Difteria adalah jangkitan akut yang menjejaskan sistem pernafasan. Penyusuan susu ibu dan makan madu tidak cukup untuk mengelakkan jangkitannya. Ikuti kisah benar ibu mangsa difteria yang diceritakan oleh Dr Sakinah Sulong.
Difteria disebabkan oleh Corynebacterium diphtheriae. Bakteria yang dijangkiti oleh virus corynebacteriophage akan mengeluarkan toksin difteria. Ia lazimnya menjangkiti tekak (tonsil, farinks, larinks, hidung) dan kadangkala selaput mukus lain, kulit , konjunktiva dan kemaluan.
Dr Sakinah Sulong, Pakar Perubatan Keluarga berkongsi mengenai bekas pesakitnya pada tahun 2017. Ibu kepada pesakitnya, seorang anak kecil kehilangan anak bongsunya itu angkara difteria. Ibu ini juga menyalahkan diriya tidak memberikan suntikan vaksin seperi mana Program Imunisasi Kebangsaan. Ibu ini menyangkakan penyusuan susu ibu dan memberikan anaknya madu sudah memadai untuk menguatkan antibodi melawan pelbagai penyakit.
Semalam, Dr Sakinah berkongsi semula posting yang bertarikh November 2017 di mana pada tahun itu, 32 kes difteria di laporkan di seluruh negara dengan 7 kematian. Ia bertujuan memberikan peringatan kepada semua lantaran kes difteria yang mengakibatkan kematian bayi baru-baru ini akibat ibu bapa tidak membawa anak mereka mendapatkan suntikan vaksin.
Berikut ialah perkongsian oleh Dr Sakinah;
Repost from November 2017,
IKUT IKUTAN
“Kalau la saya ni ibu yang ada baby kecil, apa nasihat yang u bagi pada saya?”
Hati2 saya menuturkan kata2 itu. Bimbang hatinya terusik lagi.
“Saya akan bagitahu, pegilah cucuk anak semua. Ikutlah nasihat nurse kat klinik. Jangan jadi macam saya..” sampai di situ airmatanya tumpah lagi.
Saya peluk dia. Biarlah airmatanya tumpah di tudung yg saya pakai. Agar reda perasaan dalam hati ibu ini.
Dia ibu yg baik, saya rasa. Mahukan yg baik-baik untuk anaknya. Terbaca cerita-cerita vaksin boleh mengakibatkan kesan-kesan yang tak diingini, beliau tidak mengambil vaksin untuk anaknya yang terakhir ini. Dirasakan breastfeeding dan amalan makan madu sudah cukup utk melindungi.
“Dia ok je 2,3 hari sebelum tu, Dr. Main-main kat depan ni. Ada video dia saya ambil. Dia anak yang sihat, jarang sakit”
“Puan, difteria ni penyakit yang serius dan cepat membawa maut. Sebab tu kita gesa ibubapa ambik vaksin, supaya anak-anak tak kena penyakit ni. Kita tak nak, dah kena baru sibuk nak bawa ke hospital sbb masa tu ia mungkin dah terlambat”
HANYA DALAM MASA 6 JAM ANAK KECIL ITU ‘PERGI’
“Sekejap je Dr. Dalam masa 6 jam, saya bawak dia ke klinik, terus kena refer pegi hospital. Hospital swasta pun refer ke hospital kerajaan, dalam masa tu saya nampak dia dah susah bernafas, lehernya macam bengkak”
Saat bercerita, airmatanya tumpah lagi.
Sangat payah untuk dia mengimbau balik peristiwa yang baru sebulan berlalu.
MENINGGAL KERANA PENYAKIT YANG BOLEH DICEGAH MENERUSI VAKSIN
Anak comel itu tidak dapat diselamatkan.
Meninggal slps beberapa hari di ICU. Akibat difteria, penyakit yang mampu dicegah oleh vaksin.
Jujurnya hati saya amat kasihan pada ibu ini. Dia sudah kehilangan.
Tak putus2 dia menyalahkan diri sendiri.
Saya hanya mampu memujuk dan menenangkannya. Kehilangan seorang ibu ini tiada siapa yang dapat mengganti kesedihannya.
“Saya tak nak ibu lain kena macam saya. Sekarabg semua anak-anak buah saya, saya suruh mak mereka cucuk vaksin”
Saya peluk ibu tu lama-lama sebelum meninggalkan rumah beliau. Yang sunyi tanpa anak kecil.
Tak mampu menempelak beliau kerana hanya ikut-ikutan apa yang dibaca dan menolak perkhidmatan kami di klinik sebelumnya.
Hanya dapat berkongsi di sini 🙁
Korang yang bijak pandai, nilaikan lah sendiri.
Jangan hanya cerita yang belum tentu benar, korang menolak nasihat Dr yang kerjanya bertahun2 menjaga kesihatan masyarakat. Hanya kerana percaya ‘ilmuan jadi jadian’ di alam maya.
Usah galak share cerita2 atau info songsang, apatah lagi galak ‘berdebat’ dengan ahli kesihatan, sedangkan korang sedang menghimpun saham membawa kemudharatan.
Kisah benar,
Sumber: Dr Sakinah Sulong, Pakar Perubatan Keluarga, Team Medical Mythbuster
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI