“Ini Rezeki” Sairah Umum Hamil Anak Kelima, Doktor Minta Jaga Betul-Betul Lepas 2 Kali Keguguran!

Share

Tahniah diucapkan buat adik kepada penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Siti Sairah yang kini dikhabarkan hamil anak kelimanya.

Sairah yang kini sedang bersaing untuk satu program nyanyian, Famili Duo memohon doa yang baik-baik untuk kandungan kelimanya ini selepas dua kali mengalami keguguran sebelum ini.

“Dapat tahu hamil minggu lepas. Harap dipermudahkan. Usia kehamilan pula saya masih belum dapat pastikan lagi kerana masih belum berjumpa dengan doktor lagi,” kongsinya.

Akui Sairah yang muncul bersama kakaknya, Saida, dia sebelum ini sudah dapat mengagak hamil dan cuba membuat ujian kehamilan di rumah.

“Sebelum ini saya sudah dapat agak dan ada kongsikan kepada suami dan kakak, Siti Saida. Saya terus buat ujian kehamilan dan alhamdulillah positif.

“Saya dan suami terima dengan hati terbuka, ini rezeki. Cuma pada awal kehamilan ini, saya mula alami alahan. Harap dipermudahkanlah sampailah bersalin nanti, insyallah,” katanya lagi berkongsi.

Berkongsi kisah keguguran yang dialaminya sebelum ini, akui Sairah, dia keguguran buat kali kedua pada awal tahun ini.

Malah selepas dua kali keguguran, dia juga dinasihatkan oleh doktor agar menjaga kandungannya jika hamil lagi dalam waktu terdekat ini.

“Bila kembali hamil, memang saya risau juga sebab usia kandungan masih baru lagi.

“Sebelum ini pun doktor minta saya untuk betul-betul jaga selepas dua kali gugur. Saya harap kali ini ada rezekilah,” katanya lagi.

Menarik: Ni Baru Betul Balik Kampung, Teruja Main Salji, Ramai Geram Tengok Gelagat Rina Balik Korea!

Terdahulu, Sairah dan suaminya, Mohd Sharidan Johari mempunyai seorang cahaya mata perempuan, Siti Nurkhalishah Alisa.

Sairah turut mempunyai tiga orang cahaya mata melalui perkahwinan pertamanya, Ummi Umairah, Ahmad Daiyan dan Ahmad Aisy.

 

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Pa&Ma

Published by
SRM