Anak boleh dididik untuk berdikari dari awal sekiranya mendapat latihan awal daripada ibu bapa. Perkongsian ibu ini menerusi Pa&Ma TV boleh memberikan anda panduan.

Puan Nordianah Bachok telah muncul dalam rancangan TV Pa&Ma episod 6 yang membawa tajuk “Mendidik Anak Berdikari”  di mana beliau berkongsi bagaimana mendidik anak lelakinya,  Nur Muhammad untuk berdikari melakukan tugas-tugas di rumah.

“Mula-mula nak alih perhatiannya dari sibuk nak buka handphone ummi. Harap-harap aktiviti pagi ini jadi sesi rutin yang membentuk nilai dirinya. Itu niat ummi. Waktu bujang, banyak teori dan tip orang pesan nak cari calon suami yang baik.Nampak gaya ummi la yang perlu bermula sekarang. Ada anak lelaki dua orang,” kata Nordianah.

Dia turut menyatakan tentang bagaimana nak lahirkan anak lelaki yang nabi sebut lelaki yang paling bagus macam dalam hadith di bawah ni.

“Orang yang imannya paling sempurna diantara kaum mukminin adalah orang yang paling bagus akhlaknya, dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik akhlaknya terhadap isterinya”.

Hadits Riwayat At Tirmidzi no 1162 dan Ibnu Majah no 1987.

Ibu Kongsi Tips Latih Anak Lelaki Berdikari Dalam Pa&Ma TV. Mama Papa Pun Boleh Tiru!

5 TIPS LATIH ANAK LELAKI BERDIKARI

Apa yang dilakukan Puan Nordianah adalah melazimi anak-anak lelaki dengan membantu kerja-kerja di rumah seperti :

1. Bantu sidai pakaian di jemuran.

Belajar sabar dan tahu proses baju kotor perlu dibasuh kemudian di jemur. Sudah kering perlu dilipat pula. Banyak prosesnya, perlu kekuatan mental dan fizikal.

Waktu ini boleh tanam benih tolong menolong untuk selesaikan isu pakaian yang banyak. Ibu dan ayah tolong menolong, anak ikut sama selesaikan lipat atau urus baju yang menimbun macam bukit.

Lipat boleh, gantung juga boleh. Yeay! Selesai.

2. Bantu memasak di dapur

Anak-anak akan belajar banyak ilmu asas fardhu ain – kebersihan dan kesucian. Boleh sebut teori mencuci kotoran atau najis dengan air mutlak.

IKLAN

Tunjuk air paip itu air mutlak, guna untuk cuci ikan, sayur, buah,
kain buruk, pinggan mangkuk dan seumpamanya.

Suasana di dapur cukup sempurna jika nak perkenalkan macam-macam peraturan asas hidup seorang muslim. Boleh juga ajar anak-anak berdoa dan berselawat semasa memasak.

Kadangkala Ummi terlupa, tapi selalu ternampak abinya berkumat-kamit selawat masa cuci nasi atau ikan. Jadi terdidik juga umminya.

Patutlah sedap je lauk yang dimasak walau hanya sup sayur pecah telur. Ada ‘perasa istimewa’ yang dijampi dalam masakan.

Agaknya ini juga moment yang menimbulkan mawaddah dan rahmah dalam keluarga tu kan.

Tidak dinafikan dalam proses mendidik di dapur ni, macam-macam aktiviti dan kerja tambahan ummi kena buat contohnya lap air atau sisa ‘hasil tangan’ anakanda di atas lantai, pilihan yang ada hanyalah pejamkan mata dan senyum ikhlas. Mula-mula dulu memang ada rasa ‘messy’ dan rimas.

Kemudian tarik nafas, ingat semula misi mendidik anak lelaki yang bakal jadi suami soleh, mencairkan hati isteri macam Nabi Muhammad tu. Terus je senyum muka. Hahahaha

Ibu Kongsi Tips Latih Anak Lelaki Berdikari Dalam Pa&Ma TV. Mama Papa Pun Boleh Tiru!

3. Menanam doktrin mesti makan ‘real food’ dan diet seimbang

Mesti makan sayur, buah dan ‘real food’, minum air kosong banyak. Waktu ibu memotong sayur, ajak anak-anak bantu sekali. Kenalkan jenis sayur, warna dan khasiat.

IKLAN

Beri mereka peranan contohnya masukkan sayur dalam bancuhan cekodok. Mereka seronok ikuti aktiviti memasak dan nampak sayur-sayuran itu bukanlah ‘makhluk asing’ yang menakutkan dan perlu dijauhi.

Setakat ini taktik ni agak berjaya untuk jadikan anak saya, Muhammad dan Ramadhan ‘mesra sayur’.

Konsisten mesti kenalkan dengan makanan asasi bukan ‘processed food’. Mesti bermula dari dapur. Tidak dinafikan saya kena 200% rajin siapkan bahan pembelajaran bab ini di rumah.

4. Ajak mereka basuh motor atau kereta bersama

Aktiviti ini merapatkan hubungan antara anak dan ayah. Menguatkan otot jari dan tangan sebab kena cuci dan bersihkan bahagian paling halus dan paling luas.

Ayah boleh terangkan mengenai fungsi air mutlak mencuci kotoran dan najis macam di dapur tadi.

Ia juga mengajar anak menghargai dan menyayangi harta benda seperti kenderaan ini. Si ayah ambil kesempatan waktu ni terangkan fungsi kereta, bahagian kereta, kegunaan kereta untuk ke tempat yang baik-baik.

Waktu ini mungkin ada adegan yang tak ingin dilihat seperti anak main air berlebihan (waktu ini boleh ajar berjimat dan ingatkan orang susah tiada air).

IKLAN

Suami saya selalu out station ke Bangladesh misi bantuan perlarian Rohingya jadi kami selalu tunjukkan video mereka tinggal dalam khemah, tiada makanan minuman,
tiada bilik air dan lain-lain.

Muhammad nampak terkesan dan ingat mesej ini. Ia menjentik naluri halus empati dalam diri anak-anak.

Ibu Kongsi Tips Latih Anak Lelaki Berdikari Dalam Pa&Ma TV. Mama Papa Pun Boleh Tiru!

5. Mengajak anak bersihkan ruang-ruang yang ada dalam rumah

Antara aktiviti yang Muhammad suka buat adalah menyapu sampah dan simpan barang mainannya dalam kotak. Saya teringat pesanan ibu saudara saya walau anak kecil kita yang perlu didik anak-anak supaya tahu mengemas selepas bermain.

Memang fitrah begitu tetapi terapkan juga fitrah bersih dan kemas tu. Memang rutin harian ibu yang ada anak kecil dan sedang membesar. Ikhlaskan sahaja.

Pandang mainan yang bersepah itu seperti permandangan indah di dasar lautan. Nanti kemas semula. Waktu anak kecil begini saya diajar untuk ajak anak kemas bersama, bukan arah dan suruh. Jadi aktiviti mengemas lebih menyeronokkan buat kita dan anak-anak. Tiadalah kejadian singa atau harimau jadian mengaum setiap hari.

Santai dan enjoy the moment.

Ibu Kongsi Tips Latih Anak Lelaki Berdikari Dalam Pa&Ma TV. Mama Papa Pun Boleh Tiru!

Ini refleksi yang saya perolehi saat ini, ibu yang beranak dua. Masih kecil 4 tahun dan setahun 6 bulan. Cuba amalkan mana yang mampu dan memaknai moment dengan mereka.

Paling utama mesti dimulakan dengan mengurus fikiran, set niat, rangka aktiviti dan laluinya dengan gembira.

Walau ada masa tidak lancar, namun sebenarnya banyak sungguh perkara yang kita belajar.

Oh ya, harapnya ‘training’ ummi kepada Muhammad dan Ramadhan dari kecil ni dapat persiapkan diri mereka jadi calon suami yang ringan tulang paling kurang pandai lipat baju, memasak dan mengemas rumah. Beruntunglah menantu ummi nanti.

HARAP DAPAT LAHIRKAN ANAK LELAKI YANG BAIK

“Sebagai ibu, itu sahaja yang boleh saya sumbang untuk lahirkan lelaki yang lebih baik melalui anak-anak sendiri. Saya harap kisah anakanda Muhammad ni dapat beri inspirasi kepada penonton nanti. Ini antara sebab utama mengapa saya terima untuk buat rakaman ini. Moga Allah redha dan pelihara saya dari niat yang salah. Aamiin. Nampaknya 2019 memang Allah nak set saya jadi seorang yang berbeza. Dan itu memang ada dalam doa saya penghujung 2018,” kata Nordianah.

Sumber: Nordianah Bachok

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI