Bertungku memang sinonim dengan rawatan berpantang selepas ibu melahirkan bayinya. Usai tempoh itu, anda sangat digalakkan untuk terus mengamalkan rutin bertungku. Sebenarnya, mana-mana wanita yang tidak berpantang boleh mengamalkan rutin bertungku sama seperti yang dijalani dalam tempoh berpantang.

Amalan ini sangat bagus untuk sesiapa sahaja terutamanya golongan yang sering mengalami masalah haid yang tidak teratur mahupun angin dalam badan.

Semasa di dalam pantang, penggunaan tungku adalah bertujuan untuk melancarkan darah, mengecutkan rahim dan menaikkan rahim. Penggunaannya di bahagian perut pula berperanan untuk mengempiskan perut di samping menyusutkan berat badan. Bertungku juga boleh digunakan untuk melancarkan darah beku yang tidak habis keluar.

Jenis-jenis tungku

Terdapat tiga jenis tungku yang biasa digunakan dalam amalan bertungku. Salah satu daripadanya ialah tungku besi. Dalam pada itu, tungku ini ada yang berbentuk bulat. Ada juga yang lonjong. Jika berbentuk bulat, ia agak sukar untuk menungku bahagian perut. Oleh sebab itulah, kebanyakan orang lebih gemar menggunakan tungku berbentuk lonjong.

Amalan bertungku melibatkan bahagian perut, ulu hati, dada (untuk lancarkan pengeluaran susu ibu), bawah lengan, belikat, pinggang, paha dan tapak kaki. Dalam pada itu, diingatkan bahawa semasa bertungku, tungku tidak boleh diletakkan di atas pusat atau perut. Cara bertungku untuk menaikkan peranakan pula perlu dibuat daripada bawah perut. Ia mesti ditolak dari bawah ke atas. Tekanan yang dibuat mesti mengikut arah jam.

Sementara itu, tungku batu pula biasanya menggunakan batu sungai. Tungku jenis ini sama cara penggunaannya dengan tungku besi. Namun, kelebihannya ialah ia kurang menyakitkan apabila digunakan dengan cara yang betul semasa bertungku.

Kaedah pemanasan tungku besi dan batu

Kaedah pemanasan tungku besi dan batu adalah sama. Ia perlu memakan masa selama 20 minit di atas api dapur gas. Diingatkan supaya hanya gunakan api yang perlahan supaya tahap kepanasan yang meliputi tungku besi dan batu adalah sama dan sekata. Jika api yang kuat digunakan, tungku akan cepat panas tetapi cepat sejuk. Kaedah pemanasan ini memang remeh tetapi jika diikuti, ia akan memberikan hasil yang memuaskan bila digunakan.

Daun-daun yang lazim digunakan adalah terdiri daripada mengkudu yang bermanfaat untuk melangsingkan badan dan melancarkan darah. Menariknya, bau wangi yang ada pada daun ini dapat menimbulkan ketenangan semasa bertungku. Antara lain, daun sirih turut digunakan kerana ia memainkan peranan membuang angin dalam badan. Daun kunyit hitam digunakan kerana baunya dipercayai boleh mengelakkan gangguan mistik. Selain daripada itu, daun lain yang digunakan ialah pandan, lengkuas dan serai wangi.

Bersalin Normal vs Caesarean, Bila Boleh Bertungku?

Bagi yang bersalin normal, anda boleh mula bertungku daripada seawal hari ke-3 lepas bersalin sehingga hari ke-44 dan boleh diteruskan selepas tempoh itu. Bagi yang bersalin menggunakan kaedah pembedahan caesarean pula, boleh bermula paling awal hari ke-7 selepas bersalin atau bergantung kepada luka pembedahan. Jika luka belum sembuh, tungku bahagian lain sahaja tanpa melibatkan bahagian perut.

Walau bagaimanapun, pada masa kini, para wanita lebih gemar menggunakan tungku herba. Ia diakui tidak mendatangkan rasa sakit apabila ditekan ke seluruh bahagian tubuh dan perut semasa bertungku. Hal ini kesan daripada tekanan tungku yang dilakukan adalah mengikut bentuk badan.

Tungku herba ini dihasilkan daripada pasir sungai atau batu kecil yang dikeringkan untuk bertahan lama. Untuk memanaskannya, anda perlu menggunakan pemanas khas. Walau bagaimanapun, jika tiada pemanas, anda boleh memanaskannya dengan menyalakan lilin semasa sesi urutan dilakukan selama setengah jam.

Jika tidak pun, anda boleh gunakan seterika. Panaskan dengan tekap tungku ke permukaan panas pada seterika dan kemudiannya tungku di bahagian yang diingini. Anda boleh juga kukus tungku. Namun selepas digunakan, anda perlu jemur tungku bagi membolehkan ia digunakan untuk tempoh jangka panjang.

Terdapat lebih daripada 40 jenis herba dimasukkan ke dalam tungku herba. Antaranya ialah jintan hitam, halba, serai wangi, lempoyang, temu kunci, pinang dan lain-lain. Kesemuanya dikeringkan terlebih dahulu sebelum disatukan di dalam kain khas dan diikat.

Boleh diguna setiap hari

Anda perlu tahu bahawa amalan bertungku boleh dilakukan setiap hari. Ia merupakan rawatan luaran yang baik. Tungku bahagian belakang, kaki, betis, paha, pinggang, belikat selama 15 hingga 20 minit setiap kali di bahagian hadapan dan belakang tubuh. Lakukan dalam keadaan tenang dan digalakkan berbaring semasa bertungku.

Jika mahu mendapatkan hasil yang memuaskan, anda perlu rajin. Namun, dalam keadaan tertentu, anda mungkin kesuntukan masa. Jika hal demikian berlaku, anda tetap digalakkan untuk bertungku. Paling minimum, digalakkan menumpukan perhatian dengan menungku bahagian tapak kaki.

Tinggalkan Komen