
Innalillahiwainnaillahirajiun. Salam takziah buat ahli keluarga arwah adik Nurhan Eshan Bin Nakquiyuddin. Pemergian insan kecil berusia empat tahun ini benar-benar menyentuh hati ramai apabila disahkan meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A H1N1 pada 8 Oktober lalu.
Kisah Sedih Adik Nurhan Eshan

Arwah merupakan murid Tabika KEMAS Kg Sadong Jaya A, Kota Samarahan, Sarawak. Jenazah diuruskan di Hospital Umum Sarawak sebelum dibawa ke Kg Pendam Ulu Sadong untuk dikebumikan.
Difahamkan, kesihatan adik Eshan merosot secara mendadak sebelum menghembuskan nafas terakhir. Keluarga redha dengan ketentuan Ilahi walaupun kehilangannya sangat dirasai.
Menerusi perkongsian di media sosial, bapanya, Nakquiyuddin berkongsi luahan hati kehilangan anak tersayang yang masih kecil.
“Belum puas bermanja namun kami perlu menerima hakikat pahit ini,” katanya yang turut berkongsi coretan di media sosialnya.
“Kmk waris Nurhan Eshan Bin Nakquiyuddin dengan rendah hati kmk nak berterima kasih kepada yang telah mendoakan kesembuhan untuk anak kmk. Semoga doa yang baik semua berbalik kepada kalian. Tapi kita hanya merancang, ketentuan Allah adalah mutlak.
“Pemergian anak kmk adalah disebabkan Influenza A H1N1 yang berlaku dalam masa yang singkat. Belum sempat jumpa penawar kmk hilang cahaya mata yang tersayang. Tapi ya cuma asbab kerana semua dah tertulis di Luh Mahfuz.

“Terima kasih ya Allah Tuhan sekalian alam sebab dah pinjamkan Adek untuk kami sekeluarga walaupun sekejap. Peninggalan yang memberikan kesan dalam jiwa, pahit yang terpaksa ditelan. Belum puas kmk orang nak bermain dengannya tapi kami Redha Ya Allah..
“Ya Allah, tenangkanlah hati kami yang rindu pada anak syurga ini. Lapangkanlah dada kami untuk menerima hakikat yg telah tertulis. Pinjaman Allah yang terindah. Ayah, ibu abang Eiman, Mbah Nenek semua sayang adek.”
Wabak Influenza A H1N1 Sedang Merebak
Difahamkan, setakat ini sekurang-kurangnya enam buah sekolah di Sarawak dilaporkan dijangkiti virus Influenza A H1N1. Orang awam disaran memakai pelitup muka dan mengelakkan kehadiran ke kawasan sekolah yang terjejas bagi mengekang penularan.
Apa Itu Influenza A H1N1?
Influenza A H1N1 ialah sejenis virus selesema yang menyerang sistem pernafasan. Ia boleh merebak dengan cepat melalui titisan kecil apabila seseorang batuk, bersin, atau bercakap. Walaupun kelihatan seperti selesema biasa, ia boleh menjadi serius terutamanya bagi kanak-kanak kecil, ibu hamil, warga emas, serta individu yang mempunyai penyakit kronik.
Jika tidak dirawat dengan betul, jangkitan ini boleh menyebabkan radang paru-paru (pneumonia) atau komplikasi lain yang berbahaya.
Simptom Influenza A Yang Patut Diperhatikan
Antara tanda-tanda yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa termasuk:
- Demam tinggi mendadak (melebihi 38°C)
- Badan menggigil dan sakit sendi
- Batuk kering serta tekak perit
- Hidung berair dan selsema berpanjangan
- Letih melampau dan hilang selera makan
- Muntah atau cirit-birit (lebih kerap pada kanak-kanak)
Jika simptom ini berlarutan lebih dua hingga tiga hari tanpa pulih, segera dapatkan rawatan doktor bagi memastikan bukan jangkitan Influenza A H1N1.
Tindakan Ibu Bapa Lindungi Anak Daripada Influenza A
Bagi mencegah penularan virus ini, ibu bapa disarankan untuk:
- Pastikan anak cukup tidur dan makan makanan berkhasiat
- Bekalkan sanitizer dan tisu basah ke sekolah
- Galakkan anak memakai pelitup muka bila perlu
- Ajar etika batuk dan bersin yang betul
- Kenal tanda awal jangkitan untuk tindakan segera
- Berikan makanan yang bantu tingkat imuniti seperti buah sitrus, madu, sup ayam dan sayur hijau
Langkah Bila Sudah Dijangkiti Influenza A

Jika ahli keluarga mula menunjukkan simptom, jangan panik. Berikut langkah yang boleh diambil:
- Asingkan sementara dan pastikan rehat mencukupi
- Segera berjumpa doktor untuk ujian dan rawatan antiviral
- Minum air secukupnya dan makan makanan ringan seperti bubur atau sup
- Pakai pelitup muka walaupun di rumah bagi mengelakkan jangkitan
- Pantau keadaan dan terus ke hospital jika ada sesak nafas atau demam berpanjangan
Ibu Bapa Juga Perlu Menjaga Diri
Apabila anak sakit, ramai ibu bapa terlalu fokus sehingga mengabaikan diri sendiri. Akibatnya, imun badan menurun dan turut dijangkiti Influenza A H1N1. Pastikan anda cukup rehat, minum air banyak dan elakkan aktiviti luar sementara waktu.
Kesedaran dan Harapan
Kita tidak dapat mengelak virus 100%, tetapi boleh menguatkan pertahanan badan dengan gaya hidup sihat dan pencegahan awal. Semoga kisah pemergian adik Nurhan Eshan menjadi peringatan buat kita semua agar lebih peka terhadap kesihatan anak-anak. Al-Fatihah buat arwah, semoga ditempatkan di kalangan orang beriman. Aamiin.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!










