Empat jam setelah menerima rawatan di hospital selepas dipatuk ular, akhirnya kanak-kanak lelaki berusia setahun lima bulan pergi menghadap ilahi di Hospital Rembau, Negeri Sembilan.
Menerusi laporan Astro Awani, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam (23 Julai), mangsa Muhammad Danial Iqwan Muhammad Hafiz dipatuk ular di kediamannya di Kampung Seberang Batu Hampar, Solok Jelawai Hilir, Rembau.
Bermain bersama abang dalam bilik tidur
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, insiden malang itu berlaku ketika mangsa sedang bermain bersama abangnya di bilik tidur utama rumah berkenaan.
Ketika kejadian, mangsa sedang bermain dengan abangnya berusia tiga tahun sebelum ibunya yang turut berada di dalam bilik berkenaan terdengar jeritan anak bongsunya itu.
Ibu nampak seekor ular, ada kesan patukan di tapak tangan
Ibu mangsa kemudian melihat terdapat seekor ular masuk ke lubang dalam bilik tersebut dan mendapati ada kesan patukan di tapak tangan sebelah kiri mangsa.
Mengulas lanjut beliau berkata, wanita berkenaan terus membawa anaknya ke Hospital Rembau sebelum kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada jam 1 pagi Sabtu. Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Kredit: Astro Awani
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)