Indius ialah proses memulakan proses bersalin dengan menggunakan ubat-ubatan dan cara mekanikal. Ia adalah salah satu pilihan bagi doktor yang sudah mengambil kira tempoh menunggu memberikan risiko yang tinggi kepada ibu dan bayi berbanding risiko indius.
Menurut Dr Siti Esah Bahari, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan KPJ Selangor Specialist Hospital, Antara keadaan yang memerlukan indius ialah:
- Overdue
Ia melibatkan kehamilan melebihi tarikh jangkaan bersalin. Selalunya melebihi 41 minggu. Ia dilakukan untuk mengelakkan bayi lemas. Overdue boleh menyebabkan uri tidak berfungsi dengan baik dan kemungkinan bayi sudah membuang air besar.
- Pecah air ketuban
Indius akan dimulakan sebagai langkah untuk mempercepatkan kelahiran dalam masa 24 jam. Hal ini sangat mustahak untuk mengelakkan berlakunya jangkitan kepada bayi dan ibu. Jika usia kehamilan kurang daripada 34 minggu, indius tidak dilakukan sebaliknya ibu dan bayi diberikan ubat-ubatan untuk meneruskan kehamilan. Antaranya ialah ubat untuk mematangkan paru-paru bayi.
- Ibu berpenyakit
Penyakit seperti praeklampsia, memerlukan indius awal bergantung pada tahap keseriusan. Selain praeklampsia, diabetes dan kegagalan buah pinggang juga adalah antara penyakit yang memerlukan kelahiran secara indius.
- Keadaan abnormal bayi
Bayi dalam kandungan yang mengalami pertumbuhan terencat, kurang pergerakan atau air ketuban yang semakin kurang memerlukan indius.
- Pendarahan
Ibu mengalami pendarahan atau antepartum haemorrhage yang serius atau teruk.
- Logistik
Permintaan daripada pasangan disebabkan oleh pelbagai sebab untuk kemudahan si ibu seperti pasangan akan keluar negara, mahu bayi lahir pada tarikh tertentu dan sebagainya.
Kelahiran secara indius lebih menyakitkan daripada kelahiran yang tercetus secara spontan. Ia akan berlaku secara mengejut dan tidak berperingkat. Antaranya ialah kekerapan, ketegangan dan ritma meningkat dengan pantas. Berbeza dengan kelahiran semula jadi. Dengan ini, proses kelahiran akan lebih pendek. Anda perlu tahu dan menjangkakan keadaan ini serta bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk menghadapinya.
Proses indius
Proses indius dilakukan dengan dua cara yang berlainan bergantung pada keadaan pangkal rahim atau ripening of the cervix. Dua cara indius akan ditentukan sama ada indius yang menggunakan ubat-ubatan atau alat-alatan.
Ubat-ubatan
Pemilihan jenis ubat-ubatan ditentukan berdasarkan keadaan semasa pangkal rahim.
- Prostaglandin
Prostaglandin ialah sejenis hormon yang dimasukkan menerusi vagina semasa pangkal rahim masih ketat (bukaan 0sm) dan tebal. Ia bertujuan untuk melembutkan serviks dan memulakan kontraksi.
- Oxytocin/ pitocin
Oxytocin atau pitocin diberikan dalam bentuk cecair intravena apabila serviks sudah lembut dan ketuban boleh dipecahkan.
Alatan
- Sweepe & strecth (S&S)
Ia adalah satu prosedur yang memisahkan kantung ketuba bayi daripada serviks menggunakan jari tangan. Tindakan ini akan membantu perembesan hormon prostaglandin semula jadi dari tubuh anda yang bakal menggalakkan bukaan serviks.
- Amni hook
Apabila bahagian serviks sudah terbuka, doktor akan memecahkan membran kantung ketuban dengan menggunakan amni hook untuk memecahkan selaput rahim dan akan dibantu oleh pitocin yang dialirkan melalui intravena.
- Foley balloon cathether
Foley balloon cathether pula ialah sejenis alat yang mempunyai belon di hujungnya. Alat ini dimasukkan ke dalam pangkal rahim untuk merangsang perembesan hormon prostaglandin semula jadi yang akan membuka serviks untuk melancarkan proses kelahiran.
Prosedur induksi
Anda yang disahkan bakal melalui induksi akan diberikan hormon prostaglandin dalam bentuk pil, gel atau tablet yang bertindak secara perlahan (slow release) menerusi vagina. Anda akan dipantau selama enam jam dari segi rentak jantung bayi, kontraksi dan keadaan bayi.
Pengambilan hormon prostaglandin menerusi pil mengurangkan daya kawalan terhadap proses kelahiran terutamanya kepantasan proses kelahiran berbanding oxytocin atau pitocin yang diberikan melalui intravena yang boleh dikawal pengambilannya dalam tempoh tertentu. Sekiranya hasil pemantauan menunjukkan tiada bukaan rahim, dos kedua akan diberikan. Pemberian dos kedua dipertimbangkan oleh doktor bergantung kepada profil anda iaitu jumlah anak dan sejarah kelahiran secara pembedahan caesarean.
Komplikasi dan risiko
Penting untuk anda untuk mengetahui apa yang akan berlaku sepanjang proses induksi dijalankan supaya persediaan emosi dan fizikal dapat dilakukan. Dengan memahami pro dan kontra induksi serta risiko yang akan didepani, maka lebih mudah menjangka apa yang akan berlaku kepada bayi dan anda seterusnya. Risiko kelahiran secara induksi ialah:
- Bagi bayi yang tidak sihat seperti mengalami kerencatan atau dikenali sebagai stress baby, proses kelahiran secara induksi boleh menyebabkan bayi lemas.
- Induksi juga boleh menyebabkan rahim pecah (uterine rapture) bagi anda yang mempunyai parut daripada pembedahan kepada rahim seperti caesarean atau
- Ia juga meningkatkan risiko kelahiran secara pembedahan
- Kelahiran bayi lahir pramatang.
- Jangkitan kepada anda dan bayi menerusi teknik-teknik yang dilakukan ke atas diri anda untuk mempercepatkan kelahiran.
- Pendarahan yang banyak (tumpah darah) boleh berlaku kerana kelahiran secara induksi menyebabkan kontraksi yang lebih kuat.
- Boleh menyebabkan uri lekang (abruptio placenta).
Anda perlu memahami mengapa kelahiran bayinya perlu prosedur indius. Pemahaman ini menjadi perkara pokok yang membantu proses kelahiran berjalan lancar. Sekiranya kurang jelas, anda perlu bertanya kepada doktor tentang prosesnya dan apa yang dijangka akan berlaku.
Penting bagi anda mengetahui kelahiran indius boleh berakhir dengan pembedahan caesarean kerana kegagalan bukaan serviks setelah ubat-ubatan dan alatan digunakan dalam tempoh yang diberikan. Doktor yang merawat tentu sudah mempertimbangkan jangka masa, faktor keadaan dan risiko bayi lemas sebelum indius dijalankan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI