Siapa kata penjagaan mulut dan gigi anak kurang penting untuk mama papa fikirkan. Masalah mulut dan gigi sebenarnya jika tidak dibendung sejak kecil akan mendedahkan anak-anak dengan risiko penyakit kronik.
Ya ini bukan main-main. Menurut Dr Ezairy M Salleh, Doktor Telinga, Hidung & Tekak (ENT) dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, mendedah anak dengan makanan manis akan menyebabkan risiko penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.
Jadi selain mengehadkan anak dengan makanan manis, ada perkara lain yang mama papa wajib ambil tahu akan bahaya jenis pemakanan seperti ini.
PENJAGAAN MULUT & GIGI
Menurut Dr Ezairy M.Sallih, hakikatnya, kesemua masalah yang melibatkan penjagaan mulut dan gigi mampu untuk diselesai dan ditangani dengan baik jika langkah pencegahan dapat dilakukan lebih awal pada peringkat di dalam rumah lagi.
Beberapa punca masalah penjagaan gigi dan dalam mulut yang berlaku adalah disebabkan oleh beberapa keadaan.
Kurang kesedaran di kalangan ibu bapa
Ini yang biasa berlaku. Pemupukan akan kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan di dalam mulut seharusnya disemai sejak awal usia lagi. Ini penting bagi memastikan anak-anak kita dibesarkan dengan cara dan budaya yang sihat. Apabila mereka masuk ke alam persekolahan dan remaja, kesemua perkara yang telah dilatih semenjak kecil dapat dilaksanakan tanpa sebarang paksaan dan masalah.
Karenah anak-anak
“Anak saya ini susahlah, doktor. Setiap kali nak suruh gosok gigi mesti menjerit-jerit, menangis-nangis. Tak kan setiap pagi nak macam itu?” Ini merupakan antara kata-kata daripada ibu bapa yang sering diperolehi apabila soalan diajukan kepada mereka. Takut kepada rengekan dan kerenah anak-anak bukanlah alasan untuk kita mengabaikan penjagaan di dalam mulut mereka.
Tidak semestinya ia perlukan paksaan. Ibu bapa boleh mempelbagaikan teknik dan cara agar anak-anak tidak merasakan bahawa itu ialah satu tindakan yang terbeban. Jadikan amalan memberus gigi dan lain-lain dalam penjagaan mulut ini sebagai suatu aktiviti yang menyeronokkan. Rajin beli berus gigi baru untuk anak-anak contohnya, ajak mereka gosok gigi bersama-sama dan berbagai-bagai lagi cara untuk memupuk minat dan keseronokan di kalangan anak-anak kita.
Tiada temu janji bersama doktor
Ini tidak bermakna ibu bapa perlu membawa anak-anak berjumpa doktor setiap minggu atau setiap bulan. Sebagai ibu bapa, kita harus pastikan bahawa kesihatan dalam mulut anak-anak berada di dalam keadaan yang baik. Seminggu sekali cuba periksa dalam mulut anak.
Lihat kalau ada gigi yang rosak, jika ada ulser yang menyebabkan anak kurang makan, dan lain-lain lagi. Sekiranya ibu bapa dapat mengesan kesemua perkara ini dengan lebih awal, maka pemeriksaan dan rawatan awal daripada doktor adalah amat membantu.
GALAKKAN ANAK SECARA POSITIF
Kurangkan makanan ringan
Ini penting kerana pelbagai jenis makanan ringan yang ada di pasaran seperti manisan dan gula-gula bukan sahaja boleh menyebabkan anak-anak kita mendapat nutrien yang tidak sepatutnya, bahkan ia juga boleh mendatangkan kerosakan gigi kepada anak-anak.
Untuk usia kanak-kanak 4 sehingga 6 tahun, proses tumbesaran dan perkembangan gigi anak-anak perlu dijaga agar masalah seperti kerosakan gigi tidak berlaku kepada mereka. Banyakkan makanan sihat yang boleh mendatangkan seronok di kalangan anak-anak, buah-buahan contohnya. Justeru, mereka dengan sendirinya akan lebih mengamalkan diet pemakanan yang sihat berbanding makanan ringan.
Bersihkan mulut sekerap mungkin
Perkara ini sering ditekankan kepada setiap pesakit. Rajin bersihkan mulut seperti berkumur sebelum dan selepas makan. Memberus gigi pastinya lebih baik. Ini amat penting untuk mengelakkan berlakunya karies gigi dan pengumpulan sisa makanan pada tonsil yang seterusnya boleh menyebabkan jangkitan.
Dapatkan pemeriksaan doktor
Jangan bertangguh apabila anda dapati anak-anak anda mengalami sebarang masalah di dalam mulut. Kerosakan pada gigi contohnya boleh menyebabkan jangkitan pada ruang sekitarnya dan seterusnya boleh juga menyebabkan jangkitan seperti pengumpulan nanah. Rawatan seperti ubat antibiotik adalah perlu apabila keadaan ini berlaku. Sekiranya rujukan untuk berjumpa doktor lewat untuk dilakukan, jangkitan yang berlaku amat sukar untuk ditangani dan pembedahan untuk mengeluarkan nanah adakalanya terpaksa dilakukan. Oleh itu, jangan bertangguh. Jumpa doktor jika anda ada sebarang masalah.
Benar bukan anak-anak dan golongan muda ini sangat suka kepada makanan dan minuman manis? Bagi kanak-kanak, adalah amat sukar untuk mengelakkan kesemua jenis makanan yang manis.
Namun sebaiknya cegahlah sejak kecil dan ajarlah mengehadkan makanan manis ini untuk anak-anak kita. Bukan sahaja ia penting untuk mengelakkan kita daripada masalah penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis, bahkan ia juga penting untuk kesihatan anak-anak.
Masalah gigi rosak dan lain-lain banyak berpunca daripada amalan seperti ini. Maka, sedarlah dan hati-hati. Kalau bukan kita yang mahu berubah, siapa? Sayangi anak-anak kita.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI