Ibu Mengandung Kenal Tanda-Tanda Awal Bersalin Sebagai Persediaan Penting Lahirkan Bayi Ya!

Share

Setiap ibu mengandung wajib tahu tanda-tanda awal bersalin. Bagaimanapun setiap wanita mempunyai tanda-tanda bersalin yang berbeza. Walau pun begitu, terdapat tiga petanda penting yang dikaitkan dengan fasa bersalin yang perlu diambil perhatian. Ibu yang sedang menunggu hari perlu peka kepada tanda-tanda kelahiran.

1. Petanda utama kelahiran bayi ialah keluarnya show bermaksud keluarnya sesuatu seperti lendir atau darah dari faraj. Lendir dan darah ini adalah mucus plug atau penutup pangkal rahim yang terbuka untuk proses kelahiran.

2. Selalunya pada saat ini si ibu akan berasa kontraksi ringan dan akan mengambil masa selama tiga hingga empat hari sebelum proses bersalin aktif.

3. Petanda utama kelahiran seterusnya ialah air ketuban pecah. Keluarnya air ketuban dalam kuantiti yang banyak atau ada kalanya sedikit-sedikit merupakan tanda anda akan bersalin tidak lama lagi. Anda perlu tahu membezakan air ketuban dan air kencing.

4. Air ketuban boleh dibezakan dengan air kencing melalui sifatnya yang tidak berwarna dan berbau hanyir.

5. Sekiranya air ketuban tersebut berwarna hijau, ia adalah petanda kurang baik kerana si kecil sudah membuang air besar di dalam kandungan.

6. Wanita yang pecah ketuban perlu melahirkan dalam masa 24 jam walaupun kontraksi yang dirasakan tidak berturutan.

7. Petanda ketiga ialah kontraksi iaitu proses penegangan pada otot rahim secara kerap dan ritma tertentu. Sekiranya kontraksi yang dirasai setiap 10 minit sekali secara konsisten dalam masa sejam, anda perlu segera ke hospital kerana ia adalah salah satu tanda bersalin.

8. Bagi mengenal pasti kontraksi tersebut bukan kontraksi palsu atau Braxton Hicks atau false alarm, cuba cara ini. Baring secara mengiring dan letakkan tapak tangan pada perut semasa kontraksi sambil mengira jarak masa antara permulaan dua kontraksi. Kontraksi bersalin terjadi berterusan walaupun anda dalam keadaan rehat dan relaks.

9. Awas! Sekiranya tanda-tanda ini berlaku sebelum minggu ke-37, ia dikira sebagai kelahiran pramatang. Anda perlu peka dan ambil tindakan segera ke hospital jika tanda-tanda bersalin terjadi sebelum minggu ke-37 kerana risiko berlaku komplikasi kepada ibu dan anak adalah tinggi.

10. Bagi kelahiran anak pertama, masa yang diambil untuk bukaan serviks mencapai ukuran 10sm ialah kira-kira 12 jam hingga 18 jam.

11. Dalam fasa kelahiran aktif pula cara meneran yang betul amat perlu untuk memastikan proses kelahiran lancar. Cara meneran yang betul ialah seperti meneran ketika membuang air besar. Jangan meneran pada muka kerana ia adalah cara yang salah dan boleh mengakibatkan cepat penat.

Sumber: Majalah Pa&Ma

Published by
Hasnita Sawal