Jangan terkejut bila si kecil dah pandai cemburukan papa dan mama! Anda tentu biasa berhadapan dengan situasi begini kan? Anak yang baru berusia setahun ke atas akan marah apabila anda sengaja menyakatnya dengan memeluk atau mencium mama atau papanya.

“Sayang mama. Ini papa punya mama…,” sakat Papa pada Ammar sambil memeluk mama.

“Jangan…ni Ammar punya mama!” jerit Ammar sambil cuba menolak papanya daripada memeluk mama.

Mengapa mereka sudah pandai merasa cemburu? Ini antara sebabnya:

1. Mama kepunyaan saya seorang!

Biasanya si kecil lebih rapat dengan mama. Jadi dia beranggapan mama hanya miliknya seorang. Bila perhatian bukan diberikan kepadanya, dia jadi marah dan cemburu.

2. Tak tahu bagaimana nak luahkan

Oleh kerana masih kecil, dia tak tahu bagaimana nak meluahkan perasaannya. Menangis, menolak atau memukul papa supaya menjauhi mama adalah cara yang akan dilakukan sebagai satu amaran jangan mengambil ‘hak miliknya’.

3. Tak nak berkongsi

IKLAN

Si kecil hanya mahu mama menjadi milikinya dan tak boleh berkongsi dengan orang lain termasuk papa! Dia fikir hanya dia sahaja yang mama perlu peluk dan cium.

4. Si kecil rasa terancam

Merasakan tempatnya cuba diambil alih oleh orang lain. Oleh kerana dia rasa terancam maka hanya tangisan dan kemarahan sahaja menjadi senjatanya untuk menghalang perkara tersebut daripada berlaku.

Inilah Sebabnya Kenapa Si Kecil Dah Pandai Cemburukan Papa & Mama!

5. Mahu perhatian

Sebenarnya anak anda mahukan perhatian sentiasa diberikan kepadanya. Rasa cemburunya tak dapat dibendung bila melihat papa dan mama saling berkasih sayang tanpa memberikan dia perhatian.

IKLAN

6. Rasa diri tak disayangi

Rasa bimbang dirinya sudah tidak disayangi oleh mama. Oleh kerana dia belum faham tentang erti hubungan kekeluargaan dan suami isteri maka dia merasakan bila mama memeluk atau mencium papa seperti mama lakukan ke atas dirinya bermakna dia sudah tidak disayangi lagi.

7. Dunianya masih kecil

Oleh kerana masa si kecil lebih banyak dihabiskan bersama papa, mama dan pengasuh maka dia masih tidak faham tentang luasnya erti kasih sayang. Apabila dia semakin besar dan punya ramai kawan dan melakukan banyak aktiviti, si kecil akan lebih faham tentang kasih sayang antara papa dan mama.

Apa patut dilakukan?

IKLAN

Sebenarnya ia adalah perkara normal bila anak anda cemburu pada papa atau mama. Dia mungkin tidak tahu bagaimana meluahkan rasa cemburunya selain daripada menangis. Maka penting untuk anda berdua memujuk dan memberitahunya, tetapi jangan berhenti menunjukkan kasih sayang antara kalian suami isteri di depan anak kerana amat penting bagi mereka melihat ibu bapa yang saling sayang menyayangi.

* Cuba buat “group hugs” dan “group kisses” iaitu sentiasa ‘masukkan’ anak sekali semasa memeluk pasangan suami/isteri. Barulah dia tak rasa dipinggirkan.

* Sentiasa beritahu anak yang mama sangat sayangkan dia dan papa.

* Wujudkan suasana gembira dan menyeronokkan dengan mencium dan memeluk si kecil secara bergilir-gilir dengan suami/isteri. Dengan cara ini dia tahu mama tetap sayangkan dia walaupun dalam masa yang sama sayangkan papa juga.

* Sentiasa curahkan kasih sayang dan perhatian kepada si kecil yang baru mengenal kehidupan.

Oleh kerana si kecil adalah peniru yang hebat, maka menjadi tugas ibu bapa untuk sentiasa menunjukkan kasih sayang antara suami isteri tetapi dalam cara yang berhemah. Dalam masa yang sama jangan abaikan dirinya yang masih belum faham tentang perkongsian kasih sayang sekeluarga. Apa yang si kecil tahu, mama adalah hak miliknya seorang!

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI