Menjadi ayah bukan tiket untuk anda cepat marah pada isteri dan anak-anak kerana kemarahan yang terlalu kerap hanya akan memberi kesan buruk pada emosi anak.
Sebagai ketua keluarga, segala gerak geri ayah diperhatikan oleh isteri dan anak-anak. Ayah adalah ‘superhero’ bagi anak-anak.
Bayangkan sekiranya ayah sebagai ketua keluarga mempunyai kelakuan yang tidak sepatutnya tentu sahaja akan menghasilkan anak-anak yang turut tidak berperibadi mulia.
Ayah jangan cepat marah! Kadangkala ada kalangan ayah yang cepat naik angin walaupun sekadar perkara remeh temeh dilakukan oleh anak-anak.
Bukan bermaksud ayah tidak boleh marah anak-anak. Tetapi biarlah berpatutan dengan jenis kesalahan dan tahap usia mereka.
Ini antara faktor kenapa ayah perlu mengawal api kemarahan terhadap anak-anak dan isteri.
1. Ketika api kemarahan sedang meledak, kita memang mudah menuturkan kata-kata kesat dan kasar tanpa mempedulikan siapa yang kita sedang marahi.
Bayangkan anak anda masih kecil dan hanya terkebil-kebil matanya tatkala anda menengkingnya. Tidakkah anda berasa sayu hati melihatnya?
2. Sebagai ketua keluarga yang sering dianggap hero oleh anak-anak, apa salahnya anda lebih banyak memberi kesedaran kepada anak-anak berbanding asyik memarahi mereka sahaja.
Ia memang tidak mudah apatah lagi anda rasakan perbuatan mereka itu semuanya salah. Tetapi itu bukan cara terbaik mendidik anak-anak.
3. Selain dari itu, ayah juga perlu mengelakkan daripada mengeluarkan kata-kata negatif kepada anak-anak atau isteri (terutama di hadapan anak-anak).
Walau tahap kemarahan anda sudah seperti gunung berapi yang hendak meletup, jangan sekali-kali mengeluarkan perkataan kesat dan kasar kepada anak-anak.
Ingatlah ia akan melekat dalam memori anak anda sehingga ke akhir hayat mereka jika anda menghamburkan kata-kata kesat yang tidak sepatutnya.
4. Elakkan juga daripada mengutuk atau menjatuhkan maruah anak di hadapan orang lain.
Anda sendiri tidak suka diperlakukan sedemikian, begitu juga dengan anak anda walaupun mereka masih kecil.
5. Jangan abaikan tanggungjawab untuk menjaga emosi anak-anak. Keperluan itu sangat penting dalam membentuk jati diri anak.
Belajarlah menghargai anak anda, Insha Allah mereka akan menghargai anda kerana anak-anak belajar daripada papa dan mama mereka.