Saban tahun kos untuk membesarkan seorang anak semakin meningkat. Ini ditambah lagi dengan kemahuan, tekanan dan ‘trend’ bagi memenuhi gaya hidup (lifestyle) semasa yang sering dipromosikan dan ditularkan di media-media sosial.
Bagi anda yang bakal mendirikan rumahtangga, baru mendirikan rumahtangga, bakal menimang cahaya mata ataupun sudahpun berkeluarga, infografik ini dapat memberikan panduan yang baik untuk anda membuat persediaan dari segi kewangan keluarga.
Menurut Puan Noor Afidah Abu Bakar dari Parent Connect Consultancy, beliau memberikan pendapat penting untuk ibu bapa merancang perbelanjaan keluarga dengan baik seawal mungkin untuk kelangsungan hidup ahli keluarga.
Saya bukan pakar kewangan dan saya tidak mempunyai produk kewangan untuk dipromosikan, tetapi sebagai ibubapa yang kini mempunyai anak di peringkat universiti, membuat perancangan dan tabungan dari hari pertama anak dilahirkan 23 tahun lalu sangat membantu kami dalam menguruskan perjalanan keluarga dan anak-anak.
Alhamdulillah.
Wang tidak menjamin kebahagiaan tetapi kegagalan menguruskan kewangan keluarga boleh memporak-perandakan keluarga. Malah jika dilihat statistik perceraian, salah satu punca utama berlaku perceraian adalah isu kewangan.
Berbelanjalah mengikut keperluan dan prioriti. Jangan terlampau mengikut trend berbelanja yang tular terutamanya jika masih baru membina keluarga.
Fikirkanlah perjalanan keluarga dan anak-anak yang masih jauh. Suami isteri perlu bersatu hati duduk berbincang hal kewangan keluarga tidak kiralah berapa jumlah pendapatan anda dan berapa ramai anak anda.
Oh ya, penulisan ini tentang perancangan KEWANGAN bukan perancang KELUARGA. Itu dua perkara yang berbeza. Harap maklum.
Sumber: Hello Doktor & Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy