
Luka bersalin lebih-lebih lagi jahitan caesarean perlu dijaga dengan baik sehingga benar-benar pulih. Walaupun nampak luarannya seperti sudah kering dan sembuh, namun luka dalamannya mengambil masa tertentu untuk pulih sepenuhnya.
Bukan seminggu dua bahkan berbulan-bulan lamanya sehingga ia benar-benar pulih. Ini yang dikongsikan oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad. Jagalah kesan jahitan sebaiknya. Elakkan terkena jangkitan.
JANGKITAN KUMAN PADA LUKA CESAREAN
Sepanjang saya menjadi doktor, jarang saya melihat jangkitan kuman pada luka Cesarean terlalu teruk. Hanya satu kes di mana seorang pesakit berusia lewat 30 an, yang merupakan pesakit diabetes yang tidak terkawal, mengalami jangkitan pada luka Cesarean sehingga terbuka jahitan pada kulit.
Untuk sembuh mengambil masa yang lama, berbulan-bulan. Selain mencuci luka dan pemberian antibiotik, saya mendapati pemberian vitamin C juga membantu menyembuhkan luka.
Melahirkan anak secara pembedahan caesarean memerlukan penjagaan yang teliti bagi mengelakkan jangkitan luka Cesaerean ini.
Kuman (bakteria) boleh memasuki luka pembedahan apabila kawasan sekitar luka menjadi lembab dan kotor, terutama bagi wanita yang obese kuat berpeluh.

Selalunya kuman jenis Staphylococcus dan Streptococcus yang akan menyebabkan jangkitan luka Cesarean. Kuman ini berada pada kulit manusia secara semulajadi dan akan hilang apabila kita membersihkan diri dan mandi. Ia mudah membiak di kawasan yang lembab dan kotor yang tidak dibersihkan.
Tidak semua orang akan mengalami jangkitan luka Cesarean. Antara yang berisiko untuk mengdapat jangkitan ini adalah:
* Obesiti
* Umur yang semakin meningkatkan.
* Kulit yang berpenyakit
* Penghidap Diabetes

Selalunya jangkitan luka Cesarean tidak menunjukkan sebarang tanda kecuali selepas 3-7 hari. Pada masa itu kebanyakan pesakit sudah berada di rumah.
Pada awalnya, terdapat cecair yang keluar dari luka. Cecair ini akan kering selepas beberapa hari. Tetapi jika berlaku jangkitan luka Cesarean, lebih banyak cecair yang dikeluarkan.
Seterusnya jangkitan luka Cesarean menyebabkan luka akan menjadi bengkak dan kemerahan pada sekitar luka. Cecair yang dikeluarkan akan menjadi lebih kekuningan (nanah).

Demam menggigil petanda jangkitan pada luka
Jika jangkitan luka Cesarean menjadi teruk, pesakit akan berpeluh, demam yang tinggi sehingga menggigil, sakit kepala dan sakit seluruh tubuh, keletihan dan tidak bermaya.
Antara cara yang dilakukan untuk merawat jangkitan luka Cesarean adalah:
* Mencuci luka mengggunakan air yang bersih (sterile), dengan teknik yang betul. Sapukan cecair antiseptic (seperti alcohol dan ubat kuning) pada sekitar luka.
* Tutup luka jika ada cecair yang keluar dari luka.
* Ambil antibiotic seperti yang dinasihatkan.
* Kawal paras gula (bagi pesakit diabetes)
* Ambil makanan yang bernutrisi
* Ambil suplemen Vitamin C bagi membantu penyembuhan.
Semoga bermanfaat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Poor Progress Labour Penyebab Proses Bersalin Yang Lama? Ini Kata Doktor O&G

Poor progress labour atau proses kelahiran yang menunjukkan kemajuan yang lemah menimbulkan pelbagai masalah kepada ibu dan bayi.
Menurut Dr Siti Esah Bahari, Pakar Obstetrik dan Genikologi, KPJ Selangor Specialist Hospital, kelahiran bermaksud proses fisiolgi di mana bayi dan uri dikeluarkan dari rahim. Bagi kelahiran yang normal, proses berlangsung selama 12 jam bagi keseluruhannya. Bagi kelahiran yang memakan masa 18 hingga 20 jam, ia dikatakan sebagai poor progress labour.

Proses kelahiran adalah proses yang dinamik. Tempoh masa bagi setiap kelahiran adalah berbeza. Menurut Dr Siti Esah, proses kelahiran dan segala bacaan akan direkodkan dalam carta partograf yang akan dipantau oleh doktor dan jururawat yang bertugas. Catatan partograf ini dapat membantu doktor untuk membuat keputusan sama ada proses bersalin ini normal atau tidak dan apa tindakan selanjutnya.
Antara pemeriksaan penting yang dilakukan semasa proses bersalin ialah cardiotocography (CTG). Informasi yang didapati dari pemeriksaan ini ialah;
1. Degupan jantung janin
2. Pergerakan janin
3. Kontraksi rahim ibu

BAGAIMANA IA DIUKUR?
Perkara yang dipantau dalam Partograf termasuklah keadaan ibu, keadaan bayi, perkembangan pembukaan rahim (cervix), penurunan kepala bayi (descend) kontraksi. Bacaan-bacaan yang direkodkan didalam partograf ini akan dipantau bagi memastikan kemajuan (progress) kelahiran berjalan tanpa sebarang komplikasi.Bacaan degupan jantung janin (dari CTG) perlulah menunjukkan variability (rawak di mana ada turun naik) dan ciri ciri normal.
Sekiranya tahap kontraksi ibu tidak kuat dan serviks masih belum lembut dan terbuka, ada ubat-ubatan seperti prostin akan diberikan kepada ibu untuk menggalakkan bukaan cervix. Sekiranya pangkal rahim (cervix) sudah cukup luas tetapi kontraksi tidak kuat , selaput akan dipecahkan dan pitocin akan digunakan untuk menguatkan kontraksi.
Doktor akan menilai keadaan dan situasi, sekiranya ibu dalam keadaan yang baik dan bayi tidak menunjukkan tanda-tanda lemas maka proses kelahiran dibiarkan berlaku secara semula jadi dalam jangka masa tertentu. Namun jika graf pada partograf menunjukkan pola mendatar ia itu tidak ada perkembangan atau keadaan bayi tidak sihat pembedahan caesarean perlu dilakukan segera.

PERINGKAT KELAHIRAN
First stage of labour terbahagi kepada dua iaitul Latent phase ialah keadaan di mana bukaan serviks dari awal hingga 3sm. Ia agak perlahan dan selalunya mengambil masa selama lapan jam.
Fasa aktif (active labor phase) ialah bukaan serviks dari 3sm hingga 10sm. Bukaan sepatutnya sebanyak 1sm bagi setiap jam.
FAKTOR YANG MENCETUSKAN POOR PROGRESS LABOUR
Antara faktor yang mencetuskan proses kelahiran yang lambat ialah;
1. Pecah ketuban awal. Sepatutnya ketuban perlu pecah apabila serviks sudah lembut dan bersedia. Ini akan menyebabkan proses kelahiran menjadi perlahan.
2. Cephalopelvic disproportion (CPD) iaitu kepala bayi tidak berpadanan dengan saiz pelvis ibu.
3. Kontraksi ibu yang tidak normal seperti cukup kuat menyebabkan kepala bayi tidak turun ke bahagian pelvis. Ia juga boleh disebabkan oleh kandungan kembar dan polihidramnios iaitu air ketuban banyak.

RISIKO POOR PROGRESS LABOUR KEPADA BAYI DAN IBU
IBU
- Ibu boleh mengalami tekanan (stress) kerana mengalami kontraksi dan labour yang lama.
- Berisiko untuk mendapat jangkitan terutamanya bila ketuban pecah awal.
- Kecederaan kepada rahim ibu seperti rahim pecah. Kebanyakannya berlaku kepada ibu yang mempunyai ramai anak.
- Tumpah darah.
ANAK
- Fetal distress atau lemas.
- Sindrom aspirasi mekonium di mana bayi boleh tersedut najis sehingga ke paru-paru.
- Kecacatan pada otak bayi akibat kekurangan oksigen semasa kelahiran seperti terencat otak atau cerebral palsy.
- Kematian.
- Jangkitan kuman kepada bayi.
ADAKAH CAESAREAN SATU-SATUNYA CARA UNTUK PROSES BERSALIN?
Tindakan oleh pihak doktor sekiranya poor progress labour terjadi ialah menilai situasi tersebut terlebih dahulu dan tidak terus memberikan opsyen pembedahan caesarean kepada ibu. Pemberian ubat-ubatan akan diberikan bagi ibu yang mana kontraksi tidak kuat .
Perlu diketahui bahawa alat bantu kelahiran seperti forsep dan vakum tidak boleh digunakan sekiranya bukaan serviks tidak mencapai 10sm (kecuali dalam keadaan ibu yang pernah melahirkan ramai anak) Namun sekiranya percubaan menggunakan ubat-ubatan gagal, maka pembedahan caesarean akan dilakukan sebelum sebarang komplikasi dan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

ADAKAH IA BOLEH BERULANG?
Risiko poor progress labour untuk berulang bergantung kepada faktor penyebabnya. Sekiranya ia disebabkan oleh bayi besar, ia tidak semestinya berulang kerana ibu boleh cuba mengawalnya menerusi pemakanan dan senaman. Tulang kepala bayi boleh berselisih dan moulding mengikut bentuk pelvis ibu dan pelvis ibu boleh memeri. Keadaan ini akan dinilai dan diberi perhatian oleh doktor sebelum mengambil keputusan dibedah.
Namun sekiranya ia disebabkan oleh kelainan pada tulang pelvis atau CPD, kebarangkalian untuk berulang adalah tinggi. Ibu yang pernah melalui CPD bolehlah melakukan ujian MRI untuk melihat saiz pelvis atau membuat ujian menerusi clinical pelvimetry untuk mengukur sama ada pelvis ibu berpadanan atau tidak dengan saiz bayi.
Selalunya pada minggu ke-36 kehamilan, doktor akan berbincang dengan ibu tentang cara kelahiran. Seandainya ujian imbasan menunjukkan bayi besar dan tidak berpadanan dengan pelvis ibu, pembedahan caesarean akan disarankan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidurlah Puas-Puas Sebelum Bersalin, Nanti Dah Ada Baby Memang Tak Cukup Tidur

Menjadi ibu bapa buat pertama kali memang mencabar kerana kita masih kekurangan ilmu tentang keibubapaan. Ibu bersalin memerlukan kekuatan emosi dan fizikal untuk menjaga si kecil ini. Sebab itulah peranan orang sekeliling seperti suami, ibu, ibu mentua dan keluarga amat penting.

Buat Tasha Manshahar, sebagai ibu muda dan pertama kali menjadi ibu dia mula merasai kepenatan tersebut walaupun masih dalam tempoh 17 hari berpantang. Tasha berkongsi perasaan tersebut di laman instagramnya.

Dia yang selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.5kg secara pembedahan. Tasha juga sempat berkongsi pengalam bersalin apabila terpaksa di induce sebanyak 3 kali namun jalan untuk bersalin secara normal tetap tidak terbuka dan akhirnya terpaksa memilih untuk bersalin secara pembedahan.
[Baca: 3 Kali Induce Tapi Tiada Bukaan, Rupanya Ukur Lilit Kepala Bayi Tasha Manshahar “Special” Sikit]

Day 17. Dalam fasa adaptation lagi. Banyak benda baru i belajar, and more to learn day by day. Tapi one thing lah, orang selalu pesan sebelum i bersalin dulu, “tidur la puas-puas sekarang, nanti dah ada anak mmg tak cukup tidur”. Which is…..VERY TRUE!
Sampai kadang-kadang nego dengan anak, “sayang, lepas minum susu ni, kita tidur kejap boleh? Kejap je. Mommy penat sgt harini. Please eh boleh eh eh eh.” Sambil lap airmata guna lengan baju ya nego tu hahahahahhahahahah kejadian ni baru berlaku siang tadi.
Yela, mmg ada hari kita macam extra penat kan. Sbb kalau malam alhamdulillah setakat ini, baby merengek nak susu atau nak tukar pampers je, lepastu dia lena sampai ke pagi. Kita je la kejap2 bangun nak tengok dia okay ke tidak.
Masih adapt. Dalam fasa trial and error. Maklumlah first time. Siapa pernah experience?

Tambahnya lagi, sokongan daripada suami dan keluarga sangat penting untuk memastikan proses penyembuhan itu cepat dan berjalan lancar.
Pagi tadi bawa baby M pergi check up dengan pakar pasal jaundice dia. Alhamdulillah lega bila doktor kata semua okay, cuma kena monitor je seminggu lagi Alhamdulillah ?♥️
Awal-awal baby menangis memang panic
Awal dulu kalau baby M nangis, mommy panic. Apa nak buat niiii, dia nak apa niiii. Tapi slowly mommy belajar, baby kan belum boleh express apa dia nak, jadi salah satu cara untuk dia bagitahu kita adalah melalui tangisan merdu ituhhh! ? Jadi tarik nafas, relax, and start checking. Either baby lapar, pampers dah penuh, atau dia rasa tak selesa (could be kembung, atau panas, atau terlalu sejuk, or apa-apa lah). Kena belajar dengan org2 yg expert jaga baby. Kalau dekat rumah ni, my mom and my sister mmg expert. Tenang je jaga baby. Salute!

Jika anda perlukan pertolongan, minta sahaja
Ada hari kita letih, esp kalau kita breastfeed baby. Bila letih sgt kita jadi stress, ditambah pulak dengan pressure lain. If you need help, pls ask for it. If you think you body can take it, go ahead. Tp kalau ada time, macam you betul-betul need some rest, please say it out. Tell your husband, tell your family members. Fasa berpantang ni mmg mencabar kalau kita tak happy. Dengan badan yang masih weak, dalam nifas lagi kan, macam-macamlah dugaan syaitan duk hasut itu ini. Support daripada family terutama suami, mak ayah, dan orang yang rapat sangat penting utk mempercepatkan healing process tu.
Kena banyak rest
Dr i kata, the faster we get back to our normal healthy lifestyle, the better. Memang kena banyak rest (walaupun sebenarnya bila jaga baby ni takde rest sgt pun haha), tapi elakkan terbaring tak buat apa-apa dalam jangka masa yang terlalu lama. Tapi kena ikut kemampuan badan masing-masing jugak tau. Alhamdulillah, i think my body is recovering well alhamdulillah alhamdulillah. Luka czer pun cantik doktor kata. Less than two weeks, i boleh buat house chores macam biasa. Cuma still kena hati-hati ya, sebab luka di dalam tak siapa yang tahu. Tibehhhhh! ?
Selamat berpantang kepada semua yang sama-sama sedang berpantang. Yang bakal bersalin, all the best! May Allah ease.

Rata-rata mengalami pengalaman yang sama ketika berpantang. Mereka juga berada di dalam situasi yang penat dan tidak dapat tinggalkan baby untuk lakukan urusan lain.
Untuk mama yang sedang berpantang atau bakal berpantang, mintalah pertolongan orang sekeliling jika memerluka. Fasa berpantang adalah fasa untuk mama berehat daripada penat mengandung dan bersalin. Selamat berpantang!
Sumber: Tasha Manshahar
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Untuk Pastikan Proses Bersalin Lancar, Lakukan Perkara Ini Sebelum Ambil Cuti Bersalin

Kesihatan dan tumbesaran bayi anda adalah sangat penting, terutama dalam tempoh-tempoh akhir kehamilan. Setiap detik adalah sangat berharga. Sebelum anda mula mengambil cuti bersalin untuk berpantang, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui sebagai persiapan untuk menghadapi proses bersalin.
Baca Selanjutnya:
Mudahnya Bersalin Guna Teknik Ini! Tapi Jangan Lupa Siapkan Persiapan Ini Ke Hospital

Apakah tempoh mengandung yang mencukupi?
Secara umumnya, tempoh mengandung yang normal dan mencukupi, akan berlangsung antara 280 hari atau 40 minggu. Bagi bayi pramatang, tempoh kelahiran akan berlaku sebelum cukup 37-minggu dalam tempoh kehamilan anda. Untuk bayi yang sangat pramatang akan dilahirkan antara minggu ke-23 hingga minggu ke-28 kehamilan. Bayi pramatang sederhana pula akan lahir antara minggu ke- 29 hingga minggu ke-33.
Antara minggu ke-34 hingga minggu ke-37, bayi yang lahir dapat tempoh ini dikenali sebagai bagi pramatang lewat. Kebiasaannya, bayi yang lahir sebelum minggu ke-39 kehamilan berdepan dengan risiko yang besar untuk mengalami masalah pernafasan, gula dalam darah, dan masalah lain yang mungkin cenderung menyebabkan bayi anda dimasukkan ke unit perawatan intensif neonatal (neonatal intensive care unit, NICU).
Persediaan yang perlu dilakukan sebelum cuti bersalin
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – kelahiran

Menunggu selama 9 bulan bagi tempoh kehamilan untuk tiba ke masa anda melahirkan bayi anda ke dunia pastinya merupakan detik yang sangat dinantikan, malahan ia pastinya merupakan masa yang dinantikan oleh seluruh keluarga anda. Namun, sebelum itu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh bakal ibu untuk memastikan proses kelahiran bayi anda berjalan lancar. Berikut adalah langkah persediaan yang boleh dilakukan sebelum anda bersalin.
Menghadiri kelas persediaan bersalin
Selain mendapatkan maklumat dan pengalaman daripada mereka yang pernah menjadi ibu, anda juga boleh mendapatkan informasi lanjut dengan menghadiri kelas persediaan untuk bersalin. Tujuan kelas ini dijalankan adalah untuk mengetahui lebih lanjut dan spesifik mengenai kelahiran bayi yang akan memudahkan anda membuat keputusan dan mengurangkan perasaan takut serta gementar. Berikut merupakan perkara asas yang akan diajar kepada anda melalui kelas persediaan untuk bersalin:
- Petanda kelahiran
- Simptom normal kelahiran
- Teknik untuk mengawal kesakitan
- Bagaimana pasangan anda boleh membantu
- Bila waktu anda perlu memanggil doktor atau jururawat
- Mencukur bulu ari-ari
- Ketika sedang hamil, anda mungkin runsing sama ada perlu mencukur bulu ari-ari anda atau tidak terutamanya jika ini merupakan kehamilan kali pertama. Hakikatnya, kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan memudahkan anda dan doktor untuk melakukan prosedur kelahiran. Ia juga dapat mengurangkan risiko infeksi yang boleh dihidapi sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebetulnya sebelum kelahiran bayi. Oleh itu, pakar perubatan menyarankan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum melahirkan anak untuk tujuan keselamatan dan kebersihan anda dan kandungan.
Mengetahui peringkat proses kelahiran
Setiap wanita mempunyai peringkat proses kelahiran yang berbeza. Tiada siapa yang dapat meneka atau mengenalpasti tempoh peringkat proses kelahiran mereka sendiri. Secara dasarnya, anda akan mengalami tiga peringkat semasa proses kelahiran anda:
Peringkat pertama: peringkat ini bermula apabila otot rahim mula mengecut, mengembang dan kemudian relaks yang akan membantu pembukaan serviks. Fasa ini boleh berlaku beberapa jam sehingga beberapa hari. Anda akan mengalami kontraksi aktif yang kerap dan bertahan selama beberapa minit.
Peringkat kedua: peringkat ini bermula apabila serviks anda mula meluas dan menolak bayi keluar.
Peringkat ketiga: peringkat ini adalah fasa bayi anda sudah dilahirkan. Kontraksi akan terus berlaku sehingga plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.
Bersedia menghadapi kesakitan
Bagi membantu mengawal kesakitan semasa bersalin, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:
Urutan perineum: urutan perineum ini adalah teknik yang secara perlahan-lahan dapat meregangkan kulit dan tisu sekitar vagina dan anus anda semasa minggu terakhir kehamilan. Kebiasaannya, anda boleh lakukan urutan ini pada minggu ke-34 kehamilan. Menurut kajian, urutan perineum ini menunjukkan keberkesanan dengan mengurangkan kekoyakan perineum semasa bersalin.
Senaman pelvik atau senaman Kegel: otot pelvik anda perlu untuk meregang dalam usaha menolak bayi anda keluar melalui pelvis. Oleh itu, wanita hamil perlu melakukan senaman pelvik dengan kerap bagi memastikan proses bersalin berjalan lancar.
Bagaimana mengatasi kerisauan sebelum cuti bersalin?
Bagi ibu yang pertama kali akan melalui pengalaman proses kelahiran bayi, pastinya terdapat beberapa perkara yang menjadi kerisauan dan kebimbangan di hati dan fikiran. Gementar? Takut? Ia adalah rasa yang normal untuk dilalui. Berikut adalah beberapa perkara yang sering menjadi kebimbangan sebelum menempuhi proses bersalin.
Risau terlambat untuk melahirkan
Kebanyakan ibu hamil risau kandungannya akan lahir di tempat selain katil hospital akibat terlambat. Sebenarnya, proses melahirkan anak tidak berlaku dengan secepatnya.
Sekiranya anda pernah melahirkan anak sebelum ini, proses kali kedua ini tidak serumit yang pertama. Berhubung dengan doktor untuk mengetahui tanda-tanda sebenar saat melahirkan semakin dekat agar anda dapat merancang masa dengan sebaik mungkin.
Selain itu, sediakan persiapan yang secukupnya agar anda bersedia untuk ke hospital pada bila-bila masa sahaja.
Risau terhadap kesakitan
Kerisauan ini sememangnya dialami oleh setiap ibu hamil. Jika kerisauan ini berterusan dan semakin teruk, berbincanglah dengan doktor anda tentang pengambilan ubat semasa melahirkan. Menurut pakar, pengambilan ubat semasa melahirkan tidak memudaratkan bayi dalam kandungan dan cuma membuatkan bayi anda berasa mengantuk. Untuk lebih selamat, anda boleh memastikan doktor anda meminimumkan dos ubat demi mengurangkan kesan sampingannya. Anda juga boleh menghadiri kelas-kelas untuk ibu hamil yang boleh mengajar anda teknik pernafasan efektif saat melahirkan. Anda juga perlu percaya terhadap staf profesional yang membantu anda saat melahirkan terutamanya jururawat anda demi menimbulkan perasaan yang lebih tenang dan selamat.
Risau terhadap kesan epidural
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – epidural

Suntikan epidural boleh membantu mengurangkan sakit ketika melahirkan tetapi ibu hamil juga sebenarnya risau terhadap kesan sampingannya. Ini akan menjadikan ibu hamil tidak mahu mengambil suntikan ini. Namun, keadaan ini tidak seharusnya menjadi kerisauan para ibu kerana kesan sampingan yang berlaku akibat suntikan epidural seperti pening kepala boleh dirawat dengan mudah. Selain itu, suntikan ini juga tidak akan mendatangkan komplikasi jangka masa panjang yang lebih membimbangkan.
Risau terhadap kaedah C-section
Kaedah C-section atau Cesarean adalah proses melahirkan yang sudah menjadi kebiasaan masa kini. Namun begitu, kebanyakan ibu hamil masih risau terhadap prosedur, kesan dan risiko pembedahan ini. Anda boleh bertanya kepada doktor anda jika terdapat sebarang cara untuk mengelakkan pembedahan ini. Sekiranya tiada, anda perlu tenang dan mempercayai doktor anda. Dalam beberapa kes, pembedahan Cesarean adalah jalan yang terbaik sekiranya bayi dalam kandungan anda terlalu besar untuk saiz badan anda atau bayi anda berada dalam kedudukan posisi yang tidak normal semasa melahirkan. Selain itu, bukaan serviks yang tidak cukup juga memerlukan anda melakukan pembedahan ini.
Risau terkeluar najis ketika melahirkan
Meskipun tidak terlalu bahaya seperti kerisauan yang lain, kerisauan ini membuatkan ibu hamil menjadi malu. Kebanyakan Ibu hamil terlalu malu untuk membincangkan perkara ini dengan doktor atau individu lain. Hakikatnya, keadaan ini boleh terjadi dan tidak perlu dirisaukan. Ini kerana keadaan ini adalah sangat normal sekiranya anda bersalin secara normal. Anda juga perlu tahu bahawa pasukan perubatan seperti doktor dan jururawat sudah biasa dengan keadaan ini yang mereka anggap sudah sebati dalam kehidupan mereka sebagai pakar perubatan.
Apakah perbezaan bersalin secara normal atau pembedahan caeserean?
Setiap individu wanita yang mengandung, mengimpikan proses bersalin atau kelahiran yang mudah dan singkat tanpa sebarang komplikasi – berdepan dengan beberapa kontraksi, proses meneran dan lahirlah seorang bayi yang comel – namun, malangnya, tidak semua proses kelahiran akan berjalan lancar seperti itu.
Sesetengah bayi mungkin terpaksa dan perlu dilahirkan melalui kaedah pembedahan caeser (C-section). Jika anda berharapkan untuk melalui proses kelahiran normal, berikut mungkin dapat membantu anda untuk memahami bagaimana dan mengapa kaedah pembedahan caesar dilakukan dan ia mungkin boleh dianggap sebagai persediaan jika proses bersalin dan kelahiran normal tidak dapat dilakukan seperti yang anda inginkan. Walau apapun proses kelahiran dan bersalin yang perlu anda lalui, adalah yang paling utama adalah keselamatan anda dan bayi, perlu diutamakan.
Apakah itu pembedahan caesarean?
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – caesarean

Pembedahan caesarean atau C-section adalah pembedahan yang dilakukan terhadap wanita hamil dan melibatkan pemotongan perut dan rahim untuk melahirkan bayi. Pembedahan ini dikategorikan kepada dua iaitu:
Pembedahan caesarean elektif
Pembedahan ini adalah dirancang dan dijadualkan terlebih dahulu sebelum anda mengalami sakit bersalin.
Pembedahan caesarean kecemasan
Pembedahan ini tidak dirancang dan boleh berlaku sekiranya berlaku komplikasi serius terhadap anda dan juga bayi ketika proses kelahiran.
Dalam kebanyakan kes, pembedahan caesarean ini berlaku tanpa dirancang. Sekiranya anda dimaklumkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan ini, jangan panik dan segera menyiapkan diri untuk melakukannya kerana pembedahan ini mempunyai tahap keberhasilan yang sangat tinggi. Namun begitu, pembedahan ini sebenarnya tidak boleh dilakukan banyak kali kerana akan meningkatkan risiko anda mempunyai masalah kehamilan kelak.
Apakah risiko melakukan pembedahan caesarean lebih daripada satu kali?
Sekiranya anda melakukan pembedahan ini lebih daripada satu kali untuk melahirkan anak, terdapat beberapa risiko yang mungkin berlaku pada anda. Antaranya:
- Plasenta previa (uri di bawah)
- Plasenta accreta (uri melekat)
- Hysterectomy (pembedahan membuang rahim)
- Risiko-risiko ini akan lebih tinggi bergantung kepada berapa banyak kali anda melakukan pembedahan caesarean. Selain itu juga, akan berlaku banyak masalah keibuan dan kehamilan selepas melakukan pembedahan caesarean seperti kecederaan usus, sista, pendarahan, ketidaksuburan, kebergantungan kepada mesin ventilator dan kemungkinan dimasukkan ke dalam unit kecemasan hospital (ICU) selepas pembedahan dilakukan.
Dalam pada itu lagi, pembedahan caesarean ini sukar untuk dilakukan sekiranya sudah terdapat parut lama akibat pembedahan yang sama. Pembedahan ini sememangnya akan meninggalkan parut. Semakin banyak pembedahan caesarean pernah dilakukan, semakin banyak parut yang ditinggalkan. Ini akan menyebabkan pembedahan seterusnya menjadi sukar dikendalikan.
Berapa kali pembedahan caesarean boleh dilakukan?
Menurut pakar, pembedahan caesarean yang pertama atau kedua kali tidak akan mendatangkan mudarat yang teruk kepada si ibu. Namun begitu, pembedahan caesarean kali ketiga, keempat dan seterusnya akan mengundang pelbagai risiko kesihatan berkenaan keibuan dan kehamilan. Ini menunjukkan bahawa pembedahan caesarean yang dilakukan banyak kali sememangnya akan mengundang bahaya kepada wanita yang melakukannya.
Sebenarnya, tiada jawapan jelas mengenai angka tepat berkenaan berapa kali boleh melakukan pembedahan caesarean. Namun begitu, sudah jelas bahawa pembedahan ini selamat untuk dilakukan buat kali pertama dan kedua. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk melahirkan anak melalui prosedur ini buat kali ketiga, keempat dan seterusnya, anda wajar berbincang terlebih dahulu dengan pakar perubatan.
Kelebihan dan kekurangan proses kelahiran normal buat ibu
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – bersalin normal

Kelahiran normal atau melalui faraj, turut boleh mendatangkan beberapa risiko kepada ibu. Antaranya, kulit dan tisu sekitar faraj boleh meregang dan terkoyak ketika janin bergerak untuk melalui saluran kelahiran, iaitu faraj anda. Jika regangan atau koyak adalah agak kronik, anda mungkin memerlukan jahitan atau jika tidak, ia boleh meyebabkan kelemahan atau kecederaan pada otot pelvik yang berfungsi mengawal air kencing dan fungsi ususnya.
Terdapat kajian yang mengatakan, individu wanita yang melahirkan bayi melalui faraj atau proses bersalin normal, cenderung untuk berdepan masalah usus atau inkontenensia kencing berbanding wanita yang melalui proses bersalin C-section. Ini kerana mereka akan cenderung untuk membuang air kencing apabila batuk, bersin atau ketawa. Selain itu, selepas bersalin melalui faraj, mereka juga berkemungkinan akan mengalami kesakitan yang berlarutan pada bahagian perineum, iaitu kawasan antara vagina dan dubur.
Tempoh selepas Bersalin
Selepas melahirkan bayi, anda perlu lebih berhati-hati memandangkan tubuh anda berada pada keadaan paling rapuh semasa tempoh postpartum atau selepas bersalin, terutama jika anda menjalani kelahiran pembedahan C-section. Selain mengalami kesakitan fizikal, emosi anda juga akan melalui beberapa fasa berbeza yang mungkin akan berlangsung beberapa hari atau menghantui anda dalam tempoh yang lama.
Apa itu postpartum?
Semasa minggu pertama selepas anda melahirkan bayi, tubuh anda masih dalam proses penyembuhan dan menyesuaikan diri dengan fasa tidak hamil. Tempoh ini dipanggil postpartum (selepas bersalin), di mana tubuh anda akan melalui pelbagai perubahan sepanjang proses pemulihan badan anda. Antara tempoh 2 hingga 6 minggu selepas kelahiran, doktor anda akan membuat temujanji untuk memeriksa kadar penyembuhan dan kesihatan anda secara keseluruhan.
Apa yang berlaku kepada tubuh anda semasa tempoh selepas bersalin?
Semasa tempoh ini, tubuh anda selalunya akan rasa sakit dan lesu. Anda akan mengambil masa selama 4 hingga 6 minggu untuk kembali pulih dan rasa kembali bertenaga. Walau bagaimanapun, jika anda bersalin secara pembedahan C-section, anda mungkin perlu mengambil tempoh yang lebih lama untuk pulih.
Semasa postpartum, anda mungkin akan mengalami simptom-simptom seperti di bawah pada tubuh anda:
- Bengkak
- Pendarahan faraj
- Kesakitan faraj
- Bengkak payudara
- Kekejangan
- Masalah pundi kencing
- Masalah pergerakan usus
- Rambut menipis
- Kehilangan pigmentasi kulit
- Kemurungan selepas bersalin
Bagaimana untuk anda cepat sembuh, secara fizikal dan juga mental?
Berikut beberapa cadangan untuk membantu anda menangani simptom selepas bersalin:
- Jangan terlalu risau
- Cuba untuk meridap atau tidur semasa bayi anda tidur
- Minta bantuan dan sokongan daripada pasangan melakukan kerja penjagaan bayi dan rumah
- Biarkan ahli keluarga anda menjaga anda, melakukan kerja-kerja rumah dan membawakan anda makanan sehingga anda benar-benar pulih dan boleh melakukannya sendiri
- Minta bantuan ahli keluarga untuk menjaga anak anda yang lain (jika ada)
- Minum banyak air terutama jika anda menyusukan bayi
Bagaimana postpartum boleh menjejaskan emosi anda?
Beberapa minggu terawal selepas kelahiran, anda mungkin rasa teruja dan letih pada masa yang sama. Di samping gembira dengan kehadiran bayi comel anda, anda juga boleh berasa terlalu penat kerana kurang tidur dan juga sedang menyesuaikan diri memikul satu lagi tanggungjawab baharu.
Ramai wanita yang melalui fasa emosi yang dipanggil “baby blues” semasa beberapa hari terawal selepas bersalin. Puncak fasa ini biasanya pada hari keempat dan mereda dalam masa kurang daripada dua minggu. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami blues lebih daripada tempoh tersebut, atau anda berasa ingin mencederakan diri sendiri atau bayi, segera berjumpa dengan doktor anda. Anda mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin atau meroyan.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


