Bagi yang mempunyai bantal busuk, anak pantung busuk ataupun kain busuk sememangnya menjadikan barangan ini seperti sahabat baik. Mana tak nya, kemana-mana pergi pasti diangkutnya sekali. Senang kata, memang tak boleh hidup, tak boleh tidur tanpa bantal busuk disisi. Parah!
Bukan hanya kanak-kanak yang mempunyai bantal busuk ini bahkan orang dewasa turut tidak terkecuali memilikinya. Ada yang sampai 20 tahun menyimpan bantal busuk dan tidak pernah dibasuh.
Orang yang memiliki bantal busuk kebiasaanya tidak akan membenarkan orang lain memegang bantal busuknya. Kejadian itu berlaku kepada seorang kanak-kanak di Korea yang menangis dan menjerit meminta ibunya mengeluarkan bantal busuk daripada mesin basuh.
Dia meminta ibunya mengeluarkan bantal busuk miliknya dengan menunjukan isyarat tangan “Stop” sambil menunjuk ke arah bantal busuk di dalam mesin basuh tersebut. Video tersebut dirakam oleh ibunya dan mendapat tontonan sebanyak 41,449 setakat ini.
Sumber: Yeji
Seeloknya, bantal busuk ataupun soft toys busuk anak-anak perlu dibasuh. Kenapa? Kerana disitulah tempat yang paling mudah untuk kuman membiak jika dibiarkan tidak dibasuh.
Anak kecil terutamanya bayi sering memasukkan jari atau alat permainan ke dalam mulut. Jika alat permainan dan permukaan tempat si kecil bermain tidak bersih, bakteria dan virus pasti mudah berpindah kepada bayi.
Perkara ini sering diambil ringan oleh para ibu bapa. Alat permainan yang kotor boleh meningkatkan risiko jangkitan bakteria dan virus pada kanak-kanak.
Membersihkan alat permainan seharusnya dijadikan rutin kepada para ibu bapa sama seperti membasuh kereta mahupun mop lantai rumah.
Berapa Kerap Anda Perlu Membersihkan Alat Permainan Si Kecil?
– Ia terpulang kepada ibu bapa berapa kerap alat permainan itu hendak dibasuh. Anda tidak perlu menyusahkan diri membersihkannya setiap hari. Namun, adalah baik jika alat permainan anak anda dibersihkan pada masa yang tertentu seperti;
– Apabila alat permainan kelihatan kotor (contoh: makanan tumpah pada alat permainan, atau dibawa main keluar rumah)
– Anak anda baru sembuh daripada sebarang jangkitan seperti selsema atau cirit birit. Dikhuatiri alat permainannya masih dicemari dengan bakteria/virus yang menyebabkan anak anda sakit
– Kanak-kanak lain memasukkan alat permainan anak anda ke dalam mulut mereka
– Setiap hujung minggu/bulan
Kaedah Membasuh Alat Permainan
Alat permainan keras (diperbuat daripada plastik)
Kaedah 1
– Gosok alat permainan dengan berus dan air sabun
– Bilas dengan air bersih
– Keringkan dan lap dengan wet wipe tissue
Kaedah 2
– Gosok alat permainan dengan berus dan air sabun
– Rendam di dalam *air yang dicampur peluntur selama 10-20 minit
– Bilas dengan air bersih dan keringkan
Alat permainan yang mempunyai bateri/diperbuat daripada kayu atau besi/permainan bersaiz besar
– Lap permukaan luar menggunakan span sabun
– Kemudian lap menggunakan kain lembap yang telah direndam *air yang dicampur peluntur dan keringkan
*Cara mudah sediakan air campuran peluntur: Campurkan 1 sudu (15 ml) peluntur untuk setiap 1 liter air.
Peluntur yang telah dicampurkan air pada jumlah yang betul adalah selamat untuk digunakan sebagai cecair pembersih alat permainan. Klorin pada peluntur akan tersejat dengan cepat semasa dikeringkan.
Alat permainan lembut/kapas/kain
Sebilangan alat permainan boleh sahaja dibasuh menggunakan mesin basuh.
Sekiranya ia tidak sesuai dibasuh menggunakan mesin, rendam dengan air sabun, bilas dan keringkan di bawah cahaya matahari.
Permainan yang sukar dibersihkan atau terlalu kotor eloklah dibuang sahaja untuk mengelak pembiakan kuman.
Membiasakan si kecil mempunyai bantal atau selimut busuk juga sebaiknya tidak perlu diamalkan. Ini kerana, kotoran bakteria akan berkumpul pada bantal dan selimut dan ia sebenarnya boleh mengundang jangkitan. Untuk anak yang mempunyai bantal/selimut busuk, basuhlah sekali-sekala terutamanya apabila ia kelihatan kotor.
Tip Lain Menjaga Kebersihan Alat Permainan
Simpan permainan di dalam bekas tertutup yang bersih setiap kali selepas main
Sebaiknya, setiap anak mempunyai permainan sendiri. Kurangkan berkongsi permainan terutamanya patung mainan fabrik
Permainan yang tidak boleh dibasuh seperti plastisin perlu diganti apabila ia sudah lama digunakan kerana bakteria pasti sudah berkumpul di dalamnya
Kotak pasir perlu diganti secara berkala dan ditutup jika tidak digunakan untuk mengelakkan haiwan liar mengotorkan pasir tersebut
Sekiranya ada permainan yang kelihatan kotor, jangan campurkan bersama permainan bersih. Asingkan ia sebelum dibasuh
Jadikan aktiviti membersihkan alat permainan sebagai salah satu rutin kerja rumah. Ibu bapa perlu bijak dan prihatin terhadap kesihatan anak-anak. Kesihatan keluarga bermula daripada persekitan rumah yang bersih.
Sumber: zuriat.my