Kehamilan

Jaga-Jaga, Jangan Biarkan Berat Badan Naik Mendadak Ketika Mengandung. Anda Mungkin Melahirkan Bayi Bersaiz Besar

Share

Ibu hamil biasanya kurang peka dengan diet sihat yang perlu diikuti sepanjang tempoh mengandung. Kebanyakan ibu akan makan mengikut nafsu. Akibatnya berat badan akan naik mendadak dan berpotensi untuk menghidap diabetes. Pegawai Dietetik dari SALAM Shah Alam Specialist Hospital, LAILA FADHILAH BINTI OMAR, berkongsi maklumat tentang isu kenaikan berat badan mendadak saat ketika hamil.

BERAPA BANYAK SEPATUTNYA BERAT NAIK?

Bagi memudahkan anda untuk memahami formula kenaikan berat badan ketika hamil, lihat info ini. Secara ringkas berat badan ibu hamil harus naik sebanyak:

Bagi wanita yang mempunyai BMI normal sebelum mengandung, jumlah peningkatan ketika trimester pertama adalah 5.2kg. Jumlah peningkatan yang baik setiap minggu adalah 0.40kg.

MANAKALA ibu yang hamil anak kembar pula perlu mendapatkan jumlah kenaikan berat badan antara 15kg – 20kg sepanjang tempoh mengandung iaitu lebih kurang 0.68kg seminggu.

Sebenarnya kenaikan berat badan semasa hamil berbeza mengikut BMI seorang wanita sebelum hamil. Namun secara keseluruhanya (bagi wanita BMI normal) adalah 11.5kg – 16kg.

KENAPA BERAT BADAN BOLEH NAIK?

Pertambahan berat badan yang naik mendadak adalah berpunca dari pengambilan makanan yang tinggi lemak, berminyak, gula, dan berkalori tinggi tanpa kawalan. Ada pendapat yang mengatakan faktor genetik menjadi penyebab kenaikan berat badan ibu hamil, namun tiada hasil kajian yang menyokongnya.

Semasa pemeriksaan bulanan dilakukan ke atas ibu hamil, doktor akan menyarankan ibu untuk minum air gula jika didapati beratnya naik terlalu banyak. Fungsi air gula adalah untuk mengetahui sama ada ibu mengandung  itu menghidap gestatinal diabetic mellitus (kencing manis ketika hamil) atau tidak. Jika penyakit ini dapat dikesan dari awal, pemantauan kesihatan akan dibuat dengan lebih ketat dan si ibu akan diberikan diet seimbang yang harus dia ikuti.

RISIKO BERAT BADAN NAIK MENDADAK

Jika tidak diberi perhatian, ibu hamil mungkin menghidap kencing manis dan darah tinggi tanpa sedar. Si ibu akan berisiko untuk melahirkan melalui pembedahan atau bayi dalam kandungan bersaiz besar. Jika bayi terlebih berat, dia juga berkemungkinan menghidap hypoglycaemia (kurang glukosa dalam darah).

JAGA PEMAKANAN

Bagi mengelak berat badan naik secara mendadak adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi lemak, berminyak, banyak gula dan tinggi kandungan kalori.

Selain itu, si ibu perlu belajar untuk mengawal porsi makanan yang diambil. Susunan waktu makan yang teratur juga boleh membantu untuk mengelakkan kenaikan berat badan yang mendadak.

Apakah Pecahan Berat Badan Ketika Hamil? Adakah Semuanya Berat Ibu Dan Anak?

Tidak. Pecahan berat badan ini adalah pada bayi (3.55kg), uri (0.67kg), air ketuban (0.896kg), payudara (0.448kg), darah (1.34kg), cecair (3.2kg) dan pengembangan rahim (1.12kg).

Tiada diet yang terperinci ketika sedang mengandung, si ibu hanya perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan memastikan setiap pemakanan yang diambil seimbang dengan porsi yang sederhana.

Pengambilan susu tidak menyumbang kepada peningkatan berat badan. Berat badan boleh naik jika anda minum susu bersama makanan yang tidak sihat. Jadi janganlah risau untuk minum susu ketika hamil kerana khuatir pertambahan berat badan.

 

Published by
Emy H