Ingatkan Anak Kucing, Rupanya Bayi Lelaki Bertali Pusat Dibungkus Tuala

Share

Disangkakan kotak yang diletakkan anak kucing tetapi bila terdengar tangisan baru tahu sebenarnya ada bayi lelaki di dalamnya. Kejadian ini berlaku di hadapan sebuah kedai makan.

Menerusi laporan Sinar Harian, bayi yang masih bertali pusat, diletakkan di dalam kotak dengan keadaan beralaskan sehelai tuala itu ditemui orang awam selepas beberapa jam dibuang.

Bayi itu yang masih bertali pusat ditinggalkan di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Bendahara berhampiran Pasar Besar Kuala Kangsar.

Bayi yang diletakkan di dalam kotak itu masih bernyawa dan dipercayai dibuang sebelum ditemui orang awam sekitar jam 9 pagi (23 Oktober).

Dengar tangisan ketika nak buka kedai

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pemilik kedai berkenaan mendengar bunyi tangisan bayi ketika mahu membuka operasi perniagaan.

“Peniaga itu kemudiannya memeriksa kandungan kotak yang diletakkan di kaki lima kedainya dan menemui bayi lelaki masih hidup.

“Bayi itu masih bertali pusat, diletakkan di dalam kotak dengan keadaan beralaskan sehelai tuala,” katanya.

Dipercayai lahir tak cukup bulan

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan awal, bayi malang itu berkemungkinan dilahirkan kurang 24 jam sebelum dibuang.

“Keadaan bayi ketika ini agak tidak stabil kerana dilahirkan tidak cukup bulan dan kini ditempatkan di Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan ibu bayi berkenaan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya.

Ingatkan kucing yang selalu dibuang orang ramai 

Dalam pada itu, pemilik kedai, Mohamad Kamal Ashari, 25, berkata, pada mulanya peniaga-peniaga di situ menyangka kotak terbabit mengandungi anak kucing.

Tangisan bayi sangat perlahan

Bagaimanapun katanya, sebaik mendengar tangisan bayi, mereka mula curiga dan membuka penutup kotak terbabit.

“Penduduk setempat memang suka membuang kucing di kawasan ini sebab itu kami tak syak apa-apa walaupun ada yang sudah nampak kotak ini dari jam 7 pagi lagi.

“Mujurlah dengar tangisan, namun bunyinya sangat perlahan, rupa-rupanya bayi itu tertutup dengan tuala yang masih ada kesan darah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy