Ramai ibu ayah beranggapan perangai anak adalah perkara biasa seorang kanak-kanak. Tapi rupanya itu antara ciri-ciri anak bijak yang ada pada anak kita. Mungkin sesetengah ibu bapa beranggapan anak bijak adalah yang mempunyai tahap akademik yang baik semasa di sekolah nanti.
Sebenarnya tahap kecerdasan si anak boleh diketahui lebih awal sebelum mereka masuk sekolah lagi. Bijak itu sesuatu yang subjektif. Bukan hanya tertakluk kepada pencapaian akademik semata-mata sahaja kerana ada banyak perkara yang boleh diteroka oleh si kecil asalkan betul caranya.
Jom semak ciri-ciri anak bijak ini, mungkin ia ada pada anak anda.
1. Daya ingatan yang kuat
Perasan tak ada kanak-kanak yang mempunyai daya ingatan kuat sehingga boleh ingat segala apa yang dijanjikan oleh ibu ayahnya meskipun janji tersebut sudah lama. Kadangkala si kecil juga masih ingat macam-macam hal yang berlaku ketika dia masih kecil lagi.
Kanak-kanak yang bijak selalunya boleh ingat bermacam informasi yang pernah didengar atau dilihat dan akan mengulang cakapnya semula. Contohnya kalau dia pernah berkunjung ke muzium, zoo dan sebagainya, si kecil boleh ingat kembali apa yang dilihat di situ dan menceritakan semula dengan baik.
2. Tertarik dengan bermacam perkara
Jika anak anda mempunyai minat yang tinggi terhadap sesuatu perkara seperti minat kereta, dinosaur, ruang angkasa, binatang, laut, kapal terbang dan bermacam perkara lagi, biarkan dia meneroka minatnya itu.
3. Minat nak menulis dan membaca sebelum ke sekolah
Anak yang bijak selalunya mempunyai kemampuan untuk menulis dan membaca lebih awal walaupun belum diajar secara formal di sekolah. Ini disebabkan sikap ingin tahunya yang tinggi terhadap sesuatu perkara.
Perkenalkan anak-anak dengan buku bergambar yang mempunyai sedikit teks sesuai dengan perkembangan usianya. Biasanya anak bijak akan teruja untuk tahu membaca buku tersebut tanpa perlu dipaksa. Rasa ingin tahu yang datang secara semula jadi itu akan mendorong mereka untuk belajar membaca.
4. Petah bercakap
Geram kalau tengok kanak-kanak yang petah bercakap. Pandai pula dia bersembang macam-macam topik dengan orang dewasa yang melayannya bercakap. Macam-macam jawapan dan pendapat diberinya dengan confident.
Oh, kalau anak anda pun begini maka teruskan beri galakan dan semangat kerana ini ciri anak yang bijak.
Ini kerana kanak-kanak yang petah bercakap mempunyai kemahiran berbahasa yang tinggi kerana mereka mampu meluahkan pendapat dan perasaannya.
5. Boleh fokus pada sesuatu perkara
Biasanya kanak-kanak susah nak fokus dalam masa yang lama, tetapi anak yang ada ciri-ciri kecerdasan tinggi selalunya mempunyai kemampuan boleh memberi perhatian dan fokus.
6. Mempunyai kosa kata yang tinggi
Adakah anak anda mempunyai kosa kata tinggi yang anda sendiri tak jangka mereka akan ucapkan? Mereka faham pada penggunaan perkataan tersebut dan menggunakannya dalam situasi yang tepat serta boleh menyusun ayat dengan struktur yang lengkap pada usia yang masih kecil. Ini antara ciri-ciri anak bijak berbanding kanak-kanak lain seusianya.
7. Seorang yang suka memerhati
Anak cerdas selalunya suka menjadi pemerhati pada orang-orang di sekelilingnya dan apa sahaja yang ada di sekitarnya. Contohnya ketika di taman permainan, dia akan memerhatikan gelagat setiap kanak-kanak, warna pakaian yang dipakai, atau ketika pergi ke mana-mana lokasi dia akan memerhati dan mengingat apa sahaja yang menarik perhatiannya. Kemudian bila-bila masa dia akan bercerita atau bertanyakan pada ibu atau ayah tentang hal-hal yang diperhatikannya.
8. Suka berimaginasi
Jika anak anda suka berimaginasi seperti membayangkan awan berbentuk donut atau haiwan, melukis gambar dengan cerita yang direkanya sendiri, bercakap atau melayan anak patungnya seperti melayan seorang adik, membuat bentuk huruf atau lukisan haiwan menggunakan imaginasinya sendiri, ini merupakan salah satu ciri anak yang bijak.
9. Anak anda sangat aktif
Mungkin ciri ini agak hampir dengan ciri-ciri anak hiperaktif tapi ia ada perbezaannya kerana biasanya kanak-kanak hiperaktif mempunyia tahap konsentrasi yang rendah, tak boleh duduk diam dan banyak melakukan perkara yang dianggap perbuatan nakal.
Sedangkan kanak-kanak yang aktif suka melakukan macam-macam aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikalnya. Ibu ayah mungkin selalu melarang anak yang aktif membuat aktiviti ini kerana beranggapan menyusahkan atau menjengkelkan lalu memberi anak bermain game atau handphone kerana mahu anak duduk diam. Padahal aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal si kecil bagus untuk merangsang kecerdasan anak.
Kadangkala tanpa sedar kita sebagai ibu bapa tidak prihatin akan ciri-ciri yang ditunjukkan oleh anak dan mungkin beranggapan anak seorang yang ‘nakal’ kerana tak tahu duduk diam dan sentiasa ada sahaja aktiviti yang hendak dilakukan. Semoga selepas ini ibu ayah lebih membantu terus merangsang kecerdasan yang dimiliki oleh si kecil supaya dia terus membesar sebagai anak bijak sehingga dewasa.