Menasihati anak-anak tidak semestinya perlu memarahi mereka dengan nada yang kasar, memberi ugutan dan menakut-nakutkan si anak.
Jika kita menghayati bagaimana ajaran nabi dalam mendidik anak, pasti kita ketahui banyak manfaat kepada emosi anak.
Cara Rasulullah ﷺ menyampaikan pendidikan, jika ditinjau melalui hadith Umar bin Abi Salamah r.a ini:
1. Kandungan nasihat baginda adalah menurut keutamaan. Walaupun penyataan masalah ialah tangan merata-rata semasa makan, apa yang baginda utamakan ialah mulakan makan dengan membaca Bismillah, makan dengan tangan kanan, dan dahulukan makanan yang paling hampir.
2. Baginda menjelaskan apa yang betul, bukannya menegur apa yang salah. Cara ini boleh dicapai tanpa menggunakan perkataan ‘jangan’ dalam bentuk larangan, atau gertakan yang menakut-nakutkan. Mengetahui apa yang sepatutnya dibuat, harus mendahului larangan melakukan apa yang tidak patut dibuat.
3. Baginda membahasakan Umar bin Abi Salamah al-Makhzumi dengan panggilan “ghulam” yang mengandungi identiti ( budak lelaki) dan kasih sayang (emosi). Nasihat tidak jalan hanya dengan fakta dan logik. Sebaliknya ia perlu bersama dengan kasih sayang.
4. Kesan teguran Rasulullah ﷺ itu berbekas pada diri budak berkenaan hingga di dalam lafaz al-Bukhari, beliau mengulas dengan katanya bahawa semenjak itu demikianlah cara beliau makan.
5. Umar bin Abi Salamah semasa menceritakan kejadian ini, beliau menunjukkan pengetahuannya mengenai apa ‘kesalahannya’ yang mengundang teguran Nabi ﷺ . Teguran baginda bersifat ‘direct’ dan bukan secara menyindir. Misalnya dengan kata-kata “hurmm, kalau budak tu buat le cara budak-budak. Mak ayah tak ajar ke?”
6. Prioriti ilmu agama bukan fakta dan pengetahuan semata-mata, tetapi amal dan adab, dengan Tuhan dan sesama insan.
7. Di dalam konteks sirah, kita lebih dapat meluaskan manfaat dengan memikirkan Rasulullah ﷺ sebagai guru yang mendidik murid, berbanding emak ayah mendidik anak di rumah.
Semoga bermanfaat untuk semua.
Kredit: Hasrizal Abdul Jamil
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!