Insiden Ibu Hamil Maut Hingga Bayi Terkeluar, Anak Arwah Mula Tanya “Mana Ibu?”

Share

Selepas insiden kemalangan membabitkan pertembungan dua motosikal di Kampung Lumpur, Pasir Mas, Kelantan (18 Februari, Jumaat), anak arwah Nor Hasliza Abdul Yazaib, 25, dah mula mencari dan bertanya.

Anak mula rindu ibu

“Mana abu (ibu)?” Pertanyaan itu ternyata mengundang sebak kakak ipar arwah, Mastura Mahadi yang masih bersedih dengan pemergian allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN [Due 24 Feb, Suami Reda Isteri & Bayi ‘Dilahirkan’ Di Lokasi Kemalangan Pergi Bersama]

Menurut Mastura, anak saudara lelakinya yang mesra disapa Haziq baru berusia tiga tahun dan masih tidak memahami kejadian yang berlaku.

“Haziq pelat, jadi dia panggil ibu dia dengan panggilan abu. Semalam Haziq cakap abu dah ‘mati’, dia sempat tunjuk ke arah lokasi kejadian seperti tahu ibunya telah meninggal dunia.

“Hari ni dia tanya pula mana abu. Selepas jenazah dikebumikan dia masih lagi tanya. Dia tak menangis sebab tak faham apa sebenarnya berlaku.

Mastura berkata, anak sulung arwah yang berusia lapan tahun dan lebih mesra dipanggil Irdina kelihatan lebih tenang.

“Kakaknya alhamdulillah boleh menerima. Saya sendiri ada anak-anak. Sedih mengenang anak-anak arwah tanpa ibu,” kongsinya.

Arwah sangat penyayang

Tambah Mastura lagi, adik iparnya disifatkan sebagai seorang yang penyayang bukan saja pada anak kandung malah anak-anak saudara yang lain.

“Arwah seorang yang happy go lucky dan cukup baik dengan anak-anak saudara. Kadang-kadang dia bawa jalan-jalan.

“Saya dengan arwah juga sekepala, mudah untuk dibawa berbincang. Kali terakhir kami jumpa awal bulan ini,” ujarnya.

Jenazah Nor Hasliza selamat dikebumikan dalam satu liang lahad bersama bayinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol di Pasir Mas, kira-kira 11 pagi Sabtu.

Risau fikirkan keadaan anak kedua

Sementara itu, suami arwah, Mohd Khairi Hasbullah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan saudara mara yang membantu menguruskan jenazah.

“Alhamdulillah, pusara mereka tidak jauh dari rumah kami, hanya 500 meter sahaja, mudah untuk saya menziarahi kubur mereka,” katanya.

Mohd Khairi berkata, walaupun urusan isteri dan bayinya sudah selesai, hatinya masih tidak keruan memikirkan keadaan anak kedua yang parah, Nurul Iman Maisara, 6, yang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Nurul Iman membonceng bersama ibunya mengalami kecederaan parah di kepala, muka dan tangan.

Katanya, dia amat berharap anaknya itu kuat berdepan kesakitan dan kembali pulih.

“Saya reda dengan ujian ini, namun menasihatkan orang ramai terutama anak muda untuk menunggang motosikal secara berhemah dan berhati-hati agar kejadian yang menimpa isteri dan anak-anaknya tidak berulang lagi.

“Walaupun sukar untuk menjaga tiga anak berusia tiga hingga lapan tahun tanpa isteri di sisi kelak, saya akan menjaga sendiri mereka,” katanya.

Semalam, media melaporkan tiga maut termasuk seorang remaja lelaki, Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, penunggang motosikal yang bertembung dengan Nur Hasliza yang sarat mengandung sembilan bulan.

Kredit: mStar & Metro

Buat mama papa yang mahu anak lancar bahasa Inggeris, jom sertai e-workshop Panduan Ajar Anak Pandai English, Mudah Sangat! Bersama barisan panel berkredibiliti seperti Dr Azu, Dr Fie serta penampilan istimewa Dato Dr Sheikh Muzaphar. E-workshop ini PERCUMA dan anda berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa baucer barangan bernilai hampir RM1000! Jom, daftar  sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/panduan-ajar-anak-pandai-english/

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)

 

Published by
Wan Amy