Barang kemas antara aset buat seorang wanita. Tanyalah mana-mana wanita mesti akan ada sekurang-kurangnya satu barang kemas. Walaupun hanya ada sebentuk cincin ia dah cukup bermakna.
Bagi wanita bergelar isteri pula, sewaktu akad nikah pun pasti akan ada sebentuk cincin, seutas gelang atau rantai diberikan pihak suami sebagai tanda terima kasih kerana sudi menjadi suri hidupnya.
Tapi pernah tak terfikir di saat suami susah, isteri akan berkorban harta yang dia ada untuk pastikan kelangsungan hidup keluarganya berada dalam keadaan selesa biarpun hakikatnya itu barang yang cukup dia sayang.
Perkongsian dari Penulis Isu Kekeluargaan & Keibubapaan, Akhtar Syamir cukup menjelaskan apa tanggungjawab suami seandainya isteri reda dan membantu di saat kesusahan dengan merelakan barang kemas kesayangan mereka dilepaskan.
Resit-resit lama dan kotak-kotak yang sudah kosong tidak berisi. Ini adalah gambaran biasa yang sentiasa dibuat-buat tak nampak sedangkan ini sangat memberi kesan kepada si isteri.
Sayu hati isteri melihatkan kotak yang dahulunya diisi dengan kegembiraan, kini kosong sudah sekian lama tanpa diketahui bilakah ianya akan kembali. Malah ada yang tidak mungkin akan ada semula.
Jangan ambil mudah barang kemas isteri di pajak gadai. Itu hutang suami kepada isteri. Jadikan ia nombor 1 di dalam keutamaan hutang yang perlu dibayar.
Walaupun itu adalah pemberian suami atau sesiapa sahaja pun, ianya bukan satu alasan untuk meletakkan ia sebagai satu “tanggungjawab”. Ianya masih lagi harta kepunyaan mutlak isteri. Ianya masih lagi satu hutang apabila digunakan untuk membantu suami.
Jangan sesekali mengutamakan orang lain jika masih lagi berhutang dengan isteri. Tanya soalan-soalan ini dahulu.
1. Kawan nak pinjam duit? Hutang isteri dah selesai ke belum?
2. Adik beradik nak pinjam duit? Hutang isteri dah bayar belum?
3. Nak beli telefon baru, sport rim dan sebagainya? Hutang isteri dah bayar belum?
4. Nak belanja ahli keluarga ke sana sini? Hutang isteri tu dah bayar ke belum?
Kenapa isteri harus terus diketepikan? Sedangkan dia yang pertama ada apabila suami dalam kesusahan?
Apabila kita tengok sewaktu PKPB bermula, betapa ramainya orang beratur di Ar Rahnu dan pajak gadai yang lain, ia sepatutnya mendatangkan keinsafan dalam diri.
Adakah emas yang diserahkan di kaunter Ar Rahnu itu milik suami? Hampir pasti kepunyaan isterinya. Apakah maksudnya ini? Maksudnya, keluarga itu di dalam kesusahan dan isteri sedang menghulurkan bantuan. Ada yang hanya tunggu di rumah atau di dalam kereta kerana tidak sanggup bersedih.
Saya sendiri yang sudah berkali-kali ke sana, tetap rasa hati ini bagai disiat-siat kerana telah menyusahkan dan membuatkan isteri sedih. Walaupun dia tunjuk yang dia kuat, saya tahu hatinya sedang menangis waktu dia serahkan barang kemasnya untuk digadai dan dijual.
Kita kurang faham sebenarnya ikatan antara wanita dan emas. Kerana ia adalah satu naluri. Apa yang kita boleh buat ialah dengan tidak memperlekehkan perasaan mereka dan cuba memahami kepentingan emas itu buat mereka.
Di dalam Ar Rahnu ialah satu tempat di mana ianya dipenuhi dengan keheningan yang menyesakkan. Dapat kita rasakan sendiri “harapan”, “kesedihan” dan “kekecewaan” walaupun tidak ada orang yang bercakap pada waktu itu. Suasana itu sangat memberi keinsafan. Ramai yang sedang menunggu giliran tertunduk kepalanya tidak mampu diangkat tinggi kerana ditekan perasaan-perasaan itu.
Kepada sesiapa yang pernah masuk Ar Rahnu, mesti tahu perasaan dalam tu. Sunyi sepi. Hanya kedengaran orang di kaunter bercakap-cakap. Riak wajah masing-masing sugul. Jika ada senyum pun, kita boleh tahu senyuman itu sekadar memujuk hati.
Bayarlah hutang isteri seberapa segera yang boleh. Berhenti tolak kewajipan itu ke tepi. Hargai orang yang membantu di saat kita memerlukan.
Sumber: Akhtar Syamir
https://www.youtube.com/watch?v=JA-8pC1JI-0&t=6s
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI