Bukan mudah menjadi seorang ibu. Kita mahukan yang terbaik buat anak-anak. Kalau boleh mahu jadi yang sempurna untuk mereka. Tanpa kita sedar, sebenarnya itulah yang memberi tekanan kepada kita.
Ibu memang serba boleh, tapi masih manusia biasa. Ada emosi yang berubah-ubah. Penat perkara biasa, boleh dikatakan hampir semua perkara ibu yang akan uruskan sehingga ada masanya menyebabkan stres. Ikuti pengakuan ibu ini, yang mengalami tekanan kerana terlalu sibuk menguruskan keluarganya.
Mohon admin siarkan kisah ini, tapi tolong hide profile saya. Saya nak berkongsi kisah tentang kehidupan saya sebagai seorang ibu. Saya bahagia dengan keluarga dan bersyukur sebab Allah SWT kurniakan saya 3 orang anak lelaki.
Masing-masing fahamlah kan, kalau anak lelaki ni lasaknya macam mana. Hari-hari nak terkeluar anak tekak ni. Jadi singa, naga semua tu dah biasa. Memang menguji kesabaran betul.
Akal budak-budak ni, memang di luar jangkaan kita. Ada suatu hari tu, waktu saya tengah sibuk memasak di dapur, boleh dorang buat perangai. Abangnya yang sulung umurnya 8 tahun, yang kedua 6 tahun dan yang bongsu tu 5 tahun.
Si abang ajak adik-adik main dalam bilik air. Diangkutnya gayung berisi air, disimbah atas lantai. Lepas tu happy pula dia 3 beradik main slide-slide di lantai. Mengucap panjang saya dibuatnya.
Bila nampak keadaan ni, saya tak fikir panjang. Saya rotan je anak-anak. Habis berbirat kaki dorang saya sebat. Menangis merayu minta maaf. Tapi saya geram sangat waktu tu.
Ini lagi satu yang saya geram. Saya tahu berdosa jika saya ceritakan aib suami. Tapi saya tak tahan. Saya pun perlukan masa untuk diri sendiri, tapi selalu saya ketepikan. Sebab saya fikir keluarga.
Tapi suami saya sangat selfish. Hobi dia memancing, jadi faham-fahamlah. Selalu tak ada kat rumah. Hari cuti dia melepak dengan kawan-kawan cari port memancing. Saya sebenarnya tak kisah dia nak keluar tu, tapi at least bantulah saya sikit kalau dia di rumah.
Tapi tidak, bila di rumah dia sibuk belek batang pancing. Tak pun sibuk basuh kereta, basuh motor. Pendek kata, sibuk dengan hal dia saja. Kalau anak buat sepah depan dia, tak pernah dia ambil peduli. Seolah-olah dia buta dan pekak. Tak nampak dan tak dengar apa anak-anak buat.
Saya bukanlah ibu yang sempurna. Saya tahu tu. Tapi saya cuba nak jadi yang terbaik untuk anak-anak. Saya sayangkan dorang. Tapi sebabkan badan penat dan mental pun ‘beku’, selalu saya lepaskan marah pada anak-anak.
Setakat hanger tu, dah biasa saya libas kat badan dorang. Selain hanger, kadang-kadang saya sebat dengan getah paip. Eh, macam-macamlah. Apa yang saya sempat capai waktu tu, merasalah anak-anak.
“Ibu dah tak sayang kita ke Along? Selalu pukul kita. Sakit tau Ibu rotan. Kesian Along, selalu kena marah dengan Ibu. Kita lari rumah nak tak Along?”. Hati ibu mana yang tak luluh dengar anak cakap macam tu?
Saya tak sangka sampai anak-anak terfikir nak lari dari rumah sebab saya garang sangat. Mujur anak sulung saya matang dari usia dia. Saya dengar dia pujuk adik-adik. Dia kata, Ibu marah sebab sayang. Jujurnya, air mata saya berjuraian hari tu mengenangkan apa yang anak-anak dok sembang.
Bila saya minta suami tolong, suami kata itulah tugas seorang emak. Besarkan anak, didik mereka supaya jadi manusia. Habis tu, apa tugas ayah?
Kalau setakat cari nafkah, saya pun bekerja. Saya pun ada duit. Gaji saya pun boleh tahan. Kalau macam tulah prinsip kekeluargaan dia, baik bercerai saja.
At least tak ada saya rasa sakit hati sebab memang saya tahu, tak ada siapa nak bantu saya. Kalau dia ada pun di rumah, tak guna. Tak ada fungsi langsung, buat sakit hati saja.
Yang dia tahu condemn saya. Dia kata buat kerja sikit saya nak marah-marah. Apa yang nak letih sangat? Dia tak nampak ke apa saya buat? Dia sampai rumah awal dari saya, tapi langsung tak nak tolong. Saya juga yang terkejar-kejar jemput anak dari sekolah. Sedangkan bila kami anak-beranak sampai rumah, nampak dia punya ‘sedap’ tengok TV. Tak bertimbang rasa betul!
Saya tak sampai hati bila anak-anak jadi mangsa. Selalu saya lepaskan geram pada dorang. Saya marah-marahkan dorang. Tapi setiap kali saya minta maaf, dorang maafkan.
Waktu saya duduk rehat, dorang datang picitkan kaki dan badan saya. Walaupun tak adalah rasa sangat urutan tu, saya tahu anak-anak usaha nak ambil hati saya. Yang si abang, dah pandai ambilkan air untuk saya minum.
Sebenarnya anak-anak saya ni semuanya baik. Semuanya penyeri kehidupan saya. Saya sayang sangat pada dorang. Saya tak kisah kalau suatu hari terpaksa berpisah dengan suami pun tak apa. Tapi, jangan ambil anak-anak saya. Saya tak perlukan suami kalau anak-anak dah ada untuk bahagiakan saya.
Saya pernah berbincang hal ni dengan suami, tapi dia buat tak tahu. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tak ada guna nak bawa berbincang soal ni dengan dia. Kalau berterusan macam tu perangai dia, saya pun tawar hati untuk teruskan perkahwinan kami ni.
Untuk semua pembaca Pa&Ma, tolong doakan kebahagiaan saya dan anak-anak. Doakan juga supaya satu hari nanti, suami saya mahu berubah. Terima kasih sudi baca luahan perasaan saya ini.
Sekiranya anda ada kisah atau pengalaman yang mahu dikongsikan bersama Pa&Ma, sila klik KONGSI CERITA.