Keibubapaan

“Ilmu Menyusu Sangat Penting” Webinar Ya Aku Mampu Susukan Anak! Sarat Ilmu Penyusuan Percuma

Share

Pencapaian membanggakan untuk komuniti ibu menyusu apabila penganjuran webinar penyusuan terbesar Ya, Aku Mampu Susukan Anak (YAMSA) anjuran Pa&Ma pada Sabtu lepas berjaya menghimpunkan lebih daripada 1000 peserta bersama barisan speaker yang hebat dan berkredibiliti dalam bidang penyusuan.

Webinar yang diadakan selama satu hari, bermula dari jam 9.30 pagi sehingga 5.30 petang ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu menyusu dan ibu hamil yang mendaftar diri sebagai peserta.

Walaupun diadakan secara virtual, kemeriahan tetap dirasakan kerana ruangan chat box dihujani pelbagai komen dan soalan daripada peserta. Para peserta tetap bersemangat mengikuti webinar ini sehingga ke penghujung.

Apa yang seronoknya tentang webinar sehari ini kerana menyediakan pelbagai perkongsian menarik daripada para speaker yang dijemput.

Webinar dimulakan dengan acara cabutan bertuah bagi menghangatkan suasana pagi dan diikuti tazkirah oleh Ts Siti Fatahiyah Mahamood yang berkongsi garis panduan apa amalan yang patut dilakukan dan perkara yang patut dielakkan oleh ibu menyusu sepanjang mereka menyusukan anak.

Acara bertambah semangat apabila sesi Kaunselor Laktasi terkenal, Nad Masrom memulakan perkongsiannya dengan mengupas topik utama webinar Ya, Aku Mampu Susukan Anak!

Rata-rata peserta yang terdiri daripada ibu pertama kali seronok dengan perkongsian ilmu penyusuan dan semangat yang diberikan oleh Nad Masrom untuk terus menyusukan anak.

Ruangan chat box dipenuhi banyak soalan pelbagai masalah penyusuan untuk dijawab oleh Nad Masrom.

Slot seterusnya bersama Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi yang tidak asing lagi Dr Maiza Tusimin yang berkongsi topik Ibu Sakit Dan Cabaran Menyusukan Anak.

Penjelasan Dr Maiza dapat melegakan hati ibu menyusu yang sering tertanya-tanya bolehkah mereka terus menyusukan anak sekiranya sakit dan mengambil ubat.

Masih Ada Harapan

Bagi meleraikan masalah yang sering ditakuti oleh ibu-ibu menyusu iaitu masalah susu berkurangan, Kaunselor Laktasi yang juga merupakan pelakon drama terkenal Ika Nabella mengupas topik Susu Ibu Drop, Jangan Give Up Masih Ada Harapan.

Penjelasan Ika yang bersemangat dengan pelbagai tip mengurangkan tekanan apabila berhadapan dengan situasi normal susu drop melegakan kerisauan para ibu.

Selesai memahami permasalahan penyusuan para ibu menyusu, webinar turut menampilkan speaker kaum bapa yang turut tidak terkecuali merupakan penyokong tegar penyusuan susu ibu iaitu Muhammad Noor Zakaria.

Bapa kepada sepasang cahaya mata yang bakal menimang anak ke-3 ini sememangnya terkenal dengan bahan media sosialnya yang mempromosikan kebaikan penyusuan susu ibu.

Muhammad Noor mengupas topik Real Dad Support Breastfeeding dari kaca mata dirinya sebagai bapa yang telah berjaya memastikan dua orang anaknya mendapat khasiat susu ibu sehingga mereka berusia dua tahun.

Sebelum melabuhkan tirai, sesi terakhir menampilkan selebriti mama yang juga seorang pelakon terkenal satu masa dahulu iaitu Raja Farah Raja Aziz.

Pelakon filem Anak Halal ini sudah lama menyepikan diri dari dunia lakonan sejak bergelar ibu kepada tiga orang anak. Menurut perkongsian Raja Farah dalam topik BF Journey, Lain Anak Lain Ragamnya, menyusukan dua orang anak lelaki sangat berbeza dibandingkan dengan anak perempuannya yang baru berusia empat bulan.

Katanya, anak perempuan nampak lebih bertenang dan tidak berapa kuat menyusu dibandingkan anak-anak lelakinya yang juga kuat ‘mengempeng’.

Antara kupasan menarik oleh speaker webinar Ya, Aku Mampu Susukan Anak!

1. Menurut Ts Siti Fatahiyah, ibu menyusu seharusnya menjaga akhlak dan tingkah laku sepanjang menyusukan anak kerana ia akan mempengaruhi pembentukan karektor anak yang menyusu.

2. “Anak pertama saya telah mengalami alahan pada susu formula dan saya telah kehilangannya pada usia 21 hari semasa saya masih dalam pantang. Saya mengalami kemurungan teruk. Kegagalan saya kerana kekurangan ilmu penyusuan.” Nad Masrom.

3. Di dalam slotnya, Dr Maiza berkongsi aplikasi yang membantu para ibu menyusu memeriksa ubat yang boleh diambil apabila menyusukan anak ketika sakit.

4. “Bila berlakon pengarah selalu bagi pegang watak sedih, jadi susu pun ikut sedih nak keluar. Sepanjang 2 tahun 3 bulan menyusu anak, Ika berpegang pada prinsip yang Ika buat sendiri iaitu 5 M iaitu “Mindset, Matlamat, Motivasi, Mentor, Member.” – Ika Nabella.

5. “Peranan seorang ayah adalah provider, jadi dia harus menyediakan dari segala segi iaitu kasih sayang, tempat tinggal, pendidikan untuk bagi keluarga rasa selamat termasuk makanan dan untuk baby mereka hanya minum susu dan susu ibu adalah yang terbaik.” – Muhammad Noor.

6. Menurut Raja Farah, anak keduanya langsung tidak pandai menyusu terus dari puting payudara dari lahir sampai usia 2 bulan. Sepanjang dua bulan itu dia gigih mengepam dan bersyukur selepas itu anaknya boleh menghisap direct dan dia mampu menyusukan selama dua tahun.

Selain perkongsian ilmu dan pengalaman dari panel jemputan, webinar semalam turut dimeriahkan dengan acara Teka & Menang serta cabutan bertuah. Memang gamat walaupun secara virtual.

Pa&Ma mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta yang komited dengan webinar sepanjang hari semalam. Teruskan bersama kami untuk acara anjuran Pa&Ma yang akan datang, sehingga kita berjumpa lagi!

 

 

 

Published by
Hasnita Sawal