Sedang merancang untuk melatih anak tidur sendiri? Tetapi tidak pasti batas usia anak yang sesuai untuk memulakannya? Umumnya, masa yang sesuai untuk setiap anak adalah berbeza. Pun begitu berikut beberapa cadangan yang mungkin boleh dijadikan panduan.
Perlukah melatih anak tidur sendiri?
Tidak dinafikan, ia kedengaran agak pelik apabila wujud keperluan untuk melatih anak tidur sendiri. Mesti ada di antara anda terfikir, bukankah melelapkan mata itu satu kemahiran semula jadi?
Bagi sesetengah individu dewasa, masa untuk tidur dianggap perkara yang mudah. Malahan, untuk mereka yang baharu bergelar ibu bapa, kepenatan menjaga si kecil mungkin membuatkan anda terus tertidur sebaik sahaja berbaring.
Tetapi keadaan itu berbeza bagi bayi kecil. Mereka masih belum mempunyai kemahiran yang sama. Latihan tidur adalah satu proses untuk membantu bayi belajar melelapkan mata dan kekal tidur sepanjang malam.
Kebanyakan bayi dapat mengadaptasi kemahiran ini dengan mudah dan cepat. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah anak yang berdepan kesukaran untuk tidur atau kembali melelapkan mata selepas terjaga.
Latihan tidur: Fahami batas usia anak yang sesuai
Adakah anda tahu bilakah masa yang sesuai untuk melatih anak tidur sendiri?
Pakar mengesyorkan waktu yang sesuai untuk memulakan latihan tidur ketika bayi berusia 4 hingga 6 bulan. Di bawah ada penjelasan lebih lanjut mengenai kesesuaian batas usia anak:
# Baru lahir hingga 2.5 bulan
Bayi yang baru lahir tidak dapat membezakan antara malam dan siang kerana mereka tidak menghasilkan cukup melatonin. Mereka juga memerlukan penyusuan pada waktu malam yang kerap. Jadi buat masa ini, ia bukanlah masa sesuai untuk melatih anak tidur sendiri.
# 3 hingga 4 bulan
Menjelang usia 3 hingga 4 bulan, bayi mula membentuk kitaran tidur malam. Mereka mudah bergaul, tidak mengalami kegelisahan perpisahan dan dapat melelapkan mata dengan lebih baik.
Pun begitu, kebanyakan kanak-kanak pada usia ini, masih belum bersedia untuk menenangkan diri sendiri. Jadi wujud sedikit kesukaran untuk melatih si kecil tidur.
Ads
# 4.5 hingga 5.5 bulan
Kebanyakan pakar mencadangkan untuk memulakan latihan tidur anak pada sekitar usia ini. Ia disebabkan oleh keadaan bayi yang boleh melelapkan mata sehingga tempoh 6 hingga 8 jam tanpa perlu melakukan penyusuan pada waktu malam.
Seperkara harus diingatkan pada batas usia anak ini, mereka sudah mula belajar bahawa tangisan akan mendapat tindak balas segera daripada anda. Jadi bersedialah untuk mendengar rengekan si manja nanti apabila anda melangkah meninggalkan mereka!
# 6 hingga 8 bulan
Pada usia ini, bayi dikatakan lebih berminat untuk mencari mainan daripada memerhatikan anda. Jadi sekiranya anda sedang merancang untuk melatih anak tidur sendiri, inilah masa yang sesuai untuk melakukannya!
Bayi juga dikatakan kurang cerewet sekiranya terjaga pada waktu malam.
# 9 hingga 11 bulan
Bayi mula memahami bahawa ibu bapa masih ada walaupun setelah meninggalkan mereka. Jadi si kecil akan menggunakan senjata terhebat mereka – tangisan – untuk memanggil anda kembali.
Pada tempoh ini, latihan tidur mungkin boleh mewujudkan rasa penat dan kecewa pada diri anda. Pun begitu, tiada apa yang boleh menghalang anda jika mahu terus mencuba latihan tidur ini.
# 12 hingga 16 bulan (1 tahun 4 bulan)
Ads
Dalam batas usia anak ini, mereka mula menumpukan perhatian untuk mengembangkan kemahiran pertuturan dan fizikal, jadi anak akan ‘kurang melekat’ dengan ibu ayah.
Jadi gunakanlah tempoh ini untuk melakukan latihan tidur.
# 17 hingga 21 bulan (1 tahun 5 bulan hingga 1 tahun 9 bulan)
Agak pelik tetapi pada usia ini anak sedang dalam proses untuk berdikari dan mereka mungkin akan lebih memerlukan sokongan anda. Jadi hentikan dulu rancangan untuk melatih anak tidur sendiri.
Melatih anak tidur sendiri: 5 petua untuk berjaya
Anda sudah tahu batas usia anak yang sesuai untuk memulakan latihan tidur tetapi ada rasa khuatir jika tidak berjaya? Usah bimbang, apa kata cuba 5 petua berikut:
1. Wujudkan rutin waktu tidur
Setiap malam, lakukan rutin tidur yang boleh menenangkan fikiran dan mempersiapkan tubuh mereka untuk melelapkan mata. Ia melibatkan teknik menenangkan seperti mandi, membaca buku atau pun menyanyikan lagu dengan irama mengasyikkan seperti ‘Twinkle-twinkle Little Star’.
Pastikan rutin ini dilakukan secara konsisten untuk memberitahu bayi bahawa ia adalah masa tidur. Teknik ini juga dapat mengembangkan jam dalaman mereka.
2. Tetapkan tarikh efektif untuk melakukannya
Ads
Walaupun pada hakikatnya tidak ada masa yang tepat untuk melatih anak tidur sendiri, tetapi elakkan memilih waktu hampir dengan perkara-perkara penting lain dalam kehidupan anak.
Antaranya seperti masa untuk berjumpa pengasuh baharu atau minggu pertama memperkenalkannya dengan mainan gigi (teething toys). Kebanyakan ibu bapa memilih untuk memulakan latihan tidur pada hari Jumaat dan menggunakan kelebihan waktu hujung minggu.
Ada juga yang mengambil cuti daripada tugasan kerja bagi mengelakkan isu mengantuk sewaktu bekerja.
3. Waktu siang untuk bermain
Bercakap dan bermain dengan bayi pada siang hari akan dapat memanjangkan waktu si kecil berjaga.
4. Letakkan bayi di katil tidur ketika masih terjaga
Berapa ramai ibu bapa yang memilih untuk meletakkan si kecil di katil mereka saat sudah melelapkan mata? Tindakan anda itu mungkin akan menyukarkannya untuk kembali tidur apabila terbangun pada waktu malam. Langkah terbaik, apabila si kecil tampak mengantuk tetapi masih lagi berjaga, ia merupakan waktu sesuai untuk meletakkan mereka di katil tidur.
5. Fahami isyarat bayi letih
Perhatikan jika si kecil menguap, menggosok mata atau mula merengek. Ia adalah isyarat mereka sudah letih dan biasanya akan berlaku pada waktu yang sama setiap malam.
Penting untuk meletakkan bayi di tempat tidur ketika mereka mengantuk tetapi tidak terlalu letih.
Ini kerana jika bayi terlalu penat, mereka lebih sukar untuk tidur dan cenderung untuk bangun lebih awal.
Berjumpa doktor
Sekiranya anda memerlukan lebih panduan dan bimbingan untuk melatih anak tidur sendiri, dapatkan rundingan daripada pakar pediatrik. Jika anda mencuba kaedah latihan tidur secara konsisten tetapi tidak berjaya, berjumpalah doktor untuk mengetahui cara penyelesaian terbaik.
“Mummy janji kalau abang dengar cakap, nanti mummy beli aiskrim”. Pernah tak anda dalam situasi ini apabila berjanji dengan anak.
Janji adalah perkara yang perlu diambil berat oleh semua orang. Kita tidak boleh cakap janji sahaja sedangkan tak menunaikannya. Begitu juga dalam keadaan di mana kita berjanji dengan anak, mereka juga akan ingat dan pasti menuntut janji tersebut. Selagi tidak dapat, selagi itulah mereka akan tanya berulang kali.
Dalam skop janji ini, kita tidak boleh ambil mudah kerana ia akan terkena pada diri sendiri apabila anak mula tidak mempercayai apa yang diperkatakan oleh ibu bapanya. Adakah kita mahu keadaan ini berlaku?
Janji yang tidak ditepati akan mengelirukan anak-anak dan membentuk karakter anak itu apabila mereka meningkat dewasa nanti. Tak mustahil anak juga tidak akan menepati janji kerana menganggap janji itu hanya sekadar keluar dari mulut sahaja.
Janji Hadiah/Ganjaran
Apabila berjanji nak bagi hadiah pada anak, ibu bapa perlu ambil serius mengenai perkara ini. Contohnya, “kalau kakak dapat markah yang baik dalam peperiksaan nanti ayah beri set pensel warna yang besar.”
Sebagai ibu bapa kita jangan berjanji kosong pada anak. Kita kena tahu janji yang dibuat dengan anak biarlah ikut kemampuan diri. Perlu pegang pada janji kerana anak-anak dah tetapkan dalam fikiran mereka mengenai apa yang diperkatakan.
Elakkan berjanji bagai bulan dan bintang sedangkan keadaan ini akan memakan diri kita sebagai ibu bapa. Anak tak akan mengerti kewangan kita. Jadi untuk mengelakkan masalah lain berlaku ada eloknya berjanji perkara yang boleh ditunaikan.
Janji Hukuman
Janji hukuman antara yang sering diperkatakan oleh ibu bapa setiap kali anak melakukan perkara yang salah. Contohnya “ kalau tak kemas mainan, nanti ayah rotan..” “Jangan bising, nanti ibu letak dalam bilik gelap”..
Sebenarnya cara kita cakap sebegini adalah janji kita pada anak kalau mereka masih lakukan juga perkara sama. Tidak bermaksud untuk menggalakkan anak menerima hukuman tetapi ia adalah untuk mengajar.
Jika ibu bapa rasa tidak sampai hati untuk buat seperti apa yang dikatakan, usah berjanji sedemikian. Kalau tak anak akan jadi besar kepala dan tak hirau dah. Mereka rasa ibu ayah tak kan buat pun. Cuma cakap je lebih. Ini antara mesej yang ada dalam fikiran mereka.
Kesimpulannya, jika kedua-dua janji ini tidak ditepati, anak akan mula ada perasaan tidak percaya pada kedua ibu bapanya dan ini sesuatu yang mungkin akan jadi lebih serius jika tidak diberi perhatian.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Teknik rangsangan saraf di luar dan dalam mulut masih menjadi perbincangan di kalangan terapis. Adakah ia menyumbang kepada pertuturan anak-anak?
Secara teorinya, saraf yang tidak normal (kurang atau terlebih peka) akan menyebabkan beberapa masalah kepada anak-anak seperti:- 1. Anak cerewet makan 2. Anak susah gosok gigi 3. Anak suka gigit mainan/baju dan sebagainya 4. Anak suka masukkan tangan dalam mulut 5. Air liur meleleh 6. Anak lambat bercakap
Rangsangan saraf secara konsisten dikatakan akan dapat membantu memperbaiki masalah di atas.
Macam mana saya nak buat rangsangan saraf mulut?
– Rangsangan perlu dibuat secara konsisten 3 kali sehari; waktu pagi, petang dan malam
– Buat di bahagian luar mulut iaitu di sekeliling mulut (pipi, atas dan bawah bibir, dan bibir)
– Buat di bahagian dalam mulut iaitu di gusi, dalam pipi, lidah dan lelangit.
Ada peralatan khusus ke?
– Tiada peralatan khusus, boleh gunakan jari yang dibalut gauze, toothettes (seperti dalam gambar) atau gum massager (seperti dalam gambar)
– Toothettes boleh dicuci (dengan air paip sekali lalu), dikeringkan dan boleh diulang-ulang guna sehingga lebih kurang 15x
– Gum Massager lebih tahan dan boleh digunakan dalam jangka masa yang lebih lama
Berapa lama perlu saya buat rangsangan untuk lihat perubahan?
– Perubahan pada anak berbeza antara satu sama lain. Ada yang menunjukkan perubahan selepas sebulan tetapi ada juga sehingga setahun. Berbincang dengan terapis pertuturan untuk meningkatkan peringkat rangsangan.
Tegas tapi sayang. Ini yang perlu dilakukan ibu demi kebaikan masa depan anak. Tidak dinafikan secara semula jadi, perwatakan ibu adalah seorang yang suka membebelkan anak-anak. Garang, tegas, kuat berleter antara karektor sinonim dengan ibu.
Bagaimanapun kebanyakan anak-anak memang rapat dengan ibu. Biarpun ibu suka membebel dan marah-marah tetapi anak tetap hendak melekat dengan ibu.
Sebagai antara orang yang paling rapat dengan anak, ibu perlu menjadi tegas dan garang tetapi dalam masa yang sama bersifat penyayang terhadap anak-anak.
Pengaruh ibu sangat kuat dalam mendidik anak-anak generasi sekarang lebih berdisiplin, tahu menghormati orang yang lebih tua, bertanggungjawab dan patuh kepada perintah ibu bapa. Mungkin sudah tiba masanya ibu mempraktiskan cara-cara berikut dalam mendidik anak-anak era ledakan pengaruh media sosial.
Jangan turutkan semua kemahuan
Kebanyakan ibu mudah ‘cair’ dengan permintaan anak. Ada kalanya disebabkan tidak mahu anak merengek dan mengganggu ibu untuk buat perkara lain, maka ibu turutkan semua permintaan anak. Tindakan ini sangat berbahaya! Tidak kira sama ada anak menangis berguling atau menjerit, ibu perlu tegas dengan pendirian dan tidak mengikut semua kemahuannya.
Usaha sendiri
Kadang kala ibu perlu sesekali mengajar anak berusaha sendiri jika mahukan sesuatu. Bagaimanapun cara ini perlu dipraktiskan mengikut tahap usia anak. Contohnya jika anak yang sudah bersekolah tadika, meminta dibelikan barang yang mereka inginkan, ibu boleh menyuruh anak mengumpul duit yang diperoleh daripada ibu ayah demi untuk membeli barangan tersebut. Biarkan mereka belajar susah senang mengumpul duit untuk mendapatkan barang. Barulah mereka menghargai barangan tersebut.
Patuh dengan peraturan
Jika sudah menetapkan peraturan di rumah maka ia wajib dipatuhi oleh si anak. Dalam masa yang sama, ibu perlu tegas melaksanakan peraturan tersebut supaya jangan nanti anak memperlekehkan peraturan tersebut jika ibu tidak melaksanakannya.
Disiplinkan anak hormat ibu
Didik anak dari kecil supaya menghormati ibu. Ajar anak supaya segera menjawab panggilan ibu dengan sopan iaitu “Ya, ibu” dan segera tinggalkan apa yang sedang dilakukan ketika itu. Jika anak sudah terbiasa dengan disiplin tersebut, maka sampai dewasa dia akan segera utamakan panggilan dari ibu.
Jangan biarkan anak sibuk menonton TV dan enggan mengendahkan panggilan ibu ketika dipanggil. Alasannya konon anak masih kecil. Bukankah melentur buluh itu biar dari rebungnya!
Jadi ibu yang ‘penyibuk’
Oleh kerana kebanyakan anak lebih rapat dengan ibu maka ambil peluang ini untuk menjadi ‘penyibuk’. Ia penting untuk kita memantau pergerakan dan perbuatan anak apatah lagi di era semua perkara boleh dilihat menerusi teknologi internet tanpa mengira batasan usia si anak.
Sumber: Cari.infonet
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!