Mempunyai anak autisme juga merupakan satu anugerah terindah. Dengan itu, kita diajar menjadi ibu ayah yang lebih tabah dan sentiasa positif serta bersabar dengan kerenah anak yang macam-macam. Dengan cara yang betul, kita dapat tackle anak autisme ini untuk menjadi individu yang berjaya dan berpotensi tinggi.
Ikuti perkongsian panduan oleh salah seorang Terapis Carakerja di Excel Qhalif Playgroup Xtra. Semoga menjadi panduan buat ibu bapa dan guru-guru mengendalikan anak-anak istimewa ini.
Sebagai seorang guru dan terapis kepada kanak-kanak autism, saya berasa sangat bangga sekiranya apabila saya berbual-bual dengan sesiapa mengenai skop kerjaya saya dan mereka mengetahui tentang autism.
Ini bermaksud kesedaran mengenai autism sudah semakin meluas di Malaysia, alhamdulillah. Ini adalah satu petanda yang sangat baik dan insyaAllah sekiranya semakin meluas kesedaran, semakin luas juga penerimaan masyarakat terhadap anak-anak istimewa ini.
“Autisme tu yang selalu kepak-kepakkan tangan tu kan?”
“Kanak-kanak autism ni kan selalu tantrum…”
“Dekat sekolah anak saya pun ada kanak-kanak autism ni,.. anak saya cerita diorang suka susun-susun barang..”
“Diorang kan hebat main puzzle..”
Begitulah antara dialog-dialog biasa yang saya dengar dari perspektif mereka yang mengetahui autism dengan hanya mengenal seorang dua individu autism ataupun yang mengenal autism daripada pembacaan dan tidak kurang juga yang mengetahuinya daripada drama dan movie.
Well, walaupun isi dalam perbualan itu benar semuanya, tapi boleh juga saya katakan isi perbualan itu juga adalah stereotaip atau generalize tentang kanak-kanak autism. Namun, saya tidak salahkan mereka apabila memandang individu autism dari satu-satu sudut sahaja, kerana dulu saya juga begitu, dan kerana autism yang dihebah-hebahkan di bahan bacaan, di drama dan di movie juga begitu.
Tetapi alangkah bagusnya jika kita semua mengetahui, bahawa individu autism juga mempunyai karakteristik mereka tersendiri, mereka juga ada individualiti mereka tersendiri, sama seperti kita yang tipikal. Jika ada antara kita yang mempunyai minat mengumpul setem, sebahagian daripada mereka pula minat menyusun barang.
Well said, menyusun barang itu adalah minat bagi mereka, bukanlah menyusun barang itu yang menjadikan mereka autism – ini yang saya maksudkan sebagai stereotaip pada autism (dan bukan semua individu autism minat menyusun barang, ya!)
Jika kita meninggikan suara dan mengerutkan kening apabila kita marah, kanak-kanak autism pula yang biasa dilihat tantrum seperti berguling-guling di lantai atau menghantuk-hantukkan kepala apabila marah.
Mereka tantrum bukan kerana mereka autism, mereka tantrum kerana mereka marah, tetapi tidak dapat mengekspresikannya dengan menggunakan perkataan dan meninggikan suara seperti kita (kerana limitasi mereka dalam komunikasi).
Bukan semua kanak-kanak autism hebat main puzzle, bukan semua juga suka susun barang. Jangan expect semua individu autism genius, jangan anggap semua individu autism juga lemah dalam komunikasi. Mereka juga sama seperti kita, ada kelebihan dan kelemahan masing-masing.
Tidak dinafikan individu autism adalah individu yang istimewa, namun bukan bermaksud mereka sentiasa perlukan layanan yang istimewa, tetapi apa yang mereka perlukan adalah cara didikan yang lebih istimewa. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak autism, cuba layan anak autism anda sama seperti anak-anak anda yang lain.
Sekiranya anak lain seawal usia tiga atau empat tahun sudah kita didik untuk memakai baju sendiri, makan menggunakan sudu sendiri, ‘toilet training’, menyimpan barang mainan mereka sendiri misalnya.
Anak autism juga sudah boleh dilatih seawal itu, bezanya mungkin teknik didikan dan tempoh masa yang akan mereka ambil untuk dilatih sehingga mahir berdikari adalah lebih lama berbanding kanak-kanak biasa.
Jika anak lain kita tegur dan denda apabila mereka melakukan kesalahan, kita puji dan beri hadiah jika mereka mendapat sesuatu pencapaian, anak autism juga layak menerima teguran dan denda, pujian dan hadiah, sedikit bezanya adalah cara pelaksanaannya.
Individu autism juga terkenal dengan ‘berada dalam dunia mereka sendiri’. Sebagai ibu bapa, terapis, dan guru, kita sibuk memikirkan bagaimana rawatan atau cara untuk ‘mengeluarkan’ mereka dari ‘dunia’ mereka dan ‘memasukkan’ mereka ke ‘dunia’ kita.
Apa kata kadang-kala kita tukar cara fikir : “Apa kata aku cuba masuk ke dunia dia”. Cuba letakkan sudut pandang kita pada sudut pandang mereka. Cuba tempatkan hati kita dalam dada mereka. Walaupun mungkin kita tidak akan faham sepenuhnya, insyaAllah akan terbuka sedikit jalan untuk kita memahami mereka secara individunya mereka, bukan hanya sekadar autism nya mereka.
Jadi bagi ibu bapa, guru-guru, terapis-terapis, dan masyarakat umum juga, apa yang penting bagi kita, selain daripada mempunyai kesedaran mengenai autism, penting juga untuk kita mengenali dan menghormati kanak-kanak atau individu autism secara individualiti mereka.
Memang benar kadang-kala mereka ini kelihatan sama, berkongsi ciri-ciri yang sama, tetapi mereka juga ada kelainan, kekurangan dan kelebihan antara satu sama lain. Semoga dengan keterbukaan kita untuk memahami mereka, akan membuka lebih lagi ruang dan peluang untuk masa depan mereka yang lebih baik, insyaAllah.
Sumber: www.excelqhalif.com