Sering berkongsi video tentang aktiviti yang dibuat bersama suami dan anak-anak, ramai yang sentiasa menungu perkembangan terbaru isteri kepada pelakon berbakat besar, Datuk Fizz Fairuz iaitu Datin Almy Nadia. Memilih untuk menjadi suri rumah dan menguruskan keluarganya sendiri, Almy lebih selesa bekerja dari rumah.
Sumber foto: Instagram Datin Almy Nadia
Ibu kepada empat orang cahaya mata perempuan ini sememangnya seorang yang sangat penyayang tetapi tegas dalam mendidik anak-anaknya. Sempat berkongsi tentang perancangan kewangan buat anak-anaknya di majlis Hi Tea Keluarga x PTPTN Rahsia Ubah Hidup Lebih WOW! kelmarin, Almy memberitahu dia dan suami sudah membuat perancangan awal demi masa depan mereka.
“Saya simple, perancangan awal memang kena buat. Saya orang yang teliti jadi sebenarnya akaun Simpan SSPN ni dah lama saya buka untuk anak-anak. Kita tak tahu apa akan jadi masa depan, jadi kena ada simpanan untuk mereka.”
Kerja Kuat Untuk Sediakan Duit & Aset Untuk Anak
Tambah Almy lagi, dia dan suami bekerja sehabis kuat bagi memastikan mereka dapat menyediakan simpanan kewangan serta aset buat anak-anak mereka. Di dalam majlis tersebut juga Almy ada berkongsikan tentang pesanan suaminya tentang hutang.
Menurutnya, Fizz tidak mengajar dirinya untuk berhutang dan sentiasa menasihatkan dirinya untuk sentiasa mengukur baju di badan sendiri.
“Saya dan suami memang dah plan dari awal dan kami simpan siap-siap duit untuk masa depan anak. Alhamdulillah, setiap rezeki yang ada kami ketepikan untuk duit simpanan, barang kemas, rumah dan kereta. Semuanya dah ada untuk mereka nanti. Dalam hidup kami tiada istilah hutang.
Suami saya memang dah pesan, jangan mula berhutang. Sikit-sikit nak berhutang, namti anak pun akan ikut. Pinjam sikit, hutang. Masuk buku tiga lima. Nak menyimpan pun tengok kemampuan sendiri, jangan ikut cara orang lain.”
Ajar Anak Menabung, Balik Sekolah Mesti Ada Duit Baki
Dalam pada itu, Almy juga memberitahu menabung sangat penting demi masa depan anak-anak. Simpann sikit pun tak mengapa dari tak buat langsung.
“Saya ajar anak untuk menabung. Bila beri duit belanja, saya bagi RM5 untuk anak bawa ke sekolah, saya minta anak bawa balik duit baki. I don’t care sebab saya ajar pada anak, duit baki itulah yang akan dia dibuat tabungan. Cukup masa, saya akan kira jumlah tersimpan dan asingkan siap-siap.
Ada yang disimpan dalam bank, ada yang dibuat beli emas. Kemudian saya akan ambil sikit untuk reward anak. Apa dia nak, saya akan belikan tapi biasanya anak saya akan ajak makan atau bercuti.”
Suka Simpan ‘Duit Selit’
Turut bertegas dengan anak tentang nilai duit kerana ia tidak mudah untuk diperolehi. Bukan seperti daun yang boleh dipetik dari pokok, mudah nak dapat. Jadi, Almy memang dah ajarkan pada anak-anak untuk sentiasa menghargai nilai duit.
Juga sempat berkongsi yang dirinya selalu mencari tempat untuk menyelit duit yang ada. Itu antara caranya untuk bersedia sekiranya ada apa-apa berlaku selain membuat simpanan dari duit belanja yang diberikan suaminya.
“Biasalah kan orang perempuan ni banyak tempat selit duit. Ada je tempat kita selit duit kan. Sebenarnya tu juga cara saya, suami pun dah tahu saya suka selit-selit. Manalah tahu untuk kegunaan apa-apa, duit selit ni juga sebenarnya membantu.”
Selalu Terangkan Pada Anak Nilai Duit
Sekiranya anak-anak mahukan sesuatu, Almy melatih mereka untuk bekerja untuk mendapatkan duit. Itu akan buat anak lebih menghargai apa yang mereka ada.
Sumber foto: Instagram Datin Almy Nadia
“Anak-anak saya jarang minta toys sebab saya hadkan apa yang boleh ada dan apa yang tidak. Kalau anak mahu apa-apa saya akan ajar mereka untuk berusaha. Kalau semua okay, saya akan tunaikan permintaan mereka yang biasanya akan minta dibelanja makan atau pergi bercuti. Saya selalu terangkan pada anak-anak bukan senang nak cari duit jadi kita kena sentiasa menabung untuk masa depan.”
Ads
Seronok mendengar perkongsian Datin Almy tentang perancangan kewangan yang dia dan suami telah lakukan demi masa depan anak-anak mereka. Semoga sedikit-sebanyak dapat memberi inspirasi kepada kita semua.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat tanda-tanda awal Malaysia berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 berdasarkan laporan graf daripada Malaysian Institute of Economic Research (MIER). Perkara ini dikongsikan melalui laman Twitter KKM Putrajaya.
Kata beliau, hasil Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) yang dijalankan untuk fasa pertama menunjukkan terdapat garisan mendatar dalam graf kes sekaligus memberi bayangan tanda awal yang langkah ini membuahkan hasil.
Sesungguhnya perkhabaran ini memberi kelegaan kepada kita tetapi sekiranya rakyat Malaysia terus leka atau langkah pencegahan sedia ada dilonggarkan, tidak mustahil kes penularan wabak ini melonjak semula.
Berikut berita penuh tentang hal ini menerusi Berita Harian.
Jumlah kes COVID-19 di Malaysia dijangka mencapai puncak pertengahan April.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, berdasarkan data yang ada, Pejabat WHO Negara menganggarkan Malaysia menunjukkan jumlah tertinggi pesakit di hospital pada pertengahan April.
Ketua misi merangkap wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Ying-Ru Lo, berkata jumlah pesakit kritikal di negara ini dijangka meningkat minggu depan.
“Malaysia mempunyai jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara dengan 2,908 kes yang disahkan dan sudah mengeluarkan larangan perjalanan bagi membendung penularan coronavirus ini.
“Berdasarkan data yang ada, Pejabat WHO Negara mengunjurkan kes yang dimasukkan ke hospital di Malaysia akan memuncak pada pertengahan bulan ini,” katanya dalam jawapan e-mel kepada Reuters.
Katanya, jumlah pesakit yang kritikal pula dijangka memuncak menjelang minggu depan, namun ramalan WHO itu mungkin berubah.
“Wujud tanda-tanda lengkungan kadar kes akan mendatar tetapi ia mungkin melonjak kembali jika langkah pencegahan sedia ada dilonggarkan atau orang ramai tidak lagi mematuhi arahan perlindungan,” katanya.
Tambah beliau, data mengenai jangkitan baharu setakat ini dan langkah pemantauan tambahan tidak menunjukkan penyebaran meluas wabak dalam kalangan penduduk negara ini.
Kini terdapat 102 pesakit coronavirus ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh Malaysia dan 45 kematian dilaporkan setakat ini. – AGENSI
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hafaz 30 juzuk dalam tempoh 4 bulan, Ahmad Ziyyad mula hafal 42 surah sejak usia 2 tahun. Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Ahmad Ziyyad Mohd Zahir, mengukir pencapaian luar biasa dengan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam hanya empat bulan 10 hari.
Hafaz 30 Juzuk Dalam Tempoh 4 Bulan, Ahmad Ziyyad Mula Hafal 42 Surah Sejak Usia 2 Tahun
Dalam suasana tenang di sebuah kediaman di Bukit Payung, Marang, Terengganu, lantunan ayat-ayat suci al-Quran kedengaran jelas tanpa gangguan televisyen atau gajet.
Ahmad Ziyyad, yang memiliki memori luar biasa serta minat mendalam terhadap al-Quran, menamatkan hafazannya pada 23 Mac lalu melalui program hafazan pantas (fast track) yang ditawarkan oleh Akademi Al-Quran Amalillah, sebuah pusat tahfiz di Terengganu yang menyediakan program intensif khas bagi pelajar berpotensi tinggi.
Ibunya, Nurul Shahida Lukman, 35, berkongsi bahawa anak sulungnya itu telah menunjukkan kecenderungan terhadap al-Quran sejak bayi lagi. Pada usia dua tahun lapan bulan, Ahmad Ziyyad sudah mampu menghafal sebanyak 42 surah, termasuk surah panjang seperti al-Baqarah dan al-A’raf, hanya dengan mendengar bacaan.
Menurut beliau, sejak kecil lagi Ahmad Ziyyad menunjukkan reaksi sensitif terhadap bacaan al-Quran. “Saya selalu mendodoikannya dengan al-Quran. Jika saya berhenti membaca pada ayat tertentu, dia akan menangis dan hanya tenang bila saya mula semula dari awal surah,” katanya kepada Bernama.
Disebabkan minat yang luar biasa itu, Nurul Shahida dan suaminya, Mohd Zahir Mohammad Noor Sabri, 38, mengambil keputusan untuk berpindah dari Kota Bharu ke Marang bagi membolehkan anak mereka menghadiri kelas hafazan di akademi tersebut setiap hari. Sebelum ini, Ahmad Ziyyad bersekolah di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Fateh di Kota Bharu, tetapi masa yang terhad menyukarkan hafazan al-Quran dijalankan secara konsisten.
Keluarga ini kemudiannya menemukan Akademi Al-Quran Amalillah pada tahun 2024. Walaupun akademi itu hanya menerima pelajar berumur antara 10 hingga 15 tahun, Ahmad Ziyyad diterima masuk ketika baru berusia sembilan tahun berkat keupayaannya menghafal beberapa potong ayat dalam masa 10 minit – satu pencapaian luar biasa yang tidak dimiliki kebanyakan pelajar lain.
Nurul Shahida juga menjelaskan bahawa anaknya mempunyai keistimewaan iaitu hyperlexia dan hypernumeric, yang membolehkannya mengenal huruf dan nombor pada usia lebih awal dari biasa – ciri yang sering dikaitkan dengan spektrum autisme. “Dia tahu surah, ayat dan muka surat setiap kali membaca al-Quran. Dia suka mendalami nama-nama Allah dan mampu menjawab jika ditanya. Mungkin kerana semuanya berkait dengan nombor, yang memang menjadi minatnya,” jelas beliau.
Walaupun kadang-kala emosinya tidak stabil dan mudah menangis, Ahmad Ziyyad tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam meneruskan hafazan selepas episod sebegitu. Kini setelah bergelar hafiz, beliau kembali ke SRITI Al-Fateh untuk menyambung persekolahan hingga ke darjah enam sebelum memasuki fasa syahadah – peringkat pengesahan hafazan di hadapan panel.
Apa yang lebih menggembirakan ibunya ialah perubahan positif dalam sikap dan peribadi Ahmad Ziyyad. “Dia kini solat di awal waktu tanpa disuruh, rajin melakukan amalan sunat seperti tahajud, dan semakin matang. Perangai autistiknya juga lebih terkawal dan dia jadi teladan baik buat adik-adiknya,” ujar Nurul Shahida.
Guru hafazannya, Nurfatihar Riduan, turut mengakui kehebatan Ahmad Ziyyad yang mampu menghafal satu muka surat al-Quran dalam masa 15 hingga 30 minit, bergantung pada kesukaran ayat. Beliau menyatakan, “Ada hari dia boleh tasmi’ satu juzuk sehari, dan ulangkaji pula sampai dua hingga empat juzuk. Fokus dan disiplin Ahmad Ziyyad sangat tinggi.”
Guru itu turut memuji komitmen ibu bapa Ahmad Ziyyad yang sanggup berpindah negeri demi menyokong impian anak mereka menjadi hafiz, satu pengorbanan yang akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.
Baru Darjah 2, tapi jurus tari bagaikan pendekar, Adrean Mohd Safzan Akhtar berjaya mencuri perhatian ramai apabila dinobatkan sebagai johan acara silat pada usia seawal 8 tahun.
Anak kecil ini membuktikan bahawa seni silat bukan sekadar warisan nenek moyang, malah masih hidup subur dalam jiwa generasi muda. Kejayaan Adrean dalam Pertandingan Persembahan Perguruan Silat anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Sabtu lalu, benar-benar membuka mata bahawa bakat anak-anak mampu menyerlah jika diberi ruang dan sokongan.
Pendekar Kecil Yang Penuh Keyakinan
Walaupun baru murid Darjah 2, Adrean berjaya mengungguli kategori solo remaja bawah 13 tahun. Rakaman persembahannya yang dikongsi di media sosial menunjukkan setiap langkah jurusnya kemas, yakin dan penuh aura seorang pendekar.
Dengan busana silat serba hitam bercorak keemasan serta tanjak di kepala, penampilan Adrean menyerlahkan karisma luar biasa. Walaupun tubuh kecil, gerakannya lembut gemalai tetapi penuh tenaga, membuatkan ramai yang terpukau.
Pujian Bertalu-Talu Dari Orang Ramai
Kejayaan Adrean mendapat pujian netizen. Rata-rata meluahkan rasa kagum dan menganggapnya sebagai bukti bahawa seni silat masih relevan untuk diterapkan dalam diri generasi muda.
“Inilah perlu diterapkan dalam diri anak muda supaya budaya bangsa terus dijunjung. Syabas!” tulis seorang pengguna Facebook.
Malah, ramai juga menyanjung usaha ibu bapa Adrean yang memperkenalkan seni warisan bangsa ini sejak kecil. Kata mereka, sokongan keluarga adalah kunci melahirkan pesilat berkualiti dan berdisiplin.
Inspirasi Untuk Anak-Anak Lain
Kemenangan Adrean bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi simbol bahawa silat mampu membentuk sahsiah, jati diri dan keyakinan anak-anak. Ia menjadi bukti bahawa warisan bangsa ini masih boleh terus dimartabatkan sekiranya diberi perhatian sejak usia kecil.
Buat ibu bapa, kisah Adrean ini boleh dijadikan inspirasi untuk mendedahkan anak kepada aktiviti bermanfaat seperti seni mempertahankan diri. Selain menyihatkan tubuh badan, ia juga mendidik anak tentang disiplin, hormat kepada guru, serta membina keyakinan diri yang tinggi.
Dengan sokongan keluarga dan dorongan masyarakat, tidak mustahil semakin ramai pendekar cilik akan lahir, sekali gus memastikan seni silat terus diwarisi oleh generasi akan datang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.