Sering kita dengar, ibu mertua tidak suka dengan pilihan anaknya. Malah ada juga menantu yang tidak berusaha untuk berbaik dengan ibu mertua. Kesannya timbul persengketaan dalam kekeluargaan. Cucu juga akan terkesan, kasih sayang mereka kurang dan boleh meninggalkan kesan negatif dalam perasaan mereka. Ibu rose berkongsi sebuah penulisan untuk semua.
Sesuatu yang Ibu belajar dari University of Life mengenai satu perkara ini, maaf ya sekiranya bila membawa perkara ini kehadapan boleh menimbulkan rasa marah pada segelintir manusia. Namun, rasanya peringatan ini perlu disampaikan.
Wahai ibu-ibu dan bapa-bapa mertua, janganlah membenci pasangan anak-anak mu. Walaupun mereka bukan pilihan hati mu, mereka adalah jodoh anak-anakmu.
IKLAN
Jika kamu membenci mereka terlalu sangat dan berusaha memisahkan mereka dengan segala macam usaha yang mencederakan fizikal, emosi dan mental, ianya akan hanya mencederakan dirimu di dunia dan di akhirat.
Adalah lebih mudah untuk hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti serta hidup mereka dan keluarga mereka, bila segala tenaga itu kita alihkan untuk mengindahkan pertalian kita dengan mereka. Anak kita juga akan selesa dan tidak berserabut.
IKLAN
Cucu-cucu kita juga akan merasakan kasih-sayang kita. Menantu kita juga akan lebih menghormati kita.
Kebencian boleh membawa kepada banyak kesan negatif pada bukan hanya pada menantu yang tidak disukai, tetapi kepada anak-anak yang bakal dilahirkan dari zuriat itu. Bagi para menantu yang tidak mempunyai perhubungan baik dengan mertua dan sering disakiti perasaan, banyak-banyakkanlah mengalah dan berdoa agar Allah menurunkan perasaan ehsan ke dalam diri mertua.
Elakkanlah mengeruhkan lagi keadaan dengan menghasut pasangan. Ingatlah sebelum dia itu menjadi pasangan kita, dia adalah anak mereka. Banyak masa, tenaga, airmata dalam membesarkan dan mendidik pasangan kita itu. Tentunya di situ perlu kita menghargai.
IKLAN
Belajarlah mengambil hati walaupun ianya sukar.
Ibu telah melihat terlalu banyak kesan negatif kepada anak-anak yang dilahirkan dalam persengkataan diantara menantu dan mertua. Kasihan sungguh kepada anak-anak itu. Kita perlu sedar diri, setinggi mana pun ego, pangkat dan hebatnya keturunan kita, akan tiba masanya kita akan dikapankan dan masuk ke liang lahad.
Ya Allah dikau lembutkanlah hati kami dan isikannya dengan perasaan kasih-sayang kepada sesama manusia kerana MU.
Sering kali kita berjanji dengan anak-anak untuk membawanya ke tempat menarik atau makan makanan yang sedap-sedap dan bila kita terlupa untuk menunaikan, pasti anak-anak akan menuntut. Daya ingatan anak-anak sangat kuat dan emosinya sangat rapuh.
Jika kita berjanji dengan harapan dia akan menyiapkan kerja sekolah atau membantu kita, setelah selesai tugasnya pastikan kita tunaikan janji kita pula. Jika tidak ditunaikan, perjanjian tersebut akan terkesan dalam minda anak-anak. Menurut perkongsian seorang bapa di laman facebook, Encik Mohd Fhais berpendapat, kita sebagai ibu bapa raikanlah anak-anak walaupun penat.
Budak ni kalau dah berjanji sampai ke kolam udang dia tuntut. Jam 10 malam, orang lain semua dah lemau. Dah tiba masa untuk recharge tenaga, landing time. Tapi budak ni masih lagi terkinja – kinja lompat katil, panjat katil. Kacau semua orang.
Argh.. Stress! Esok nak keje, mata dah rabak.
Maknya, neneknya puas dah pujuk suruh tidur. Satu pun tak jalan. Haru biru rumah semalam.
Bila di selidik-selidik rupa-rupanya ada janji yang belum di tunai.
“Papa cakap nak tengok udang?”, Rania buat muka comel
Aduh, memang lupa dah petang tu ada janji nak bawa dia tengok udang. Dekat kawasan rumah ni ada satu kolam mancing udang. Pernah bawa rania sekali ke sana.
Memang terserlah dia punya teruja dan gembira tengok udang hidup. Malam tu juga, 10.30 malam start kereta pergi kat kolam mancing udang tu. Ingat nak mancing sekali dah alang-alang sampai tu.
Belum sempat capai pancing rania dah tarik tangan dan cakap, “Tak payah papa, tengok je”. Jadi tengok je la malam tu. Dia punya seronok, siap cakap best papa tengok udang.
Tak lama pun, lebih kurang 10 minit dia dah ajak balik. Balik rumah, basuh kaki, buat susu terus tidur. Aik, senang pula tidur.
Tadi maknya dan wan duk terjerit-jerit suruh tidur selama 30 minit tak di endahnya, ni tak sampai 5 minit dah tidur.
Itulah budak-budak. Selain badan, otak dan emosi pun ada stamina. Selagi otak dan emosi ni tak dipenatkan, jangan harap mereka nak tidur dengan mudah.
Kadang tu bukan anak yang tak dengar cakap, tapi sebenarnya kita yang tak dengar apa diorang cuba cakap.
Jangan mengeluh, tapi raikan mereka. Inilah tenaga yang boleh gegar dunia satu hari nanti.
Tidak semua NO itu adalah negatif dan membantutkan perkembangan kreativiti anak. Banyak NO yang membantu perkembangan sosial, emosi dan moral anak-anak.
1) Ada NO yang mengajar anak tentang erti bahaya. Bahaya berlaku dalam sekelip mata. Kadang-kadang kemalangan berlaku tanpa sempat pun kita mengelipkan mata. Anak juga perlu diajar untuk berfikir tentang bahaya tindakannya kepada orang sekeliling juga.
2) Ada NO yang mengajar anak tentang empati. Ia mengajar anak bahawa orang lain juga mempunyai perasaan, hak dan keperluan mereka. Orang lain itu termasuklah kita sebagai ibubapa yang perlukan masa untuk diri sendiri juga. NO dalam konteks ini bermakna kita mesti menghormati hak dan keperluan orang lain.
3) Ada NO yang mengingatkan anak tentang erti ‘cukup’. Terlalu bermewah-mewah dengan kuantiti yang tidak perlu akan memudaratkan anak kerana dia tidak akan pernah merasa cukup dengan apa sahaja. Tidak faham erti cukup hanya menambahkan tekanan dalam jiwa seorang individu.
4) Ada NO yang mengajar anak tentang hak milik. Anak perlu tahu bahawa dia tidak boleh mengambil sesuatu yang bukan haknya dengan sewenang-wenangnya. Dia perlu tahu bahawa dia juga perlu mempertahankan apa yang menjadi miliknya melainkan diberi dan diambil dengan keizinan.
5) Ada NO yang memberi peluang kepada anak menjadi lebih kreatif. Jika anak tidak selalu mendapat sesuatu permainan yang diingininya, anak boleh menjadi lebih kreatif dengan mencipta permainan sendiri dengan bahan-bahan yang ada.
6) Ada NO yang mendidik anak untuk menghargai masa dan menetapkan prioriti. Ada kalanya anak terlampau asyik dengan sesuatu sehingga mengambil ruang masa untuk rutin penting yang lain.
7) Ada NO yang mengajar anak erti berdikari. Walaupun sebagai ibubapa kita mempunyai wang ringgit, kepintaran dan tenaga untuk melakukan semuanya untuk anak-anak, anak juga perlukan ruang untuk menjalankan tanggungjawabnya tanpa pertolongan daripada kita sentiasa (atau pertolongan pembantu rumah). Beri anak ruang otonomi untuk membina skil-skil penting dalam hidup.
8) Ada NO yang melahirkan seorang individu yang tegas, asertif dan berprinsip. Anak belajar daripada kita. Jika NO kita kepada anak adalah konsisten dan menunjukkan ketegasan, anak juga akan belajar untuk menjadi seorang yang tegas terutamanya terhadap pengaruh-pengaruh yang negatif atau orang yang mengambil kesempatan ke atasnya suatu hari nanti.
Walaupun NO itu bunyinya negatif dan kita seharusnya mengelakkan perkataan-perkataan yang negatif kepada anak-anak, NO boleh membawa kepada nilai-nilai yang positif.
Apa yang paling penting adalah corak komunikasi kita dengan anak-anak. Jika kita sentiasa meluangkan masa untuk bersembang, menerang dan mendengar, insya Allah anak faham bahawa NO kita adalah NO yang positif.
Selepas NO, fikir bersama anak kaedah atau tindakan alternatif yang lebih baik.
Bergelar ibu bapa dengan kehadiran bayi dalam hidup pastinya amat dinantikan pasangan berkahwin. Tetapi adakah anda bersedia dengan perubahan dalam kehidupan selepas mempunyai cahaya mata?
Kelahiran bayi dan dunia keibubapaan
Mungkin anda dan pasangan berasa sudah bersedia menerima kedatangan cahaya mata dalam fasa kehidupan. Tetapi percayalah dunia keibubapaan adalah sesuatu yang penuh dengan kejutan!
Ya, si comel yang lahir pastinya memberikan kegembiraan pada anda. Namun dalam masa yang sama anda akan berasa dicabar, mampu membuatkan anda menangis dan pelbagai situasi lain.
Setiap mereka yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalami perubahan dalam kehidupan. Sudah tentu ia berbeza daripada apa yang mungkin anda alami dan sentiasa menguji tahap kesabaran anda.
Perubahan dalam kehidupan selepas kelahiran bayi
Siapa yang tidak bahagia dengan kelahiran bayi, tetapi adakah anda bersedia berdepan perubahan dalam kehidupan yang selama ini mungkin aman dan teratur?
Berikut dikongsikan antara 9 perubahan dalam kehidupan yang pasti dialami oleh mereka yang memegang gelaran mommy daddy.
Masa anda berkaitan dengan si comel
Jika dahulu masa anda adalah dengan tugasan kerja dan pasangan, namun setelah mendapat cahaya mata, segalanya adakah berkenaan dengan si kecil.
Masa tidur si kecil yang baru lahir adalah 18 jam dan dalam tempoh itu adanya waktu untuk menyusu, menukar lampin dan pelbagai perkara lagi.
Bagi mereka yang baru bergelar ibu bapa, sudah tentu akan berasa sedikit tertekan dengan perubahan ini. Bersabarlah!
Biasanya selepas minggu pertama yang kelam kabut, anda sudah boleh menguruskan masa dengan lebih baik. Dont give up, mommies!
Menjadi ahli persatuan
Tahniah! Anda kini telah sah menjadi ahli persatuan kelab keibubapaan. Jangan pelik jika mungkin ketika di taman, ada yang bertanyakan tentang bayi anda atau mungkin bos anda turut ingin mengetahui keadaan si manja.
Anda mungkin akan melihat pelbagai gaya keibubapaan, namun usah terikut dengan orang lain.
Pilih gaya yang sesuai buat anda dan pasangan. Lama-kelamaan anda pasti akan dapat membangunkan 1 gaya keibubapaan yang sesuai dengan jiwa anda berdua.
Perubahan dalam hubungan
Sudah tentu dengan kelahiran bayi, akan berlaku perubahan dalam hubungan anda dan pasangan. Pasti akan wujud rasa seperti dipinggirkan jika pasangan anda lebih banyak meluangkan masa dengan si kecil.
Anda mungkin berasakan ia sesuatu yang normal, apatah lagi kerana si kecil sudah tentu memerlukan lebih perhatian berbanding pasangan. Tetapi untuk jangka masa panjang, ia boleh memberikan impak yang tidak sihat.
Maka pastikan anda berdua tetap meluangkan masa bersama. Mungkin pada ketika si manja sudah nyenyak tidur, anda boleh duduk berbual bersama sambil menikmati minuman coklat panas. Itu pun sudah mencukupi.
Syif malam
Pasti anda pernah mendengar nasihat supaya anda tidur sepuas-puasnya sebelum bayi anda lahir dan percayalah itu adalah nasihat yang perlu anda ikuti. Kenapa?
Sebaik sahaja si comel dilahirkan, usah berangan untuk mendapat tidur malam yang nyenyak tanpa gangguan. Usah risau, ia bukan 1 perkara yang akan kekal.
Biasanya selepas si kecil dapat membiasakan diri dengan persekitaran, tidur malam anda menjadi lebih baik.
Pada waktu siang, usah cuba melakukan sebarang tugasan rumah ketika si comel sedang tidur. Gunakan masa ini untuk berehat dan berbaring. Penting untuk anda mendapatkan waktu rehat yang mencukupi.
Kunjungan tetamu
Berita kehadiran si comel pastinya akan mengundang kunjungan tetamu ke rumah anda. Pastinya mereka mahu melihat bayi anda dan akan ada banyak perkongsian cerita tentang bagaimana mereka membesarkan anak mereka.
Walau bagaimanapun, anda perlu memastikan tetamu anda sihat dan mencuci tangan sebelum memegang si kecil. Usah pedulikan anggapan individu tentang permintaan anda itu kerana ia adalah untuk keselamatan si kecil juga.
Jika anda berasa penat, ketahuilah anda boleh untuk mengatakan tidak dan meminta tetamu untuk berkunjung pada masa yang lain. Jangan sehingga anda tertekan dengan kehadiran tetamu.
Dapatkan bantuan
Bergelar ibu selepas kelahiran bayi tidak bermakna segala tanggungjawab membesar dan menjaganyal tergalas di bahu anda sahaja. Tetapi ia adalah tanggungjawab bersama.
Jangan malu untuk meminta bantuan pasangan anda menjaga si kecil bila diperlukan. Sekiranya anda adalah ibu atau bapa tunggal, mintalah bantuan daripada ahli keluarga terdekat atau rakan baik anda.
Rasa bersalah adalah normal
Setiap ibu bapa pasti mahu menjadi yang terbaik untuk anak-anak mereka. Namun adakalanya anda merindui kehidupan masa bujang atau sebelum bergelar parents. Aduh….rasa bersalah pula.
Bertenang dan usah bimbang kerana anda tidak keseorangan. Apa yang anda alami adalah 1 perkara normal untuk mempunyai keinginan berehat daripada menjaga bayi. Ia bukan bermakna anda tidak sayangkan anak.
Kesilapan? Tidak mengapa
Dalam dunia realiti, peraturan keibubapaan adalah mudah, iaitu lakukan apa yang berkesan. Anda tidak perlu mengikut peraturan yang tidak memberi kesan kepada anda.
Jika anak anda lebih mudah tidur sambil menyusu, biarkan sahaja. Selagi ia tidak mendatangkan bahaya kepadanya. Jika wujud sebarang kemusykilan, terus tanyakan kepada pakar dan bukan merujuk kepada Dr Google semata-mata.
Tiada lagi privasi
Selepas anda mempunyai anak, usah berangan untuk mempunyai masa bersendirian di dalam bilik air. Anda akan mempunyai teman bilik air yang setia.
Sama ada anda atau pasangan perlu bersedia dengan kehadiran penonton. Jangan marahkan mereka, ini adalah masa mereka mempelajari tentang penggunaan bilik air. Jadi tunjukkan contoh yang baik!
Bersedia alami perubahan
Kehadiran dan kelahiran bayi pastinya akan mengubah kehidupan anda dan pasangan. Tetapi anggaplah ia sebagai 1 pengalaman yang tidak ternilai dan hargailah setiap detik-detik bersama si manja.
Tiada istilah ibu bapa yang sempurna dalam dunia keibubapaan. Selagi anda berasakan apa yang anda lakukan adalah terbaik untuk si kecil, teruskanlah.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!