Meskipun pengalaman menimang cahaya mata menjadi satu daripada momen manis dalam kehidupan seseorang wanita, namun ramai wanita sebenarnya berasa murung dan sedih selepas bersalin. Ini adalah keadaan yang biasanya dikenali sebagai ‘baby blues’.
Kemurungan selepas bersalin membuatkan ibu baharu berasa mudah menangis, marah-marah, letih, dan kebimbangan disebabkan oleh perubahan mendadak hormon selepas melahirkan anak. Bagaimanapun, keadaan ini tidak berlangsung lama dan akan hilang dalam masa beberapa hari selepas kelahiran.
Ads
Apakah tanda-tanda lazim seseorang itu mengalami kemurungan selepas bersalin?
Anda mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin, jika anda:
−Rasa sedih berterusan
−Tidak lagi berminat dengan perkara yang berlaku di sekeliling atau tidak berasa teruja dengan perkara yang selalunya memberi keseronokan kepada anda
−Sentiasa rasa letih dan jarang mempunyai tenaga untuk melakukan sesuatu, termasuklah menjaga bayi
−Mengalami masalah untuk tidur di waktu malam tetapi sering berasa mengantuk pada siang hari
−Mengalami masalah untuk membuat keputusan, melakukan tugasan mudah atau menumpukan perhatian
−Tidak mahu makan, minum atau merasa makanan yang biasanya digemari
−Mengidam tanpa kawalan
−Rasa terganggu, mudah marah, dan bersikap tidak peduli
−Menyalahkan diri sendiri, dan rasa tidak berguna
−Bersikap tidak acuh dan tiada perasaan untuk melayan anak
−Tidak berminat dengan pasangan
−Berfikiran negatif seperti menyakitkan diri sendiri, menyakiti bayi, bahkan boleh membunuh diri
Ads
Kemurungan selepas bersalin boleh berlaku secara perlahan-lahan dan kadangkala sukar untuk didiagnosis. Jika anda melihat tanda-tanda kemurungan selepas bersalin berlaku pada ibu-ibu baharu, dapatkan bantuan daripada doktor secepat mungkin:
−Selalunya, ibu akan menangis tiba-tiba tanpa sebab.
−Ibu tidak mahu menjaga bayi.
−Ibu tidak mahu berjumpa atau bercakap dengan sesiapa.
−Ibu mempunyai kesukaran untuk ‘bonding’ dengan bayi.
−Ibu cenderung untuk berkata-kata negatif dan berasa dirinya tidak berguna.
−Ibu tidak mahu menjaga diri sendiri.
Ads
Kemurungan selepas bersalin memberikan kesan yang dahsyat kepada kehidupan harian ibu, dan lebih penting lagi, kepada hubungan ibu dengan anak, pasangan, dan orang lain di sekeliling. Jika anda mengalami masalah kemurungan selepas bersalin, jangan bertangguh untuk mendapatkan rawatan daripada doktor. Dengan memendam rasa dan bergelut berseorangan akan hanya menjadikan masalah ini lebih serius dan amat berbahaya. Jika perkara ini tidak ditangani dengan betul, kemurungan selepas bersalin boleh berterusan selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun.
Bergelar ibu baru bermakna anda akan berhadapan dengan kedua-dua perubahan fizikal dan emosi. Anda mungkin akan berasa gembira dan kemudiannya berasa sedih secara tiba-tiba. Selalunya, perasaan ini akan hilang sendiri. Namun, jika anda lihat perasaan negatif anda berpanjangan melebihi dua minggu terawal selepas anda melahirkan bayi, ini berkemungkinan anda mengalami masalah kemurungan selepas bersalin, yang memerlukan anda segera mendapatkan rawatan doktor.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Teknik pernafasan yang betul akan memaksimumkan kandungan oksigen di dalam tubuh anda dan bayi lalu membantu anda mengatasi rasa sakit semasa bersalin. Cara bernafas yang betul sangat mudah untuk dipelajari.
Sebaik-baiknya, berlatih teknik berkenaan sepanjang tempoh kehamilan. Apa yang perlu dilakukan ialah tarik nafas dalam dan hembus nafas perlahan-lahan. Anda perlu faham bahawa cara bernafas yang salah boleh mengganggu proses bersalin. Selain daripada itu, ia boleh membuatkan anda tidak mampu bertenang.
Ketahuilah, apabila anda tidak relaks dan berada dalam keadaan takut, secara tidak langsung, ia menyebabkan pernafasan menjadi cepat dan pendek. Pada masa yang sama, otot-otot tubuh terutamanya yang berkait rapat dengan proses kelahiran menjadi sangat tegang. Cara anda bernafas cepat – pendek atau turut dikenali sebagai panic breathing hanya akan mengurangkan bekalan oksigen dalam darah anda dan juga bayi.
Oleh sebab itulah, anda dan suami sangat digalakkan untuk sama-sama mengikuti kelas antenatal yang mempunyai slot khusus bagi mengajar anda berdua teknik bernafas yang betul. Seawal minggu ke-25 kehamilan, anda dan suami sudah boleh mengikuti kelas antenatal dan belajar teknik bernafas yang betul.
Peranan suami
Para suami sememangnya digalakkan untuk sama-sama belajar dan berlatih melakukan teknik bernafas yang betul. Di rumah suami boleh membuat teknik pernafasan bersama anda.
Tujuan utama suami perlu belajar ialah kerana dialah orang yang lazimnya menjadi teman anda ketika di bilik bersalin. Apatah lagi, dia jugalah yang akan menjadi pembakar semangat ketika hendak meneran selain daripada membantu mengurangkan ketidakselesaan yang dialami setiap kali kontraksi menjengah.
Berbanding jururawat, anda tentu lebih selesa bersama dan mendengar arahan suami bukan? Dengan memegang tangan suami, anda berupaya untuk menuruti arahan dan tunjuk ajarnya untuk sama-sama bernafas dengan betul sewaktu berada di bilik bersalin nanti.Dengan yang demikian, suami anda perlu tahu teknik yang betul dan sama-sama bertenang agar pernafasan yang anda berdua lakukan adalah lancar dan berupaya mengurangkan rasa sakit yang dialami oleh diri anda.
Pernafasan masa meneran
Seharusnya anda mengikut gesaan yang datang melalui kontraksi untuk meneran apabila telah cukup 10sm. Anda boleh meneran beberapa kali selagi masih berasa gesaan untuk meneran. Pada ketika ini, anda tidak perlu menahan nafas lebih daripada lima saat semasa proses melahirkan. Ikuti langkah demi langkah teknik pernafasan dalam fasa ini.
Fasa 1: Air ketuban pecah
↓
Fasa 2: Kontraksi bermula dan menyebabkan anda tidak selesa. Bermula daripada sini anda dan suami sudah boleh memulakan teknik bernafas yang pernah dipelajari di kelas antenatal.
↓
Fasa awal kontraksi: Mulakan pernafasan dalam
↓
Masa tiada kontraksi: Lakukan pernafasan normal
↓
Kontraksi: Lakukan pernafasan dalam
↓
Cukup 10sm dan bayi sudah bersedia: Kontraksi – curi nafas – tunggu arahan meneran – pernafasan dalam – teran sambil hembus kuat
↓
Pernafasan normal
↓
Tunggu kontraksi kedua dan lakukan pernafasan dalam dan teran
Segelintir ibu tidak bernafas dengan betul kerana ‘mencuri’ nafas lalu menyebabkan masuk semula ke saluran peranakan sehingga menyebabkan proses kelahiran menjadi lambat dan panjang.
Malah, risiko komplikasi semasa proses kelahiran juga boleh berlaku iaitu bahu bayi tidak melepasi faraj sedangkan kepalanya sudah berjaya keluar. Masalah ini dikenali sebagai masalah saraf bahu tersekat (erbpalsy) dan memerlukan doktor menarik bayi bagi mempermudah proses kelahiran.
Sekiranya anda tidak mengikut teknik bernafas yang betul, anda mudah keletihan. Oleh yang demikian, adalah diingatkan agar anda tidak meneran terlalu banyak kali sehingga kadang kala terpaksa ‘mencuri’ nafas. Anda perlu lebih relaks.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kalau gugur mesti kena buat D&C atau tak? Peluang nak hamil adakah tipis lepas buat D&C. Apabila berhadapan dengan situasi keguguran, ramai wanita bimbang tentang keperluan menjalani prosedur D&C (dilation and curettage) dan sama ada peluang untuk hamil semula akan terjejas.
Kalau Gugur Mesti Kena Buat D&C Atau Tak?
Untuk menjawab persoalan ini, penting untuk memahami tujuan dan situasi di mana D&C diperlukan, serta bagaimana ia mempengaruhi peluang kehamilan pada masa hadapan.
“Salam doktor, saya ingin bertanya mengenai peluang untuk hamil semula selepas menjalani rawatan D&C akibat keguguran. Adakah prosedur ini boleh menjejaskan kesuburan saya?”
Setiap kali ditanya tentang keguguran, saya merasa simpati yang mendalam terhadap mereka yang mengalaminya. Dugaan ini memerlukan kesabaran yang tinggi, dan saya percaya terdapat hikmah di sebalik setiap ujian. Walau bagaimanapun, penting untuk memastikan kesihatan kembali pulih seperti sediakala.
Peluang Nak Hamil Adakah Tipis Lepas Buat D&C
Berdasarkan pengetahuan saya, tiada bukti saintifik yang menunjukkan prosedur dilation and curettage (D&C) untuk mengeluarkan sisa janin akibat keguguran akan mengurangkan kebarangkalian untuk hamil semula, sekiranya keguguran itu bukan disebabkan oleh penyakit kronik.
D&C itu sendiri bukan penyebab utama kesukaran untuk hamil. Sebaliknya, jika sisa janin tidak dikeluarkan, ia boleh menyebabkan pendarahan berterusan dan jangkitan yang akhirnya menjejaskan kesuburan. Prosedur D&C membantu membersihkan rahim dan mendorong pembentukan semula lapisan endometrium, yang penting untuk memastikan ovum yang disenyawakan dapat tertanam dengan baik.
Perlukah Semua Keguguran Menjalani D&C?
Keguguran, yang bermaksud kematian janin, memerlukan tindakan segera untuk mengelakkan komplikasi seperti jangkitan dan pendarahan. Sekiranya kehamilan masih awal (kurang dari 10 minggu), tubuh biasanya mampu mengeluarkan janin secara semula jadi tanpa memerlukan D&C.
Namun, jika usia kehamilan melebihi 10 minggu, doktor selalunya akan mengesyorkan D&C untuk memastikan semua sisa janin dikeluarkan sepenuhnya. Ultrasound sering digunakan untuk memeriksa sama ada masih terdapat sisa janin yang tertinggal di dalam rahim.
Sesetengah wanita memilih untuk membiarkan proses keguguran berlaku secara semula jadi tanpa menjalani D&C. Keputusan ini harus dibuat setelah memahami risiko yang mungkin timbul, seperti pendarahan berpanjangan, demam, atau sakit di bahagian bawah perut.
Bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan lain seperti diabetes atau gangguan ginekologi, D&C adalah pilihan yang lebih selamat untuk mengelakkan komplikasi serius. Namun, keputusan akhir hendaklah dibuat bersama doktor selepas perbincangan yang teliti.
Kehamilan Selepas D&C
Ramai wanita bertanya mengenai peluang dan tempoh menunggu untuk hamil semula selepas keguguran dan D&C. Dalam kebanyakan kes, tidak ada kajian yang menunjukkan D&C menjejaskan peluang kehamilan, selagi keguguran tidak berkait dengan penyakit kronik.
Doktor biasanya menyarankan untuk menunggu sehingga tiga kitaran haid sebelum mencuba untuk hamil semula. Tempoh ini memberi peluang kepada rahim untuk pulih dan membantu wanita bersedia dari segi emosi.
Wanita yang ingin mencuba hamil semula disarankan memantau kitaran haid mereka dengan teliti, menggunakan kalendar untuk mencatat permulaan dan akhir setiap kitaran. Selain itu, penggunaan Ovulation Predictor Kit (OPK) dapat membantu menentukan waktu subur.
Gunakan OPK bermula dari hari ke-10 selepas haid bermula, dan lakukan ujian sekurang-kurangnya 10 kali sebulan. Jika OPK menunjukkan hasil positif, ovulasi biasanya berlaku dalam masa 12-24 jam. Ketika ini, bersama suami adalah waktu terbaik untuk mencuba kehamilan.
Dengan mengikuti nasihat doktor dan memahami tubuh sendiri, kebanyakan wanita boleh hamil semula tanpa masalah. Semoga artikel ini dapat memberi pencerahan kepada mereka yang memerlukan.
Naluri setiap ibu selepas bersalin adalah untuk menyusukan bayinya. Kerap kali saya berjumpa dengan ibu-ibu yang sangat bermotivasi sejak mereka hamil lagi untuk menyusukan bayinya sebaik sahaja selepas kelahiran. Akan tetapi ada yang mengatakan ‘Bayi saya tidak suka pada susu saya’ ataupun ‘Bayi saya tidak mahu menyusu’.
Ini akan menyebabkan ibu merasa tertekan kerana memikirkan bahawa bayi tidak mahukannya dan tidak suka pada susunya. Ada ibu yang akan mengatakan bayi berada dalam proses bercerai susu, walhal ini jarang berlaku di kalangan bayi yang berumur kurang dari satu tahun.
Secara lazimnya, ada sebab mengapa bayi enggan menyusu walaupun di peringkat awal kelahiran dan adalah penting untuk kita cuba mengetahui apa puncanya. Apabila sesuatu punca itu diketahui, barulah masalah itu lebih mudah untuk diatasi.
Apakah punca-punca yang menyebabkan bayi enggan menyusu selepas kelahiran?
1. Ubatan yang diterima oleh ibu semasa proses bersalin seperti ubat bius dan epidural. Ubat ini akan membuat bayi mengantuk dan enggan menyusu.
2. Bayi diasingkan dari ibu sejurus selepas lahir dan tidak mendapat sentuhan kulit ke kulit.
3. Masalah di bahagian mulut bayi seperti cleft palate dan tongue tie.
4. Masalah pelekapan disebabkan oleh puting ibu yang tenggelam, rata atau terlalu besar.
5. Posisi yang tidak betul menyebabkan bayi yang tidak selesa apabila menyusu
6. Bayi yang lemah seperti bayi pramatang, hypothyroid atau kurang gula di dalam darah
Ada juga segelintir bayi yang pada peringkat awalnya dapat menyusu dengan baik, tetapi lama kelamaan selepas beberapa bulan akan menolak apabila hendak disusukan oleh ibunya. Kadang kala, bayi akan menyusu sekejap, kemudian akan berhenti dan menangis seperti tidak mahu disusukan lagi. Ini dinamakan Mogok Menyusu ataupun ‘Nursing Strike’. Ini sebenarnya adalah cara bayi untuk memberitahu ibunya yang dia mempunyai masalah tertentu. Jadi ibu perlu cuba menyiasat untuk mengenal pasti apakah masalah ini.
Walaupun penyebabnya kadangkala tidak diketahui dengan jelas, namun ia boleh disebabkan oleh beberapa perkara biasa yang menyebabkan bayi ‘merajuk’ atau tidak selesa.
1. Punca dari susu ibu seperti susu kurang atau terlalu laju, rasa susu yang berubah kerana ibu mengalami Mastitis, datang haid, mengandung dan pengambilan sesetengah jenis ubat.
2. Masalah di bahagian mulut bayi seperti pertumbuhan gigi, jangkitan kulat (candida) atau ulser
3. Masalah perubatan bayi seperti infeksi di bahagian telinga, selsema atau reflux yang menyebabkan bayi tidak selesa untuk menyusu.
4. Keliru puting kerana diberi puting tiruan
5. Bayi sensitif dengan pemakaian minyak wangi atau lotion di bahagian dada ibu yang boleh mengakibatkan bayi kurang berminat untuk menyusu.
6. Bayi merasa takut dengan reaksi ibu sekiranya ibu pernah menunjukkan perasaan takut dan terkejut apabila putingnya pernah digigit oleh bayi sebelum ini
7. Proses perkembangan bayi-Bayi yang berumur enam ke sembilan bulan lebih mudah beralih perhatian dengan persekitaran atau mahukan perhatian ibu sepenuhnya
8. Rutin bayi telah terganggu kerana ibu berpindah rumah atau kembali bekerja.
9. Bayi berpisah dari ibu untuk jangkamasa panjang yang luar biasa.
Mogok menyusu memang menyulitkan walaupun seorang ibu itu amat berdedikasi dalam menyusukan bayinya. Ia merupakan perkara yang sukar untuk diterima apatah lagi jika bayi telah menyusu secara baik untuk beberapa bulan. Kebanyakan ibu merasakan tidak mungkin timbul sebarang kesukaran setelah begitu lama.
Walaupun perlakuan bayi menolak susu badan merupakan pengalaman yang merisau dan mengecewakan, dengan mempraktikkan beberapa teknik, kita boleh melatih bayi kita untuk kembali menyusu. Ia memerlukan sedikit masa, kesabaran dan kasih sayang. Ada bayi yang akan mengambil masa beberapa hari dan ada juga hingga satu ke dua bulan untuk mendapatkan lekapan yang terbaik.
Ingat, bayi tidak boleh dipaksa untuk menyusu kerana ia akan menyebabkan stress kepada bayi dan bayi akan lebih enggan untuk menyusu.
Percayalah! Selepas proses penyusuan menjadi lebih baik, penghasilan susu akan menjadi lebih lancar dan bayi akan mempunyai kepercayaan untuk meneruskan penyusuan dan bayi akan menjadi lebih sabar apabila melekap ataupun ‘latching’.
Apakah tips yang boleh dipraktikkan untuk membuat bayi lebih mahu untuk menyusu badan?
1. Memperbanyakkan sentuhan kulit ke kulit atau ‘Skin to Skin Contact’
• Sentuhan kulit ke kulit bermakna bayi diletakkan telanjang di atas dada ibu yang terdedah. Satu selimut digunakan untuk menutup kulit keduanya.
• Sentuhan kulit ke kulit bukan sahaja dapat membantu proses penyusuan, malah ia juga dapat membantu dengan kenaikan berat badan bayi itu. Luangkan masa bersama bayi semasa penyusuan walaupun penyusuan itu tidak berjaya, dan juga selepas penyusuan.
• Ini akan membuatkan bayi lebih gembira sebelum dia melelapkan mata dan apabila bangun dari tidur. Dengan berada bersama bayi sepanjang masa, ibu akan dapat menyusu bayi sejurus selepas bayi menunjukkan ‘feeding cues’ ataupun tanda-tanda pra penyusuan seperti pembukaan mulut, tangan bayi di dalam mulutnya dan kepala menoleh ke kiri dan kanan.
2. Penyusuan yang kerap
• Tawarkan bayi payudara setiap kali ada peluang untuk memberi ‘comfort’ ataupun kepuasan kepada bayi seperti sebelum bayi tidur atau sejurus selepas bayi bangun dari tidur. Kebanyakan bayi yang menolak penyusuan badan apabila mereka berjaga akan mahu menyusu semasa mereka mengantuk.
• Sekiranya payudara terlalu bengkak, perah susu terlebih dahulu untuk membantu bayi melekap dengan lebih baik pada payudara.
3. Dengan memakai baju menyusu ataupun ‘Nursing Friendly’
• Pemakaian yang sesuai untuk penyusuan ataupun ‘Nursing Friendly’ akan memberi akses yang mudah kepada bayi untuk menyusu dan menjimatkan masa apabila memulakan penyusuan. Bayi boleh hilang kesabaran apabila ibu mengambil masa untuk memperbetulkan baju dan pakaian dalam sebelum menyusu dan ini boleh menggangu proses penyusuan yang sempurna.
4. Dapatkan posisi dan persekitaran yang sesuai
• Dapatkan tempat kegemaran dan juga posisi penyusuan kegemaran bayi anda. Ada bayi yang gemar menyusu dalam posisi baring dan ada yang gemar dalam posisi pegangan buaian atau silang tangan. Anda boleh mencari bilik atau sudut yang bercahaya malap dan pasangkan muzik atau alunan Zikrullah yang menenangkan. Elakkan dari gangguan bunyi bising dari televisyen, radio, alat permainan atau anak yang lain. Selalunya, bayi yang berusia enam hingga sembilan bulan bertindak untuk mogok susu disebabkan dia amat terangsang untuk meneroka dunia yang baru dikenali.
• Anda juga boleh mencuba untuk menyusukan bayi anda sambil bergerak. Sesetengah bayi lebih suka menyusu apabila dibuai atau apabila dibawa berjalan berbanding disusukan semasa anda sedang duduk atau berdiri.
5. Bersabar dan hindarkan dari memberi tekanan kepada bayi untuk menyusu
• Apabila bayi seolah-olah enggan untuk menyusu dan merajuk, elakkan dari menolak kepala bayi ke payudara untuk memaksakan penyusuan. Sekiranya bayi seakan-akan sudah hilang sabar, jangan memaksa bayi untuk melekap ke payudara tetapi banyakkan sentuhan kulit ke kulit supaya bayi dan ibu akan lebih tenang. Cuba jangan tunjukkan perasaan bengang dan marah anda. Apabila bayi mula menunjuk tanda-tanda pra-penyusuan, ibu boleh mencuba lagi.
6. Tidur berhampiran dengan bayi
• Ini akan menggalakkan sentuhan kulit ke kulit dan bayi akan mendapat akses yang lebih mudah untuk menyusu. Tetapi ingat, berkongsi katil dengan bayi ada risiko untuk ‘SIDS’ ataupun Sindrom Kematian Bayi Mengejut. Adalah lebih baik untuk bayi tidur dalam kot atau katil bayi dalam bilik yang sama dengan ibu.
• Apabila bayi tidur di dalam katilnya sendiri tetapi di dalam bilik yang sama dengan ibu, ibu akan dapat menyusu bayi dengan segera iaitu sejurus sahaja selepas bayi menunjukkan tanda para penyusuan atau ‘feeding cues’ dan lebih mudah untuk menyusu pada waktu malam.
• Jangan beri bayi anda puting tiruan.
7. Teknik ‘ Ganjaran serta merta’ ataupun ‘Instant Reward’
• Teknik ini adalah untuk melatih bayi untuk mempelajari bahawa lekapan ke payudara adalah cara untuk mendapatkan susu. Ibu boleh menggunakan mana-mana cara yang sesuai.
i. Perah susu secara manual dengan tangan atau dengan pam sehingga merasa ‘let down’ sebelum bayi melekap pada payudara
ii. Jika ibu menggunakan Pelindung Puting ataupun ‘Nipple Shield’, isikan di bahagian puting dengan susu sebelum bayi melekap
iii. Titiskan susu ibu pada puting ibu di sudut mulut bayi semasa bayi sedang melekap dengan menggunakan dropper atau picagari
iv. Dengan menggunakan ‘Supplemental Nursing System (SNS)’
Sekiranya bayi masih enggan menyusu, cuba beri bayi susu ibu yang diperah (EBM ) dengan menggunakan cawan yang kecil atau sudu. Kemudian, bawalah bayi berjumpa dengan doktor untuk memastikan bayi anda sihat.
Adalah penting untuk membawa bayi yang tidak sihat berjumpa dengan doktor bagi dapatkan juga rawatan yang sesuai untuk bayi dan posisi penyusuan yang terbaik untuk bayi yang sedang berada dalam kesakitan.
Ibu juga perlu sentiasa memerah susu bagi memastikan bekalan susu tidak terputus selagi bayi masih enggan untuk menyusu.
Saya sering mengingatkan ibu-ibu bahawa sifat bayi untuk enggan menyusu ini adalah sementara sahaja. Dengan mengenal pasti punca mengapa bayi enggan menyusu dan sekiranya ibu juga berkomited untuk meneruskan penyusuan dan juga mendapat sokongan dari ahli keluarga, InsyaAllah ibu akan berjaya.
Tindakan yang boleh kita buat apabila dipukul, dikasari dan dicederakan. Tular seorang wanita telah dipukul oleh seorang lelaki gara-gara terlanggar anaknya yang melintas secara tiba-tiba. Keganasan fizikal seperti dipukul merupakan satu perbuatan jenayah yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.