Orang tua-tua dulu kata, jaga anak perempuan lebih susah dari menjaga 100 ekor lembu. Cabarannya sangat besar dan tak semudah yang disangka, luah Hafidz Roshdi yang berkongsi pengalamannya bergelar bapa sejak setahun lalu.
“Baru saya tahu macam mana rasanya menjadi seorang bapa dan benarlah kata orang menjaga anak perempuan lebih besar tanggungjawabnya.
Bukan mudah dan kita tak boleh lalai. Lagi-lagi dengan gejala sosial yang berlaku hari ini sangat menakutkan. Banyak juga artikel yang saya baca mengenai perempuan dirogol oleh kawan-kawan sendiri. Ibarat kata orang nak percaya tu agak susah,” katanya semasa sesi penggambaran bersama Majalah Pa&Ma baru-baru ini.
Ditanya mengenai kes pengasuh sekarang ini, Hafidz mengakui walaupun dia dan isteri Nurul Suhada masih muda, bab anak memang nombor satu. Saya jadi fobia nak tinggalkan Humairah di rumah pengasuh.
“Nak kata saya tak percaya orang lain jaga tak juga tapi memandangkan kes pengasuh yang macam-macam sekarang ini kami sangat risau.
“Saya dan isteri ambil keputusan untuk ambil pembantu yang boleh jaga Humairah di rumah sambil dipantau oleh ahli keluarga saya. Jadi rasa tenang sikit nak keluar bekerja,” jelasnya.
Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Shuhada pada 30 April 2016 dan dikurniakan anak perempuan yang kini genap setahun.