Seorang bapa mungkin lebih tegas berbanding ibu. Ekspresi wajahnya saja sudah cukup untuk membuat anak-anak merasa takut. Nampak garang, tetapi di sebalik wajah itu tersembunyi rasa cinta seorang ayah terhadap anak-anaknya.
Menunjukkan rasa sayang kepada anak-anak bukan sahaja membuatkan mereka terasa disayangi tetapi sebenarnya ia adalah sunnah Rasulullah SAW. Bagi ayah yang mungkin jarang menzahirkan rasa sayang terhadap anak-anak, Rasullulah SAW pernah memberi nasihatnya berkenaan hal ini.
Terdapat sebuah kisah dahulu ketika Nabi mencium kedua orang cucunya iaitu Hasa dan Husain bin Ali bin Abi Thalib. Kejadian ini menurut sebuah riwayat oleh Abu Hurairah, disaksikan oleh al-Aqra bin Habis. Lalu dia pun berkata, “Sesungguhnya, aku memiliki sepuluh orang anak. Dan, tidak pernah aku cium seorang pun daripada mereka.”
Selepas mendengar pengakuan jujur al-Aqra, Rasullullah SAW lalu bersabda:
“Barang siapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.”
Sebenarnya, mencium anak merupakan salah satu cara seorang ayah memberitahu anak-anak bahawa dia menyayangi mereka. Amalan itu akan mewujudkan rasa sayang anak-anak kepada si ayah. Jika tiada, maka kasih sayang antara seorang ayah dan anak-anak tidak sempurna. Satu kisah lain ketika ada seseorang bertemu dengan Rasullullah SAW dan dia ditanyakan pernahkah dia mencium anak-anaknya. Dia bertanya semula mengapa perlu dia berbuat demikian.
Lantas ditanyakan semula kepadanya, seandainya dia mahu Allah SWT mencabut kasih sayang dari hatinya.
Ada juga riwayat lain yang menceritakan tentang kasih sayang Rasullulah SWT apabila anaknya Fathimah az-Zahra melawatnya, pasti Baginda akan menjemput anaknya itu dan menudukkannya di atas kerusi lalu diciumnya. Biarpun ketika sedang sakit, Baginda tetap melakukannya.
Tidak hairanlah, mengapa Fathimah seperti yang diceritakan melalui lanjutan hadis ini, dia juga akan melakukan begitu kepada Baginda saat ayahnya datang menziarahinya.
Ya, cara Rasullulah SAW ini indah. Jadikan ia teladan agar kita dapat menjadi ibu bapa yang lebih prihatin dan penyayang. Semoga dengan mengikut sunnah ini, kasih sayang dalam rumah tangga bertambah mekar dan mewangi.
Sumber: Keluarga Cinta