Bagi ibu hamil yang ingin berpuasa ketika di bulan Ramadan, pastikan anda bersahur serta mengamalkan pemakanan yang sihat ketika berbuka. Ini bagi memastikan anda dan kandungan berada dalam keadaan baik.
Ibu yang hamil ketika bulan Ramadan hendaklah berwaspada akan tahap kesihatan mereka dan juga anak yang mereka kandungkan. Ini kerana ada beberapa tabiat atau kebiasaan yang anda lakukan perlu dielakkan sepanjang tempoh kehamilan termasuk di bulan Ramadan.
Bertuah ibu yang hamil dalam bulan Ramadan kerana hamil pada bulan yang penuh dengan kelebihannnya. Ianya kesempatan yang amat baik mendidik anak dari dalam kandungan untuk mengenal penciptaNya.
Maka, tidak hairanlah, meskipun sedang hamil atau menyusukan bayi, dalam masa yang sama ibu-ibu tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa. Mereka ingin meraih keistimewaan Ramadan untuk membanyakkan ibadah seperti membaca al-Quran, solat tarawih, iktikaf dan memburu malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.
Justeru, pelbagai alasan diberikan sekalipun mereka diberikan rukhsah (keringanan), diperboleh meninggalkan puasa sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Menurut mazhab Syafie, wanita hamil dan menyusui bayi apabila khuatir mengalami bahaya maka mereka wajib berbuka, tidak perlu berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah menggantikan (Qada’) puasanya kelak.
Rata-rata alasan yang diberikan ibu-ibu, mereka berupaya untuk melaksanakan tuntutan berpuasa . Ada juga yang menyatakan, mereka enggan menggantikan puasa pada waktu lain, kerana tiada teman untuk berpuasa sama. Pendek kata, mereka ingin mengambil peluang berpuasa penuh tanpa adanya halangan haid jika di luar kehamilan.
Namun, ada juga ibu-ibu yang berdegil untuk tetap berpuasa dan nekad untuk tidak berbuka sekalipun sudah menunjukkan gejala hipoglisemia/kekurangan gula dalam darah seperti pening, loya, gementar dan pitam atau pengsan.
Mereka menangguhkan masa untuk berbuka “Tunggulah setengah jam lagi.” Betapa besarnya berpuasa sebulan penuh bagi mereka. Hal yang demikian sepatutnya tidak berlaku kerana ibu perlu mengambil kira keadaan bayi ketika ini, apabila gejala-gejala kekurangan gula berlaku, akan menimbulkan mudarat pada bayi anda.
KEKAL SIHAT SEPANJANG BULAN RAMADAN
Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan itu sebenarnya sedang membahayakan janin sendiri. Malah, janin juga boleh terkena hipoglisemia, kekurangan zat gula, kalori dan zat makanan/nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya. Kasihanilah anak-anak yang di dalam kandungan. Segala keberkatan tidak bermakna apabila zuriat kita tidak sihat.
Berikut dikongsikan tip mudah bagi ibu-ibu hamil mengekalkan kesihatan unggul semasa hamil dan berpuasa.
Jika anda berpuasa, tentu sekali anda tidak boleh makan sekerap biasa, tetapi anda masih boleh makan lebih daripada dua kali di antara masa berbuka dan sahur. Hidangan makanan yang seimbang dan berkhasiat akan membantu mengekalkan berat badan dan mengelakkan masalah-masalah seperti sembelit, sakit kepala, ketakcernaan, lesu dan pedih ulu hati yang kesemuanya merupakan simptom-simptom biasa semasa hamil.
CARA TERBAIK BAGI WANITA HAMIL BERBUKA PUASA
Tiada pelan makanan khas yang perlu anda ikuti, tetapi anda boleh mencuba tip-tip berikut sebagai cara terbaik untuk berbuka. Mulakan dengan: tiga biji kurma dan jus (bagus untuk menormalkan semula tahap gula yang rendah dalam darah);
*Susu atau yogurt rendah lemak
*Sup jernih
Kemudian, makanlah hidangan seimbang yang mengandungi: sepinggan salad atau ulam-ulaman sebagai hidangan pembuka selera
*Protein daripada ayam, daging atau ikan, kacang pis atau kekacang
*Karbohidrat kompleks daripada nasi beras perang dan roti bijian penuh
dan, banyak sayur-sayuran.
*Elakkan hidangan berlemak tinggi untuk mencegah pertambahan berat, pengambilan makanan kurang berkhasiat dan mengalami ketidakcernaan (indigestion)
MAKANAN YANG ELOK DIAMBIL KETIKA BERSAHUR
Apakah saya perlu makan sahur jika saya berpuasa semasa hamil?
Bersahur sangat penting jika anda berpuasa. Ia akan mengekalkan tahap tenaga anda pada waktu siang. Jangan tinggalkan sahur kerana ia dapat membekalkan anda dengan nutrien-nutrien penting dan tenaga yang anda perlukan untuk kekal cergas pada waktu siang. Ia juga akan mengurangkan simptom-simptom kelaparan seperti sakit kepala dan mengantuk.
Hidangan sahur yang sihat mungkin mengandungi: nasi beras perang dan roti bijian penuh dengan kari
*Bijirin berserat tinggi atau bran dengan susu skim rendah lemak;
dan, buah-buahan termasuk buah kurma dan pisang.
*Elakkan meminum teh semasa sahur kerana ia boleh membuat anda mengalami dehidrasi.
Saya suka minum kopi dan/atau teh selepas berbuka. Bagaimana saya boleh menggantikannya?
*Minumlah jus buah-buahan segar dan bukannya minuman bergas, kopi atau teh.
*Minuman smoothie yang mengandungi susu, yogurt, ais dan buah adalah minuman yang menyegarkan dan membekalkan banyak keperluan buah-buahan harian anda. Sup sayur-sayuran pula membolehkan anda makan sayur-sayuran berbeza dan memberi vitamin, mineral dan serat tambahan dalam diet anda.
Apakah yang perlu saya masukkan dan elakkan dalam diet saya semasa berpuasa?
Untuk mengekalkan kesihatan semasa berpuasa, amalkanlah tip-tip di atas semasa makan, dan Selepas berbuka, berehat seketika, kemudian bangun dan berjalan-jalan. Lakukanlah aktiviti-aktiviti ringan.
Elakkan makan pada lewat malam sebelum tidur, tetapi pastikan anda bangun dan makan sahur. Minum air yg cukup selepas berbuka dan sebelum bersahur untuk mengelakkan dehidrasi
Kepada ibu mengandung yang difikirkan sihat dan boleh berpuasa oleh doktor, selamat berpuasa. Bagi ibu-ibu hamil yang tidak boleh berpuasa atau dalam erti kata lain berpuasa boleh memudaratkan, jangan degil untuk berpuasa.
Sumber: Dr Muhammad Izzat
Artikel berkaitan: Ibu Hamil Jangan Paksa Diri Berpuasa, Doktor Kongsikan Fakta Yang Ibu Perlu Tahu!
Ibu Mengandung Ingin Berpuasa Di Bulan Ramadan, Ini Tip Penting Perlu Ambil Tahu