Kegembiraan untuk menyambut kelahiran anak bertukar menjadi satu tragedi apabila seorang wanita yang sedang menunggu suaminya di dalam kereta untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri isteri akhirnya meninggal dunia.
Kejadian yang berlaku di parkir kereta, Apartment Gugusan Semarak, Kota Damansara malam tadi itu cukup meruntun hati. Suami kepada wanita tersebut sebenarnya hanya singgah sekejap di kediaman mereka untuk mengambil dokumen pengenalan isteri yang mengalami komplikasi dengan anak yang sedang dikandung.
Oleh kerana komplikasi yang dialami itu, wanita tersebut diarahkan untuk ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan. Menurut laporan Astro Awani, kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 7.30 malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil maklumat suami mangsa mendapati pasangan terbabit telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.
Namun kerana komplikasi kandungan, mangsa diarah untuk ke Hospital Sungai Buloh. Bagaimanapun, pasangan berkenaan singgah sementara di rumah untuk mengambil dokumen pengenalan isteri yang tertinggal. Malangnya, sebaik kembali ke kenderaan,dia mendapati isterinya telah meninggal dunia.
Lebih menyedihkan wanita berkenaan turut meninggalkan seorang anak yang masih kecil. Polis mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut.Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
Sumber: Astro Awani & Redzuan News MPB