Kesihatan

Isu Vaksin & Kesannya Kepada Kanak-Kanak, Mak Ayah Jangan Ambil Mudah

Share

Membesarkan bayi dan kanak-kanak hari ini bukan lagi perkara mudah. Banyak cabaran dan ujian terpaksa dilalui ibu bapa terutama dari segi penjagaan kesihatan serta pencegahan penyakit.

Tidak kira sama ada di Malaysia atau luar negara, ancaman penyakit berjangkit selalu berlaku kepada bayi dan kanak-kanak berikutan sistem imun mereka yang masih rendah berbanding orang dewasa.

Bagaimanapun, pengetahuan, sikap peka dan bersedia ibu bapa dalam menghadapi ancaman penyakit tetap menjadi penentu utama kesejahteraan anak pada masa depan.

Apa yang penting, usah sesekali mengambil mudah jika anak mengalami demam, selesema, sakit perut mahupun batuk. Ia mungkin petanda awal bagi penyakit yang lebih serius atau memerlukan rawatan segera. Bersama Dr. Senthil Kumaran, Pakar Pediatrik, Hospital Pantai Laguna Merbok, Kedah mengulas lanjut tentang isu vaksin ini.

Apa Itu Vaksin?

Menurut Dr. Senthil Kumaran, vaksin ialah virus atau bakteria yang telah mati atau dilemahkan fungsi virulen (bahaya) dengan kaedah tertentu. Imunisasi boleh diberi secara suntikan (melalui otot atau di bawah kulit) atau melalui mulut manakala kesan sampingan vaksinasi adalah perkara biasa. Biasanya kesannya amat ringan dan tidak membahayakan.

Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan. Kepentingan imunisasi vaksin ini juga dapat membantu imuniti kelompok yang menyediakan pertahanan sekumpulan individu daripada diserang penyakit, yang mana tujuh daripada 10 kanak-kanak yang mengambil vaksin boleh membantu tiga individu yang tidak mengambilnya.

Vaksin terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berpandukan kepada Perluasan Program Imunisasi (EPI- Expanded Immunisation Programme) WHO.

Vaksin ini diberi secara percuma kepada semua bayi dan kanak-kanak di semua klinik kesihatan kerajaan dan ia merangkumi 10 jenis vaksin yang boleh menghalang penyakit. Pemberian vaksin secara menyeluruh adalah penting untuk menjayakan program imunisasi ini.

Vaksin Mandatori atau vaksin wajib untuk kanak-kanak di Malaysia

Jelasnya lagi pengambilan vaksin adalah wajib untuk kanak-kanak di Malaysia. Ia adalah sebagai langkah pencegahan untuk membantu mengurangkan risiko masalah kesihatan yang serius.

Vaksin untuk kanak-kanak yang masih tiada dalam jadual imunisasi KKM ialah:

– Cacar air.

– Jangkitan meningokokal.

– Rotavirus.

– Influenza.

Vaksin untuk kanak-kanak yang melancong ke luar negara atau mempunyai risiko untuk dijangkiti:

– Hepatitis A.

– Demam kepialu.

Kenapa Perlu Vaksin Anak Sejak Bayi?

Perlunya vaksin kepada kanak-kanak sejak usia bayi kerana mereka mudah dijangkiti penyakit cegahan vaksin kerana sistem daya lawan jangkitan (imun) mereka yang lebih lemah berbanding orang dewasa. Pemberian vaksin membantu menguatkan sistem imun mereka dengan merangsangan sel pertahanan, seterusnya melindungi mereka daripada kemungkinan berlaku komplikasi yang mengancam nyawa. Maka, adalah sangat disyorkan agar kanak-kanak diberi imunisasi seawal mungkin mengikut jadual imunisasi yang telah ditetapkan.

Dengan mengvaksinkan anak, boleh dikatakan perlindungan yang diberikan terhadap sesuatu penyakit adalah 90 ke 100 peratus. Disebabkan perlindungan secara total inilah yang ingin diberikan kesedaran kepada ibu bapa agar jangan kurangkan atau elakkan pengambilan vaksin untuk anak-anak kerana punca tidak divaksinkan ini akan membuka potensi kepada jangkitan lain kepada kanak-kanak lain, misalnya di taska atau nurseri.

Tindakbalas tubuh seseorang terhadap vaksin adalah berbeza-beza, dan terdapat kemungkinan sesetengah orang tidak menghasilkan tindakbalas imun yang mencukupi terhadap vaksin yang diambil. Hasilnya, individu seperti ini tidak dilindungi dengan berkesan. Terdapat vaksin yang memerlukan dos tambahan untuk membantu menguatkan imuniti terhadap penyakit tertentu. Perlindungan yang diperolehi dari vaksin adalah lebih baik dari tiada perlindungan langsung.

Penularan penyakit akibat tidak divaksin

Smallpox (cacar air) telah berjaya dibasmi (eradikasi) di seluruh dunia pada tahun 1980. Smallpox (cacar air) adalah penyakit yang tiada rawatan dengan kadar kematian yang tinggi. Ia menyebabkan parut atau buta kepada mangsa-mangsa yang dijangkiti.

Poliomyelitis telah dibasmi di tiga rantau di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu Rantau Amerika, Eropah dan Pasifik Barat. Malaysia telah mencapai status eradikasi polio pada Oktober 2000.

Kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) penyakit cegahan vaksin telah berkurangan dengan ketara. Imunisasi telah menjadikan dunia semakin selamat dengan menyelamatkan jutaan nyawa dari dijangkiti penyakit yang boleh dicegah ini. Tanpa imunisasi, dua hingga tiga juta lagi kanak-kanak dan orang dewasa mati setiap tahun akibat penyakit poliomyelitis, meningitis, difteria dan penyakit cegahan vaksin yang lain.

Vaksin dapat bantu kurangkan risiko penyakit

Memang benar daya lawan penyakit yang diperoleh secara semulajadi adalah lebih baik dari pada imunisasi, tetapi jika masalah penyakit yang dihadapi oleh seseorang kanak-kanak menjadi lebih serius, dan jika dengan adanya pengambilan vaksin, pasti kesan vaksin itu akan mengurangkan risiko yang akan berlaku disebabkan masalah penyakit itu.

Maka itu ada sesetengah pemberian vaksin diberikan lebih dari sekali kerana ia perlu diberikan untuk membantu mencegah sesuatu jangkitan atau penyakit merebak atau menjadi lebih serius. Sebagai contoh vaksin influenza atau vaksin pnemokokal.

 Ada vaksin yang membantu mencegah masalah penyakit sehingga 10-20tahun dan ada vaksin yang boleh memberikan perlindungan untuk seumur hidup.

Terlalu banyak vaksin, tidak memudaratkan sistem daya tahan penyakit anak

Biasanya badan akan dapat menerima vaksin yang telah diberikan. Melainkan kanak-kanak tersebut mengalami masalah penyakit yang serius seperti jangkitan HIV atau sebagainya yang memerlukan pantauan dari doctor untuk setiap pengambilan vaksin. Selain dari masalah ini, kesemua kanak-kanak yang sihat pasti dapat menerima pengambilan vaksin.

Turut mengulas tentang kesan sampingan terhadap sesuatu imunisasi, menurut Dr Senthil, tidak semua kanak-kanak akan mengalami kesan sampingan dari pengambilan vaksin. Namun kebanyakan kesan sampingan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera. Adalah sukar untuk menjangka siapa yang akan mengalami kesan sampingan ringan dan yang berkemungkinan mengalami kesan sampingan yang lebih serius kesan dari pengambilan vaksin. Lazimnya kesan sampingan serius amat jarang berlaku.

Saranan tambahan dari doktor :

Mungkin ada sesetengah ibu bapa yang beranggapan bahawa anak mereka tidak memerlukan imunisasi kerana penyakit berjangkit tidak selalu berlaku. Tanggapan iini adalah  tidak benar kerana imunisasi adalah penting untuk memastikan anak anda sihat. Masih lagi terdapat penyakit berjangkit yang berbahaya di Malaysia.

Mungkin ibu bapa antivaksin ini menganggap boleh melindungi anak mereka daripada penyakit berjangkit dengan menjauh atau mengasingkan anak mereka daripada kanak-kanak lain. Kaedah ini tidak berkesan kerana masih ada kanak-kanak yang dijaga oleh ibu sendiri, dikawal ketat dan tidak dibawa ke tempat ramai orang masih mendapat jangkitan penyakit berbahaya.

Bagi pendapat saya, tidak mungkin kita dapat melindungi anak sepenuhnya kerana kita sebagai ibu bapa masih perlu bekerja dan bergaul dengan masyarakat baik rakan sekerja mahupun pelanggan. Apabila balik ke rumah, kita akan membawa pelbagai bakteria atau virus dan memindahkan mikro organisma itu kepada anak tanpa disedari. Tangan, pakaian, dalam kenderaan, pelbagai kotoran dan bakteria yang sentiasa ada dan sudah tentu di udara lagi lah kita tak dapat melihat jangkitang-jangkitan lain yang lebih serius.

Malangnya, sesetengah mereka tidak sedar ia hanya membahayakan kesihatan anak mereka dan orang lain. Semua kanak-kanak perlu divaksin tetapi mengakui keputusan akhir mengenai perkara itu terletak di tangan ibu bapa.

 

 

Published by
SAHR