Pernah tak sebagai isteri, kita rasa tak yakin bila depan suami. Seolah-olah rasa macam tak selamat je takut suami pandang perempuan lain. Boleh dikatakan rata-ratanya akan mempunyai perasaan ini kan?
Bagi suami pula, bila tengok perempuan lain, kadang terdetik juga suatu perasaan. Tapi bagi yang cepat sedar, dia tak akan layan pun. Sebab baginya isteri yang ada sekarang dah cukup baik dan hebat di mata.
Ingat setiap jodoh untuk kita, semuanya dah terbaik. Tapi lumrah bagi manusia masih lagi rasa tak cukup. Jika bersyukur kita akan rasa pasangan hidup yang ada depan mata ni lah yang memang patut dihargai.
Isteri Kita Cukup Cantik!
Seperti nasihat Imam Muda Hassan, sebenarnya isteri kita cukup cantik untuk kita.
Kalau seorang lelaki sudah mengahwini seluruh perempuan di dunia ini kecuali seorang, nescaya yang seorang itupun dia mahu juga.
Berkata seorang lelaki kepada seorang Sheikh, “aku hairan dengan isteriku”.
“Dulu sebelum kahwin, ketika aku melihat dia, pada mataku seperti Allah tidak menciptakan sesiapa pun sepertinya”.
“Ketika aku bertunang dengannya, aku dapati ramai pula sepertinya”.
“Ketika aku mengahwininya, aku dapati ramai pula lebih cantik daripadanya”.
“Selepas beberapa tahun perkahwinan kami, aku dapati… Semua perempuan lebih indah daripada isteriku”.
Maka berkata Syeikh, “inginkah kau aku khabarkan apa yang lebih dahsyat daripada itu?”
Kata lelaki itu, “ya, khabarkan!”
Maka berkata Syeikh, “kalau engkau telah berkahwin dengan seluruh wanita yang ada di alam ini… Nescaya engkau lihat anjing yang sesat di jalanan itu lebih cantik daripada setiap wanita tersebut!!”
Tersenyum lelaki itu dengan senyuman kecil lalu bertanya, “kenapa Syeikh kata begitu?”
Kata Syeikh, “kerana yang musykilah (bermasalah) itu bukan pada isterimu. Tapi pada manusia yang kalau telah diberi hati yang tamak… Dan pandangan yang liar…Dan tidak malu kepada Allah…Maka tidak ada apa lagi yang mampu memuaskan pandangan matanya kecuali tanah perkuburan…”
Sambung sheikh, “Wahai lelaki.. masalah kamu adalah engkau tidak menundukkan pandanganmu terhadap perkara yang telah Allah haramkan”.
“Adakah engkah mahu isterimu kembali kepada zaman dahulu (iaitu yang tercantik di dunia)?”
Kata lelaki itu, “ya, mahu” Maka kata Syeikh, “Tundukkan pandanganmu…”
Penulisan ini teman petik dari penulisan dari Dato, Dr Abdul Basit ketika beliau mentadabbur Ayat 30-31 Surah An-Nur.
Bukan lihat kecantikan luaran
Perkongsiannya sangat baik dan benar. Mata lelaki seringkali ditipu daya oleh syaitan dengan para wanita. Sudah dapat yang cantik, dilihat yang lain lebih cantik dari yang sedia ada.
Begitu juga, wanita yang pada mulanya dilihat tidak cantik pada pandangan matanya, namun jika setiap hari dilihatnya, lama-lama cantik juga pada akhirnya. Begitulah pandangan mata seorang lelaki.
Lihatlah di mana kecantikan pasangan kita, bukan hanya sekadar melihat pada kecantikan luaran sahaja.
Kredit: Imam Muda Hassan Adli
Perbaiki Diri
#jiwatenang
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)