Hakikatnya anak-anak pada usia empat tahun masih belum bersedia untuk memberi fokus terhadap sesuatu perkara di dalam kelas. Justeru, kelas untuk kanak-kanak di bawah empat tahun masih menumpukan sepenuh masa dengan aktiviti bermain sambil belajar.
Kanak-kanak di peringkat usia begini tidak sesuai ditumpukan masanya dengan perkara akademik yang lebih kepada abstrak tetapi lebih kepada aktiviti yang konkrit atau maujud.
Mereka melakukan penerokaan menggunakan deria menggunakan motor kasar dan motor halus. Contohnya bermain bongkah atau lego, kanak-kanak menggunakan deria sentuhan motor kasar dan motor halus.
Malah, mereka kurang fokus di dalam kelas dan tumpuan terhadap sesuatu perkara tidak lama iaitu dalam masa lima minit diberi tumpuan sepenuhnya kemudian perlahan-lahan beralih kepada perkara yang lain.
Bagaimana hendak didik anak ini bermain sambil belajar cara yang betul? Ini caranya!
1.PELBAGAI AKTIVITI
Perlu memberi perhatian dengan mengalihkan aktiviti yang berlainan setiap kali anak-anak beralih tumpuan. Tanya dengan anak-anak terhadap aktiviti yang digemari dan berikan peningkatan cabaran dari mudah ke sukar. Contohnya bermain puzzle atau cantuman yang mudah kepada aras yang mencabar minda anak-anak. Kemahiran penyelesaian masalah menerusi bermain puzzle dapat meningkatkan kereativiti kanak-kanak dalam menyelasaikan masalah dalam situasi tertentu. Beri penghargaan pujian untuk memberi galakkan kepada kanak-kanak meneruskan aktiviti selanjutnya.
2. IBU BAPA TURUT SERTA
Ibu bapa digalakkan memberi ruang masa untuk bersama-sama dengan anak-anak semasa di rumah. Maksudnya semasa anak-anak melakukan aktiviti ibu bapa digalakkan berada di sampingnya. Terdapat peningkatan jika anak-anak diberi tumpuan oleh ibu bapa. Kajian menunjukkan semakin banyak penumpuan ibu bapa terhadap anaknya, perkembangan kognitif dan sosialnya lebh baik. Kajian lain juga menunjukkan banyak kemahiran yang diperolehi oleh anak-anak seperti kemahiran bahasa, penerokaan, penyelesaian masalah, pembelajaran akademik, interaksi sosial, kerjasama, permainan kompleks, kebaikan terhadap keupayaan untuk memberi tumpuan.
3. NO HOMEWORK!
Anak-anak di peringkat usia empat tahun tidak sesuai untuk diberikan kerja rumah sebagaimana kanak-kanak sekolah yang formal. Masalahnya perspektif orang dewasa yang terlalu cepat inginkan kejayaan akademik sehingga terlupa akan fitrah mereka yang masih di peringkat deria konkrit. Mereka masih lagi dalam proses penerokaan deria konkrit untuk melengkapkan diri dengan kemahiran domain seperti bahasa, fizikal, kognitif, sosio emosi dan estetika.
4. MASA YANG SINGKAT
Anak-anak yang berusia empat tahun sebagaimana yang telah dinyatakan di atas minat dan tumpuan terhadap sesuatu perkara adalah singkat iaitu hanya 5 minit sahaja! Mereka akan duduk sekejap sahaja melakukan sesuatu perkara. Jika memberi aktiviti membuat latihan tentunya tidak sesuai bagi diri anak-anak ini.
5. JENIS PERMAINAN
Sediakan permainan yang berbentuk konkrit iaitu permainan yang melibatkan sentuhan, gerakan motor halus dan kasar. Anak-anak di peringkat deria konkrit, fitrahnya memang banyak bermain. Bermain dalam peringkat ini adalah belajar. Mereka menggunakan alat permainan untuk meneroka kehidupan sebenar. Baginya bermain merupakan media pembelajarannya untuk mengetahui sesuatu perkara dan berimaginasi. Menerusi main mereka belajar menyelesaikan masalah, berbahasa, bersosialisasi dengan rakan sebaya, belajar mematuhi peraturan bermain dan mempertingkatkan kemahiran kognitif.
6. RAKAN SEBAYA
Semasa bermain anak memerlukan rakan. Peranan ibu bapa hendaklah membimbing cara mereka bersosialisasi. Setiap perkara yang negatif perlu ditegur dan diperbetulkan pada masa itu juga. Umpamanya jika anak-anak cuba mengusik kawan, ibu bapa perlu mendampingi anak dan cuba berbincang dan menyelesaikan masalahnya. Memupuk sikap positif memerlukan kesabaran. Mendenda anak-anak tanpa berbincang dan memperbetulkan kesalahannya adalah jalan yang singkat dan menghasilkan kesan negatif.
Kesimpulannya anak-anak berusia empat tahun masih lagi di peringkat pemikiran deria konkrit. Aktiviti berbentuk akademik tidak sesuai untuk diberikan kepada anak-anak ini. Berikan mereka aktiviti yang sesuai dengan tahap usianya seperti aktiviti berbentuk konkrit yang menggunakan bahan maujud.
Aktiviti bermain sambil belajar merupakan teras kaedah pembelajaran untuk anak-anak berusia empat tahun.
Ibu bapa malah guru tadika dan pengasuh taska perlu menyedari akan tahap usia dan fitrahnya yang tidak boleh disamakan sebagaimana pemikiran orang dewasa semasa mendidik anak-anak ini.