Selamat Hari Autisme! Anak-anak autisme juga mempunyai hak untuk melakukan aktiviti  seperti kanak-kanak normal lain. Untuk merangsang otak mereka, ibu ayah boleh melakukan berapa aktiviti yang boleh membantu menjana mindanya.

Panduan yang disediakan oleh  Dr Airil Haimi Mohd Adnan,Ketua Pusat Pengajian di UiTM Perak dan penyelidik aktif psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal dengan harapa menjadi panduan buat ibu bapa.

 

Info Penting! 7 Aktiviti Ini Cara Stimulasi Minda Anak Autisme

Aktiviti 1

Terdapat beberapa permainan yang agak tradisional seperti catur atau dam dan lain-lain lagi yang yang terdapat di kedai serbaneka dan kedai permainan yang menawarkan peluang untuk si kecil autistik mencuba kemahiran seperti mengalihkan sesuatu, berkongsi sesuatu dan menunggu gilirannya.

Namun, pastikan apabila anda memilih permainan seperti ini, cuba pilih yang tidak mengambil terlalu banyak masa untuk dihabiskan. Ini kerana tempoh fokus si kecil yang autistik mungkin agak terhad.

Aktiviti 2

Rata-rata, ramai kanak-kanak dengan autisme sentiasa mahu bergerak aktif. Ini kerana mereka amat menikmati pergerakan memanjat, berlari, berayun, melompat dan lain-lain lagi. Kadangkala hal ini mendatangkan mudarat kepada mereka.

IKLAN

Apa kata papa dan mama gunakan minat ini untuk melibatkan si kecil autistik dengan aktif? Aktiviti seperti berayun di atas buaian (dengan seliaan orang dewasa) boleh menjadi menyeronokkan. Melompat di atas trampolin, berlari bebas di padang atau taman rekreasi juga boleh dijadikan rutin positif untuk si kecil dengan autisme.

Aktiviti 3

Sesetengah kanak-kanak yang autistik benar-benar menikmati aktiviti dengan plastisin, bermain dengan pasir, lumpur atau bahan-bahan yang mungkin ‘menggelikan’ kanak-kanak lain. Yang paling utama, ikutlah kehendak si kecil anda sendiri kerana yang utama ialah proses memfokus deria sebagai kanak-kanak dalam Spektrum Gangguan Autisme.

Aktiviti seperti ini dapat menjadi aktiviti yang menyeronokkan untuk si kecil autistik anda dan pada masa yang sama dapat melatihnya mengawal deria dan rangsangan yang ada kalanya boleh merimaskan dan melemaskan kanak-kanak yang ada gangguan autisme.

Aktiviti 4

IKLAN

Muzik memotivasikan kanak-kanak. Kanak-kanak yang autistik tetapi dengan kepekaan bunyi yang tinggi akan menikmati muzik sebagai suatu medium untuk merangsang dan menenangkan diri mereka.

Mama dan papa juga boleh mencari jalan untuk memasukkan elemen muzik dan lagu ke dalam aktiviti yang dilakukan dengan si kecil yang autistik pada setiap hari. Sebagai contoh, sambil menyanyi boleh dilakukan pergerakan aktif seperti menari dan menonton video muzik untuk kanak-kanak yang membawa keriangan.

Aktiviti 5

Aktiviti pembinaan disukai oleh kanak-kanak lelaki dan juga perempuan. Untuk anak kecil yang autistik, aktiviti seperti ini banyak faedahnya seperti mendidik kesabaran dan membantu koordinasi diri serta kawalan rangsangan yang terlampau.

Lebih menarik lagi, papa dan mama tidak semestinya harus membeli blok permainan binaan yang mahal-mahal. Ini kerana kotak kosong, alatan dapur yang tidak terlalu berat atau mudah pecah serta tajam, malah apa sahaja yang sesuai boleh digunakan untuk aktiviti berbentuk permainan membina (building things).

IKLAN

Aktiviti 6

Kanak-kanak autistik adalah insan yang mempunyai deria visual yang juga kuat. Maka, ramai kanak-kanak yang berada dalam Spektrum Gangguan Autisme amat menyukai kegiatan seni dan kraftangan termasuk menconteng dan meluksi yang menyenangkan dan memotivasikan mereka.

Seni dan kraf juga boleh menjadi aktiviti bahasa yang hebat sambil menawarkan peluang penting untuk mengembangkan kemahiran motor halus. Namun, pastikan aktiviti ini bersesuaian dengan tahap perkembangan si kecil yang ada gangguan autisme berkenaan.

Aktiviti 7

Dalam ruangan ini bulan lepas, kita telah berbincang panjang lebar tentang manfaat demi manfaat komputer tablet, telefon pintar dan gajet serupa dalam perkembangan kanak-kanak pada tahap pendidikan usia praformal.

Manfaat yang sama juga pasti dapat diraih oleh si kecil yang autistik. Autismenya tidak harus menjadi halangan untuk si kecil itu menikmati pembelajaran menerusi teknologi yang pasti menghiburkan. Hanya kata-kata kunci ‘dalam keadaan terkawal’ perlu menjadi panduan utama dalam menggunakan gajet agar tidak pula ketagihan pada hari muka.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI