Ini 8 Perkara Anak Sulung Nak Daripada Ibu Ayah, Tapi Tak Mampu Ungkapkan!

Share

Penghuni pertama rahim seorang wanita adalah anak sulung. Kehadirannya sangat dinanti tetapi selepas lahirnya anak kedua dan seterusnya, ibu bapa seakan lupa yang abang atau kakak tetap perlu belaian dan perhatian.

Adakah kita pernah terfikir hal ini? Biasanya kita hanya perasan sikap anak sulung ni masa kecil sahaja. Itu pun ketika dapat adik baru dan apabila semakin besar kita terus mengharapkan dia lebih matang. Disebabkan hal ini, anak sulung hanya dapat memendam perasaannya.

Seperti coretan Puan Hanis Athirah Rusli sempena tarikh lahir anak sulungnya, dia berkongsi ada beberapa perkara yang anak sulung mahukan dari kita sebagai ibu bapanya.

7 tahun lepas ( 9 Mac) mama bertukar status menjadi seorang ibu. Diari kehidupan bertukar 180 darjah, dan kita nikmati kebahagiaan bersama. Sampailah ada seorang lagi yang menghuni rahim mama, mungkin dirimu rasa kekurangan kasih sayang dari mama.

Sebagai anak sulung juga, mama akui mama silap dan sebenarnya inilah lapan perkara yang anak sulung perlukan dari ibu dan ayah.

1️⃣ Dengar dan Faham Dirinya

Kita selalu meminta anak sulung mengalah dengan turunkan EGO, DIAM, DENGAR dan PENDAM. Lama kelamaan mereka rasa sukar untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Mereka menjadi reda, akur dan terpaksa banyak berkorban. Dalam masa sama kita lupa mereka masih lagi kecil dan perlukan perhatian dari kita.

2️⃣ Berikan Perhatian Kepada Dirinya

Percayalah anak-anak tak mahu pun percutian ke tempat yang mewah-mewah, pakaian yang berjenama, mainan yang mahal-mahal. Sebab peringkat umur ini, mereka lebih utamakan keperluan berbanding kehendak diri mereka. Mereka inginkan perhatian daripada kita, masa dan ruang untuk kita luangkan masa dengannya.

3️⃣ Belaian Kasih Sayang

Anak-anak tak dapat tahu apa isi hati kita. Betapa sayangnya kita terhadap mereka. Tapi anak boleh lihat sebagaimana kita melayan mereka dan cara itulah mereka interpretasi kasih sayang kita terhadap mereka. Tak semestinya anak bila besar tak boleh dimanjakan lagi. Cuma ikut batasan dan tidak keterlaluan. Tak salah ajak anak sulung letak kepala atas riba, gosok rambutnya. Berikan pelukan kasih sayang dan ciuman seorang ibu padanya setiap hari supaya anak rasa disayangi.

4️⃣ Berhenti Membandingkan Dirinya

Setiap anak ni unik, ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Raikan dan jangan banding-banding. Terima personaliti dirinya, tunjukkan contoh yang baik supaya anak meniru sikap yang baik kita tonjolkan kepadanya.

5️⃣Luang Masa Berbual Dengannya Berdua

Anak sulung sangat perlukan kita untuk meluahkan apa yang terbuku dihatinya tanpa kehadiran adik-adiknya yang lain. Anak sulung sangat perlukan kita terutama di waktu sukar yang dialaminya. Tapi kita mak ayah langsung tidak memahami, malah terus menghakimi mereka, tanpa peduli kitalah sepatutnya menjadi orang yang paling penting untuk berikan bahu untuk mereka mengadu, pelukan hangat tanda memahami dan ciuman tanda menyayangi.

6️⃣ Adil dan Tidak Pilih Kasih Dirinya Dengan Adik Yang Lain

Satu perkara yang tak boleh dipertikaikan kepada golongan yang bergelar ibu ialah kasih sayang mereka. Mereka akan berhabis-habisan mengatakan mereka sayangkan semua anak dan kasih sayang yang diberikan sama kerana keluar dari rahim yang sama. Tapi pernah tak kita terfikir adakalanya kita sebagai ibu boleh juga tidak sengaja berlaku pilih kasih dalam memberi kasih sayang atau perhatian terhadap anak-anak?

7️⃣ Percayakan Dirinya

Sesekali tak salah minta pendapat atau beri peluang anak sulung untuk menyatakan idea yang ada dalam sesuatu hal. Kurangkan kritik usaha mereka jika tak berjaya kerana akan membuatkan anak sulung tiada keyakinan diri dan takut untuk mencuba benda baharu. Berikan galakan dan dorongan padanya. Paling penting percayakan kebolehannya.

8 Hargai kewujudan dirinya

Anak sulung nak sangat merasa dihargai titik peluh dan pengorbanannya terutama dalam menjaga adik-adiknya. Ungkapkan terima kasih dan berikan dorongan kepadanya. Kita yang telah diberi anugerah memelihara anak ini, tunaikan amanat yang diberikan sebaik-baiknya dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Sayangi dirinya penghuni pertama rahim kita.

Selaku anak sulung, perkara ini juga yang saya perlukan masa kecil dulu. Tambah, bila jadi mak lebih daripada seorang anak, ada kalanya tersilap lebih layanan dan perhatian kepada yang kecil berbanding yang sulung. Namun langsung tak berbeza sayang di hati.
Tapi perlu diperbaiki supaya tak makan hati.

Kredit: Hanis Athirah Rusli

ARTIKEL MENARIK [“Apa Kita Cakap, Itulah Anak Akan Cakap” Adab Kita Anak Cepat Tiru, Hati-Hati!]

BACA JUGA [Mahu Anak-Anak & Pasangan Sentiasa Lembut Hatinya, Baca Doa Ini Setiap Hari!]

Sebagai ibu, sudah tentu kita mahukan yang terbaik buat si manja. Pemakanan yang sihat dan seimbang sangat kita titikberatkan supaya anak dapat membesar dengan baik.

Nak tahu rahsia sediakan hidangan enak yang buat anak berselera makan? Jom, sertai E-Workshop Kelas Penyediaan Makanan Anak: Sedap, Sihat & Selamat di https://toko.ideaktiv.com/product/e-workshop-kelas-penyediaan-makanan-anak-sedap-sihat-selamat/

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)

 

Published by
Wan Amy