Kencing manis, jika dahulu merupakan satu penyakit yang hanya akan dihidapi oleh individu dewasa lebih berusia, namun, kini penyakit kencing manis boleh dialami oleh mana-mana individu tanpa mengira faktor usia, sama ada dewasa, kanak-kanak malahan ibu mengandung juga turut boleh mendapat kencing manis. Adakah terdapat petua hilangkan kencing manis ketika mengandung? Ikuti artikel ini untuk mendapatkan lebih info.
Apa itu Kencing Manis?
Kencing manis atau turut dikenali sebagai Diabetes Mellitus (DM) secara ringkasnya merupakan satu masalah kesihatan yang berkaitan dengan kadar gula dalam darah yang tinggi. Ia adalah satu keadaan yang mengganggu dan merosakkan keupayaan badan untuk memproses glukosa darah atau dikenali sebagai gula dalam darah.
Di Malaysia juga, kencing manis adalah penyakit yang sangat popular di negara ini. Jika ia dibiarkan secara berterusan, tanpa sebarang kawalan dan penjagaan yang lebih baik, kencing manis berisiko untuk menyebabkan pembentukan gula dalam darah, yang cenderung untuk meningkatkan risiko komplikasi penyakit kronik dan berbahaya seperti strok (angin ahmar) dan penyakit jantung.
Secara umumnya, seperti apa yang sering menjadi kepercayaan umum, penyakit kencing manis sering dianggap sebagai penyakit yang akan menyerang individu dewasa yang lebih berusia. Tapi hakikatnya, penyakit kencing manis ini juga boleh berlaku dan bermula dari zaman kanak-kanak.
Penyakit berkaitan gula dalam darah ini boleh dibahagikan kepada dua subkategori utama; Diabetes Jenis 1 dan Diabetes Jenis 2.
#Diabetes Jenis 1
Biasanya didiagnosis dalam zaman kanak-kanak
Tidak semestinya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
Biasanya dikaitkan dengan kadar keton yang tinggi
Dirawat dengan suntikan atau pam insulin
Tidak dapat dikawal tanpa pengambilan insulin
Diabetes jenis 1 merupakan suatu penyakit autoimun, yang mana sistem imun merosakkan sel-sel yang sihat dalam badan. Dalam kes ini, sistem imun merosakkan sel beta dalam pankreas sehingga pankreas tidak dapat menghasilkan insulin sendiri.
Walau bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang menjelaskan kenyataan tersebut. Diabetes jenis 1 memerlukan suntikan insulin secara kerap untuk mengimbangi kematian sel beta, jadi semua pesakit diabetes jenis 1 adalah bergantung pada insulin.
#Diabetes Jenis 2
Biasanya didiagnosis pada umur 30 tahun ke atas
Biasanya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
Biasanya dikaitkan dengan tekanan darah dan/ atau tahap kolesterol yang tinggi
Rawatan awal adalah tanpa perubatan atau pil sebagai ubat kencing manis
Berkemungkinan dirawat tanpa perubatan diabetes
Dalam kes diabetes jenis 2, sistem imun tidak merosakkan sel beta. Sebaliknya, diabetes jenis 2 dikategorikan sebagai ketidakupayaan badan untuk bertindak kepada insulin, yang juga dikenali kerintangan insulin dan insulin malsecretion.
Berbeza dengan diabetes jenis 1, diabetes kategori ini berlaku disebabkan oleh kerintangan insulin dan boleh juga ada kekurangan penghasilan insulin. Kerintangan insulin ini menyebabkan penghasilan glukosa daripada hati meningkat, pengurangan penggunaan glukosa oleh pelbagai organ-organ penting, peningkatan penyerapan semula glukosa oleh buah pinggang dan juga pengurangan penghasilan hormon incretin.
Namun, apakah pula kategori bagi kencing manis yang dihidapi oleh individu wanita mengandung? Ikuti penjelasan selanjutnya.
Diabetes Gestasi
Sebelum mengetahui tentang petua hilangkan kencing manis ketika mengandung, mari kita kenali terlebih dahulu mengenai apa sebenarnya diabetes ketika mengandung.
Melalui panduan terkini Persatuan Diabetes Amerika tahun 2019, mendefinisikan diabetes gestasi ini sebagai “penyakit kencing manis yang didiagnosis pada trimester kehamilan kedua atau ketiga.
Diabetis gestasi atau gestational diabetes mellitus (GDM) adalah merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh individu wanita hamil. Ia adalah salah satu komplikasi perubatan kerap dihadapi semasa kehamilan. Tidak seperti bentuk diabetes yang lain, diabetes gestasi akan hilang sejurus selepas kelahiran, tetapi terdapat juga yang kekal melebihi 6 bulan dan menjadi masalah diabetes mellitus. Penyakit kencing manis ini mempunyai implikasi kesihatan yang penting untuk ibu dan anak dalam kandungan sekiranya tidak dikawal dengan baik. Sekiranya anda menghidap penyakit diabetes, anda perlu mengendalikan gula darah dan memastikannya sentiasa dalam paras normal untuk melindungi kesihatan anda dan bayi anda.
Diabetes boleh menjejaskan kesihatan ibu dan janin jika tidak dikesan dan dikawal. Wanita hamil mempunyai lebih banyak risiko preeklampsia, jangkitan, pendarahan selepas bersalin, dan keguguran. Merawat diabetes gestasi sangat diperlukan untuk memastikan janin sihat dan mengelakkan komplikasi semasa kelahiran.
Punca Kencing Manis ketika Mengandung
Kenapa GDM ini berlaku secara spesifik pada tempoh kehamilan, di mana ibu hamil berisiko mendapat masalah paras gula yang tidak terkawal? Dan kenapa ia tidak boleh dirawat seperti diabetes jenis 1 atau jenis 2? Ia adalah disebabkan patofisiologi GDM.
1. Patofisiologi.
Kehamilan diiringi oleh ketahanan insulin, diselia terutamanya oleh rembesan plasenta hormon diabetogenik termasuk hormon pertumbuhan, hormon pelepasan kortikotropin, laktogen plasenta (somatomammotropin chorionic), prolaktin, dan progesteron. Perubahan-perubahan metabolik ini dan lain-lain memastikan bahawa janin mempunyai bekalan nutrien yang mencukupi.
Gestational diabetes mellitus berkembang semasa kehamilan pada wanita yang fungsi pankreas tidak mencukupi untuk mengatasi rintangan insulin yang berkaitan dengan keadaan hamil.
Ads
2. Rintangan Insulin.
Kesan insulin terganggu disebabkan oleh pelbagai hormon (seperti estrogen, kortisol dan human placental lactogen) dihasilkan oleh uri atau plasenta. Semakin plasenta membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi.
3. Kandungan glukosa yang berlebihan dalam darah.
Proses pencernaan glukosa di dalam aliran darah dikawal atur oleh insulin. Kekurangan insulin menyebabkan glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan diabetes mellitus.
Faktor-faktor Risiko
Setiap individu wanita yang sedang hamil, mempunyai risiko untuk mendapat diabetes gestasi ini. Tetapi terdapat beberapa faktor yang menjadikan sesetengah individu wanita berdepan risiko yang lebih tinggi. Antara faktor-faktornya adalah seperti:
Individu yang berusia lebih daripada 25 tahun
Mempunyai sejarah keluarga atau peribadi. Risiko untuk anda menghadapi GDM akan meningkat jika anda mempunyai prediabetes, iaitu keadaan di mana kandungan gula dalam darah yang sedikit tinggi dan menjadi penanda kepada diabetes jenis 2. Sekiranya pada kehamilan sebelum ini anda mendapat GDM, maka risiko untuk mendapat kembali masalah ini adalah tinggi.
Berat badan yang berlebihan. Masalah obesiti adalah sangat berkaitan dengan diabetes. Jadi kecenderungan untuk mendapat GDM adalah tinggi jika BMI anda 30 atau lebih daripada itu.
Etnik. Ia adalah satu faktor yang sukar untuk diperjelaskan. Tetapi sekiranya anda adalah wanita berkulit hitam, Hispanik, Indian Amerika atau Asia, risiko untuk mendapat GDM adalah tinggi.
Bahaya Kencing Manis ketika Mengandung
Seperti yang dimaklumkan di atas, masalah kesihatan ini bukanlah satu masalah yang boleh dipandang ringan dan dibiarkan tanpa sebarang rawatan. Ini kerana terdapat beberapa risiko pada kesihatan yang mungkin boleh berlaku kepada ibu hamil. Antaranya seperti pendarahan, pitam, risiko melahirkan anda bersaiz besar. Antara risiko lain yang mungkin terjadi adalah seperti:
1.Makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih). Bayi berkemungkinan akan menghadapi kecederaan di bahu semasa kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean.
2.Bayi anda mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia).
3.Bayi juga mudah terdedah kepada jaundis atau demam kuning yang berpanjangan.
4.Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.
5.Ibu berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, diabetik ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit.
6.Mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.
Ads
7.Ibu berisiko tinggi mendapat preeklampsia (darah tinggi) dan tumpah darah.
Petua Hilangkan Kencing Manis ketika Mengandung
Setiap penyakit atau masalah kesihatan pasti akan ada cara untuk mengatasinya atau paling tidak kaedah yang boleh diikuti untuk mengawal sesuatu permasalahan penyakit. Berikut adalah antara beberapa petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh anda cuba dan ikuti.
1. Ubah diet pengambilan makanan seharian
Petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang paling utama adalah dengan melakukan perubahan dalam pemakanan yang anda makan. Diet yang penuh nutrisi adalah salah satu cara terbaik untuk mengawal gula darah. Wanita hamil perlu mengehadkan makanan yang mempunyai kadar gula dan karbohidrat yang tinggi.
Sebaliknya, ibu perlu makan pelbagai jenis makanan seperti kanji, zat besi, vitamin, dan makanan rendah lemak. Makan tiga hidangan kecil dan satu hingga tiga makanan ringan setiap hari. Wanita yang mengandung juga harus makan banyak makanan kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, beras bijirin penuh, roti. Ibu hamil obes yang didiagnosis dengan diabetes gestasi harus bermula dengan diet 30 kcal/kg hari.
Doktor mungkin mencadangkan anda bertemu pakar diet berdaftar untuk membantu anda membuat pelan diet yang boleh anda ikut. Ia perlu bagi menangani kencing manis ketika mengandung, tetapi masih membekalkan kalori dan nutrien yang cukup untuk bayi anda.
Di bawah adalah beberapa tip memilih makanan baik yang boleh anda ikuti:
Makanan bijirin penuh seperti roti gandum penuh
Pilih makanan rendah GI, Indeks Glisemik- adalah bagaimana mengukur makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan glukosa darah, seperti pasta yang diperbuat daripada tepung gandum, epal, oren, kekacang, jagung manis dan bubur.
Henti minum minuman manis
Pilih makanan yang dipanggang, bukannya digoreng
Amalkan makanan berserat seperti perbanyakan pengambilan sayuran berdaun hijau dan buah-buahan
2. Makan secara tetap
Apabila sudah mengetahui pelan pemakanan yang baik untuk anda ikuti ketika sedang hamil, anda juga perlu memastikan anda mempunyai jadual pemakanan secara tetap dan elakkan daripada melangkau sebarang waktu hidangan makanan walau sesibuk mana anda dalam melaksanakan pekerjaan harian anda.
Maka petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang harus diamalkan adalah untuk makan 3 kali hidangan makanan yang bersaiz kecil atau sederhana. Jangan mengambil sesuatu hidangan makanan dalam kuantiti yang besar dan banyak. Jika perlu, anda juga boleh untuk menambah waktu pengambilan snek dalam pemakanan harian anda.
Berikut adalah panduan waktu pemakanan yang dicadangkan untuk diikuti:
Disarankan makan pada 3 waktu makan utama iaitu :
Sarapan pagi antara jam 6.30 pagi hingga 8.00 pagi
Makan tengah hari antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 petang
Makan malam antara jam 6.30 petang hingga 7.00 malam
Waktu untuk mengambil makanan snek, ambilnya di antara waktu makan utama:
Ads
Minum pagi antara jam 10.30 pagi hingga 11.00 pagi
Minum petang antara jam 4.00 petang hingga 4.30 petang
Minum malam antara jam 10.00 malam hingga 10.30 malam
Cuba makan pada masa yang sama setiap hari dan pada jumlah yang sama setiap kali. Ini dapat membantu tahap gula dalam darah anda kekal stabil. Cara ini boleh dianggap sebagai petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh diamalkan.
Berikut adalah beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan, seperti semua jenis gula, minuman berkarbonat, kordial, sirap, jem, kaya,kuih manis, aiskrim, susu pekat manis, yogurt manis, buah dalam tin, jeli dan lain-lain.
Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh diambil tetapi perlu dikawal kuantiti pengambilannya seperti bijirin, nasi, roti, biskut, kuih yang tidak manis, semua jenis pasta dan mi, capati, roti canai, tosai, semua jenis ubi, kekacang, susu dan buah-buahan.
3. Aktiviti fizikal
Siapa kata wanita mengandung tidak perlu melakukan sebarang aktiviti fizikal atau bersenam? Risau senaman akan mendatangkan mudarat kepada kandungan? Itu pastinya mitos yang terlalu karut untuk dipercayai. Ini kerana individu wanita yang hamil juga perlu untuk melakukan aktiviti fizikal untuk mengekalkan tahap kesihatan pada paras yang terbaik. Doktor mungkin mengggalakkan supaya anda menambah senaman kepada rutin mingguan anda, kerana ia adalah baik untuk anda dan bayi.
Senaman pastinya merupakan satu aktiviti fizikal yang dapat membantu menurunkan tahap gula dalam darah dengan berfungsi mengangkut gula ke sel untuk digunakan sebagai sumber tenaga. Mengamalkan senaman juga dapat meningkatkan kepekaan terhadap insulin, yang bermakna badan tidak memerlukan insulin untuk membantu membawa gula ke sel-sel badan.
Senaman juga pastinya dapat membantu mengurangkan rasa ketidakselesaan semasa kehamilan seperti sakit belakang, kekejangan dan lain-lain. Bersenam semasa hamil adalah tidak salah, tetapi apa yang perlu diutamakan adalah ibu yang mengandung perlu memilih senaman yang bersesuaian dengan keadaan fizikal semasa. Senaman ringan dan mudah seperti berjalan kaki, aerobik, berbasikal dan berenang adalah antara aktiviti fizikal yang digalakkan untuk dicuba. Lakukan aktiviti fizikal ini secara tetap dan teratur selama 15 sehingga 30 minit setiap hari. Ini bukan sahaja petua hilangkan kencing manis ketika mengandung, sebaliknya ia juga dalam masa yang sama membantu menjaga tahap kesihatan anda.
Ini akan membantu badan anda menggunakan insulin dengan lebih baik, dan membantu mengawal paras gula darah. Anda juga boleh bertanya kepada doktor anda mengenai senaman yang bersesuaian untuk dicuba serta dan kekerapan senaman yang boleh dilakukan oleh wanita hamil.
4. Pantau tahap gula dalam darah
Selain petua hilangkan kencing manis ketika mengandung dengan mengubah diet pengambilan makanan seharian, antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang perlu untuk dilakukan setiap hari adalah untuk memeriksa dan memantau paras gula dalam darah sentiasa dalam keadaan terkawal. Anda perlu menguji tahap gula dalam darah anda secara teratur, sebelum makan dan antara 1 atau 2 jam selepas pengambilan sebarang hidangan makanan utama.
Anda boleh melakukan pemeriksaan tahap gula dalam darah di rumah dengan mendapatkan alat pengukur meter glukosa darah yang boleh digunakan di rumah dan pastinya ia akan membantu anda untuk memudahkan kerja pemantauan paras gula dalam darah anda. Namun, sekiranya anda tidak mempunyai alat pengukur meter glukosa darah, doktor mungkin akan mencadangkan anda untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik.
Terdapat juga sesetengah individu wanita hamil memerlukan rawatan insulin. Kira-kira 15% wanita mengandung yang menghidap kencing manis memerlukan insulin untuk mencapai tahap glukosa darah secara berterusan. Insulin adalah hormon yang digunakan untuk merawat diabetes dengan mengawal gula dalam darah. Jika diet dan senaman tidak cukup untuk mengimbangi gula dalam darah, wanita hamil akan disuntik dengan insulin supaya jumlah glukosa dalam darah kembali ke tahap yang selamat. Bagi sesetengah wanita, jenis ubat-ubatan seperti glyburide juga merupakan pilihan.
5. Pengambilan vitamin C dan D
Antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung adalah dengan memperbanyakkan pengambilan vitamin C dan D. Kekurangan vitamin c dikatakan mempunyai hubungan kait secara langsung dengan masalah kesihatan kencing manis semasa hamil. Terdapat kajian yang dilakukan kepada wanita yang hamil, menunjukkan bahawa individu wanita yang menghidap penyakit kencing manis semasa tempoh kehamilan dan memperbanyakkan pengambilan vitamin C secara tetap akan kurang untuk berdepan risiko mengalami diabetes jenis 2.
Vitamin D pula merupakan nutrien penting yang diperlukan dalam beberapa proses dan fungsi dalam badan kita. Penyerapan vitamin dan nutrien yang penting seperti kalsium, besi, magnesium, dan fosfat dapat dilakukan dengan memaksimumkan penyerapan nutrien makanan yang kaya dengan vitamin D.
Penjagaan Kesihatan
Hamil bermakna bahawa ia bukan mengenai anda sahaja lagi. Mulai sekarang, keselamatan bayi dalam kandungan anda harus diberi keutamaan dari apa jua keputusan yang anda buat. Oleh itu, ikuti gaya hidup yang sihat, lakukan senaman dan pantau paras glukosa darah anda adalah apa yang harus anda tumpukan semasa anda mengandung.
Mengalami GDM ketika hamil membuatkan anda cenderung untuk mengembangkan diabetes jenis 2, tetapi ia tidak semestinya akan berlaku. Apa yang penting anda perlu menjaga tahap kesihatan anda dengan lebih baik sekiranya anda dikesan mengalami masalah kencing manis ketika sedang hamil. Jangan lupa untuk mengamalkan dan mengikuti petua hilangkan kencing manis ketika mengandung!
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kehamilan adalah satu perjalanan luar biasa yang penuh dengan rasa cinta dan tanggungjawab dalam kehidupan seseorang wanita. Ketika melalui fasa kehamilan, ia adalah satu pengalaman yang mengujakan serta ditunggu-tunggu, apatah lagi apabila merasai perubahan dari segi fizikal dan mental ketika mengandung.
Namun tidak dinafikan, adalah penting untuk mengakui bahawa kehamilan mempunyai cabaran dan komplikasi tersendiri. Mari kita meneroka perjalanan nan indah ini bersama pakar-pakar perubatan dan berkredibiliti dari KPJ Healthcare.
Perubahan Fizikal dan Mental Ketika Hamil
Kehamilan dibahagikan kepada tiga trimester ajaib, setiap perjalanan memberikan perubahan dan cabaran yang unik. Trimester pertama (1 hingga 3 bulan) menandakan permulaan tempoh transformasi yang ketara untuk ibu dan janin.
Biarpun gembira dengan perkhabaran diri sedang berbadan dua dan tubuh ibu sedang bersedia untuk melalui proses kehamilan, mereka mungkin akan mengalami gejala seperti mual, keletihan, payudara menjadi lembut, kerap membuang air kecil serta gangguan emosi yang tidak stabil kerana peningkatan tahap hormon.
Dr. Norliza Mat Desa, Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Pakar KPJ Batu Pahat, menasihati,
“Memastikan pemakanan yang betul dan melakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan kerap membentuk asas untuk kehamilan yang sihat.”
Kebiasaannya pada trimester kedua yang lebih dikenali sebagai “Tempoh Keemasan” (4 hingga 6 bulan), rasa mual akan hilang atau berkurangan. Ketika ini, tahap tenaga mulai meningkat untuk ibu menikmati detik-detik istimewa bersama pasangan mereka. Walau bagaimanapun, cabaran baharu seperti sakit belakang, kekejangan kaki, sembelit dan pedih ulu hati pula akan timbul. Semasa fasa ini, mengekalkan senaman yang konsisten dan sederhana adalah digalakkan untuk menyokong kesihatan si ibu.
Apabila anda memasuki trimester terakhir, tuntutan fizikal dan emosi semakin meningkat. Simptom seperti sakit badan, kaki bengkak, pergerakan bayi yang aktif, lawatan tandas yang kerap dan emosi yang meningkat dijangka kerap berlaku pada tempoh ini.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pakar KPJ Puteri, Dr. Laila Shikh A.Rahman mengesyorkan ibu mengandung untuk menjalani perundingan dan pemeriksaan kesihatan berkala serta ujian tambahan seperti Group B Streptococcus (GBS) bagi melindungi kesihatan ibu dan kandungan kerana ia mampu mengesan bakteria bahaya pada anak yang bakal dilahirkan.
Walaupun kehamilan adalah pengalaman yang membahagiakan terutamanya apabila ibu hamil merasai sendiri perkembangan bayi dalam kandungan, namun adalah sangat penting untuk mengetahui bahawa proses ini juga boleh membawa beberapa risiko. Sesetengah risiko adalah biasa dan terurus, manakala yang lain mungkin lebih serius.
Risiko yang lebih ketara termasuk komplikasi seperti hipertensi, pra-Eklampsia, diabetes semasa hamil dan keguguran. Keadaan ini memerlukan pemantauan rapi oleh pakar-pakar kesihatan untuk memastikan kesihatan ibu dan bayi terjaga.
Hipertensi, Pra-Eklampsia dan Diabetes Gestasi Ketika Hamil
Hipertensi dalam kehamilan merujuk kepada tekanan darah tinggi di kalangan wanita semasa mengandung. Ia terbahagi kepada dua golongan, wanita yang menghidap darah tinggi sebelum mengandung dan wanita yang menghidap darah tinggi selepas kandungan berusia 20 minggu. Badan ibu hamil akan menjana lebih banyak darah untuk menyokong pertumbuhan janin. Sekiranya tekanan tinggi berlaku, ia boleh memberi kesan buruk kepada jantung dan buah pinggang ibu.
Hipertensi juga boleh menyebabkan penyakit jantung dan buah pinggang, strok dan kelahiran awal akibat komplikasi dengan perkembangan janin. Hipertensi juga menyumbang kepada komplikasi seperti pra-Eklampsia, yang menimbulkan risiko bahaya kepada kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan. Keadaan ini memberi kesan langsung kepada janin dari segi kekurangan nutrien dan oksigen yang diperlukan untuk membesar.
Pra-Eklampsia adalah risiko serius yang biasanya berlaku selepas lima bulan kehamilan. Ia boleh dikenalpasti melalui tekanan darah tinggi, protein dalam air kencing, dan disfungsi organ lain. Pra-Eklampsia boleh menyebabkan Hemolysis, Elevated Liver Enzymes dan Low Platelet Count (HELLP) yang merosakkan sel darah merah dan mengganggu proses pembekuan darah. Ini boleh menyebabkan sakit dada, sakit perut, pendarahan dalam hati dan kemungkinan kematian.
Menurut The American College of Obstetricians and Gynaecologists, bakal ibu yang didiagnosis dengan pra-Eklampsia berkemungkinan akan menjalani kelahiran awal dan bayi pramatang tersebut mungkin mengalami risiko masalah pernafasan, sukar makan serta pendengaran dan penglihatan yang terganggu. Pra-Eklampsia mempunyai simptom seperti mengalami muka bengkak, kesukaran bernafas, berat badan yang bertambah secara drastik, sakit kepala berterusan dan loya.
Salah satu faktor risiko pra-Eklampsia ialah kencing manis semasa mengandung, juga dikenali sebagai Diabetes Mellitus Gestational (GDM). Ia adalah satu keadaan yang menjejaskan keupayaan tubuh untuk memproses glukosa menjadi tenaga semasa kehamilan. Perubahan hormon semasa kehamilan boleh menyebabkan rintangan insulin, di mana sel tidak menggunakan insulin dengan berkesan. Ini boleh mengakibatkan peningkatan pengeluaran insulin atau, dalam beberapa kes, perkembangan diabetes semasa hamil.
Faktor risiko tertentu, seperti berat badan berlebihan, kekurangan aktiviti fizikal, sejarah GDM atau pradiabetes, Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) dan sejarah diabetes dalam keluarga, boleh menyumbang kepada berlakunya penyakit diabetes gestasi di kalangan ibu semasa mengandung.
Dr. Norhayati Che Soh, Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani menekankan kepentingan penjagaan pranatal yang betul untuk mengelakkan komplikasi bagi ibu dan bayi.
“Hipertensi kronik, diabetes gestasi dan pra-Eklampsia yang tidak dirawat boleh memberi kesan buruk kepada ibu dan bayi, pemantauan awal dan rawatan segera adalah penting. Pemantauan rapi, termasuk pemeriksaan kerap tekanan darah serta kesihatan janin dan pengawalan gula dalam darah, boleh membantu mengesan potensi risiko yang berkaitan dengan diabetes gestasi dan pra-Eklampsia semasa kehamilan.”
Ambil Berat Kesihatan Mental dan Aktiviti Bersenam Ketika Hamil
Menurut World Health Organization (WHO), kesihatan mental adalah penting semasa kehamilan dan kemurungan boleh mengganggu proses kehamilan seseorang ibu. Perubahan hormon dan perubahan emosi adalah perkara biasa ketika mengandung namun, berpotensi membawa kepada gangguan kemurungan.
Dr. Nurezwana Elias, Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Pakar KPJ Kajang mengesyorkan ibu mengandung untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mengurangkan simptom kemurungan. Senaman dapat membantu meningkatkan suhu badan serta memberi ketenangan kepada si ibu.
Pelbagai senaman disyorkan semasa kehamilan termasuk senaman lantai pelvis, aktiviti menguatkan otot, senaman aerobik seperti berjalan pantas serta berenang dan latihan yoga. Wanita hamil harus mengelakkan aktiviti tertentu yang melibatkan perubahan tekanan, risiko terjatuh dan mengangkat berat.
“Senaman yang kerap memainkan peranan penting dalam menyokong kesihatan mental semasa kehamilan. Ia bukan sahaja membantu mencegah kemurungan tetapi juga menawarkan banyak manfaat fizikal dan emosi yang menyumbang kepada perjalanan kehamilan yang lebih sihat.”
Keguguran: Punca, Faktor Risiko dan Cara Pencegahan
Pengalaman yang paling menyedihkan bagi ibu mengandung adalah keguguran. Ia merujuk kepada bayi atau janin yang tidak berkembang secara normal dan terkeluar dari rahim ibu. Kebarangkalian setiap kehamilan berakhir dengan keguguran sekitar 10 peratus.
Keguguran boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti isu genetik dalam embrio yang sedang berkembang. Selain masalah kesihatan ibu, seperti diabetes yang tidak terkawal atau masalah tiroid yang tidak dirawat, umur ibu yang lebih berusia ketika hamil adalah faktor penting. Selain itu, keabnormalan dalam sistem pembiakan ibu seperti masalah fibroid atau kecacatan kongenital dalam rahim juga boleh menjadi punca keguguran.
“Usia ibu juga dianggap sebagai faktor risiko keguguran, termasuk juga dengan merokok, pengambilan alkohol, pengambilan kafein yang berlebihan, keguguran lepas yang kerap, trauma, jangkitan daripada ibu, ubat-ubatan tertentu, dan tekanan fizikal yang berlebihan,” jelas Dr. Noorashikin Maan, Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Pakar KPJ Johor.
Dalam banyak kes, mencegah keguguran adalah di luar kawalan. Kuncinya terletak pada pengambilan berat tentang kesihatan ibu, kerap menjadualkan dan menghadiri janji temu doktor, mengelakkan faktor risiko yang boleh meningkatkan peluang keguguran dan pengambilan makanan tambahan seperti asid folik secara konsisten pada setiap hari.
Jika ibu mengandung mempunyai keadaan kronik seperti diabetes atau masalah tiroid, adalah penting untuk mendapatkan rawatan dan memastikan kesihatan mereka dioptimumkan dan diurus dengan baik sebelum hamil.
Bukan mudah untuk melalui proses kehamilan dan fasa keibubabapaan. Banyak cabaran yang perlu diharungi bagi memastikan bayi dalam kandungan berkembang dan membesar tanpa masalah serta kesihatan ibu sentiasa di tahap terbaik.
Di KPJ Healthcare, para doktor dan petugas kesihatan yang berdedikasi sentiasa bersedia untuk membimbing bakal ibu dan bapa, melalui setiap langkah dalam proses kehamilan. Mereka merupakan pakar yang mempunyai pengetahuan, empati dan komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bahagi dalam menjaga kehamilan bakal ibu bapa dengan rapi dan penuh kasih sayang.
KPJ Healthcare telah berada di barisan hadapan dalam industri penjagaan kesihatan sejak hospital pakar swasta pertamanya diperkenalkan di Johor pada tahun 1981. KPJ Healthcare beroperasi dengan sejumlah 29 hospital pakar di seluruh negara dengan lebih daripada 1,300 perunding perubatan dalam rangkaiannya.
Tanpa mengenal erti lelah dan sentiasa bersedia untuk memberikan yang terbaik, KPJ Healthcare berkhidmat dengan merawat lebih 3.3 juta pesakit domestik dan antarabangsa setiap tahun. Berpegang kepada prinsip ‘Care for Life’, KPJ Healthcare terus merangka langkah untuk memperbaiki perkhidmatan melalui penggunaan teknologi dan pendigitalan.
Raikan momen indah sepanjang kehamilan dan kelahiran dengan Pakej Bersalin KPJ di Hospital Pakar KPJ pilihan anda! Perunding pakar di KPJ Healthcare sentiasa bersedia untuk membantu bakal ibu bapa dengan tawaran pakej eksklusif, hadiah istimewa dan baucar.
Tempah janji temu anda dengan perunding KPJ Healthcare hari ini. Layari www.kpjhealth.com.my/maternity untuk maklumat lanjut mengenai Pakej Bersalin KPJ dan faedah-faedah yang ditawarkan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila disahkan hamil anak sulung, orang-orang di sekelilingnya mula menyampaikan maklumat tentang makanan yang patut dielakkan semasa awal usia kandungan. Dikatakan ia perlu dilakukan bagi mengelakkan masalah terhadap kandungannya kelak.
Situasi yang dialami adalah sesuatu yang biasa dan kerap kali berlaku kepada semua ibu-ibu hamil. Untuk memahami dengan lebih lanjut tentang makanan yang sering dikatakan panas, sejuk dan tajam ini, Dr Fadzilah Abdul Jalil, doktor di Klinik O&G, Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi untuk memberikan penerangan lanjut.
Sememangnya, ada sesetengah jenis makanan yang diambil sewaktu hamil berkemungkinan boleh menjejaskan kandungan dan diri ibu itu sendiri. Namun, perlu diingatkan tidak semua makanan menyebabkan hal sedemikian.
Seperti yang kita semua sedia maklum, makanan-makanan yang dikatakan panas, sejuk atau tajam sehingga boleh menjejaskan kandungan dan kehamilan itu adalah berdasarkan pandangan dan maklumat yang disampaikan oleh orang tua-tua terdahulu. Kebanyakannya tidak pernah menjalani kajian saintifik. Maka, tiada satu pun yang dibuktikan benar melalui hasil kajian saintifik.
Perlu diketahui bahawa terdapat sesetengah jenis makanan tidak boleh diambil semasa hamil terutamanya di awal usia kandungan disebabkan faktor-faktor tertentu.
Contohnya makanan berasid. Ia boleh menyebabkan gastrik. Jika ibu hamil sememangnya mempunyai masalah alahan pada awal kandungan seperti loya, mual, muntah dan sebagainya, maka makanan yang mempunyai kandungan asid yang tinggi akan menyebabkan alahan lebih teruk. Dalam keadaan tertentu, boleh menyebabkan alahan lebih parah dan anda dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Makanan bersifat panas atau sejuk mahupun tajam merupakan persepsi masyarakat sahaja. Memang ada makanan yang boleh beri kesan sampingan kepada kandungan dan anda sendiri, tetapi secara saintifiknya, tidak ada kategori bagi setiap makanan itu. Ia lebih kepada respons dan tindak balas seseorang ibu hamil terhadap makanan yang diambil. Perlu diingatkan juga, bahawa setiap orang berbeza dan tidak mengalami respons yang sama antara satu sama lain. Malah, ada ketikanya, ia tiada kaitan pun dengan makanan-makanan tersebut.
Faktor alahan terhadap makanan berkenaan juga mungkin menyumbang kepada masalah yang mungkin dialami. Apa-apa pun, ia bergantung kepada individu itu sendiri. Makanan yang diambil akan beri kesan berbeza kepada seorang individu kepada individu yang lain. Sama ada makanan itu panas, sejuk atau tajam, ia bersifat subjektif.
Makan perlu dielakkan
Daripada segi perubatan tiada kategori untuk setiap makanan. Apa yang anda perlu tahu hanyalah jenis makanan yang patut dielakkan pada awal, pertengahan dan akhir kehamilan.
Paling utama, anda perlu elakkan makanan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna seperti daging dan telur. Ini berikutan kebimbangan risiko jangkitan kuman seperti salmonela. Demikian juga halnya dengan makanan laut mentah. Anda tidak digalakkan mengambilnya atas faktor risiko jangkitan.
Makanan yang mengandungi ikan bermerkuri tinggi pun perlu dielakkan. Ini biasanya melibatkan ikan-ikan yang bersaiz besar. Memandangkan ia hidup lama, maka kandungan toksin di dalamnya berkemungkinan banyak dan tinggi.
Susu yang tidak dipasteur di mana ia tidak diproses menggunakan suhu yang tinggi untuk mematikan bakteria pun perlu dihindari. Sama halnya dengan sesetengah jenis keju lembut yang tidak diproses dengan baik. Ia tidak baik untuk ibu hamil memakannya. Selain daripada itu, kafein. Bukan tidak boleh diambil langsung. Cuma ambil sedikit. Satu cawan sehari tetapi tidak pekat. Secara amnya, kurang 200mg sehari.
Sayur-sayuran mentah boleh diambil tetapi hendaklah dibersihkan dengan baik. Sayur organik adalah lebih baik daripada sayur yang disemburi dengan racun perosak serangga.
Makanan dan mitos
Durian
Fakta sains menjelaskan bahawa durian sangat kaya dengan potassium, zat besi, serat dan vitamin. Pada masa yang sama, kandungan gulanya juga yang amat tinggi. Jika diambil sewaktu hamil, kecenderungan paras gula meningkat adalah sangat tinggi dan ia amat tidak baik untuk wanita yang bersaiz besar dan penghidap diabetes.
Sebab itulah, anda tidak digalakkan makan terlalu banyak durian. Bukan kerana ia panas tetapi berpunca daripada kandungan gula yang tinggi. Seulas durian mempunyai 54 kalori. Jika teringin, cukuplah sekadar satu atau dua ulas.
Dalam banyak keadaan, potensi anda untuk mengambil lebih daripada dua ulas durian adalah sangat besar. Sebab itulah ia boleh mendatangkan mudarat dan meninggalkan kesan sampingan.
Air tebu
Dalam cuaca yang panas, air tebu sangat bagus diminum. Ia merupakan pelepas dahaga yang baik. Ada mitos menyatakan ia boleh menjadi punca pendarahan dan menyebabkan keguguran. Mungkin orang tua-tua kata ia tajam tetapi sebenarnya ia bersifat sejuk untuk ibu mengandung. Ia mengandungi gula yang tidak sebanyak durian, tinggi serat, zat besi, vitamin B kompleks dan vitamin C.
3. Nanas
Buah ini kaya dengan vitamin C, tinggi potassium, beta karotena dan serat. Ia bagus, cuma anda tidak boleh mengambil nanas muda sebagai santapan disebabkan banyak kandungan asid hingga boleh mengganggu sistem penghadaman. Kesannya, anda boleh mengalami cirit-birit dan sakit perut.
Di dalam nanas terdapat kandungan bromelain yang berperanan mencerna protein. Ia sering digunakan untuk menjadi pelembut daging. Berkemungkinan bahan ini dipercayai menyebabkan masalah pendarahan dan keguguran. Namun ia tidak benar. Untuk mencetuskan masalah sebegini, anda perlu makan dua biji nenas. Apa-apa pun, anda dinasihatkan untuk mengambil nanas masak dan bukannya mentah.
4. Tumbuhan menjalar
Sayur-sayuran sebegini sering dikatakan sebagai sejuk. Contohnya, kacang dan timun. sebenarnya tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan, sayur-sayuran menjalar boleh menjadi penyebab kembung perut, sakit sendi, otot atau urat dan sebagainya. Ia sama seperti sayur-sayur yang lainnya yang mempunyai tinggi vitamin.
Pesan Dr Fadzilah, apa-apa sahaja jenis makanan boleh diambil oleh wanita hamil. Namun, pastikan ia tidak diambil dalam jumlah yang banyak. Sama juga halnya dengan makanan yang dikatakan baik untuk kandungan dan kehamilan. Jika diambil berlebihan akan menimbulkan kesan sampingan itu bersederhana dan makan ala kadar.
Jeruk
Terdapat banyak asid dan bahan kimia di dalam jeruk. Malah, tahap kebersihan pembuatan jeruk juga diragui. Bagi mengatasi alahan kehamilan, hanya ambil sedikit jeruk sekadar pelepas loya. Ada baiknya, anda buat jeruk sendiri. Ia lebih bersih. Namun, elakkan penggunaan buah-buahan yang masam.
Kerang
Kerang sering dikatakan dapat membantu anda menambah darah. Namun, hal ini tidak disetujui kerana ia mengandungi banyak bahan tercemar. Secara biologi, kerang di dalam laut menyedut masuk dan menapis keluar air laut yang ada ketikanya tercemar.
Biar pun begitu, anda boleh mengambil kerang untuk tujuan menambah darah tetapi hanya sedikit. Ada sumber zat besi lain yang lebih selamat seperti ikan bilis, daging, ikan, sayur-sayuran hijau, tauhu, dan susu tepung atau roti. Selain itu, suplemen untuk mengatasi anemia bagi menambah hemoglobin darah perlu diambil secara teratur.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ketika hamil, ibu hamil dinasihatkan untuk mengambil jumlah makanan yang mencukupi malah makanan yang berkhasiat untuk membantu otak anak berkembangan dengan baik.
Disebabkan itulah ibu perlu mengambil jenis makanan yang segar dan berkhasiat tinggi untuk merangsang perkembangan otak bayi dalam kandungan.
Buah-buahan antara yang diwajibkan ambil ketika hamil. Namun bagaimanapula dengan buah durian? Dr Rizal Abu Bakar, Pakar Otak berkongsi nutrisi terbaik untuk merangsang otak bayi dalam kandungan serta ulasan mengenai buah durian ini untuk ibu hamil.
Bolehkah ibu hamil makan durian?
Dalam pada itu, Dr Rizal juga turut mengulas mengenai pengambilan durian ketika hamil. Dan bagaimana pula untuk perkembangan sel darah merah kepada fetus dalam kandungan ibu?
” Kandungan durian ini ada macam-macam jenis. Ada pelbagai khasiat yang berbeza. Jika betul-betul teringin ambillah durian dengan isi yang berwarna kuning kerana tinggi beta kerotinnya berbanding isi yang bewarna putih.
” Pun begitu elakkan mengambil durian pada jumlah yang banyak kerana boleh memberi kesan pada bayi. Cukup hanya ambil pada jumlah yang sedikit sahaja.
” Malah pengambilan nenas juga tiada sebarang kajian ia boleh memberi kesan kepada bayi. Ambillah pada jumlah yang sedikit, jangan berlebihan,” kongsi Dr Rizal.
Jangan dilupa pengambilan makanan dengan nutrisi zink yang tinggi kerana ia membantu perkembangan otak bayi.
Antara makanan dengan kandungan zink yang tinggi adalah seperti tembikai, ayam, bayam, badam, dark coklat, ikan salmon begitu juga dengan ikan kembung yang sama khasiatnya dengan ikan salmon.
Ibu hamil juga dinasihatkan makan makanan dengan vitamin C yang tinggi untuk menghasilkan kulit anak dan bayi yang cantik ketika hamil.
Sertai ‘Komuniti Pa&Ma Ikhtiar Hamil‘ untuk mengikuti pelbagai tip kesuburan dan kehamilan serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma bersama pakar.
Semakin ramai pasangan berkahwin kini cenderung memilih gaya hidup 'childfree', iaitu tidak mahu mempunyai anak. Trend ini dilihat membimbangkan.Walaupun keputusan ini dilihat sebagai hak...