Ibu mengandung yang ingin berpuasa di bulan Ramadan bukanlah suatu perkara baru. Malah isu ini sering diperkatakan. Hampir setiap tahun pasti ada saja golongan ibu hamil yang bimbang dengan keadaan diri juga bayi setiap kali Ramadan menjelang.
Hampir kebanyakan ibu mengandung mahu berpuasa namun terdapat beberapa kebimbangan yang sentiasa difikirkan. Tahap kekuatan diri dan kesihatan bayi dalam kandungan mungkin antara penyebab kebimbangan ini. Ramai juga yang tertanya-tanya mengenai risiko berpuasa kepada bayi dalam kandungan.
WANITA HAMIL BOLEH BERPUASA JIKA MAMPU
Ramai juga wanita yang hamil tidak berpuasa kerana bimbangkan keselamatan bayi mereka yang masih di dalam rahim. Ketahuilah bahawa selagi wanita yang hamil itu masih mampu berdiri dan menjalankan rutin kerja sehariannya, Insya Allah, Allah akan menyelamatkan bayi mereka. Ibadah puasa tidak sesekali menyebabkan bayi mereka berada dalam bahaya.
Tidak dapat dinafikan apabila tidak mengambil makanan atau minuman untuk jangka masa yang agak lama ketika berpuasa menyebabkan seorang wanita yang hamil itu menjadi lebih letih.
Bagaimanapun bukankah tujuan berpuasa untuk merasakan diri kita letih supaya kita lebih mensyukuri nikmat kesihatan dan limpahan rezeki yang banyak sebelum ini. Adalah digalakkan wanita yang hamil meneruskan puasa kerana bayi yang berada dalam rahim tidak pernah mengalami kekurangan nutrisi.
Mereka akan tetap mendapat nutrisi pemakanan walaupun ibu mereka berpuasa kerana nutrisi-nutrisi itu bukan dibekalkan dari makanan yang diambil tetapi dari simpanan yang banyak di dalam organ hati. Apatah lagi dalam ibadah puasa hanya berlangsung kira-kira 14 jam dan kemudian kita dibenarkan makan dan minum ketika berbuka puasa.
Cuma jika wanita yang hamil itu merasakan diri mereka tidak sihat, pening, rasa seperti hendak pitam, kabur penglihatan atau mengalami tanda-tanda lain yang membimbangkan, maka berbukalah dan dapatkan pemeriksaan doktor.
Selalunya hal-hal ini berlaku apabila tubuh badan mereka sedang berusaha untuk menyesuaikan dengan rutin pemakanan yang berbeza di bulan Ramadan.
“Wanita hamil dan menyusui, jika takut terhadap anak-anaknya, maka mereka berbuka dan memberi makan seorang miskin.” (HR. Abu Dawud, dishahihkan oleh Syaikh Al Bani dalam Irwa’ul Ghalil).
Wanita yang hamil dinasihatkan oleh doktor untuk tidak berpuasa, boleh meninggalkan puasanya, contohnya wanita hamil mengalami komplikasi kehamilan atau mengalami penyakit yang sedia ada sebelum hamil lagi.
Wanita yang risau tentang pergerakan anaknya dalam rahem yang sedikit juga boleh meninggalkan puasa.
Antara sebab lain ialah tidak minum air yang mencukupi. Salah satu cara untuk mengetahui bahawa seseorang itu tidak minum air secukupnya apabila air kencingnya menjadi sedikit, pekat, berbau dan berwarna keruh.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad