Kata orang mulut ibu memang ‘masin’. Apa yang dikata memang menjadi! Jadi mama jangan mudah terlepas cakap walau pun tengah marah! Hikmah masin mulut ibu jangan disalah guna. Kawalan emosi dalam mendidik anak kunci ketenangan dalam mengasuh amanah Allah ini.

Begitulah keramatnya tutur kata seorang ibu. Pun begitu, hikmah dan keistimewaannya ini perlulah dijaga. Jika disalah guna nanti boleh mengundang padah kepada anak dan ahli keluarga.

Jaga-Jaga Masa Marah Sebab Mulut Ibu Memang ‘Masin’. 10 Tip Mendidik Anak Ini Ibu Perlu Buat

 

Menurut Ustazah Noor Laila Aniza Binti Zakaria, Pengarah Urusan IBS Excel Training  Rasulullah SAW pernah bersabda kata-kata adalah satu doa tidak kira siapa yang menyebutnya. Jika yang menyebutnya adalah ibu, impaknya bukan alang kepalang.

Baginda juga ada bersabda doa seorang ibu sangat mustajab dan mudah bagi Allah untuk makbulkan. Hatta ibu yang berkata-kata itu dalam keadaan sedih, berharap dan penuh emosi kemarahan. Justeru, ibu-ibu gunakanlah hikmah ini untuk kebaikan dan kebahagiaan anak di dunia dan akhirat.

TENANG DAN BERLAPANG DADA

Para ibu wajib menjaga hikmah kata-katanya. Faham bahawa sabda Rasulullah SAW iaitu kata-kata itu adalah satu doa dan akan memberikan kesan kepada anak-anak. Bertitik tolak dari itu, kawalan lidah dan pemikiran perlu selari kerana pemikiran dan tindak-tanduk dikawal oleh iman.

Justeru, pegangan agama yang kuat menjadi pendinding untuk mengawal diri dan perkataan. Iman akan menjadikan diri menjadi tenang dan selalu berlapang dada dalam apa jua situasi.

Hal yang sebaliknya akan berlaku jika si ibu dalam keadaan emosi yang tidak stabil seperti marah dan kecewa. Perkataan yang dihamburkan pula dalam bentuk negatif seperti makian dan kata-kata kurang enak. Nauzubillah. Perkara ini perlu dielakkan. Fikir dahulu sebelum ucap supaya kata-kata yang positif dan memberikan rahmat dan kebaikan kepada anak-anak.

Jaga-Jaga Masa Marah Sebab Mulut Ibu Memang ‘Masin’. 10 Tip Mendidik Anak Ini Ibu Perlu Buat

 

IKLAN

 

TARBIAH DENGAN KASIH SAYANG

Selain mendidik diri dan memupuk keimanan, ibu bapa perlulah mempersiapkan diri dengan mencari ilmu asuhan dengan teknik dan pendekatan bersesuaian dengan usianya.

Bagi anak-anak yang berusia 10 tahun ke bawah, asuhan dan didikan perlulah dengan kasih sayang dan mengambil pendekatan yang tegas dalam mendisiplinkan. Tidak boleh memukul atau memarahinya. Beri teguran dan pujuklah mereka dengan perkataan yang mudah difahami. Anak-anak pada usia ini mahukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu dan ayahnya. Justeru, berikan perhatian, kata-kata positif dan dorongan dalam didikan sehari-hari.

Asuh anak dengan cara yang dianjurkan dalam Islam. Guna pendekatan bermain dan janganlah bertindak menghukum. Buat peraturan untuk disiplin dan laksanakan dengan tegas dan lembut.

Elakkan memukul lebih-lebih lagi memukul dengan tangan yang menyebabkan sentuhan kulit ibu ke kulit anak kerana aura negatif ibu akan sampai kepada anaknya dan menyebabkan implikasi tidak baik dari segi emosi dan perkembangannya.

Malah ada pendapat mengatakan ia menjadi punca toksik dalam badan. Maka, saya menganjurkan adalah lebih molek jika ibu bapa menjadi model kepada anak-anak sebagai contoh yang tepat.

DOA & IKHTIAR

Doa dan ikhtiar boleh diamalkan oleh mama dan papa agar kedua-dua pihak ibu bapa dan anak diberikan kemudahan dan kesabaran. Antaranya ialah:

IKLAN

#1 BACAKAN DOA KE UBUN-UBUN ANAK KETIKA TIDUR

Bacakan doa ini kepada anak-anak, di ubun kepala, saat anak-anak sedang tidur, atau doakan anak-anak pada setiap kali lepas solat.
Allahumma faqqihhu fiddin wa a’llimhuttakwil
Maksud:
Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).”
[Ahmad bin Hanbal, al-Hakim, al-Thabarani (Mu’jam al-Kabir, al-Ausath & Saghier), Ibn Hibban dan lain-lain.]

#2 AMAL DOA DARI SURAH AL-FURQAN

Doa yang boleh diamalkan ialah daripada Surah Furqan ayat 74 yang bermaksud:

“…dan orang-orang yang berkata, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Jaga-Jaga Masa Marah Sebab Mulut Ibu Memang ‘Masin’. 10 Tip Mendidik Anak Ini Ibu Perlu Buat

IKLAN

CARA PSIKOLOGI

Mama juga boleh mencuba cara psikologi dengan beberapa langkah berikut untuk mengukuhkan kasih sayang antara ibu dan anak:

  • Mama pandanglah ke arah si anak dengan penuh kasih sayang sama ada dalam keadaan tidur atau terjaga.
  • Cuba fikirkan “Ya Allah, susahnya bagi aku untuk mendapatkan dan melahirkan anak ini”.
  • Kemudian ucapkan memuji si anak seperti “Bertuahnya Mama dapat anak yang soleh macam Adam ni.” Turunkan badan ke paras badan si anak dan pastikan mata  anda berdua bertemu.
  • Sentuhlah si anak dengan memeluk atau menciumnya. Bisikkan kata-kata positif dan puji-pujian.
  • Ketika memeluk anak tadi. Ketika ini mama bolehlah membacakan doa yang baik-baik mudah-mudahan muncul kasih sayang dan ketenangan dalam hubungan mama dengan si anak.

3 TIP IBU KAWAL EMOSI

Si kecil sedang aktif meneroka dan suka mencuba sesuatu yang baru. Para ibu khususnya memerlukan kawalan emosi yang kuat. Fahami peranan anda sebagai ibu dan percaya apa sahaja yang berlaku adalah kerana kekuasaan Allah SWT.

Marah dan memukul bukan tindakan yang terbaik untuk mendidik anak kecil berusia enam tahun ke bawah. Cuba lakukan tip berikut ketika anda mula berasa marah:

a)Ubah kedudukan/ posisi badan anda.

b)Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan.

c)Pergi dari tempat itu segera. Misalnya ke bilik air atau ke dapur.

KALAU SALAH MEMANG KENA TEGUR. INI CARANYA

Jaga-Jaga Masa Marah Sebab Mulut Ibu Memang ‘Masin’. 10 Tip Mendidik Anak Ini Ibu Perlu Buat

Bagi anak-anak yang masih kecil, anda perlu menegur perbuatan salahnya supaya dia tahu apa yang dibuatnya itu salah. Proses ini perlulah dilakukan secara berterusan.

Sentiasa sebut Allah SWT dan Rasulullah SAW dalam percakapan. Misalnya “Adik tak boleh buat macam ni. Allah tak suka orang yang suka membazir macam ni”. Moga-moga dengan cara ini ibu boleh mengawal tutur kata dan emosinya dan anak pula mudah untuk menerima teguran dan tarbiah daripada ibunya.

Sumber: Majalah Pa&Ma

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI