Ibu menyusu bukan mengada-ngada, sebaliknya sedang melalui perubahan besar yang suami perlu faham dan hargai. Menyusukan anak bukan sekadar memberi susu — ia satu proses kompleks yang melibatkan tenaga, hormon dan emosi yang boleh menjejaskan kesihatan fizikal serta mental seorang isteri.
Ramai suami tahu, menyusukan anak itu tanggungjawab besar seorang ibu. Namun tak ramai sedar bahawa tubuh ibu menyusu bekerja tanpa henti dari otak, hormon hingga ke jantung. Jadi bila isteri kelihatan cepat letih atau sensitif, percayalah, dia sedang melalui fasa besar dalam hidupnya dan perlukan sokongan suami sepenuhnya.
1. Cepat Haus & Lapar
Tubuh ibu menyusu ibarat “kilang susu” yang bekerja siang dan malam. Proses menghasilkan susu menggunakan tenaga dan air yang tinggi, sebab itu ibu cepat lapar dan haus. Suami boleh bantu dengan menyediakan air kosong dan makanan berkhasiat, terutama waktu malam. Perhatian kecil seperti ini nampak remeh, tetapi besar nilainya di hati seorang ibu.
2. Kurang Tidur, Badan Letih Melampau
Bangun malam untuk menyusu bukan satu dua kali, malah boleh sampai setiap dua atau tiga jam. Kekurangan tidur menyebabkan badan ibu letih melampau. Isteri bukan mengada-ngada, tetapi benar-benar keletihan. Suami boleh bantu dengan ambil giliran berjaga, tukar lampin atau dodoi bayi supaya ibu dapat rehat walau sekejap.
Ads
3. Hormon Berubah, Emosi Pun Terjejas
Ketika menyusukan anak, hormon prolaktin dan oksitosin meningkat. Prolaktin membantu menghasilkan susu tetapi boleh menyebabkan keletihan dan rasa murung, manakala oksitosin meningkatkan kasih sayang dan sensitiviti emosi. Jika isteri mudah tersentuh, jangan anggap dia terlalu emosi — peluk dia dan beri kata semangat. Itu sahaja sudah cukup membuatnya tenang.
4. Mood Swing & Emosi Tak Stabil
Ads
Perubahan hormon menyebabkan ibu menyusu mudah menangis, cepat marah atau rasa tak dihargai. Ini bukan alasan, tetapi reaksi biologi sebenar. Tambahan pula dengan kurang tidur, bengkak susu dan tekanan selepas bersalin, semuanya boleh ganggu kestabilan emosi. Suami boleh bantu dengan tidak mengkritik, sebaliknya berikan sokongan dan kata-kata lembut seperti “Saya tahu awak penat, terima kasih sebab kuat.”
5. Sakit Badan & Payudara Tegang
Posisi menyusu yang tidak betul boleh menyebabkan sakit belakang, bahu dan leher. Payudara juga mudah tegang apabila susu penuh. Bantuan kecil daripada suami seperti urutan lembut di bahu atau membantu mencari posisi menyusu yang selesa boleh buat isteri rasa lebih lega. Jangan lupa beri pujian — kerana menyusukan anak sambil menahan sakit bukan perkara mudah.
Ads
6. Perubahan Seksual & Keyakinan Diri
Selepas bersalin, ramai ibu mengalami kekeringan faraj, kurang nafsu dan rasa tidak yakin dengan tubuh sendiri. Ini perkara normal bagi ibu menyusu. Waktu ini, suami perlu menjadi penyokong paling lembut jangan paksa atau membandingkan. Sebaliknya, tunjukkan kasih sayang melalui pujian dan perhatian. Bila hati isteri tenang, hubungan suami isteri akan kembali indah secara semula jadi.
Menjadi suami kepada ibu menyusu bukan sekadar membantu menjaga anak, tetapi memahami perubahan besar dalam tubuh dan jiwa isteri. Kadang, dia tak minta banyak — cukup dengan kehadiran, empati dan sokongan kecil setiap hari. Di sebalik setiap titis susu ibu, ada pengorbanan luar biasa seorang wanita yang memilih untuk terus kuat demi anak dan keluarga.
TIP MAKANAN SIHAT UNTUK IBU MENYUSU
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pertama kali berjauhan dari anakanda tercinta bukan perkara mudah buat ibu muda, Mira Filzah yang terpaksa ke Bali atas urusan bekerja.
Menurut pelakon serta pengacara cantik ini, dia tidak dapat menahan sebak apabila dapat melihat wajah baby Amir, cahaya mata sulung yang baru berusia 3 bulan menerusi panggilan video.
“Ini pun first time tinggalkan Amir untuk 5 malam. First day photo shoot mata bengkak, sebab malam sebelum tu VC Amir nangis-nangis.”
“First day je lah tapi. Hari kedua dan seterusnya dah okay sikit. Hehe.”
Tambahnya lagi, ini merupakan pengalaman pertama bergelar ibu dan dalam masa yang sama menyusukan bayinya jadi dia terpaksa mengepam susu ketika berjauhan. Dia turut menyatakan rasa risau untuk membawa pulang stok susu perahan memandangkan perjalanan penerbangan memakan masa yang lama.
“Lepas ni ada lagi beberapa kali outstation. Lagi jauh, lagi lama. Tak tahu lah nak bawa balik susu macam mana untuk flight berbelas jam. Semoga cukup lagi bekalan susu dekat rumah bila outstation nanti. Semoga Mama pun kuat!”
Mira turut berkongsi pengalaman membuat perahan untuk stok susu dan baginya bekerja sambil mengepam susu bukan sesuatu yang mudah memandangkan jadual kerja yang tidak menentu.
“Pengalaman kerja diluar sambil pump susu bukan senang. Curi curi masa nak pump. Kadang-kadang tengok jam sampai terlepas timing, tahu tahu dah 6 jam tak pump lagi!
“Haa faham tak perasaan itu?”
Mira Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah meluahkan rasa kagun dengan ibu-ibu yang bekerja namun masih mampu menjaga rutin mengepam dengan baik.
“Dengan bawa macam macam barang kesana sini, ice packs, cooler bag lagi. Salute sangat mommies yang busy kerja tapi still boleh keep up dengan routine pump!”
Posisi menyusu anak ada pelbagai antaranya dalam keadaan baring. Keadaan menyusu secara baring menjadi pilihan ramai ibu-ibu kerana dapat menyusu dengan tenang dan selesa.
Namun adakah cara kita menyusu anak secara baring selama ini betul? Kaunselor penyusuan, Puan Nad Masrom berkongsi bagaimana posisi yang betul ketika baring untuk menyusukan anak. Ikuti perkongsian ini.
POSISI MENYUSU BARING
Posisi yang disukai ramai ibu menyusu. Dapat menyusu dalam keadaan relaks dan boleh tidur bersama bayi.
Cuma mungkin bagi ibu-ibu baru, yang pertama kali menyusu, ia agak sukar dan membimbangkan.
Jadi untuk pertama kalk disarankan:
✅ Minta bantuan suami untuk pantau ibu sewaktu latihan menyusu baring
✅ Bayi tak perlu bantal. Pastikan kepala, leher, badan bayi menghadap badan ibu.
✅ Pastikan payudara ibu tidak menutup muka bayi. Jika payudara ibu agak besar dan menutupi bayi sewaktu menyusu baring, ibu tak disarankan menyusu dengan cara begini.
✅ Elakkan ibu menongkat kepala dengan tangan, bimbang ibu tertidur dan terhempap bayi. Pastikan ibu gunakan bantal dengan jumlah yang selesa sehingga ibu tidak perlu menongkat kepala dengan tangan ibu.
✅ Pastikan lekapan bayi betul.
✅ Bayi menyusu yang sudah tertidur boleh dilepaskan dari payudara perlahan-lahan.
Penyusuan susu ibu sering digambarkan sebagai detik indah penuh kasih sayang antara ibu dan anak. Iklan, buku keibubapaan dan media sosial memaparkannya sebagai momen bahagia yang mengukuhkan ikatan.
Namun, di sebalik senyuman yang terukir, ada kisah yang jarang diceritakan tentang penyusuan tidak selalu semudah yang dibayangkan, terutama bagi ibu muda yang kali pertama melahirkan anak.
Realitinya, perjalanan menyusu boleh menjadi mencabar dan memenatkan. Cabaran seperti bengkak susu, bayi sukar melekap, kurang tidur, serta tekanan di tempat kerja boleh menjejaskan emosi ibu. Lebih memburukkan keadaan, stigma masyarakat yang memandang negatif penggunaan susu formula serta harapan tinggi yang tidak realistik membuatkan sesetengah ibu rasa terbeban. Tanpa sokongan sewajarnya, ia boleh mencetuskan tekanan mental, malah berisiko membawa kepada kemurungan selepas bersalin.
Doktor Sahkan Ibu Muda Alami Tekanan Mental Semasa Menyusu Anak
Dr Malar Kandasamy
Menurut Pensyarah Kanan Obstetrik dan Ginekologi Taylor’s University, Dr Malar Kandasamy, masalah fizikal seperti bengkak susu, saluran susu tersumbat dan kesukaran bayi melekap bukan sahaja menyakitkan, malah mampu menjejaskan hubungan ibu dan anak.
Data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 turut merekodkan bahawa 11.2% wanita selepas bersalin di Malaysia menunjukkan tanda-tanda kemurungan.
Profesor Madya Dr Ganesh Ramachandran
Profesor Madya Dr Ganesh Ramachandran, Ketua Perubatan Taylor’s University, pula menegaskan bahawa tekanan ibu menyusu bukan sekadar fizikal, tetapi juga berpunca daripada stigma sosial dan kekangan di tempat kerja.
Dengan cuti bersalin yang terhad dan ketiadaan dasar penyusuan mesra ibu di kebanyakan tempat, ramai terpaksa berhenti menyusu lebih awal daripada yang diimpikan.
Pakar menyarankan supaya saringan kesihatan mental dijadikan rutin selepas bersalin, di samping memperkukuh akses kepada kaunseling dan kumpulan sokongan. Antara organisasi yang aktif ialah Persatuan Kaunselor Rakan Sebaya Penyusuan Susu Ibu Malaysia, yang menyediakan ruang selamat untuk ibu berkongsi pengalaman tanpa rasa dihakimi.
Tip Sokongan Untuk Ibu Menyusu
Bagi membantu ibu melalui tempoh penyusuan dengan lebih tenang, keluarga dan pasangan boleh:
Berikan kata-kata semangat setiap hari untuk meningkatkan keyakinan ibu.
Bantu urusan rumah tangga supaya ibu boleh berehat dan fokus pada bayi.
Sediakan makanan berkhasiat dan minuman mencukupi bagi menyokong pengeluaran susu.
Hindari komen atau perbandingan dengan ibu lain, kerana setiap perjalanan penyusuan adalah unik.
Iringi ibu mendapatkan bantuan pakar seperti kaunselor laktasi jika ada masalah.
Penyusuan susu ibu adalah pilihan yang mulia, tetapi ia memerlukan sokongan padu. Ibu yang sihat dari segi fizikal dan mental akan lebih bahagia, dan kebahagiaan itu akan mengalir kepada anak dan seluruh keluarga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketahui kebenaran sebenar tentang diet ibu menyusu — adakah makanan pedas, kopi atau brokoli benar-benar menjejaskan bayi? Pakar pediatrik menjelaskan mitos, fakta dan panduan selamat untuk ibu yang ingin menyusu dengan yakin.