Isteri kita bukan mengada-ngada. Bukan buat-buat tak larat ketika mengandung tapi itu memang hakikatnya. Jika mengalami alahan yang teruk terutama di awal trimester, isteri memang tidak mampu lakukan banyak perkara harian. Bukan saja-saja.
Isteri sebenarnya amat perlukan sokongan emosi dan fizikal daripada suami kerana dia sememangnya tak mampu.
Perkongsian cerita daripada Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan ni memang banyak benarnya. Dengarkan pesanan ikhlasnya buat suami. Suami take note ya.
“Awak datang dengan siapa?”
Ada seorang wanita hamil 8 minggu datang ke klinik aku kerana dia alami loya-loya yang agak teruk. Alhamdulillah paras gula, tekanan darah, nadi dan hidrasi dia elok sahaja. Saya pun berilah konsultasi, apa yang perlu buat, apa yang perlu elakkan, bila kena jumpa doktor semula.
Setelah itu, semasa dia nak keluar dari bilik konsultasi, aku tengok dia pening-pening lalat. Mukanya berkerut. Risau pula tengok keadaan dia begitu, jadi aku tanya dia datang dengan siapa.
“Dengan suami. Tu dia, tengah tunggu dekat luar tu” jawabnya sambil tunjuk ke arah seorang lelaki di hadapan klinik.
Siapa pernah pergi klinik aku, dia tahu yang salah satu bilik konsultasi aku berdinding kaca tinted. Jadi daripada dalam bilik itu yang boleh lihat hadapan klinik.
Ads
Kelihatan suami wanita tadi sedang duduk di atas motor, sedang ketawa sendirian di hadapan skrin telefon. Tangan kanan dia sekejap suakan rokok ke bibir, sekejap skrol telefon. Bila di gelak, tersembur kepulan asap dari hidung dan mulutnya.
“OK, ingatkan datang seorang. Risau saya awak nak balik seorang dalam keadaan macam ni.” kata aku pada wanita tadi.
Wanita tu hanya senyum dan ucap salam kepada aku.
Ads
Macam-macam pasangan aku pernah jumpa sejak aku jadi doktor. Ada yang suami sangat risau pasal isterinya yang hamil. Tanya banyak kali tentang keadaan isteri. Tanya kebarangkalian itu, kebaranglian ini. Isterinya pula tenang sahaja, selesa sahaja.
Dan..
Ada yang macam lelaki tadi. Si isteri hamil muntah-muntah teruk, jalan pun huyung hayang. Dia pula duduk atas motor, hisap rokok, bergelak ketawa hadapan telefon. Namun Tuhan telah jadikan ada wanita yang kuat hatinya, sehingga boleh terima si suami sebegitu seadanya.
Apapun, seikhlas mana pun isteri menerima suaminya, ada baiknya jika seorang suami berilah perhatian dan pamerkan kasih sayangnya pada si isteri.
Isteri tak sihat, temani dia ke klinik. Sampai dalam bilik konsultasi, bukan hanya di hadapan klinik. Suami juga perlu tahu keadaan isteri, melalui mulut doktor. Biar faham sakitnya apa. Biar jelas nak buat apa. Biar isteri rasa dikasihi.
Ads
Para isteri pula, sejauh mana pun kalian boleh berdikari, jangan buat semuanya sendiri. Ada masa kalian kena suruh suami buat sesuatu untuk kalian. Kalau semua benda kalian buat sendiri. Maka akan hilang dinamik rumahtangga.
Rumahtangga ni, paku dan selaknya adalah kebergantungan sesama sendiri. Jika telah hilang kebergantungan itu, maka goyahlah rumah nanti. Isteri sakit, pergi jumpa doktor sendiri. Suami nak makan sesuatu, pergi keluar makan sendiri. Lama-lama hilang rasa saling memerlukan.
Akhirnya, dah tak ada rasa nak hidup bersama.
Sebelum kau kata aku tak adil sebelahkan wanita sahaja, aku nak pesan juga para suami agar kekalkan beberapa kebergantungan pada isteri, agar kau sentiasa takut akan kehilangan dia. Tidaklah nanti kau suka hati nak cari-cari baru.
Isteri pun perlu luahkan keprihatinan selain melalui membebel. Suami tak suka kena bebel. Sekali sekala manjakanlah suami tu, biar dia sentiasa tak sabar nak balik rumah. Baru dia taat. Haha.
OK dah lah. Takkan semua pun nak kena ajar.
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Abang Love
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bahaya atau tidak demam yang dialami semasa hamil adalah bergantung kepada jenis jangkitan kuman. Tambahan lagi pada masa kini, terlalu banyak jangkitan baru. Oleh itu, paras bahaya atau tidak demam itu kepada anda yang sedang hamil adalah bergantung kepada pendedahan diri kepada kuman yang ada.
Menurut Dr Lily Fariza Karim, Pengarah Perubatan yang juga Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Andorra Women & Children Hospital, Seri Kembangan, demam itu adalah salah satu simptom. Jadi, tidak boleh dikatakan sama ada ia ok ataupun sebaliknya sekiranya dialami oleh ibu hamil. Pemeriksaan doktor perlu dilakukan untuk mengetahui punca demam itu disebabkan oleh apa, lebih-lebih lagi jika demam itu melebihi daripada 38°C.
Sekiranya demam yang dialami terus tinggi iaitu antara 39°C hingga 40°C dan pada masa yang sama ada simptom berkaitan seperti anda keletihan, tidak berselera makan dan kurang minum air, itu menunjukkan demam itu bukan simptom yang biasa.
Oleh yang demikian, anda perlu segera ke hospital. Dalam kes seperti ini, ia perlu dilakukan kerana anda memerlukan pemeriksaan doktor. Jika perlu, ujian darah dan rawatan sokongan seperti drip intravenous perlu dilakukan.
Lazimnya, semasa mengandung, daya ketahanan tubuh wanita mengandung seseorang itu lebih rendah berbanding orang biasa. Disebabkan itulah, anda mudah mendapat jangkitan. Kadang-kadang orang biasa tidak mudah mendapat jangkitan seperti yang dialami oleh wanita hamil.
Walau bagaimanapun, jika demam itu adalah kurang daripada 38°C dan pada masa yang sama anda rasa ok dan tiada simptom sampingan lain, maka boleh ambil paracetamol. Selain daripada paracetamol, terdapat beberapa ubat untuk mengubati demam namun tidak begitu berkesan. Jadi, paracetamol adalah ubat paling berkesan untuk mengatasi demam.Tambahan pula, paracetamol mudah didapati. Jadi, pengambilannya sudah mencukupi.
Bergantung kepada jenis demam dan jangkitan kuman yang disyaki, ia boleh memberi kesan kepada bayi di dalam kandungan. Apa yang membimbangkan oleh para doktor ialah jangkitan virus yang dialami anda boleh menular kepada bayi. Biasanya jika demam itu dialami dalam trimester pertama.
Ia boleh menjejaskan proses pembentukan organ. Penyakitnya adalah seperti rubela, German measles atau measles. Lantaran itulah, trimester pertama adalah tahap paling kritikal sepanjang tempoh kehamilan.
Satu lagi yang dirisaukan ialah apabila anda mendapat jangkitan chicken pox semasa trimester ketiga. Perlu anda ketahui bahawa di dalam mukus faraj terdapat banyak gelembung virus. Dalam proses kelahiran, bayi akan melalui saluran peranakan dalam proses kelahiran normal boleh terdedah kepada jangkitan yang sama.
Hal ini terutamanya jika anda mengalami chicken pox dua minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin. Sekiranya demam anda aktif dalam tempoh kritikal itu, maka doktor akan menasihatkan anda untuk menjalani proses kelahiran melalui pembedahan caesarean.
Di dalam lain masa, risiko jangkitan boleh berlaku jika demam ada ada simptom. Jangkitan kuman merebak kepada bayi mengikut jenisnya. Suhu badan yang terlalu tinggi boleh menyebabkan nadi bayi menjadi laju. Hal ini kerana apabila suhu badan tinggi dan anda mengalami dehidrasi kerana kekurangan air, ia akan menjadikan aliran darah kepada bayi menjadi kurang, lalu nadi bayi pun menjadi laju. Lama-kelamaan bayi boleh mengalami distress.
Jadi, anda perlu cepat berjumpa doktor. Impaknya, ia boleh buat bayi distress dan paling teruk bayi meninggal dalam kandungan. Jika hal ini berlaku semasa di trimester ketiga dan usia kandungan lebih 34 minggu, bayi boleh dikeluarkan. Sebaliknya, jika umur kandungan kurang daripada itu, ia boleh sebabkan risiko kematian. Oleh sebab itu, sangat penting untuk anda kekal dehidrasi dan turunkan suhu dengan cepat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kencing manis, jika dahulu merupakan satu penyakit yang hanya akan dihidapi oleh individu dewasa lebih berusia, namun, kini penyakit kencing manis boleh dialami oleh mana-mana individu tanpa mengira faktor usia, sama ada dewasa, kanak-kanak malahan ibu mengandung juga turut boleh mendapat kencing manis. Adakah terdapat petua hilangkan kencing manis ketika mengandung? Ikuti artikel ini untuk mendapatkan lebih info.
Kencing manis atau turut dikenali sebagai Diabetes Mellitus (DM) secara ringkasnya merupakan satu masalah kesihatan yang berkaitan dengan kadar gula dalam darah yang tinggi. Ia adalah satu keadaan yang mengganggu dan merosakkan keupayaan badan untuk memproses glukosa darah atau dikenali sebagai gula dalam darah.
Di Malaysia juga, kencing manis adalah penyakit yang sangat popular di negara ini. Jika ia dibiarkan secara berterusan, tanpa sebarang kawalan dan penjagaan yang lebih baik, kencing manis berisiko untuk menyebabkan pembentukan gula dalam darah, yang cenderung untuk meningkatkan risiko komplikasi penyakit kronik dan berbahaya seperti strok (angin ahmar) dan penyakit jantung.
Secara umumnya, seperti apa yang sering menjadi kepercayaan umum, penyakit kencing manis sering dianggap sebagai penyakit yang akan menyerang individu dewasa yang lebih berusia. Tapi hakikatnya, penyakit kencing manis ini juga boleh berlaku dan bermula dari zaman kanak-kanak.
Penyakit berkaitan gula dalam darah ini boleh dibahagikan kepada dua subkategori utama; Diabetes Jenis 1 dan Diabetes Jenis 2.
Diabetes jenis 1 merupakan suatu penyakit autoimun, yang mana sistem imun merosakkan sel-sel yang sihat dalam badan. Dalam kes ini, sistem imun merosakkan sel beta dalam pankreas sehingga pankreas tidak dapat menghasilkan insulin sendiri.
Walau bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang menjelaskan kenyataan tersebut. Diabetes jenis 1 memerlukan suntikan insulin secara kerap untuk mengimbangi kematian sel beta, jadi semua pesakit diabetes jenis 1 adalah bergantung pada insulin.
Dalam kes diabetes jenis 2, sistem imun tidak merosakkan sel beta. Sebaliknya, diabetes jenis 2 dikategorikan sebagai ketidakupayaan badan untuk bertindak kepada insulin, yang juga dikenali kerintangan insulin dan insulin malsecretion.
Berbeza dengan diabetes jenis 1, diabetes kategori ini berlaku disebabkan oleh kerintangan insulin dan boleh juga ada kekurangan penghasilan insulin. Kerintangan insulin ini menyebabkan penghasilan glukosa daripada hati meningkat, pengurangan penggunaan glukosa oleh pelbagai organ-organ penting, peningkatan penyerapan semula glukosa oleh buah pinggang dan juga pengurangan penghasilan hormon incretin.
Namun, apakah pula kategori bagi kencing manis yang dihidapi oleh individu wanita mengandung? Ikuti penjelasan selanjutnya.
Sebelum mengetahui tentang petua hilangkan kencing manis ketika mengandung, mari kita kenali terlebih dahulu mengenai apa sebenarnya diabetes ketika mengandung.
Melalui panduan terkini Persatuan Diabetes Amerika tahun 2019, mendefinisikan diabetes gestasi ini sebagai “penyakit kencing manis yang didiagnosis pada trimester kehamilan kedua atau ketiga.
Diabetis gestasi atau gestational diabetes mellitus (GDM) adalah merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh individu wanita hamil. Ia adalah salah satu komplikasi perubatan kerap dihadapi semasa kehamilan. Tidak seperti bentuk diabetes yang lain, diabetes gestasi akan hilang sejurus selepas kelahiran, tetapi terdapat juga yang kekal melebihi 6 bulan dan menjadi masalah diabetes mellitus. Penyakit kencing manis ini mempunyai implikasi kesihatan yang penting untuk ibu dan anak dalam kandungan sekiranya tidak dikawal dengan baik. Sekiranya anda menghidap penyakit diabetes, anda perlu mengendalikan gula darah dan memastikannya sentiasa dalam paras normal untuk melindungi kesihatan anda dan bayi anda.
Diabetes boleh menjejaskan kesihatan ibu dan janin jika tidak dikesan dan dikawal. Wanita hamil mempunyai lebih banyak risiko preeklampsia, jangkitan, pendarahan selepas bersalin, dan keguguran. Merawat diabetes gestasi sangat diperlukan untuk memastikan janin sihat dan mengelakkan komplikasi semasa kelahiran.
Kenapa GDM ini berlaku secara spesifik pada tempoh kehamilan, di mana ibu hamil berisiko mendapat masalah paras gula yang tidak terkawal? Dan kenapa ia tidak boleh dirawat seperti diabetes jenis 1 atau jenis 2? Ia adalah disebabkan patofisiologi GDM.
Kehamilan diiringi oleh ketahanan insulin, diselia terutamanya oleh rembesan plasenta hormon diabetogenik termasuk hormon pertumbuhan, hormon pelepasan kortikotropin, laktogen plasenta (somatomammotropin chorionic), prolaktin, dan progesteron. Perubahan-perubahan metabolik ini dan lain-lain memastikan bahawa janin mempunyai bekalan nutrien yang mencukupi.
Gestational diabetes mellitus berkembang semasa kehamilan pada wanita yang fungsi pankreas tidak mencukupi untuk mengatasi rintangan insulin yang berkaitan dengan keadaan hamil.
Kesan insulin terganggu disebabkan oleh pelbagai hormon (seperti estrogen, kortisol dan human placental lactogen) dihasilkan oleh uri atau plasenta. Semakin plasenta membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi.
Proses pencernaan glukosa di dalam aliran darah dikawal atur oleh insulin. Kekurangan insulin menyebabkan glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan diabetes mellitus.
Setiap individu wanita yang sedang hamil, mempunyai risiko untuk mendapat diabetes gestasi ini. Tetapi terdapat beberapa faktor yang menjadikan sesetengah individu wanita berdepan risiko yang lebih tinggi. Antara faktor-faktornya adalah seperti:
Seperti yang dimaklumkan di atas, masalah kesihatan ini bukanlah satu masalah yang boleh dipandang ringan dan dibiarkan tanpa sebarang rawatan. Ini kerana terdapat beberapa risiko pada kesihatan yang mungkin boleh berlaku kepada ibu hamil. Antaranya seperti pendarahan, pitam, risiko melahirkan anda bersaiz besar. Antara risiko lain yang mungkin terjadi adalah seperti:
1.Makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih). Bayi berkemungkinan akan menghadapi kecederaan di bahu semasa kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean.
2.Bayi anda mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia).
3.Bayi juga mudah terdedah kepada jaundis atau demam kuning yang berpanjangan.
4.Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.
5.Ibu berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, diabetik ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit.
6.Mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.
7.Ibu berisiko tinggi mendapat preeklampsia (darah tinggi) dan tumpah darah.
Setiap penyakit atau masalah kesihatan pasti akan ada cara untuk mengatasinya atau paling tidak kaedah yang boleh diikuti untuk mengawal sesuatu permasalahan penyakit. Berikut adalah antara beberapa petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh anda cuba dan ikuti.
Petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang paling utama adalah dengan melakukan perubahan dalam pemakanan yang anda makan. Diet yang penuh nutrisi adalah salah satu cara terbaik untuk mengawal gula darah. Wanita hamil perlu mengehadkan makanan yang mempunyai kadar gula dan karbohidrat yang tinggi.
Sebaliknya, ibu perlu makan pelbagai jenis makanan seperti kanji, zat besi, vitamin, dan makanan rendah lemak. Makan tiga hidangan kecil dan satu hingga tiga makanan ringan setiap hari. Wanita yang mengandung juga harus makan banyak makanan kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, beras bijirin penuh, roti. Ibu hamil obes yang didiagnosis dengan diabetes gestasi harus bermula dengan diet 30 kcal/kg hari.
Doktor mungkin mencadangkan anda bertemu pakar diet berdaftar untuk membantu anda membuat pelan diet yang boleh anda ikut. Ia perlu bagi menangani kencing manis ketika mengandung, tetapi masih membekalkan kalori dan nutrien yang cukup untuk bayi anda.
Di bawah adalah beberapa tip memilih makanan baik yang boleh anda ikuti:
Apabila sudah mengetahui pelan pemakanan yang baik untuk anda ikuti ketika sedang hamil, anda juga perlu memastikan anda mempunyai jadual pemakanan secara tetap dan elakkan daripada melangkau sebarang waktu hidangan makanan walau sesibuk mana anda dalam melaksanakan pekerjaan harian anda.
Maka petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang harus diamalkan adalah untuk makan 3 kali hidangan makanan yang bersaiz kecil atau sederhana. Jangan mengambil sesuatu hidangan makanan dalam kuantiti yang besar dan banyak. Jika perlu, anda juga boleh untuk menambah waktu pengambilan snek dalam pemakanan harian anda.
Berikut adalah panduan waktu pemakanan yang dicadangkan untuk diikuti:
Disarankan makan pada 3 waktu makan utama iaitu :
Waktu untuk mengambil makanan snek, ambilnya di antara waktu makan utama:
Cuba makan pada masa yang sama setiap hari dan pada jumlah yang sama setiap kali. Ini dapat membantu tahap gula dalam darah anda kekal stabil. Cara ini boleh dianggap sebagai petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh diamalkan.
Berikut adalah beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan, seperti semua jenis gula, minuman berkarbonat, kordial, sirap, jem, kaya,kuih manis, aiskrim, susu pekat manis, yogurt manis, buah dalam tin, jeli dan lain-lain.
Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh diambil tetapi perlu dikawal kuantiti pengambilannya seperti bijirin, nasi, roti, biskut, kuih yang tidak manis, semua jenis pasta dan mi, capati, roti canai, tosai, semua jenis ubi, kekacang, susu dan buah-buahan.
Siapa kata wanita mengandung tidak perlu melakukan sebarang aktiviti fizikal atau bersenam? Risau senaman akan mendatangkan mudarat kepada kandungan? Itu pastinya mitos yang terlalu karut untuk dipercayai. Ini kerana individu wanita yang hamil juga perlu untuk melakukan aktiviti fizikal untuk mengekalkan tahap kesihatan pada paras yang terbaik. Doktor mungkin mengggalakkan supaya anda menambah senaman kepada rutin mingguan anda, kerana ia adalah baik untuk anda dan bayi.
Senaman pastinya merupakan satu aktiviti fizikal yang dapat membantu menurunkan tahap gula dalam darah dengan berfungsi mengangkut gula ke sel untuk digunakan sebagai sumber tenaga. Mengamalkan senaman juga dapat meningkatkan kepekaan terhadap insulin, yang bermakna badan tidak memerlukan insulin untuk membantu membawa gula ke sel-sel badan.
Senaman juga pastinya dapat membantu mengurangkan rasa ketidakselesaan semasa kehamilan seperti sakit belakang, kekejangan dan lain-lain. Bersenam semasa hamil adalah tidak salah, tetapi apa yang perlu diutamakan adalah ibu yang mengandung perlu memilih senaman yang bersesuaian dengan keadaan fizikal semasa. Senaman ringan dan mudah seperti berjalan kaki, aerobik, berbasikal dan berenang adalah antara aktiviti fizikal yang digalakkan untuk dicuba. Lakukan aktiviti fizikal ini secara tetap dan teratur selama 15 sehingga 30 minit setiap hari. Ini bukan sahaja petua hilangkan kencing manis ketika mengandung, sebaliknya ia juga dalam masa yang sama membantu menjaga tahap kesihatan anda.
Ini akan membantu badan anda menggunakan insulin dengan lebih baik, dan membantu mengawal paras gula darah. Anda juga boleh bertanya kepada doktor anda mengenai senaman yang bersesuaian untuk dicuba serta dan kekerapan senaman yang boleh dilakukan oleh wanita hamil.
Selain petua hilangkan kencing manis ketika mengandung dengan mengubah diet pengambilan makanan seharian, antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang perlu untuk dilakukan setiap hari adalah untuk memeriksa dan memantau paras gula dalam darah sentiasa dalam keadaan terkawal. Anda perlu menguji tahap gula dalam darah anda secara teratur, sebelum makan dan antara 1 atau 2 jam selepas pengambilan sebarang hidangan makanan utama.
Anda boleh melakukan pemeriksaan tahap gula dalam darah di rumah dengan mendapatkan alat pengukur meter glukosa darah yang boleh digunakan di rumah dan pastinya ia akan membantu anda untuk memudahkan kerja pemantauan paras gula dalam darah anda. Namun, sekiranya anda tidak mempunyai alat pengukur meter glukosa darah, doktor mungkin akan mencadangkan anda untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik.
Terdapat juga sesetengah individu wanita hamil memerlukan rawatan insulin. Kira-kira 15% wanita mengandung yang menghidap kencing manis memerlukan insulin untuk mencapai tahap glukosa darah secara berterusan. Insulin adalah hormon yang digunakan untuk merawat diabetes dengan mengawal gula dalam darah. Jika diet dan senaman tidak cukup untuk mengimbangi gula dalam darah, wanita hamil akan disuntik dengan insulin supaya jumlah glukosa dalam darah kembali ke tahap yang selamat. Bagi sesetengah wanita, jenis ubat-ubatan seperti glyburide juga merupakan pilihan.
Antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung adalah dengan memperbanyakkan pengambilan vitamin C dan D. Kekurangan vitamin c dikatakan mempunyai hubungan kait secara langsung dengan masalah kesihatan kencing manis semasa hamil. Terdapat kajian yang dilakukan kepada wanita yang hamil, menunjukkan bahawa individu wanita yang menghidap penyakit kencing manis semasa tempoh kehamilan dan memperbanyakkan pengambilan vitamin C secara tetap akan kurang untuk berdepan risiko mengalami diabetes jenis 2.
Vitamin D pula merupakan nutrien penting yang diperlukan dalam beberapa proses dan fungsi dalam badan kita. Penyerapan vitamin dan nutrien yang penting seperti kalsium, besi, magnesium, dan fosfat dapat dilakukan dengan memaksimumkan penyerapan nutrien makanan yang kaya dengan vitamin D.
Hamil bermakna bahawa ia bukan mengenai anda sahaja lagi. Mulai sekarang, keselamatan bayi dalam kandungan anda harus diberi keutamaan dari apa jua keputusan yang anda buat. Oleh itu, ikuti gaya hidup yang sihat, lakukan senaman dan pantau paras glukosa darah anda adalah apa yang harus anda tumpukan semasa anda mengandung.
Mengalami GDM ketika hamil membuatkan anda cenderung untuk mengembangkan diabetes jenis 2, tetapi ia tidak semestinya akan berlaku. Apa yang penting anda perlu menjaga tahap kesihatan anda dengan lebih baik sekiranya anda dikesan mengalami masalah kencing manis ketika sedang hamil. Jangan lupa untuk mengamalkan dan mengikuti petua hilangkan kencing manis ketika mengandung!
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jangan abaikan perihal berkaitan usia kandungan. Kandungan melepasi tarikh jangkaan bersalin atau overdue perlu diberikan perhatian ekstra & perlu dirujuk ke hospital segera. 7 Risikonya ini boleh menyebabkan impak besar kepada bayi & ibu.
Usia kandungan melepasi tarikh jangkaan bersalin memang mendebarkan para ibu. Tentunya kerisauan akan bermain di fikiran, memikirkan tentang diri dan tertanya-tanya bagaimana keadaan bayi, mudaratkah situasinya?
Dr Sharina Mohd Razali, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Columbia Asia Bukit Rimau berkongsi info bahawa keadaan hamil overdue ini banyak berlaku.
“Hanya kira-kira 5% sahaja ibu yang melahirkan tepat pada tarikh jangkaan. Tarikh jangkaan bersalin biasanya ditentukan oleh doktor atau jururawat 40 minggu daripada tarikh hari pertama haid ibu yang terakhir. Ada juga keadaan di mana tarikh jangkaan ditentukan berdasarkan ujian imbasan bagi kes ibu yang mempunyai kitaran haid tidak teratur.
“Sekiranya anda mencapai usia kehamilan 41 minggu, anda akan diarahkan untuk ke hospital oleh doktor yang merawat. Doktor akan menyemak semula tarikh haid yang terakhir dan melakukan pemeriksaan kedudukan bayi dan saiznya. Selain itu, bukaan serviks juga diperiksa untuk melihat sama ada ia sudah bersedia untuk proses kelahiran,” kata Dr Sharina.
Bagi kehamilan yang melepasi minggu 40, ibu dan bayi berisiko untuk berhadapan berhadapan dengan pelbagai masalah seperti berikut;
1.Bayi mati dalam kandungan.
2.Fetal distress di mana bayi menunjukkan reaksi seperti degupan jantung yang perlahan dan kurang pergerakan.
3.Meningkatkan risiko bayi untuk mengalami Sindrom Aspirasi Mekonium yang boleh menyebabkan bayi tertelan najis selepas minggu ke40.
4.Air ketuban yang berperanan untuk melindungi bayi semakin kurang isi padunya.
5.Ibu berisiko untuk mengalami trauma semasa proses kelahiran kerana kemungkinan bayi perlu dilahirkan menggunakan alat bantu seperti vakum atau forseps kerana saiz bayi yang besar.
6.Intraparum hypoxia di mana bayi mengalami kekurangan oksigen.
7.Risiko bahu bayi tersangkut semasa kelahiran atau shoulder dystocia. Ini disebabkan oleh saiz bayi besar.
Menurut Dr Sharina, kehamilan yang melepasi tempoh jangkaan bersalin atau overdue ini banyak terjadi kepada wanita hamil yang mempunyai ciri-ciri ini;
1.Ibu tidak pasti tarikh hari pertama haid terakhir sebelum hamil.
2.Kehamilan pertama.
3.Ibu mempunyai sejarah overdue sebelum ini. Jadi tidak hairanlah jika seorang ibu mengalami beberapa kehamilan yang overdue.
4.Hamil bayi lelaki.
5.Ibu mempunyai berat badan berlebihan.
6.Bayi mempunyai kecacatan secara biologi yang menyebabkan kekurangan hormon kortisol pada bayi yang melambatkan proses bersalin. Mereka juga berisiko untuk mengalami masalah kekurangan oksigen semasa kelahiran (intrapartum hypoxia).
a)Indius pada 41 minggu.
b)Membrane sweeping daripada minggu ke 38 ke atas.
Selain daripada membuat ujian imbasan dan memeriksa bukaan, doktor juga akan melakukan prosedur membrane sweep yang bertujuan untuk mencetuskan kelahiran.
Ia selalunya dilakukan semasa pemeriksaan bukaan di mana jari akan dimasukkan pada serviks dan perlahan-lahan ia digerakkan dalam bentuk pusingan bagi memisahkan membran kantung bayi dengan rahim.
Membrane sweep jika dilakukan dengan betul akan merembeskan hormon prostaglandin yang mencetuskan kelahiran dalam masa 48 jam.
Selain membrane sweep, berjalan kaki juga boleh mencetuskan kelahiran. Ia menggalakkan proses kelahiran bagi kandungan yang sudah mencapai usia 40 minggu. Ini kerana pergerakan membantu kepala bayi untuk memasuki pelvis.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!