Ini Penting Sebelum Anak Ke Tadika. 7 Aktiviti Untuk Tingkatkan Fokus Anak Sejak Kecil

Share

Setiap ibu bapa harus tahu perkara ini sebelum anak ke tadika. 7 aktiviti untuk tingkatkan boleh bantu fokus anak sejak kecil. Fokus atau tumpan adalah seperti otot yang memerlukan senaman secara teratur untuk ditingkatkan tahapnya.

Sesetengah kanak-kanak dilahirkan dengan tahap fokus yang lebih tinggi berbanding dengan kanak-kanak lain, akan tetapi semua kanak-kanak boleh mempelajari strategi untuk memberi tumpuan dan mengekalkan tempoh fokus mereka.

Ikuti teknik yang dikongsikan oleh Dr Airil Haimi Mohd Adnan adalah Ketua Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal.

Peningkatan fokus adalah kemahiran yang sangat penting untuk kanak-kanak yang akan berhijrah ke dunia sekolah rendah yang memerlukan mereka menumpukan perhatian untuk jangka masa yang lama lama. Secara amnya, kanak-kanak dapat menumpukan fokus mereka kepada aktiviti yang menyeronokkan.

Namun, aktiviti yang membosankan, agak sukar atau pun kurang menyeronokkan akan benar-benar mencabar tahap fokus mereka. Untuk edisi ini, saya kongsi beberapa aktiviti yang, dengan izin Tuhan, akan membantu meningkatkan tumpuan/fokus si kecil anda.

Peningkatan fokus adalah kemahiran yang sangat penting untuk kanak-kanak yang akan berhijrah ke dunia sekolah rendah

Aktiviti 1: Berikan masa khas untuk anak fokus atau menumpukan perhatian

Berikan masa yang munasabah untuk anak anda berlatih memberi tumpuan kepada tugasan-tugasan tertentu di rumah di bawah pemerhatian anda sebagai papa atau mama yang prihatin.

Kanak-kanak pada usia lewat pendidikan praformal (antara 4 hingga 6 tahun) biasanya boleh menumpukan perhatian antara 5 hingga 20 minit pada satu-satu masa. Namun, tempoh ini berbeza antara tugasan yang biasa (fokus yang lebih lama) dengan tugasan baharu yang mungkin lebih mencabar keupayaan mereka (fokus yang lebih pendek).

Aktiviti 2: Bantu si kecil memfokus kepada 1 perkara atau tugasan pada 1 masa

Sebagai orang dewasa, kita memuji keupayaan untuk melakukan pelbagai tugasan pada satu-satu masa (multi-tasking). Tetapi, penyelidikan membuktikan bahawa ‘kebolehan’ seperti ini sebenarnya mengurangkan tumpuan dan merendahkan prestasi kerja!

Untuk kanak-kanak tadika, mereka tidak patut diajar memfokus kepada banyak perkara atau tugasan pada satu-satu masa kerana mereka akan ‘terkejut’ dan langsung tidak dapat berfikir dan berfungsi dengan baik. Maka, ajarlah si kecil memberi fokus kepada satu perkara sahaja pada satu-satu masa agar tahap tumpuannya dapat ditingkatkan.

Aktiviti 3: Jadualkan masa melakukan kerja sekolah di tempat yang sesuai

Seperti diterangkan di atas, melakukan pelbagai tugasan pada satu-satu masa (multi-tasking) agak mengganggu tahap tumpuan kanak-kanak. Oleh sebab itu, amat penting untuk mama dan papa mengurangkan gangguan luaran semasa si kecil sedang membuat latihan belajar, membaca buku dan aktiviti pembelajaran lain.

Latihlah si kecil anda untuk membuat kerja rumah di meja khas atau di tempat yang tetap tanpa gangguan televisyen, telefon, komputer tablet dan sebagainya. Pastikan juga jadual tetap dibuat setiap hari, misalnya 2 jam setiap malam untuk kerja rumah dan membaca.

Aktiviti 4: Berikan masa juga untuk si kecil berehat sebentar!

Kanak-kanak pada usia lewat pendidikan praformal belum mempunyai tahap keupayaan mental yang tinggi untuk memfokus atau memberi perhatian sepenuhnya tanpa rehat. Mereka perlu bangun, bergerak dan melakukan sesuatu aktiviti yang santai selepas menghabiskan masa mereka menumpukan perhatian kepada sesuatu.

Banyak manfaat akan diraih jika si kecil diberi masa-masa untuk berehat sebentar sekadar beberapa minit dan ‘mengecaj’ semula minda mereka, terutama semasa mereka sedang melakukan tugasan-tugasan kerja rumah yang terpaksa disiapkan sebelum esok hari.

Beri anak rehat sebentar

Aktiviti 5: Latih si kecil anda untuk bernafas dengan tenang

Pernafasan terkawal (diafragmatik) dapat memperlahankan kadar denyutan jantung kita dan menenangkan minda supaya kita dapat menumpukan perhatian. Ini adalah kemahiran penting untuk kanak-kanak apabila mereka menghadapi tugas-tugas yang mencabar, yang boleh membuat mereka cemas dan meningkatkan kadar denyutan nadi mereka.

Kerisauan pasti akan mengganggu tahap tumpuan mereka. Maka, mencari jalan untuk menjadikan sesuatu tugasan lebih ‘mudah’ sangat penting untuk si kecil anda. Pernafasan terkawal dan menenangkan tubuh adalah salah satu daripada strategi efektif ke arah ini.

Aktiviti 6: Bahagikan tugasan besar kepada tugasan-tugasan yang lebih kecil

Ini adalah satu lagi strategi untuk membantu kanak-kanak meningkatkan tahap tumpuan semasa melakukan tugasan yang mencabar minda dan kesabaran mereka. Jika anak anda sedang belajar untuk mengikat tali kasut, buat matlamat pertama untuk menguasai simpulan awal, kemudian beralih pula kepada membuat dua gelung dengan tali kasut sehingga dia tahu dengan tepat bagaimana cara untuk melakukannya dengan sendiri.

Kanak-kanak masih belum cekap ‘memecahkan’ sesuatu tugasan kepada bahagian yang lebih kecil. Si kecil anda perlukan bantuan untuk menguasai keupayaan penting ini.

Aktiviti 7: Ajar si kecil untuk meningkatkan tahap pemerhatian dalaman diri

Kanak-kanak mudah terganggu oleh ‘rangsangan dalaman diri’, seperti sensasi fizikal atau kenangan yang menghiburkan diri mereka. Walaupun daya imaginasi kanak-kanak adalah sesuatu yang luar biasa, kita perlukan mereka untuk menghindari gangguan fikiran sambil membina keupayaan untuk menumpukan perhatian dengan lebih cekap dan lebih lama.

Cuba latih si kecil anda untuk memerhatikan keadaan fizikal di sekelilingnya kemudian menerangkan tentang keadaan itu, melihat objek-objek yang ada di dalam rumah sambil melukiskannya atau mendengar lirik lagu bersama-sama kemudian menyanyikannya.

 

Published by
Nor Yusoff