Meroyan? Itu adalah kali pertama saya mendengar kalimah tersebut dan saya tidak sangka ia sangat serius. Apabila berlaku pada isteri baru tahu kesannya jika tidak dirawat dengan baik serta mendapat sokongan suami atau keluarga.
Pengalaman yang dilalui oleh Lutfi Lokman dan isterinya, Najwa Abdul Rahman benar-benar boleh dijadikan peringatan buat wanita dan suami di luar sana.
Ini antara catatan yang ditulis oleh Puan Najwa:
Apa yang saya kongsikan di sini adalah pengalaman saya. Ada yang meroyan bertahun lamanya. Ada yang pulih. Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat membantu mereka yang mengalami masalah sama dengan saya. Anda tidak keseorangan. Kita masih mempunyai harapan. Sinar cahaya masih ada di hadapan. Jangan putus asa.
Meroyan ada banyak jenis. Apa yang Najwa alami sekarang adalah ‘meroyan angin’ dan ‘meroyan darah’.
Najwa tertekan dengan kehidupan, dengan anak menangis, suami tiada di sisi ketika melahirkan anak, sakit buasir ketika pantang, pantang tak boleh makan makanan yang biasa kita makan dan paling utama adalah tertekan dengan orang kata-kata orang yang datang ziarah ketika pantang (sebab Najwa beranak caeser).
Perlahan-lahan Najwa cuba berubah. Sampai bila Najwa nak hidup seperti ini. Pasti di sana ada jalan yang boleh memulihkan diri Najwa. Amalan najwa berubat sekarang ialah baca al-Quran setiap hari (sekurang-kurangnya 10 muka surat ), baca istighfar, baca saidul istighfar (boleh Google) setiap hari dan amalan-amalan lain lagi contoh masuk bilik air baca doa, masuk rumah baca doa dan lain-lain. Najwa juga berubat cara tradisional (seperti minum akar kayu Merbu).
Simptom meroyan yang Najwa alami:
1. Apabila baca al-Quran ada bisikan datang suruh buang al-Quran dalam tandas atau pijak. Astaghfirullah kalau Najwa tak ada asas agama mungkin dah lama tewas. Bila datang bisikan macam tu terus Najwa istighfar banyak-banyak dan cuba sedaya-upaya untuk lawan.
2. Kadang-kadang datang bisikan pasal anak-anak. Suruh buang anak, bagi orang je anak ini, anak ini adalah beban dan mendatangkan malang. Astaghfirullah. Najwa sendiri hairan kenapa aku ni macam ni? Sekali lagi, kalau Najwa tak ada asas agama, tak tahu lah apa dah jadi dengan anak-anak Najwa semua ini. Alhamdulillah, Najwa lawan dan tak ikut apa yang bisikan tu suruh.
3. Bila stres lagilah bertambah bisikan tu dan Najwa tak ada ubat melainkan baca al- Quran dan Azkar (himpunan doa sunnah).
4. Sensitif tidak bertempat. Contohnya, kalau Najwa beli coklat dan anak-anak makan coklat Najwa itu, Najwa akan menangis dengan sungguh-sungguh.
5. Pemikiran tidak stabil. Masa tu di rumah emak. Rumah bawah. Terasa nak bunuh diri dan tamatkan hidup ini. Namun, terfikir juga berdosa apa yang Najwa buat ini dan sakit juga kalau kena batu. Lagi pula, rumah ni atas tanah. Bukan bangunan 40 tingkat. Nak terjun macam mana. Itulah kali pertama dan terakhir datang bisikan seperti itu. Masa itu pula dalam pantang anak kembar. Namun, Alhamdulillah. Asas agama adalah benteng pertahanan diri kita.
6. Rasa putus asa, rasa bersalah, rasa sunyi, rasa letih, selalu menangis, rasa diri tidak berguna, rasa keseorangan, rasa sedih dan murung.
Itulah perkara yang Najwa alami. Semua orang tak nampak. Orang tak percaya. Hanya diri kita sahaja yang tahu. Kepada mereka yang mempunyai simptom di atas, cepat-cepatlah berubat kerana jika terlambat boleh jadi gila. Ada yang terlalu berat sehingga membunuh diri dan orang yang disayangi. Meroyan bukan hanya dalam pantang sahaja ya. Ia boleh berlarutan seumur hidup jika tidak berubat.
Paling penting, sokongan keluarga. Suami yang sentiasa ada di sisi. Suami yang melihat perkara ini dan membantu dalam perubatan. Membantu meringankan isteri. Menguruskan anak-anak. Mengemas rumah. Membasuh baju. Memberikan masa untuk Najwa bersendirian. Membantu ingatkan tentang solat dan bacaan al-Quran. Itu antara faktor penting dalam perubatan dan perubahan diri. Ia kembali kepada minda kita. Kekuatan minda yang diperlukan melalui amalan-amalan yang disebut di atas.
Sumber: Facebook Lutfi Lokman
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI