Isteri kita bukan mengada-ngada. Bukan buat-buat tak larat ketika mengandung tapi itu memang hakikatnya. Jika mengalami alahan yang teruk terutama di awal trimester, isteri memang tidak mampu lakukan banyak perkara harian. Bukan saja-saja.
Isteri sebenarnya amat perlukan sokongan emosi dan fizikal daripada suami kerana dia sememangnya tak mampu.
Perkongsian cerita daripada Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan ni memang banyak benarnya. Dengarkan pesanan ikhlasnya buat suami. Suami take note ya.
“Awak datang dengan siapa?”
Ada seorang wanita hamil 8 minggu datang ke klinik aku kerana dia alami loya-loya yang agak teruk. Alhamdulillah paras gula, tekanan darah, nadi dan hidrasi dia elok sahaja. Saya pun berilah konsultasi, apa yang perlu buat, apa yang perlu elakkan, bila kena jumpa doktor semula.
Setelah itu, semasa dia nak keluar dari bilik konsultasi, aku tengok dia pening-pening lalat. Mukanya berkerut. Risau pula tengok keadaan dia begitu, jadi aku tanya dia datang dengan siapa.
“Dengan suami. Tu dia, tengah tunggu dekat luar tu” jawabnya sambil tunjuk ke arah seorang lelaki di hadapan klinik.
Siapa pernah pergi klinik aku, dia tahu yang salah satu bilik konsultasi aku berdinding kaca tinted. Jadi daripada dalam bilik itu yang boleh lihat hadapan klinik.
Kelihatan suami wanita tadi sedang duduk di atas motor, sedang ketawa sendirian di hadapan skrin telefon. Tangan kanan dia sekejap suakan rokok ke bibir, sekejap skrol telefon. Bila di gelak, tersembur kepulan asap dari hidung dan mulutnya.
“OK, ingatkan datang seorang. Risau saya awak nak balik seorang dalam keadaan macam ni.” kata aku pada wanita tadi.
Wanita tu hanya senyum dan ucap salam kepada aku.
Macam-macam pasangan aku pernah jumpa sejak aku jadi doktor. Ada yang suami sangat risau pasal isterinya yang hamil. Tanya banyak kali tentang keadaan isteri. Tanya kebarangkalian itu, kebaranglian ini. Isterinya pula tenang sahaja, selesa sahaja.
Dan..
Ada yang macam lelaki tadi. Si isteri hamil muntah-muntah teruk, jalan pun huyung hayang. Dia pula duduk atas motor, hisap rokok, bergelak ketawa hadapan telefon. Namun Tuhan telah jadikan ada wanita yang kuat hatinya, sehingga boleh terima si suami sebegitu seadanya.
Apapun, seikhlas mana pun isteri menerima suaminya, ada baiknya jika seorang suami berilah perhatian dan pamerkan kasih sayangnya pada si isteri.
Isteri tak sihat, temani dia ke klinik. Sampai dalam bilik konsultasi, bukan hanya di hadapan klinik. Suami juga perlu tahu keadaan isteri, melalui mulut doktor. Biar faham sakitnya apa. Biar jelas nak buat apa. Biar isteri rasa dikasihi.
Para isteri pula, sejauh mana pun kalian boleh berdikari, jangan buat semuanya sendiri. Ada masa kalian kena suruh suami buat sesuatu untuk kalian. Kalau semua benda kalian buat sendiri. Maka akan hilang dinamik rumahtangga.
Rumahtangga ni, paku dan selaknya adalah kebergantungan sesama sendiri. Jika telah hilang kebergantungan itu, maka goyahlah rumah nanti. Isteri sakit, pergi jumpa doktor sendiri. Suami nak makan sesuatu, pergi keluar makan sendiri. Lama-lama hilang rasa saling memerlukan.
Akhirnya, dah tak ada rasa nak hidup bersama.
Sebelum kau kata aku tak adil sebelahkan wanita sahaja, aku nak pesan juga para suami agar kekalkan beberapa kebergantungan pada isteri, agar kau sentiasa takut akan kehilangan dia. Tidaklah nanti kau suka hati nak cari-cari baru.
Isteri pun perlu luahkan keprihatinan selain melalui membebel. Suami tak suka kena bebel. Sekali sekala manjakanlah suami tu, biar dia sentiasa tak sabar nak balik rumah. Baru dia taat. Haha.
OK dah lah. Takkan semua pun nak kena ajar.
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Abang Love