikan dapat makanan yang ada karbohidrat kompleks (yang tidak berproses) seperti sayur-sayuran, protein yang sihat seperti ikan, daging, susu dan dapatkan juga minyak atau lemak sihat seperti avokado, minyak zaitun dan buah zaitun itu sendiri yang mengandungi antioksida yang banyak dan unsaturated fatty acid.
Cuba amal kekacang seperti buah badam, kacang kuda yang direbus, almond dan banyak lagi jenis kekacang sebagai makanan ringan untuk kudapan.
Elakkan makanan berproses yang banyak pewarna,perasa dan pengawet. Minum air secukupnya.
Jika mahukan sesuatu yang manis, dapatkannya secara segar dan natural seperti potongan buah-buahan, madu, gula kabong dan jus yang diperah segar.
Pastikan juga apa yang kita makan dan minum adalah sesuatu yang halal, toiyyib dan tidak membazir.
Minum air kosong secukupnya bagi meningkatkan daya tahan dan tahan. Air sangat penting untuk menjana tenaga yang banyak diperlukan.
Bila masuk pertengahan usia kehamilan, boleh ambil minyak zaitun, kurma atau delima bagi memudahkan proses kelahiran. Jangan lupa berdoa kerana Allah yang akan permudahkan segala urusan kita.
Dalam bekerja dan menguruskan rumah tangga, tanpa sedar seseorang wanita itu cenderung unuk menghadapi stres. Stres bukan sekadar keletihan badan, tetapi lebih kepada mental emosi. Sebenarnya stres boleh mengganggu tahap kesuburan seseorang wanita. Kebanyakan wanita yang bekerja dalam profesion yang banyak memerlukan berfikir, selalunya akan berdepan dengan tekanan.
Melalui penulisannya di blog, Dr Zubaidi Hj Ahmad berkongsi kisahnya bersama pesakit yang tidak datang haid selama tiga bulan, tetapi bukan kerana mengandung. Menurut pesakit tersebut, dia mengalami tekanan kerja serta desakan dari ibu mertuanya yang meminta dia segara hamil.
Menurut Dr Zubaidi lagi, ramai yang tidak menyangka tekanan emosi dan fizikal ketika bekerja dapat mempengaruhi kesuburan seseorang. Keletihan kerana bekerja selama 10-12 jam dan tekanan dari ketua dan perlu menguruskan rumah tangga menyebabkan wanita sangat letih. Keupayaan tubuh dan minda berbeza antara satu sama lain. Mungkin sesetengah wanita boleh hadapi tekanan dengan baik, tetapi ada yang tidak.
Dalam otak manusia, terdapat satu kelenjar besar yang dinamakan sebagai hypothalamus. Ia berfungsi untuk mengawal emosi, selera makan dan mengeluarkan hormon FSH dan LH yang merangsang pengeluaran ovum dari ovari. Oleh kerana fungsinya saling berhubungan antara satu sama lain, gangguan emosi akan mempengaruhi pengeluaran hormon FSH dan LH lalu mempengaruhi sama ada kitaran haid pada masa ini mengalami ovulasi atau tidak.
Tahap stres yang keterlaluan pada seorang wanita akan menyebabkan hormon tidak dikeluarkan dengan baik dan seterusnya gagal mengeluarkan telur dari ovari. keadaan ini dinamakan sebagai stress-induced anovulation.
Jika kitaran haid kali itu tidak mengalami ovulasi, bermakna tiada ovam dikeluarka dan tidak dapat disenyawakan. Ini bermakna kehamilan adalah mustahil. Selain itu stres juga akan mengganggu emosi pasangan, sam ada lelaki atau perempuan.
Emosi yang terganggu akan menyebabkan kurang minat terhadap seks atau mengurangkan keinginan untuk ‘bersama’ yang mungkin mengganggu kebarangkalian untuk hamil.
Bagi lelaki yang mengalami stres pula boleh menyebabkan mereka ‘mati pucuk sementara’ (temporary ercetile dysfunction).
Stres dibahagikan kepada dua jenis:
1. Stres yang datang secara tiba-tiba (acute stress)
2. Stres yang selalu berlaku (chronic stress)
Untuk stres yang kronik, selalunya tubuh sudah terbiasa dan lali dnegan keadaan itu. Sebagai contoh, wanita bekerja dengan pelanggan dan sudah biasa dengan kesibukan dan menerima stres itu, maka tubuhnya tidak menghadapi masalah untuk ovulasi (mengeluarkan telur dari ovari). Namun jika stress berlaku secara tiba-tiba seperti berlaku kematian dalam keluarga, gangguan emosi yang serius seperti ini boleh menyebabkan kitaran haid yang tidak menentu dan ovari tidak mengeluarkan telur.
Untuk mengetahui tahap stres yang dialami terlalu berat, lendiran yang keluar hanya sedikit dan beberapa hari sahaja. Berbeza dengan wanita yang bebas stres atau kurang stres, menjelang waktu ovulasi akan mengalami lendiran jernih keluar dari faraj dan banyak. Jika haid lewat beberapa hari tiada masalah kerana hanya akan mengganggu sedikit pengeluaran hormon (dan tidak menyebabkan ketidaksuburan).
Bolehlah buat hubungan seks bersama suami seperti biasa. Tetapi sekiranya kitaran haid terhenti selama beberapa bulan, pemeriksaan lengkap harus dilakukan. Lakukan pemeriksaan dengan doktor dan elakkan membeli produk kesuburan yang kononnya boleh membantu kehamilan.
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.